Sunday, December 1, 2013

KEKASIH UNTUK DIA BAB 8

PAGI itu masa aku sampai, semua rakan sekerja sudah ada. Yang tidak kelihatan hanya Hilda sahaja. Malas nak tanya apa-apa. Sakit hati pasal semalam masih terasa. Mudahnya seseorang itu menghukum hanya melihat luaran saja. Tapi nak diapakan lagi kalau itu sudah sifat semula jadi manusia.
            “Hilda cuti ke hari ni?” soal Encik Suffian di tempat duduknya.
            “Hmm, ada hal katanya,” jawab Kak Ha. Bagus, aman dunia. Tengok muka Hilda pun aku rasa semak. Manjang cari salah aku. Manjang aku tak betul.
            “Boleh akak tahu, bos bawa Azian ke mana semalam?” soal Kak Ha.
            “Saya tolong bos pasal projek Bukit Cendana,” jawabku tenang. Jawapan yang Encik Hazrul sudah sediakan untuk aku kalau ada yang bertanya kenapa kami selalu kelihatan bersama.
            “Oh, setahu akak projek Bukit Cendana tu memang tidak diluluskan tapi kenapa…” soalan Kak Ha mati di situ saja. Dia pandang aku. Pandangan penuh tanda tanya.
            “Kak Ha, projek Bukit Cendana tu sebenarnya projek personal bos. Dia teruskan jugak projek tu walau tidak diluluskan. Setahu saya bos keluarkan modal sendiri,” jelas Encik Hambali.
            “Masalah sekarang ni, kenapa bos nak sangat projek tu? Cuma pasal tanah untuk penternakan lembu sajakan?” soal Kak Ha lagi.
            Dalam hal ini, aku tidak tahu apa-apa sebenarnya. Jadi aku hanya dengarkan saja perbualan mereka.
            “Rasanya bos ada projek dia sendiri,” jawab Encik Hambali dan Kak Ha angguk.
            “Maknanya dia mahu Azian ikut dialah?” Kak Huda pula bertanya.
            “Mungkin sebab dia baru dan dia tak tahu apa-apa. Kalau terjadi sesuatu hal yang tidak diingini, mungkin syarikat boleh tendang dia sebab dia masih peringkat percubaan. Kalau nak tendang kita, kena bayar pampasan,” beritahu Encik Suffian.
            Tersirap juga darah mendengar perbualan mereka. Maknanya Encik Hazrul mahu jadikan aku sebagai kambing hitam? Padanlah dia baik semacam. Rupanya di dalam dunia ini tak ada makna baik tanpa sebarang sebab. Ada agenda tertentu rupanya.
            “Azian jangan bimbang, mungkin bos nak minta tolong saja. Tak ada apa-apalah…” Kak Ha seperti mahu menyedapkan hatiku. Kak Ha fikir mungkin aku berdiam diri kerana takut. Serius, memang aku takut.
            “Kalau fikir logik pun, bos tak kan bertindak sendirian. Bos pun akan fikir kepentingan dia sama. Nasiblah dia tak pilih saya…” Encik Suffian menambah lagi rasa takutku. Apalah nasib aku ini. Malang selalu. 
            Suasana diam semula bila nampak Encik Hazrul muncul. Dari jauh lagi nampak wajahnya cukup ceria. Tidak seperti semalam. Perasaanku tambah tidak sedap. Waktu dia lalu di hadapanku, dia senyum dan kenyit mata kanan.
            “Tolong buat air untuk saya,” katanya dan atur langkah terus ke biliknya. Tiba-tiba saja aku jadi seram sejuk. Mula teringat semua kebaikkan Encik Hazrul. Padanlah dia belanja aku makan di restoren mahal. Carikan aku buah janggus, dan ajak aku keluar waktu kerja. Memang dia mahu jadikan aku mangsa. Sampainya hati Encik Hazrul. Memang semua lelaki jahat.
            “Azian, cepat buat air untuk bos. Karang mengamuk pulak. Tengok tadi macam angin dia okey saja,” arah Kak Huda.
            Cepat aku bangun dan menuju pantri. Lepas buat air aku bawa muk ke dalam bilik Encik Hazrul. Dia ekori aku dengan pandangan mata yang agak berbeza dari aku masuk tadi. Memang takut bila dia pandang begitu.
            “Air encik…” kataku perlahan.
            “Kenapa pucat aje ni?” soalnya.
            Aku geleng. Takut nak cakap.
            “Mesti ada yang tidak kena. Awak nak saya paksa awak berterus terang atau awak nak cerita sendiri apa masalah awak?”
            “Saya tak ada masalah,” jawabku sedikit terketar. Waktu ini perkataan penjara sedang mengambil alih di ruang kotak ingatanku. Bagaimana agaknya keadaan di dalam penjara.
            “Azian Yuhanis, selama saya kenal awak, awak tak pernah tunjuk muka macam ni. Saya tahu awak sedang takut.”
            “Tak, saya tak takut apa-apa.”
            “Awak duduk sekarang,” arah Encik Hazrul. Tanpa berlengah aku duduk.
            “Cerita kepada saya, apa yang tak kena hari ni? Semalam sudah setuju ikut saya lari. Hari ni tak jadi pulak?” Encik Hazrul gelak perlahan.
            Serius, aku tak ingat langsung pasal nak lari tu. Dalam kepala aku sekarang ini hanya fikir yang bukan-bukan sahaja.
            “Azian, kenapa ni?” soal  Encik Hazrul lagi.
            Aku tidak boleh beritahu Encik Hazrul tentang perbualan rakan-rakanku tadi. Itu maknanya aku tidak amanah dan aku seperti mementingkan diri sendiri. Kalau benar Encik Hazrul mahu mempergunakan aku, seharusnya aku selesaikan masalah ini tanpa melibatkan rakan sekerja yang lain.
            Aku geleng.
            “Jangan nak belajar jadi penipu. Saya tak suka orang yang bakal saya bawa lari bersama menipu saya.”
            Orang yang bakal dia bawa lari bersama menipu dia? Bermakna memang betullah Encik Hazrul sudah melibatkan aku dalam hal ini.
            “Encik boleh beritahu saya pasal Bukit Cendana?”
            “Oh, awak risaukan pasal Bukit Cendana rupanya. Ada yang tidak kena ke dengan Bukit Cendana?”
            “Saja nak tahu…”
            Encik Hazrul bangun dan dia berdiri di hadapan cermin. Pandangan dilemparkan bersama satu keluhan. “Bukit Cendana tu adalah impian saya. Impian yang tak siapa pun akan faham. Tapi saya tak minta pun orang lain akan faham cukup kalau hanya seorang saja yang faham.” Encik Hazrul pandang aku. Bermakna dia minta untuk aku faham tentang impian dia dengan mengorbankan aku?
            “Encik…” Mata kami saling bertentangan.
            “Ya…”
            “Projek Bukit Cendana tu projek haram ke?”
            Encik Hazrul senyum nipis. “Ini sah awak ada dengar sesuatu dari pekerja lain. Betul tak?”
            Aku tak angguk. Kalau aku angguk aku mengesahkan kebenaran.
            “Tak apalah, awak tak perlu risau. Walau apapun yang berlaku kelak, saya akan berusaha untuk memenuhi satu-satunya impian saya tu. Selama ini saya hanya ikut cakap orang. Kali ni saya mahu ikut apa kata hati saya. Sejak saya kenal seseorang, barulah saya tahu, apapun tak mustahil dalam dunia ni.”
            “Jadinya saya tak perlu bimbang apa-apa?”
            “Tak perlu…”
            Baru rasa lega sedikit. Mungkin perkara inilah yang membuatkan air mata Encik Hazrul tumpah semalam. Mungkin dia sudah bergaduh dengan seseorang. Bila melibatkan soal impian, aku tahu perkara itu sangat bermakna buat Encik Hazrul. Jadinya, aku rasa rakan sekerja lain sekadar membuat spekulasi tidak berasas.
            Aku bangun. “Saya sambung buat kerja,” ujarku perlahan.  
            “Tengah hari nanti kita makan bersama. Kita gunakan projek Bukit Cendana sebagai alasan untuk awak ikut saya,” kata Encik Hazrul selepas aku melangkah beberapa tapak.
            “Hmm.” Aku angguk. Tiada pilihan sebenarnya. Seperti sudah terikat. Ya, aku mudah kasihan dengan orang. Mudah benar bersimpati. Mungkin itulah kebaikkan diriku namun dalam masa yang sama juga keburukkan.
            “Azian…” panggil Encik Hazrul lagi.
            Aku pusing dan pandang muka Encik Hazrul. “Terima kasih…” katanya.
            “Terima kasih? Untuk apa?”
            “Kerana hadir dalam hidup saya…”

            “Saya akan tolong encik selagi boleh.” Aku senyum. Mahu melegakan perasaan Encik Hazrul. Juga mahu melegakan hatiku sendiri. Jangan fikir apa-apa Azian. Fikir yang baik-baik sahaja. Kalau fikir yang baik, tentu jadinya juga akan baik nanti. Insya Allah. 

19 comments:

hajar said...

As salam... kak saya bengang lak dgn si suffian tu... nape ler dia nk takut2kan azian... geram la...

mengarutnyablogini said...

opis mate azian ni semua menyakitkan hati kan..malang betul si azian..
ish...bengkak jer hati ni. nasibla encik hazrul aka nicholas saputra ada. :P (sori terlebih emo)

Anonymous said...

betul azian kena bersangka baik...saja je sufian tu nak menakutkan. en hazrul lagi tau apa yang terbaik sebab itu impiannya. takkan dia nak musnahkan impian bersama orang yang dia nak bawa lari...heheheh

camelia said...

Terima kasih hadir dalam hidup saya...cewahhh...lentok abis

eija said...

apa lah rakan keje azian nie.. suka sgt wat spekulasi yg bkn2.. cian kt azian dh lah bendul..

Subashini VJ said...

Best2! :)

almuzni said...

azian jgn dok dgr kata org tnya terus kat hazrul tu....

Unknown said...

Nk lg .. Xpuas bca .. Hehehehe ..

aisyah said...

X faham hint lg azian ni..

rose said...

apelah azian ne blur sgt ialah si azian ne baru lg dlm kerja yg d ceburi ape pun cerita seterusnya lbh memihak pd mereka berdua

Unknown said...

hehe..takut ya Azian jd kambing hitam..jangan risau Sbb En Hazrul kan sayang awak. Ada la tu dia ajak p Bukit Cendana..pasti impian dia besar tu

Siti Soleha Yahaya said...

Kena gertak sikit ja terus Azian dah kelam-kabut...hehe

kak na said...

terima kasih sara....next n3 pls

Unknown said...

Azian...azian

Lady Libra said...

Adoii la.. nsb baik azian x trs buruk sgka.. :)) nk lg kak.. :))

Nana Mohd Yasin said...

ada sedeh sikit lak bab ni
mcm sayu plak
tp best

Unknown said...

Tak puas.. Nk scene en hazrul marah2 syg kat aziyan hehe. Tapi tang bawak lari tu buat kite senyum sama gak ;)

Azita Zain said...

Tak sabar tunggu episod seterusnya. Cepat la dibukukan!

zaitul akma dolla said...

Aduyai azian