Monday, April 7, 2014
Kekasih Untuk Dia, sudah buka untuk pesanan.
Cerita ni, cerita aku dan dia sahaja. Tentang cinta kami dan impian kami berdua. Mulanya, cerita bos dengan pekerja. Alah, macam cerita-cerita yang lain juga. Marah, benci, kutuk dan ala-ala filem Hindustan. Semuanya sama saja, tapi yang membezakan cerita kami dengan cerita orang lain ialah, dalam cerita ini hanya ada aku dan dia sahaja. Kami tidak perlukan sesiapa pun.
Kemudian bertukar jadi cerita rindu-rinduan. Dia jauh, aku rindu, dia dekat pun rindu bagai nak rak, tapi mana boleh aku jatuh cinta dengan dia. Dia siapa, aku siapa. Bezanya macam merak kayangan dengan gagak di rimba.
Namun, nama juga cinta. Kalau sudah cinta, duduk di benua Afrika pun macam duduk di Alaska. Tak boleh nak cakap apalah kalau virus cinta sudah menyerang.
“Sayang...”
“Ya...”
“Di dunia ini ada tiga yang abang suka.”
“Apa tu?”
“Pertama matahari, kedua bintang.”
“Yang ketiga?”
“Sayanglah.”
“Matahari untuk siang hari, bintang untuk malam hari, sayang untuk selamanya di hati abang...”
Ah! Siapa yang tak cair kalau disogok dengan kata-kata begitu. Buat aku tak kenal yang mana siang dan yang mana malam.
Ironinya, mana ada cerita cinta manis selalu. Tanpa rasa masam, mana cukup perisanya. Jadi, mampukah kami berdua menikmati rasa masam itu kalau sudah selalu terlebih gula? Jangan lupa untuk mengetahui manis dan masam cerita cinta kami dalam KEKASIH UNTUK DIA.
Tuesday, March 25, 2014
Blog dah bersawang.
Assalamualaikum semua dan salam sejahtera. Lamanya tak up date blog. Insya-Allah lepas ni saya masukkan cerita-cerita lain. Fokus sekarang kepada cerita kerana aku sayang padamu dan juga suamiku orang KL. Harap semua masih setia mengunjungi blog saya ini.
Tuesday, December 17, 2013
KEKASIH UNTUK DIA BAB 11
KALI
pertama aku terima panggilan daripada Encik Hazrul waktu aku sedap-sedap tengok
slot drama Akasia. Aku cakap aku sibuk
mengaji. Jadi dia kata dia nak call
selepas aku mengaji. Aku cakap aku mengaji habis pukul 9.00 malam. Nampak benar
menipunya.
Tepat pukul 9.00 malam dia call aku. Memang tak boleh elak sebab
tak tahu nak bagi alasan apa. Sebenarnya aku bosan nak jawab, kalau soalannya
begini, awak buat apa? Awak dah makan ke belum? Warna langsir bilik awak warna
apa? Kalau soalan tu yang dia tanya memang aku tak teragak nak maki hamun saja.
Tapi tidak kut. Tak kanlah seorang
yang bertugas sebagai ketua tertinggi dan bertanggung jawab untuk menjaga
kestabilan syarikat, akan tanya pekerja bawahan dia dengan soalan-soalan bodoh
macam tu. Tapi yang menjadi pertanyaan sekarang ni, kenapa dia kena call aku?
Itu yang aku nak tahu sangat sebab itu aku terpaksa jawab panggilan dia
sekarang ni.
“Helo.” Suara Encik Hazrul serupa
saja walau di dalam telefon.
“Ya encik, kenapa?”
“Awak kat mana ni?”
Tanya aku serupa aku duduk atas
pokok saja. “Kat rumahlah, encik ingat saya kat mana?” soalku.
“Ingat tak balik dari masjid lagi.”
Eh, perli nampak. Mentang-mentang
aku cakap aku mengaji tadi.
“Err, kenapa encik call saya ni.”
“Sebenarnya saya nak minta tolong
sikit daripada awak. Tapi kerja ni agak bahaya.”
Kenapa tiba-tiba aku rasa berdebar
saja? Seperti diberi satu tugas rahsia yang amat besar. “Ya, kerja apa tu?” soalku
dengan penuh minat dan debaran mula menjadi dua kali ganda.
“Selama tiga hari ni, saya mahu awak
jaga bilik saya. Jangan benarkan sesiapa masuk sebab saya ada tinggalkan satu
dokumen penting dalam laci saya.”
“Kalau dah tahu penting, kenapa
encik tak bawa balik rumah?” Suaraku sudah naik. Aku yang tak tahu apa-apa
tentang rahsia syarikat pun boleh fikir. Nama pun rahsia syarikat. Adoilah dia
ni.
“Masalahnya tu dokumen syarikat,
mana boleh bawa balik sesuka hati.”
“Oh, ya ke?” soalku semula. Tak tau pulak macam tu prosudernya.
“Ya, awak. Tu rahsia syarikat dan
kunci laci saya tu saya sudah letak dalam laci meja awak.”
“Hah? Bila masa encik letak?”
Terkejut juga. Tak sedar pun bila masa dia buat kerja. Bahaya betul ni. Aku
sudah kena jaga rahsia syarikat.
“Jangan tanya bila masa saya buat
kerja. Kerja saya, saya tahulah.”
“Okey, okey. Saya faham,” ujarku.
“Bagus kalau awak faham. Pastikan
kunci tu awak simpan baik-baik. Sebabnya melibatkan soal hidup mati saya.”
“Encik serius ke ni? Takut saya
dengar.”
“Awak ingat saya main-main? Awak
ingat soal hidup mati saya tu perkara main-main?”
“Okey, sorry. Saya minta maaf.” Aku
makin takut. Padanlah dia asyik kacau aku, rupanya dia memang percayakan aku.
“Azian, saya nak awak dengar
baik-baik. Hanya awak seorang saja yang ada kunci tu dan hanya awak saja yang
boleh buka hati…”
“Buka apa encik?” soalku.
“Laci.”
Aku dengar macam dia sebut hati
tadi. “Insya Allah, encik jangan bimbang. Ada apa-apa lagi pesanan?”
“Okey itu saja. Apa-apa hal nanti,
saya call balik.”
“Baik encik. Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam.”
Fuh! Ada kerja baru yang bakal
menanti. Kali ini bukan sekecil kerja. Kerja besar. Insya Allah aku boleh lakukan.
Untuk Encik Hazrul aku boleh lakukan.
AWAL
aku sampai. Terus aku masuk ofis dan tergesa buka laci. Mencari kunci seperti
yang diberitahu oleh Encik Hazrul. Ya, memang ada kunci ditinggalkan di laci
paling bawah. Ada nota juga di tinggalkan.
Azian
Yuhanis,
Kalau awak sudah baca nota ini,
bermakna awak sudah jumpa amanah yang saya tinggalkan untuk awak jaga. Kunci
ini sangat penting buat saya. Untuk memastikan awak jaga kunci saya ini dengan
sepenuh hati awak, saya tinggalkan sedikit upah untuk awak. Harap dengan upah
ini akan membuatkan awak lebih bersemangat untuk menjaga amanah saya.
Yang
menaruh kepercayaan terhadap Azian Yuhanis,
Hazrul
Effendy.
Habis saja baca nota tersebut aku
terus ambil sampul berwarna kelabu yang ada di dalam laci tersebut.
Duit? Cepat aku keluarkan dan kira.
“Seribu?” Harus terkejut kalau setakat jaga kunci laci selama tiga hari dibayar
seribu ringgit. Laju tangan cari telefon bimbit dalam beg tangan. Mahu hubungi
Encik Hazrul dengan segera.
“Helo encik, saya jumpa…”
“Eh, awak ni memang jenis tak reti
nak bagi salam ke, ucap selamat pagi ke?” Encik Hazrul pintas kata-kataku. Nada
suaranya seperti marah saja.
“Assalamualaikum encik.” Aku beri
salam.
“Waalaikumusalam.” Dia jawab.
“Selamat pagi.” Aku ucap pula
selamat pagi seperti dalam arahan.
“Selamat pagi…”
“Encik, pasal…”
“Awak memang tak tahu cara-cara
macam mana bercakap dengan orang melalui telefon ke? Lepas beri salam kenalah
tanya khabar orang tu.”
“Encik apa khabar?” soalku. Ya memang tak patut.
Sepatutnya aku kena tanya keadaan dirinya.
“Alhamdulilah, saya sihat.”
“Encik pasal…”
“Tak tanya keadaan saya? Bila saya
nak bertolak?”
“Encik buat apa sekarang?” soalku. Itu
saja soalan yang aku terfikir sekarang ini.
“Baru lepas mandi, dan tak sempat
pakai apa-apa awak dah telefon.”
Perlu ke aku tanya, tak pakai
apa-apa? Hmm, tak payah kut. Tak penting. “Bila encik bertolak?” soalku.
“Lepas siap-siap ni saya
bertolaklah.”
“Hati-hati…”
“Terima kasih…”
“Sama-sama.” Aku jawab. Sudah, aku
lupa apa yang aku nak tanya. Adoilah…
“Ya, kenapa awak telefon saya?”
“Oh, ini…saya hampir terlupa. Encik
tinggalkan upah untuk saya? Tak payahlah upah-upah. Saya sedia jaga amanan
encik ni…”
“Azian Yuhanis, barang yang saya
suruh awak jaga tu, bukan barang main-main, okey. Barang yang melibatkan soal
hidup mati saya. Jadi saya kira saya perlu sediakan upah untuk awak sebagai
ganjaran.”
“Encik, saya ikhlas nak jaga amanah
encik ni. Serius, saya ikhlas dan saya akan jaga dengan sepenuh hati saya.”
“Ikhlas itu adalah perkara pokok
tetapi risiko yang bakal awak tanggung lebih berat dari ikhlas awak. Jadi, saya
tidak mahu ikhlas awak jadi ungkitan nanti.”
“Tapi encik, seribu ni banyak
sangat. Lima ratus pun sudah cukup.”
“Itupun saya rasa serba salah,
sepatutnya sehari seribu ringgit. Tapi takut terus awak tak datang kerja pulak
sebab nak enjoy dengan duit tu.”
“Encik ingat saya perempuan macam tu
ke?”
“Sebab saya tahu awak bukan
perempuan macam tulah saya beri awak upah. Ingat, duit tu buat belanja makan
awak. Awak tahu bukan, duit yang halal kalau awak buat beli makanan, akan jadi
darah daging dan akan lebih berkat buat si pemberi upah. Saya tak mahu awak
makan mee segera selalu. Kurang elok untuk kesihatan awak. Dan jangan beli
benda yang merapu.”
“Saya tahu, terima kasih encik. Saya
nak cakap itu saja. Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam.”
Cepat aku tutup telefon sebab
perasaan aku sudah sebak. Rasa hiba yang mendatang tiba-tiba buat mataku jadi pedih.
Memang aku memerlukan wang. Sangat-sangat memerlukan. Wang simpanan yang ada
sudah mak ngah ambil semuanya. Jadi seribu ringgit ini memang cukup bermakna
buatku. Alhamdulilah.
Rasanya
memang sesuai simpan di dalam laci saja. Mustahil ada yang syak kunci tersebut
dibawah jagaaanku memandangkan baru benar aku bekerja di sini.
Aku tarik nafas lega. Selepas itu
seorang demi seorang rakan sekerja muncul. Seperti biasa, masing-masing berbual
terlebih dahulu menantikan waktu kerja bermula.
Tiba-tiba kami semua dikejutkan
dengan kemunculan Puteri Zahra. “Kenapa bos korang cuti tiba-tiba?” soalnya
sedikit cemas.
“Bos cuti?” soal Encik Hambali di
tempat duduknya.
“Korang tahu tak sebab dia bercuti?”
soal Puteri Zahra lagi.
“Encik Hazrul memang tak beritahu
dia nak bercuti. Kami pun tak tahu,” balas Kak Ha dan aku rasa seperti semua
mata sedang pandang aku.
“Menyusahkan orang betul!” kata
Puteri Zahra dan dia tinggalkan pejabat pengurusan dengan rungutan yang susah
aku nak faham. Ternyata Puteri Zahra benar-benar marah. Mujur dia tidak masuk
ke bilik Encik Hazrul.
“Bos cuti?” Kak Ha tanya aku sejurus
Puteri Zahra hilang dari pandangan. Aku sudah agak, pasti aku akan ditanya
dengan soalan begitu.
Aku angguk.
“Tahu bos ke mana?” soal Encik
Hambali pula.
“Bos pergi Bukit Cendana.” Akhirnya
aku pecah rahsia.
“Kan.” Encik Suffian tepuk tangan
sekali. “Memang bos ada projek besar-besaran di Bukit Cendana. Mana tahu bos
ada buat urusan dengan syarikat lain.”
“Tak kanlah bos nak jadi pengkhianat
pulak,” kata Encik Hambali.
“Betul tu. Tak kan bos nak jadi
pengkhianat ayah sendiri,” Kak Huda menyokong.
“Siapa tahu. Sebabnya mesti bos
fikirkan masa depan dia juga sebab syarikat ni dikongsi oleh Tan Sri Zabidi dan
Tan Sri Hisyam. Kalau tak percaya, tengoklah nanti,” kata Encik Suffian.
“Bos ada beritahu awak apa-apa?”
soal Encik Hambali kepadaku.
Aku geleng.
“Mustahil tak ada. Mesti ada sebab
dia sudah minta awak tolong dia.” Encik Suffian seperti meneka, tapi sebenarnya
dia sedang memaksa. Serba salah aku jadinya sedangkan Encik Hazrul mahu
menyimpan rahsianya.
“Dia beritahu pasal projek Bukit
Cendana saja, yang lain-lain dia tak beritahu apa-apa.” Aku jawab dengan
tenang.
“Kita tengokkan aje, sebelum tu tak
payahlah nak fikir sangat. Itu kerja bos, biar dialah…” Kak Ha seperti tidak
suka berbicara tentang perkara tersebut.
“Jadi, kau jangan fikir bos sukakan
kau kalau dia minta tolong dari kau. Bos sedang mempergunakan kau saja. Tolong
sedar sikit.” Hilda macam sound aku dari tempat duduk.
Aku tak ada mood nak jawab. Jadi aku
tutup mulut rapat-rapat. Macamlah aku nak perasan bagai.
Thursday, December 12, 2013
KEKASIH UNTUK DIA BAB 10
“ENCIK
ni kenapa? Tiba-tiba berabang. Buat saya takut saja.” Aku pandang wajah Encik
Hazrul sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.
“Kenapa
pulak?”
“Yalah,
tiba-tiba berabang, bersayang bagai. Tiga kali Jumaat aje ke lagi.”
“Awak,
sampai hati… Saya cuma nak awak biasakan aje dengan panggilan tu.”
Aku
kerut dahi. Apa hal pulak nak panggil macam tu. Karang pitam pulak Hilda kalau
aku panggil abang.
“Saya
nak beritahu satu rahsia ni…” kata Encik Hazrul selepas aku diam buat beberapa
ketika sebab otak kalut fikir. Yalah, rasa pelik sangat.
“Ya,
rahsia apa tu?” soalku.
“Saya
akan bercuti selama tiga hari atas urusan Bukit Cendana.”
Aku
angguk. Ingat rahsia apalah tadi.
“Kalau
tak disebabkan semua tu untuk kita berdua, tak sanggup saya nak cuti
lama-lama.” Dia toleh aku sekilas dan terus memandu tinggalkan perkarangan
tempat letak kereta.
“Apa
kena kita berdua, bukan ke tu urusan encik seorang?”
“Sebab
saya nak saya awak jadi partner saya nanti.”
“Tak
naklah.”
“Partner
saya seumur hidup. Saya akan beri awak apa saja.”
“Tapi
saya tak tahu buat apa.”
“Awak
cuma uruskan hal saya saja.”
“Lain
macam aje bunyinya.” Aku senyum. Encik Hazrul ni memang macam-macam. Tak dapat
agak apa maksud yang tersirat.
“Lain
macam apa pulak.”
“Yalah,
macam ada komplot terancang saja.” Aku teka.
“Memang
komplot terancang. Komplot antara awak dengan saya.”
“Yalah
tu…” Kemudian aku hela nafas panjang. Rasa pelik juga kenapa Encik Hazrul
nampaknya serupa memberi perhatian terhadapku. Apa sebenarnya yang sedang dia
rancangkan?
“Kenapa
mengeluh pulak ni?” soal Encik Hazrul. Dia ni macam faham saja apa yang aku
alami. Mudah membaca apa yang aku fikirkan.
“Kalau
saya tanya encik marah tak?” soalku. Mana tahu karang tak pasal-pasal turunkan
aku tepi jalan. Satu hal pulak nak tahan teksi.
“Pernahkah
saya marah awak?”
Menipulah
kalau tak terkejut. Tak pernah marah aku? “Yang tengking saya setiap hari tu
apa?” Wajah Encik Hazrul aku pandang. Nampak dia senyum saja. Maknanya dia
sendiri tidak tahu untuk memberikan jawapan.
“Hmm,
tadi nak kata nak tanya, silalah tanya sekarang.” Ayat seperti nak elak dari
menjawab soalanku.
“Encik
dan saya baru kenal…”
“Siapa
kata kita baru kenal?” pintas Encik Hazrul. Aku baru saja buka mulut, dia
dulu-dulu bercakap.
“Baru
lagi bukan?”
“Jadi
apa masalahnya kita baru kenal?” soal Encik Hazrul.
“Tapi
encik layan saya tak serupa pekerja lain. Encik seorang yang berpangkat besar
di dalam syarikat, tapi kenapa…?” Kata-kataku mati di situ. Sebenarnya sangat
susah untuk mencari perkataan yang sesuai untuk menjelaskan perasaanku yang
sebenarnya. Bimbang nanti Encik Hazrul fikir aku sudah sukakan dia.
“Ya,
kenapa?” soal Encik Hazrul lagi.
“Sebelum
tu encik jangan cakap saya sukakan encik.” Baik beri peringatan awal-awal.
“Jadi
awak memang tak sukakan saya lah?”
“Bukan
saya tak sukakan encik…”
“Jadi
sukalah…” Aku nampak Encik Hazrul senyum. Adoilah. Macam nak cakap ni. Aku
cakap begini, dia pusing begitu.
“Bukan,
bukan saya suka encik tapi saya tak nak encik syak saya sudah jatuh hati dengan
encik. Itu maksud saya.” Geram juga bercakap dengan orang yang tidak faham
bahasa ni.
“Kalau
jatuh hati kat saya pun apa salahnya. Saya pun single lagi. Tak ada masalah
untuk jatuh hati. Dan saya sangat mengalu-alukan untuk awak jatuh hati dengan
saya.” Aku nampak senyuman Encik Hazrul bertambah lebar. Dia ni memang suka
kenakan aku.
“Kalau
encik izinkan pun saya tak akan boleh jatuh cinta dengan encik.”
“Kenapa
pulak?” Cepat saja dia tanya dan suara dia sedikit kuat. Macam marah pun ada.
Peliknya. Tiba-tiba saja tinggikan suara.
“Yalah,
saya ni umpamanya burung gagak dan encik burung merak.”
“Oh,
tak tahu pulak kita ni spesies burung.”
Kan
dah cakap. Memang dia tak faham bahasa. “Maksud saya taraf kita.”
“Apa
masalahnya dengan taraf kita?”
Penatlah
macam ni. “Maksud saya, taraf kita
berbeza. Tolonglah faham sikit apa yang nak saya cakap ni.” Marah sudah. Suara
aku pun dah naik.
“Sayang,
awak dengar baik-baik apa yang bakal saya cakap ni. Fahamkan betul-betul sebab
saya tak akan ulang banyak kali dan saya tak nak awak sebut banyak kali juga.
Tak kisah siapa pun saya, siapa pun awak, kita berhak untuk menikmati hidup
kita dengan selesa dan gembira. Kalau saya selesa dan gembira dapat kenal awak,
saya tidak peduli hal-hal lain.”
Aku
pegang kening. Adoi, memang sudah jauh terpesong ni. Sebenarnya memang Encik
Hazrul tak faham apa-apa rupanya.
“Encik,
sebenarnya topik sekarang ialah bukan perkataan suka, tetapi saya nak tanya
encik, kenapa encik macam lebihkan saya. Apa-apa encik mesti cari saya. Tak
pelik ke seorang yang berpangkat seperti encik asyik keluar dengan saya?”
Akhirnya aku tidak mahu berkias apa-apa lagi. Sah Encik Hazrul tidak akan
faham. Baik cakap terus terang.
“Saya
suka awak. Salah ke kalau saya suka dengan awak?”
Kening
tadi aku garu. “Masalahnya macam mana encik boleh suka cara kerja saya
sedangkan saya masih baru bekerja. Encik sudah ada pekerja yang lebih bagus
berbanding saya.”
“Aduhai…”
keluh Encik Hazrul perlahan. “Bila masa pulak aku sebut perkataan kerja…” Encik
Hazrul seperti bercakap sendiri.
“Encik
merungut apa tu?” soalku.
“Faham
pulak orang merungut.”
“Apa
encik?”
“Sudah,
jangan nak banyak cakap. Karang lagi macam-macam awak fikir. Sekarang ni saya
tak nak awak fikir apa-apa. Tujuan saya baik dengan awak sebab saya nak kita
usahakan projek Bukit Cendana tu bersama-sama. Saya tak percayakan orang lain
sebab projek Bukit Cendana tu sangat penting buat saya. Hanya orang yang boleh
saya percayai saja yang akan terlibat sama.”
“Encik
jangan mudah percayakan orang lain. Lebih-lebih lagi dengan perempuan yang baru
encik kenal. Mana tahu saya ni perempuan mata duitan ke, saya boleh tipu encik
dengan mudah.”
“Kalau
lurus bendul macam awak ni, saya rela kena tipu.”
“Encik
jangan cakap besar, karang meraung baru tahu.”
“Sebab
awak saya rela meraung.”
Sudahnya
aku malas nak cakap apa lagi. Payah kalau bercakap dengan orang bijak pandai
ni. Ada saja jawapannya.
“Selepas
ni kalau orang lain tanya awak keluar makan dengan siapa, cakap saja keluar
makan dengan bakal suami. Kalau cakap keluar makan dengan saya, saya tahu awak
jugak yang susah hati nanti. Yalah, mesti pekerja lain syak pulak.”
“Masalahnya
saya belum ada calon bakal suami.” Pengakuan jujur daripadaku.
“Anggap
saja saya ni bakal suami awak. Habis cerita.”
“Boleh
ke cakap macam tu?”
“Apa
pasal pulak tak boleh. Nak jadikan suami terus pun boleh.”
“Melampau
encik ni. Tak kanlah tergamak encik nak jadi suami saya. Agak-agaklah kalau nak
bergurau pun.”
“Tak
ada masa nak bergurau, okey. Saya cakap serius.”
“Yalah, yalah.Terima kasihlah bagi idea macam tu.”
Aku terus pandang depan. Perut juga sudah rasa semacam. Minta diisi dengan
segera. Entah ke manalah Encik Hazrul bawa aku kali ini.
“Hmm,
mulai sekarang bolehlah panggil saya abang. Saya panggil awak sayang boleh?”
“Merepek
encik ni…”
“Sayakan
bakal suami awak.”
“Konon-konon,
okey. Bukan betul.”
“Kira
dah betullah tu.”
“Dahlah
encik. Dengar enck merepek buat saya tambah lapar.”
“Yalah
sayang, kita nak pergi makanlah ni.”
“Encik…”
Geli aku denagr dia sebut sayang. Meremang bulu roma. Yang tidak-tidak saha dia
ni.
Encik
Hazrul ketawa perlahan. Sah ketawakan aku tu. Lantak dialah. Janji dia suka
hati.
SELEPAS
aku duduk beberapa minit, Encik Hambali muncul. Kemudian Encik Suffian. Mereka
saling berbual sesama mereka di tempat duduk msing-masing. Waktu rehat ada berbaki dalam sepuluh minit lagi.
Lepas turunkan aku di luar kawasan syarikat, Encik Hazrul terus ke bank.
Katanya mahu uruskan sesuatu. Semuanya pasal Bukit Cendana.
Tiga serangkai muncul selepas itu
dengan bergelak ketawa. Cemburu juga melihat kemesraan mereka bertiga. Kenapa
aku tidak boleh menjadi sebahagian mereka? Oh, aku lupa, aku memang tidak
layak. Awak kena sedar diri Azian Yuhanis.
“Dah makan Azian?” soal Kak Ha
dengan mesra.
“Sudah.”
“Hmm, makan dengan teman lelaki ke?”
Kak Huda turut menyoal. Aku balas dengan senyuman. Tidak mahu melebih.
“Tak sangka ya, macam itupun ada
teman lelaki. Ke main tangkap muat aje. Asal ada.” Hilda macam perli.
Aku tak jawab, kalau jawab karang
panjang cerita. Baik tutup mulut saja. Buat tak dengar. Anggap Hilda cakap
dengan meja.
“Sekurang-kurangnya dia ada. Kau
ada?” Encik Suffian tanya. Inilah nasi tambah yang bakal menghangatkan lagi
keadaan. Karang aku jugak yang jadi mangsa kemarahan Hilda.
“Ah, kalau setakat kutu rayap tepi
jalan, saya tak pandang,” balas Hilda. Bunyi seperti tidak marah saja. Okeylah
tu. Tak kisahlah Hilda nak cakap apapun, yang penting dia senang hati.
Aku sambung buat kerja. Begitu juga
teman yang lain. Encik Hazrul muncul dalam pukul tiga lebih. Nampak manis saja
muka dia. Mungkin urusan dia berjaya. “Buat air,” katanya dan ketuk meja
sekali. Kemudian sambung melangkah ke biliknya.
Dengan kadar segera aku bangun sebab
tak mahu dengar Hilda sebut perkataan khadam. Lepas buat air aku bawa ke bilik
Encik Hazrul.
“Alhamdulilah, urusan kita
dipermudahkan,” kata Encik Hazrul sebaik sahaja aku letak muk atas meja.
Nak
aje cakap bukan urusan kita, tapi tak naklah jadi bahan bertekak. Muka dia
nampak manis begitu, biar kekal sampai balik. Karang kalau lawan bertekak, sah
dia angin satau badan
“Alhamdulilah.”
Aku cakap sepatah sambil tersenyum. Tumpang gembira.
“Suka
tengok lesung pipit awak tu. Sah tiga hari ni saya rindukan lesung pipit tu.”
Dia macam puji. Biasalah, kalau orang hati gembira. Cuba kalau marah, lesung
pipit pun boleh nampak macam lesung batu.
Aku
pegang kedua pipi. Malu juga orang puji lesung pipit aku.
“Esok
saya akan uruskan urusan jual beli. Lepas tu kita kena fokus.”
Aku
gigit hujung bibir. Serius tak faham apa-apa. Urusan jual beli apa? Tak apalah,
janji dia suka dan kalau itu boleh membahagiakan dirinya, aku tumpang gembira.
“Kalau tak ada hal penting, encik
jangan telefon saya.” Aku cakap tapi sebenarnya bagi amaran. Malas nak layan
panggilan dia sebenarnya.
“Suka
hatilah saya nak telefon ke tidak.” Dia jeling sekali. Senyuman manis menyusl
selepas itu dari bibir seksi Encik Hazrul.
“Kalau
macam tu, saya off handphone saya.”
“Cubalah
kalau awak berani off handphone awak.
Saya upah orang culik awak dan hantar ke tempat saya. Nak?”
Sebenarnya
aku boleh anggap kata-kata dia tu
sebagai satu gurauan, tapi melihatkan keseriusan wajahnya, aku tak fikir dia
bergurau. Dia sedang memberi amaran.
“Emm,
saya boleh berhenti kerja, dan saya boleh sembunyikan diri.” Aku juga bijak
merancang. Nak tengok apa jawapan Encik Hazrul.
“Untuk
pengetahuan awak, saya sudah upah orang untuk kawal pergerakkan awak. Awak
ingat awak boleh larikan diri dari saya?”
Tiba-tiba
aku rasa takut. Gaya Encik Hazrul bercakap serupa ketua kongsi gelap filem Hong
Kong.
“Okey,
saya tak off handphone saya.”
Sudahnya aku mengaku kalah. Masa itulah aku nampak Encik Hazrul sambung senyum.
Serius, memang senyuman dia cukup menawan. Kalau aku tak ingat taraf aku macam
mana, sudah lama aku mengorat Encik Hazrul. Sayangnya aku kan gagak dia pulak
macam merak. Jangan mimpilah dapat pikat dia.
“Bendul…”
katanya perlahan.
“Encik
cakap apa?” soalku.
“Petang
ni sedap makan cendol.”
A’ah
betullah tu. “Saya keluar dulu,” ujarku sambil atur langkah menuju pintu.
“Sayang,
terima kasih untuk air ni. Makin pandai sayang buat air.” Encik Hazrul angkat
muk dan tunjuk kat aku.
“Sama-sama
‘abang’.” Aku jawab.
“Aduhai…
jatuh jantung abang.”
Malas
nak layan. Terus saja tinggalkan dia. Karang kalau dilayan makin kuat dia
merepek. Tapi memang pelik. Encik Hazrul memang tidak seperti lelaki yang
berpangkat tinggi. Aku rasa dia seperti lelaki biasa-biasa saja. Lama kelamaan,
memang rasa tidak kekok langsung ketika berada di sisinya. Janganlah selepas
ini aku terjatuh cinta dengan dia. Memang parah kalau jatuh cinta dengan bos
yang baik macam dia. Tolong sedar diri Azian Yuhanis.
Friday, December 6, 2013
KEKASIH UNTUK DIA BAB 9
SEBELUM
masuk ofis, aku ambil kesempatan untuk beramah mesra dengan pengawal
keselamatan dari Myanmar itu. Bukan nak mengatal, tapi suka bersembang dengan
mereka. Rasanya mereka ini lebih baik daripada Hilda.
Selepas berbual, aku terus
melangkah. Tapi tak sangka pula Encik Hazrul sudah tecegat menanti di laluan
utama menghala pintu masuk. Wajahnya masam.
“Sukalah?” katanya perlahan.
Aku buat tak peduli. Terus jalan.
Walaupun baru kenal, tapi sudah biasa dengan angin tak berapa betul dia. Jadi
aku tak hairan.
Dia pun ikut aku dari belakang
menuju lif dan sama-sama berdiri menunggu lif terbuka. Ada beberapa orang
pekerja menantikan lif sama. Di situ ada dua buah lif sebenarnya, tapi satu
lagi sudah naik. Jadi, masing-masing tertumpu lif yang sedang turun itu.
Masing-masing senyap. Tidak seorang
pun berani menegur Encik Hazrul. Jauh sekali nak sebut selamat pagi. Melihatkan
muka macam singa tu, siapalah berani tegur.
Seorang pekerja lelaki yang
berpakaian kemas tersenyum kepadaku dan aku balas. “Baru kerja ke?” tegurnya.
“A’ah…” jawabku.
“Bahagian mana?” soalnya lagi.
“Ofis CEO,” jawabku.
“Oh…”
Aku nampak lelaki itu jeling Encik
Hazrul sekali. “Saya Johan. Bahagian kewangan,”
“Saya Azian Yuhanis.” Aku beritahu
juga namaku. Orang cakap baik-baik, kenalah cakap baik juga.
“Sedapnya nama, macam nama anak buah
saya. Anak buah saya Najwa Yuhanis.” Makin ramah pulak si Johan ni. Nama anak buah
pun sebut sekali.
“Selamat berkenalan,” kata Johan
lagi.
“Selamat berkenalan,” balasku dan
pintu lif terbuka. Aku masuk terlebih dahulu, barulah ke empat-empat lelaki
yang menunggu lif masuk sama.
“Sebelum ni kerja kat mana?” Si
Johan tanya lagi.
“Langkawi,” jawabku sepatah.
“Jauh tu, macam mana boleh kerja kat
sini pulak?”
Aku senyum saja, malas nak jawab.
Kemudian Johan keluar di tingkat 7 bersama dua orang pekerja lain. Tinggal aku
dan Encik Hazrul saja.
“Kalau awak berani beri nombor telefon
kepada lelaki lain, siap awak,” kata Encik Hazrul sebaik sahaja pintu lif
tertutup.
Apa hal pulak dia ni nak sound aku
bagai. Suka hati akulah nak bagi nombor telefon ke tidak.
“Satu lagi, boleh tak jangan ramah
sangat? Semua awak layan. Sampaikan jaga tu pun awak rajin melayan.”
Eh, marah pulak. Macam sound kekasih
dia aje.
“Saya tegur biasa-biasa aje. Hidup
kita ni mana boleh sombong dengan orang. Masa hadapan kita tak tahu apa yang
bakal berlaku. Mana tahu masa saya susah mereka tolong saya. Tak rugi kalau
kita berbaik-baik dengan orang lain.” Panjang lebar aku bercakap sehingga pintu
lif terbuka di tingkat 11.
Aku keluar terlebih dahulu tanpa
menantikan Encik Hazrul.
“Tapi saya tak suka cara awak yang
terlebih ramah tu.”
“Okeylah, lepas ni saya tak tegur
siapa-siapa lagi.” Sudahnya aku mengalah. Malas lagi nak berlawan cakap. Entah
apa-apa. Gamaknya nak suruh orang jadi sombong macam dia aje.
Kami terus ke pejabat. Waktu sampai ternyata pejabat pengurusan
masih kosong. Aku buka lampu terlebih dahulu sebab bos besar menonong masuk
bilik dia. Merajuk tak tentu pasal. Entah apa-apalah.
Aku duduk di tempatku sambil
perhatikan pintu bilik Encik Hazrul. Menantikan arahan. Tahu dia akan jerit
dengan ayat, mana air saya. Tapi sampai tiga serangkai muncul, pintu bilik
Encik Hazrul tetap tertutup rapat.
“Bos sudah sampai?” soal Kak Ha.
“Sudah,” jawabku sepatah.
“Kenapa sejak akhir-akhir ni bos
kerap sangat masuk ofis awal? Peliklah…” ujar Kak Huda pula.
Aku kerut dahi sama. Walaupun aku
baru dan masih tidak tahu bagaimana keadaan Encik Hazrul sebelum aku bekerja di
sini, tetapi soalan Kak Huda itu buat aku terfikir sama. Kenapa Encik Hazrul
berubah dengan mendadak? Sebab projek Bukit Cendana kah?
“Azian, air saya mana?” soal Encik Hazrul
tiba-tiba.
Huh, ingatkan tadi nak merajuk
terus. Rupanya masih jugak nak air.
“Cepat sikit khadam!” Hilda bersuara
di tempat duduknya sambil tempek bedak.
“Apa awak cakap Hilda?” soal Encik
Hazrul dengan suara yang kuat. Terkejut juga sebab aku ingatkan Encik Hazrul
sudah tutup pintu.
“Err, bos. Saya tak cakap apa-apa,”
jawab Hilda. Aku nampak dengan jelas muka Hilda pucat. Dia sendiri mungkin
tidak menyangka Encik Hazrul masih di situ. Selalunya lepas bertempik dia akan terus tutup pintu bilik.
“Saya rasa saya dengar apa yang awak
cakap tadi, jadi saya nak tahu apa makna khadam tu.”
Hilda tidak bersuara selepas itu.
Tahu takut.
“Kalau Azian khadam, awak pun sama
tau. Jangan sesedap mulut awak saja bercakap. Saya minta dia buatkan saya air,
sebab saya tahu dia akan buat dengan ikhlas dan dia tak akan merungut macam
orang lain. Saya memang tak tahan dengan awak, Hilda. Kali ni awak memang
melampau. Saya akan minta orang HR tukar awak ke bahagian lain. Duduk di
bahagian saya menyakitkan hati saya saja.”
Aku terus bangun sebab aku tak mahu
dengar apa-apa. Jadi biarlah Encik Hazrul uruskan hal Hilda. Di dalam pantri,
sayup-sayup aku dengar suara Encik Hazrul bertempik. Angin apalah yang sedang
melanda Encik Hazrul sekarang ini. Sudahlah tadi sound aku bagai. Sekarang cari
pasal dengan Hilda pula. Nanti-nanti aku jugak yang kena balik dengan Hilda.
Buat aku susah hati saja.
Siap buat air, aku bawa muk keluar.
Encik Hazrul sudah tidak kelihatan, tapi muka Hilda merah serupa buah
strawberry. Nampak cantik, tapi masam.
Aku ketuk terlebih dahulu pintu dan
tolak perlahan selepas itu. Atur langkah perlahan ke meja Encik Hazrul. Encik
Hazrul pamer muka masam. Takut juga nak pandang. “Sudah tahu pagi-pagi saya nak
air, tak reti nak tolong buatkan. Nak jerit-jerit mintak baru nak buatkan?”
soalnya dengan suara mendatar. Bunyi macam perli saja. Ya, salah aku juga.
Macam tak biasa.
Aku letak muk di hadapannya. Tanpa
membalas kata-katanya aku atur langkah ke pintu semula.
“Azian.” Dia panggil aku. Langkah
terhenti dan aku toleh pandang dia.
“Awak memang khadam,” katanya
selepas itu.
“Ya, saya tahu,” jawabku dengan
serendah hati.
“Tapi awak khadam yang bertempat di
hati saya,” kata Encik Hazrul lagi. Dia pandang aku dengan pandangan yang aku
sendiri tidak faham. Masam tadi sudah tidak kelihatan.
“Encik juga tuan buat saya, tuan
yang bertempat di hati saya.” Aku jawab juga.
“Apa dia, saya tak dengar.” Ada
segaris senyuman di bibir Encik Hazrul. Tahulah aku angin badannya sudah ke
tempat lain.
“Ada sorang tu, angin tak tentu
pasal pagi ni.” Aku perli.
“Mana tak angin, kalau pak guard pun
dia layan.”
“Suka hatilah, kita single lagi.”
Aku jawab dengan selamba.
“Ya single, but not available.”
Apa-apa ajelah. Kalau dah okey tu
mulalah nak kenakan aku. Aku terus tinggalkan Encik Hazrul. Ketika melintasi
meja Hilda, aku lihat muka Hilda masih macam strawberry. Lantak dialah. Siapa
suruh cakap yang bukan-bukan.
“Berapa bos upah kau jadi kuli dia
hah?” Hilda tanya. Tak sudah lagi rupanya.
“Hilda, sudah tu. Awak jugak yang
cari pasal. Azian tak buat apa apa pun. Yang musuh sangat dengan Azian kenapa?
Dalam hal ni akak tetap salahkan Hilda. Hilda yang cari pasal,” kata Kak Ha.
“Saya tak puas hati kak…”
“Sudah, kalau tak suka, atau tak
puas hati, tak payah cakap apa-apa. Diam aje. Betul cakap bos tadi. Kita semua
kuli kat sini. Tak ada lebih tak ada kurang. Kalau Hilda tak suka Azian sebab
Azian tak sama taraf Hilda, Hilda boleh minta tukar bahagian lain. Boleh minta
bahagian promosi. Sana semuanya glamour belaka,” kata Kak Ha lagi.
“Apa hal pulak saya nak pergi sana.”
“Kalau tak nak pergi mana-mana jaga
perangai sikit. Bos dah keluarkan amaran.” Kak Huda menyampuk.
“Perempuan ni yang salah. Kalau tak
disebabkan dia, saya tak kena marah.”
“Sudahlah tu. Azian tak salah apa,
Hilda aje yang suka cari pasal. Sudah, buat aje kerja.” Kak Ha mengakhiri acara
lawan cakap pagi itu sebab Hilda langsung tidak bercakap apa-apa. Tapi aku tahu
Hilda masih tidak berpuas hati dengan aku. Tak apalah. Hendak diapakan lagi.
Dalam pukul 11.00 lebih kurang, Encik Hazrul keluar
dari biliknya. Waktu melintasi mejaku dia angkat kening dan senyum. Uiks, apa
hal pulak dia ni. Cantik saja senyuman dia. Lepas tu dia terus jalan. Mungkin
ada urusan di luar.
Berlalu beberapa ketika telefon
bimbitku berbunyi. Encik Hazrul?
“Helo sayang, abang kena kerja kat
luar ni. Tengah hari nanti makan dengan abang ya,” kata Encik Hazrul terus
tanpa sempat aku nak bagi salam.
“Buang tebiat ke?” soalku. Aku
dengar Encik Hazrul gelak selepas itu.
“Okey sayang, abang call nanti.”
Suara dia hilang selepas itu. Aku
pegang dahi. Pening, pening.
Subscribe to:
Posts (Atom)
