Monday, January 4, 2016

Kerana Aku Sayang Padamu- Bab 1


MIKAEL pandang sekeliling. Bilik Nazim yang berdinding kaca dan menampakkan ruang pejabat nampak luas dan selesa. Lambang seorang peguam yang berjaya. Dia tumpang kagum dengan kejayaan seorang sahabat.
            Sebenarnya pandangan mata lebih kepada gadis bertubuh langsing, berkulit putih melepak dan berambut beralun melepasi bahu. Wajah gadis yang menjadi intaian sejak enam bulan dahulu nampak berseri tanpa sebarang alat solek. Hanya bibirnya kelihatan basah dengan gincu berwarna merah jambu. Ah! Entah kenapa, dalam berjuta mata Mikael boleh berkenan pada gadis seorang ini?
            Mikael betulkan posisi duduknya bila nampak Naila bakal masuk ke dalam bilik Nazim. Mahu kelihatan bersahaja. Kali ini dia harus lebih berhati-hati agar helahnya tidak terhidu. Bukan selalu dapat peluang begini.
“Maaf, Encik Nazim ada hal. Dia suruh I berurusan dengan you,” kata Naila sambil labuhkan punggung di atas kerusi Nazim. Tidak sangka pula ada orang dari Kristal Holding yang bakal berkunjung. Setahu Naila, tiada sebarang janji temu yang dibuat dengan pihak Mikael. Sebelum ini semuanya berjalan dengan baik sahaja.
            Mikael tersenyum sambil pegang bibir. Lagi Mikael suka kalau Nazim tiada. Memang berharap benar dapat bercakap dengan Naila. Susah betul mahu bercakap dengan gadis seorang ini. Liat amat. Tak makan pujuk rayu. Langsung tidak serupa gadis-gadis lain yang Mikael pernah jumpa, pantang ajak keluar mahu saja. Yang berkenan di mata pula, susah benar hendak diajak berbicara.
            “Tak kisah, dengan you pun okey. Hmm, cantik hari ni,” puji Mikael. Tak pernah dia melihat Naila berbaju kurung. Selalu, kalau tak seluar pasti saja skirt yang menampakkan pahanya yang putih melepak dan gebu. Serius, memang cantik. Baju kurung warna hijau muda dengan corak bunga kecil berterabur sangat sesuai dengan kulit Naila. Makin membara perasaan Mikael dengan rasa cinta.
            “Oh, hari ni hari lahir I.” Jujur saja Naila beri jawapan. Wajah Mikael pula langsung tidak dipandang. Dia sudah masak dengan pujian lelaki. Dalam sepuluh, nak cari satu yang ikhlas pun payah. Semuanya ada makna yang tersembunyi.
            Senyuman Mikael makin melebar. Maknanya setahun sekali sajalah dia pakai baju kurung? Hmm… Gadis bertubuh langsing, berketinggian paras dada Mikael itu ditatap lama.  Dalam tempoh enam bulan ini perlbagai cara Mikael guna untuk mendekati Naila namun setakat ini belum menampakkan hasil. Masih sukar untuk menawan hati Naila. Entah apa ilmu kebal yang dia guna sampai tak berjaya langsung Mikael cucuk jarum.
            “Ya? Selamat hari lahir,” ucap Mikael.
            “Terima kasih. Err, rasanya kita tak ada sebarang urusan? Semuanya sudah dibincangkan sebelum ini bukan?” Naila kerut dahi. Cuba ingat kalau dia dan Nazim terlepas pandang. Pelik juga kenapa lelaki yang umum sudah iktiraf sebagai lelaki kacak dan menjadi sebutan para gadis itu muncul tiba-tiba.
            “Memang tak ada, tapi I datang atas urusan peribadi.”
            “Ya? Peribadi macam mana tu?” Baru Naila angkat muka dan pandang wajah Mikael. Lelaki yang cuba mendekati Naila, namun Naila tak layan. Bagi Naila lelaki sama saja. Tak ada yang jujur dan ikhlas. Lebih-lebih spesies lelaki seperti Mikael. Entah berapa ramai anak dara yang dia angkut balik rumah. Tengok muka saja Naila sudah tahu. Lelaki yang sentiasa laparkan perempuan. Tanpa perempuan, tak sah hidup gamaknya.
            “I nak you  tolong uruskan jual beli rumah I.” Mikael pun tidak tahu rumah mana yang mahu dibeli. Spontan saja idea tersebut. Walhal asal tadi dia mahu melihat Naila sahaja. Tak terlintas pun mahu berurusan apa-apa. Salah dia juga tidak telefon Nazim terlebih dahulu. Main redah.
            Naila angguk. Orang banyak duit. Beli rumah serupa beli kasut.
“Okey, tak ada masalah.” Masa itulah dia nampak Nazim muncul. Melonjak jugak hati Naila.
 “Jadi I serahkan kes you kepada Encik Nazim. Dia dah sampai tu.” Terus saja Naila bangun. Sebenarnya dia memang tidak mahu berurusan dengan Mikael. Lain jadinya nanti. Mikael itu mana boleh dilayan lebih-lebih. Bak kata Mia, bercakap saja boleh buat perempuan mengandung.
            “Eh, you tak boleh uruskan ke?” Membuak rasa kecewa Mikael bila Naila sudah sedia untuk tinggalkan bilik Nazim.  
            “I pekerja biasa aje. Lebih baik you berurusan dengan Encik Nazim sendiri.” Tak senang nak layan lebih-lebih. Terus saja Naila tinggalkan Mikael.
            Boleh angin satu badan ni. Jual mahal sungguh. Ingatkan perempuan semua sama. Asal ada lelaki kocek kencang habis dilayan, tapi perempuan seorang ini memang lain.
            “Ya Mikael, apa hal? Tiba-tiba saja datang ofis aku?” soal Nazim sebaik sahaja mengambil alih tempat Naila. Memang rasa pelik juga melihat Mikael. Serupa tak ada kerja. Sedangkan dia itu antara orang kuat Kristal Holding.
            “Apsal perempuan tu sombong sangat?” marah Mikael. Matanya masih mengekori Naila hingga Naila ke tempat duduknya.
            “Dia ada cakap yang kurang menyenangkan ke?” soal Nazim. Tahu akan perangai Naila. Mana boleh silap sikit. Habis disemburnya. Bukan dia kira.
            “Tak adalah, sombong semacam. Sakit pulak hati aku.”
            “Dia memang macam tu. Tegas sikit orangnya. Aku pun takut dengan dia. Jadi, apa tujuan kau datang sini?” Nazim bertanya lagi. Kalau boleh tidak mahu berbual tentang Naila.
            “Eh, dia tu dah ada teman lelaki?” Mikael masih belum sudah. Hatinya masih belum puas untuk berbicara tentang Naila. Soalan Nazim juga tidak diendahkan.
            “Yup, kerja pelantar minyak.” Bohong Nazim. Atas permintaan Naila sendiri kalau ada client yang bertanyakan status diri Naila. Maklum, berdahi licin siapa yang tidak berkenan. Ada saja client Nazim yang bertanyakan status Naila.
            “Serius?” soal Mikael. Macam jantungnya sudah terhempas saja. Hampa dan kecewa. Gadis yang dintai rupanya sudah berpunya.
            “Yup, kadang kalau kekasihnya cuti mereka habiskan masa bersama. Dan aku dapat tahu mereka tinggal serumah.” Bohong Nazim lagi. Juga atas permintaan Naila. Kadang-kadang Nazim sendiri pelik kenapa sampai begitu sekali Naila sanggup berbohong. Seolah menjatuhkan maruah sendiri saja.
            Terpempan Mikael sekejap. Terus matanya melihat Naila yang sedang bergurau senda dengan rakan sekerja. Padanlah tak pandang lelaki lain. Sudah ada teman istimewa rupanya. Siapalah lelaki yang bertuah itu.
            “Macam mana? Masih berminat walaupun nanti bekas orang?” Sinis saja soalan Nazim. Faham citarasa anak orang kaya seorang ini. Bukan dia tidak kenal. Kawan baik yang dia kenal sejak lama dulu. Ayah mereka kenalan rapat. Tidak hairanlah Nazim kenal luar dan dalam Mikael.
            Mikael diam. Macam mana dia hendak bekas orang kalau dia sendiri juga belum pernah menjadi bekas sesiapa. Betul dia ramai kenalan wanita, tetapi setakat untuk bergembira saja. Bawa balik ke rumah belum pernah. Mahu kena bunuh dengan umi.
            “Aku macam tak percaya saja dia perempuan macam tu.”
            “Ya? Kenapa kau fikir macam tu?”
            “Tak tahu nak jelaskan macam mana. Naluri aku kuat cakap, dia tu perempuan baik-baik.” Mikael urut dada. Dia nampak dengan jelas aura baik-baik pada wajah Naila. Mustahil boleh lakukan perkara begitu.
            “Sebab?” Nazim mahu tahu juga kenapa Naila itu begitu istimewa di mata Mikael sehingga berusaha bersungguh untuk mendapatkannya. Sedangkan sudah ramai gadis-gadis jelita sedang menunggu dirinya.
            “Dia tak layan aku langsung.”
            “Sebab tu saja? Sebab dia tak layan kau?” Nazim tergeleng.
            “Yup!”
            “Kau ingat semua perempuan mata duitan? Lagipun dia tu jenis setia pada yang satu. Aku rasa tak payahlah kacau orang punya. Berlambak lagi perempuan lain yang boleh kau pilih kalau kemaruk sangat dengan perempuan.” Tak faham Nazim. Punyalah ramai anak dara, yang itu juga Mikael terpikat.
            “Tapi aku berkenan yang tu.” Mata Mikael masih melihat Naila.
            Nazim geleng lagi.
“Duit banyak, rupa ada, tak ada masalah pun nak pikat artis ke, model ke, yang berkenan dekat perempuan yang ada kekasih kenapa?” Nazim senyum sinis. Entah apa kelebihan Naila itu, Nazim juga tidak tahu. Kalau Nazim sendiri, fikir sepuluh kali nak pikat Naila. Tak sanggup dia beristerikan perempuan segarang Naila. Sudahlah tidak romantis langsung. Serupa tiada perasaan saja.
            “Kalau hati sudah berkenan, tak boleh nak kata apa…”
            “Suka hatilah. Err, apa hal kau datang ofis aku ni. Serupa tak ada kerja saja…” Nazim kembali bertanyakan soalan yang sama.
            “Aku bosan.”
            “Bosan tapi datang ofis aku? Aku rasa kau salah tempat ni…”
            “Kau rasa macam mana nak pikat Naila?”
            Tahulah Nazim. Itu tujuan sebenar Mikael datang ke pejabatnya. Mahu mengintai si mawar berduri itu rupanya.
            “Tu kerja susah sikit sebab dia ni lain. Kalau kau bagi bunga, aku berani jamin mesti dia paksa kau makan bunga tu balik. Jadi, aku nasihatkan baik jangan cari penyakit.” Itu sahaja yang Nazim boleh bantu.
            “Macam kau tak kenal aku siapa. Kalau aku nak, pernah orang lain tolak?”Angkuh sahaja Mikael berkata.
            “Kalau orang lain mungkin aku percaya. Tapi bukan Naila.”
            “Kau tengoklah nanti…” Mikael masih pandang Naila. Tak kisahlah bekas orang pun. Janji dia boleh dapatkan Naila.
           
“KERAP pulak dia datang.” Mia pandang bilik Nazim yang dindingnya diperbuat dari kaca sepenuhnya. Di dalam bilik itu, Mikael dan Nazim masih rancak berbincang.
            “Ada urusan peribadi. Kata nak beli rumah.” Naila jawab nak tak nak. Memang langsung tidak berminat kalau urusan yang melibatkan lelaki bernama Mikael itu. Entahlah, rasa macam meluat saja.
            “Pergh, orang kaya. Beli rumah serupa beli baju saja. Tak salah aku dia baru saja beli sebuah banglo. Kau tahu berapa harganya?” Ada Nazim beritahu Mia, Nazim baru saja selesai uruskan jual beli rumah untuk Mikael.
            “Berapa?” Nina rakan sepejabat mereka bertanya.
            “Tiga juta, enam ratus ribu, lapan ratus. Sikit lagi nak dekat empat juta.”
            “Tak hairan pun. Baru ni kan ada client beli ruman tujuh juta.” Naila menyampuk.  Tak hairan dia setakat tiga juta. Kalau tiga puluh juta pun dia tak akan terkejut. Bukan rumah Naila pun. Orang punya duit, lantaklah nak beli berapa juta sekalipun.
            “Kita ni nak beli rumah flat kos rendah pun, belum tentu lepas.” Mia mengeluh.
            “Senang saja kau nak tinggal dalam rumah berharga juta-juta ni. Kau mengorat saja lelaki yang ada dalam bilik Encik Nazim tu.” Naila beri cadangan.
            “Eh, kalau dia nak, memang aku menyerah diri. Masalahnya dia tak akan pandang perempuan macam kita ni. Kenalah sedar diri sama.” Mia menjawab.
            “Huh, kalau aku memang tak ingin pun lelaki macam tu. Tak ada ciri-ciri jadi imam langsung.” Naila mencebik.
            “Wei, cik kak. Kau tahu tak, pasangan kita adalah cermin kita. Kalau kita sendiri tak memiliki ciri-ciri seorang makmum yang baik, jangan harap kita akan dapat suami taraf imam. Kau kena sedar tu. Itu pesan nenek aku. Jadi, jangan haraplah kita akan dapat lelaki yang baik-baik sebab perangai kita pun tak baik.”
            Terpempan Naila seketika. Kata-kata Mia makan dalam. Betul, dia berhajatkan lelaki yang baik-baik untuk menjadi suaminya sedangkan dia sendiri juga bukan dari kalangan yang baik. Aurat juga dia tidak pernah jaga. Solat? Entah berapa lama dia tidak solat.
            “Memang tidak adillah untuk lelaki yang baik memiliki perempuan macam kita.” Mia menokok.
            “Yup, aku setuju. Kalau kau berangan nak memiliki suami ala-ala imam muda, kau kena cermin sama diri kau, Naila. Berhenti pakai baju seksi-seksi.” Nina turut memberi pendapat.
            Terdiam terus Naila. Rupanya dia meminta sesuatu yang sangat mustahil. Tapi tak salah bukan kalau dia meminta yang baik-baik. Tak salah kalau dia mimpikan untuk mendampingi seorang lelaki yang boleh mengajak dia ke jalan yang benar.
            Ketiga mereka terdiam bila melihat Nazim dan Mikael bergerak tinggalkan bilik Nazim. Kalut masing-masing buat kerja.
            “Naila, ikut saya.” Nazim berdiri di hadapan meja Naila. Sementara Mikael berdiri disebelahnya.
            “Saya sedang berurusan dengan jual beli sebuah rumah. Temu janji pukul dua nanti. Kedua-dua pihak sudah setuju nak tanda tangan dokumen hari ni. Encik ajak Mia. Dia kosong hari ni.” Naila pandang Mia yang sedang buat muka.
            “Encik, saya pun ada hal.” Cepat Mia menyampuk.
            “Okeylah kalau masing-masing dah ada kerja.” Nazim bergerak tinggalkan meja Naila. Naila yang masih tunduk langsung tak pandang wajah keduanya.
            Nazim dan Mikael berlalu pergi. Ketika itu Mikael benar-benar tidak puas hati dengan Nazim. Langsung tidak tahu bertegas dengan pekerja sendiri.
            “Kau tak boleh berkeras sikit ke? Kau boleh paksa Naila ikut kau bukan?” marah Mikael. Kalau dia jadi Nazim, memang Naila tu sudah lama dipecatnya.
            “Mereka dah beritahu ada kerja. Takkan aku nak kacau. Mereka pun kerja untuk aku, jadi aku kena faham,” balas Nazim. Makin dia tidak senang dengan perangai Mikael. Terlalu mendesak.
            “Kau ketua. Kau patut beri arahan. Bukan pekerja kau yang bagi arahan,” marah Mikael. Bukan main dia berangan dapat keluar bersama Naila, sudahnya langsung tidak kesampaian gara-gara sikap Nazim yang tidak tegas langsung.
            Nazim sendiri sebenarnya malas hendak bertekak dengan Mikael. Lelaki seorang ini mana pernah mahu mengalah. Dia saja yang betul walau terang-terang dia salah. Sudahnya, Nazim buat bodoh saja.



2 comments:

nurizzwo said...

Tengkiu k.sarah..lepas sket rindu hehe��

Unknown said...

Permulaan mikael nk pikat naila