Wednesday, November 27, 2013

KEKASIH UNTUK DIA BAB 7

PELIK. Tak nampak pulak dia hari ni. Ingatkan dia masuk kerja pukul 11.00 tapi sehingga waktu rehat dia masih tidak muncul-muncul. Memanglah ada rasa bebas tapi rasa macam terkurang saja. Rasa macam tak lengkap saja hari ni. Aduhai perasaan, kenapa lain aje ni? Sebelum-sebelum ini tak pula rasa apa-apa. Selalunya memang harap tak nampak muka dia, tapi bila betul-betul tak nampak, lain pulak jadinya.
            Rindu dia ke? Ah! Gila kalau rindu dia.
            Aku bawa bekas makanan ke pantri. Pagi tadi sempat masa nasi dan sambal tumis ikan bilis. Bolehlah untuk kenyangkan perut.  
            Isi air masak dalam muk yang Encik Hazrul beri dan bawa ke meja. Lepas baca doa makan, aku jamah nasi. Ya, kalau susah buat cara susah. Apa-apa pun, hidup perlu diteruskan. Jangan ada rungutan, kalau aku rasa aku susah, ada yang lebih susah dari aku. Pasrah.
            Tiba-tiba aku tersedak. Siapa pulak yang mengutuk aku ni. Cepat aku minum air dan selepas itu aku terbatuk menahan perit kerongkong. Terasa seperti ada orang tepuk belakang. Cepat aku toleh.
            “Encik...?” soalku. Terkejut juga melihat dia. Tiba-tiba saja muncul sedangkan sudah separuh hari orang menunggu dia. Dan aku terpandang mata dia seperti merah sahaja. Dia menangis ke? Kalau betul dia menangis, apa sebabnya? Ah! Banyak tanya pulak.
            “Hmm, makan tak toleh kiri kanan,” katanya lalu duduk di hadapanku. Sebuah plastik warna hitam dia letak atas meja.
            “Encik dah makan ke?” soalku. Sekilas pandang dia lagi. Memang mata dia merah.
            “Sudah. Saya jumpa kawan tadi. Terus makan tengah hari.”
            Aku angguk dan sambung makan tanpa pedulikan dia. Dia juga diam. Walau aku perasan dia tidak perhatikan aku, tetapi rasanya sesekali perhatiannya tercuri ke arahku. Aku angkat muka dan pandang dia.
            Yalah, dia menangis sebenarnya. “Encik okey?” soalku. Mana tahu ada masalah kerja atau dia kena marah sebab itu merajuk tak nak masuk kerja. Anak orang kaya memang begitu selalunya.
            “Masalah kerja saja…” jawabnya perlahan dan suaranya seakan tersekat.
            “Biasalah encik. Mana ada kerja senang…” Cuba pujuk dia, walau aku bukanlah berbakat dalam bab pujuk orang. Aku nampak air matanya bergenang dan rasanya dia memang teruk kena marah.
            Dia tak jawab. Mungkin sedang pujuk perasaan sendiri. Sehingga aku selesai makan, dia masih begitu. Tak banyak songeh pulak dia hari ni.
            “Oh, ya. Ini untuk awak.” Dia tolak plastik hitam depanku waktu aku minum air. Cepat aku letak semula muk atas meja. Cuba lihat apa yang ada di dalam beg plastik tersebut.
            “Buah janggus?” Terjerit aku jadinya. “Mana encik dapat buah ni?” soalku. Memang terkejut bila nampak buah janggus di dalam plastik tersebut. Yang aku idamkan tiba-tiba ada di hadapan mata.
            “Hmm, bos awak yang tercabut skru tu suruh orang carikan buah ni.”
            Aku gelak. Oh, rupanya memang dia dengarlah aku kutuk dia hari tu. Kalau tidak tak kan dia suruh orang carikan buah janggus ni. “Encik la, suka sangat dera saya. Suka sangat marah saya. Kalau tak suka saya, tak apalah. Tapi janganlah buat saya macam tu. Saya ni anak yatim piatu. Berdosa besar kalau encik dera anak yatim piatu.”
            “Siapa kata saya tak suka awak?” Nampak dia lap sisa-sisa air mata.
            “Yalah…suka sangat marah saya.”
            “Kalau saya tak tinggikan suara, awak tak bergerak. Buat bodoh awak aje…” Dia bangun selepas itu dan bergerak perlahan.
            “Encik…” Aku panggil masa Encik Hazrul sampai pintu pantri. Dia pusing badan dan mata kami bertemu. “Terima kasih…” Aku angkat plastik dan tunjuk kepada dia.
            “Jangan setakat benda tu, hati gajah pun saya sanggup suruh orang lapah…”
            “Apa encik, macam perli aje.”
            “Saya sayang awak dengan sepenuh hati saya…” katanya dengan wajah serius.
            “Oh ya? Takutnya…” Aku gelak. Pandailah dia buat lawak. Kemudian aku lihat Encik Hazrul terus melangkah. Nampak langkahnya lemah dan kosong. Kesiannya dia. Mesti dia ada masalah besar yang susah untuk diselesaikan.
            Aku basuh bekas makanan dan letak atas rak. Balik karang aku boleh ambik. Tapi beg plastik berisi buah janggus tak boleh tinggal kat situ. Nanti ada yang mintak. Bukan senang nak dapat buah janggus. Jadi aku bawa beg plastik ke tempatku dan simpan dalam laci.
            Encik Hazrul keluar dari biliknya masa aku nak letak kepala atas meja. Ingat nak rehat sekejap sementara menantikan waktu kerja bermula. “Encik nak air?” soalku.
            Dia geleng. “Awak rehat ajelah…” katanya dengan suara yang agak perlahan. Kemudian dia ke pantri. Aku sambung letak kepala atas meja. Entah apalah yang dia buat kat pantri tu. Biar dialah.
            Suasana kembali senyap dan Encik Hazrul masih tidak muncul-muncul lagi. Tidak berapa lama selepas itu suara riuh rendah dari tiga serangkai itu bergema. Mesti ada yang menjadi bahan ketawa mereka.
            Aku angkat kepala dan pandang mereka sambil kemas rambut.
            “Yan tak makan?” soal Kak Ha sebaik duduk.
            “Dia mana ada duit kak. Sengkek macam dia ni mana mampu makan kat D’ Selera.” Hilda ketawa. Ketawanya tentu saja bernada sinis. Sabar Azian. Jangan terasa kerana kata-kata orang.
            “Saya dah makan kak, saya bawa bekal aje,” jawabku perlahan dan perhatikan Encik Hazrul yang bergerak keluar dari pantri.
            “Itulah, lain kali kalau tak mampu kerja di sini, kau janganlah kerja kat sini. Kau tahu tak, dengan status kau yang ala-ala orang susah ni dah menjatuhkan status pejabat pengurusan. Kau minta sajalah unit cleaner ke. Memalukan tau tak kalau orang lain tahu ada pekerja sengkek kerja kat bahagian pengurusan. Banyak-banyak bahagian, kenapalah HR hantar manusia macam kau ni kat sini,” kata Hilda lagi.
            “Apa awak cakap Hilda?” soal Encik Hazrul dengan tiba-tiba. Suaranya seperti orang marah saja.
            “Err…encik. Saya tak cakap apa-apa.” Aku nampak muka Hilda berubah pucat.
            “Saya dengar tadi awak cakap pekerja sengkek? Siapa pekerja sengkek tu?” soal Encik Hazrul lagi. Dia bercekak pinggang pula. Mata tajam pandang Hilda. Serius, aku takut melihat keadaan Encik Hazrul begitu. Sudahlah Encik Hazrul itu seperti ada masalah dalaman saja. Hilda pula menaikkan kemarahan dia. Jadi memang aku rasa Hilda bakal menjadi mangsa Encik Hazrul.
            Hilda nampak serba salah untuk jawab.
            “Apa masalah awak sebenarnya ni? Kalau saya sendiri tak cakap apa-apa pun tentang taraf pekerja bawahan saya, apa hak awak nak cakap pekerja saya macam tu? Awak ke pemilik Menara Holding ni?” Kali ini suara Encik Hazrul tambah keras.
            “Saya minta maaf encik,” kata Hilda.
            “Awak tak perlu minta maaf dari saya, orang yang awak kena minta maaf ialah Azian. Awak sudah menghina dia. Awak minta maaf  sekarang jugak!” pekik Encik Hazrul.
            “Encik, saya okey. Saya tak kisah.” Aku menyampuk.
            “Awak diam Azian. Perangai awak memang macam ni. Orang buat apa pun awak biarkan saja. Orang pijak-pijak pun awak masih diamkan. Hati saya yang sakit tau tak.” Encik Hazrul marah aku pula. Tak berani aku nak menjawab.
            “Awak minta maaf sekarang!” jerit Encik Hazrul.
            “Azian, saya minta maaf,” kata Hilda.
            “Ya, saya maafkan,” jawabku perlahan. Benar-benar tidak sangka begitu rupanya perangai Encik Hazrul.
            “Sekali lagi saya dengar awak cakap yang bukan-bukan, saya akan ambil tindakan tegas. Ini amaran pertama daripada saya.” Habis saja bercakap, Encik Hazrul terus atur langkah laju ke biliknya. Pintu dihempas sekuatnya selepas itu. Benar-benar buat aku terkejut.
            “Bila bos sampai?” soal Kak Ha.
            “Baru lagi,” jawabku.
            “Eh, kau ni bawak sial apa hah? Setiap kali aku kena marah, pasti pasal kau. Kau ni memang siallah!” marah Hilda.
            “Hilda, tak baik cakap macam tu…” kata Kak Ha.
            “Memang betul apa. Dah berapa kali saya kena marah disebabkan perempuan ni.” Hilda hentak kaki dan dia bawa diri ke pantri.
            “Yan jangan terasa ya. Dia memang perangai macam tu,” kata Kak Huda pula seperti hendak pujuk aku. Kemudian dia mengekori Hilda. Mungkin mahu pujuk Hilda.
            “Yan kena sabar. Memang tak semua orang akan suka kita dan kita pun kadang-kadang tak suka dengan orang. Jadi akak harap sangat Yan sabar. Jangan disebabkan perkara macam ni Yan nak berhenti kerja. Anggap sebagai dugaan saja.” Kak Ha juga bangun. Dia turut sama ke pantri.
            Tinggallah aku sendirian. Sebenarnya aku juga perlukan pujukan dari teman-teman. Aku juga mangsa dalam hal ni, tapi nampaknya Kak Ha dan Kak Huda lebih memberi perhatian terhadap Hilda. Tak apalah. Anggap saja aku orang asing. Tiba-tiba air mata menitik. Selalunya aku boleh tahan, tapi kali ni memang benar-benar terasa diri aku ini memang pembawa malang. Bukan mak ngah saja yang sebut sekarang Hilda pula.
            Encik Hazrul keluar dari biliknya. Cepat aku lap air mata. “Kenapa menangis ni?” soalnya.
            “Taklah, mata masuk habuk,” jawabku.
            “Habuk? Ingat saya ni bodoh sangat ke?” soalnya dengan nada sedikit keras. Marah lagi rupanya.
            “Ya habuk.” Aku cuba senyum.
            “Jangan senyum kalau tak nak senyum.” Marahnya lagi. Masa itulah aku nampak Kak Ha dan Kak Huda berlari anak dari pantri.
            “Ikut saya sekarang,” arahnya.
            “Ke mana?” soalku.
            “Janganlah tanya!” pekiknya.
            Aku bangun. Akur dengan arahan. Nampak seperti Encik Hazrul tidak boleh mengawal perasaannya.
            “Bawa beg tangan awak dan barang yang saya beri kat awak tadi. Kita tak balik ofis hari ni,” kataya dengan tegas.
            Aku keluarkan beg tangan dan beg plastik. “Kejap nak ambil bekas makanan saya,” ujarku dan berlari anak ke pantri. Di pantri Hilda masih teresak.
            “Kau nak apa lagi hah, sial?” soal Hilda.
            Menyirap darah. “Beginikah cara seorang yang kononnya berpelajaran tinggi dan high class? Serupa macam tak pernah pergi sekolah saja…” Aku perli. Kemudian ambil bekas makanan.
            “Eh sial, apa kau cakap?”
            “Saya tanya, macam ini ke orang yang berpelajaran tinggi dan dari golongan bercitarasa tinggi bercakap?” Aku tanya lagi dan senyum sinis.
            Nampak kemarahan Hilda sudah ke tahap yang tidak boleh dikawal lagi. Tidak semena-mena dia tarik bajuku.
            “Apa kau cakap?’ soal Hilda kasar.
            “Apa lagi ni…” Encik Hazrul menjerit di muka pintu pantri. Cepat Hilda lepaskan bajuku.
            “Dia cari pasal dengan saya encik. Dia ugut saya tadi…” kata Hilda.
            Aku kerut dahi. Pandainya Hilda main drama.
            “Awak ikut saya sekarang!” Encik Hazrul menjerit lagi. Jadi aku ikut Encik Hazrul tanpa pedulikan Hilda lagi.

DI DALAM kereta Encik Hazrul membisu seribu bahasa. Sebenarnya aku sendiri takut melihat keadaan dia begitu. Memang tidak menyangka dia akan bertindak sedemikian rupa. Apa agaknya masalah dia yang sebenarnya.
            “Encik, kalau encik ada masalah, encik kongsikanlah dengan saya. Insya Allah, kalau tak mampu bantu encik mungkin saya akan menjadi pendengar yang setia. Saya sudi mendengar masalah encik.” Aku beranikan diri untuk bersuara. Tidak mahu terus-terusan dengan suasana senyap dan sunyi. Bosan dan menakutkan.
            “Saya sudah jatuh cinta sebenarnya…”
            “Oh…” Aku angguk. Masalah cinta rupanya. Ingatkan masalah kerja. Padanlah gilanya semacam. Orang kata kalau disebabkan cinta, memang begitulah keadaannya.
            “Habis tu? Keluarga encik menentang pilihan encik?” Disebabkan pengaruh sinetron, mudah saja aku membaca jalan cerita cinta Encik Hazrul.
            “Hmm…”
            “Kalau encik dah suka, bawak lari ajelah kekasih encik tu, habis cerita. Kata jatuh cinta, encik ingat senang ke nak jatuh cinta.”
            “Awak mengajar saya jadi jahat ke?”
            “Eh, kata tadi cinta. Sebab cinta orang akan buat apa saja. Encik lupa ke, cinta itu kan buta…” Melihatkan muram yang sudah mula susut di wajah Encik Hazrul, buat aku rasa selesa pula hendak bergurau dengan dia.
            “Memang pun saya sudah bersedia nak bawak dia lari. Masalahnya sekarang ni, nak ke dia lari dengan saya.”
            “Gila tak nak!” Aku pandang tepat wajah Encik Hazrul. “Kalaulah saya jadi gadis tu, kejap ini jugak saya lari dengan encik.” Tak, aku buat lawak saja. Nak sedapkan hati Encik Hazrul. Nak beri dia semangat larikan anak dara orang.
            “Ya…? Serius awak nak ikut kalau awak gadis yang saya cintai tu?”
            “Mestilah nak.”
            Aku nampak bibir Encik Hazrul mengukir senyuman. Nampak benar dia suka. Siapalah gadis yang hendak dia bawa lari itu. Betapa bertuahnya dia. Aku tahu sebenarnya Encik Hazrul ini luaran saja garang, tapi dalam  hati dia ada taman. Taman yang sangat luas. Kalau tidak masakan dia sanggup suruh orang carikan aku buah janggus.
            “Err, encik nak pergi mana ni?” soalku setelah agak jauh Encik Hazrul memandu.
            “Eh, tadi kata nak lari dengan saya. Boleh tanya pulak.”
            “Pandainya encik buat lawak.”
            “Buat lawak apa pulak, saya serius ni.”
            “Dahlah encik. Encik nak ke mana sebenarnya ni?”
            Encik Hazrul mengeluh. “Hari ni saya nak relak. Saya tak nak kerja dan saya mahu merancang masa depan saya. Jadi tolong teman saya.”
            “Habis tu kita nak ke mana?”
            “Perpustakaan.”
            “Perpustakaan? Perpustakan kan tempat orang baca buku.”
            “Sayang, perpustakaan memang tempat orang baca buku. Yang beli ikan tu namanya pasar.”
            Adoi, terkena lagi. “Okeylah. Tak kisah nak pergi mana, tapi lepas tu encik hantar saya ke perhentian bas.”
“Nanti saya hantar awak pulang.”
“Untuk mengelakkan fitnah, saya rasa baiklah encik jangan hantar saya. Itupun kalau encik masih lagi fikirkan tentang maruah saya.”
Tiada jawapan daripada Encik Hazrul dan aku rasa dia faham. Dia terus memandu dan nampak lebih tenang.
“Err, pasal rancangan nak lari dengan saya tu macam mana?” soalnya tiba-tiba.
Aku tampar bahu dia sekali. “Encik boleh tak jangan merepek. Meraung karang kekasih encik.”
Encik Hazrul gelak perlahan. “Tengok gaya macam tak meraung pun…”

Malas aku nak layan. Entah apa-apa dia ni. 

23 comments:

NOR ISNAINI said...

alahai sweetnya mereka berdua nie...

Subashini VJ said...

Heheehe ka sarah bukan je Azian ... saya pun sanggup lari dgn orang macam Hazrul ni ! hehe :)
Act Hazrul kena paksa kahwin dgn Puteri tu ke?

Unknown said...

Yannnnnn!!!! Apa kome ni blur sgt la.. Haha bawak lari je yan ni encik hazrul biar kasi sedar sikit hihi

Unknown said...

Alahai..sweetnya hazrul...hazrul yg protective...padan muka hilda kena sembur...azian..azian...hint dah bagi byk kali pun x paham paham..blurrr sungguh...hihihih

mengarutnyablogini said...

Sedihla kak sarah bab ni..nak nangis boleh tak..siannye azian..makan ngan sambal jer ke...cepat2 novel keluar..x saabar nak beli..encik hazrul ♡ u..hihihi

Unknown said...

Terbaik!!!♥♥♥♥ nk lgi please...

rose said...

em... kesian dgn azian di hina oleh rakan sekerja camtulah adat dunia yg cantik kaya d muliakan yg miskin dan cacat di keji n dikutuk mujur ade hazrul kerna dpt membela pekerja seperti azian agaknya ade x lg bos seperti hazrul yg prihatin terhadap pekerjanya....

rose said...

nape ya hazrul menangis agaknya dia sedih pasal azian or hasrat hati yg tependam d larang keluarga.....cuba2lah kira renung2kan....

Nisa_Kasyah!!!! said...

awatlh hang ni blurr semedang jer yan... en.hazrul dh bg bnyk hint tu... tp geram betul dkt hilda... mulut mmg jht giler.. sabar ye yan... sy suka cerita ni best... tahniah n terima kasih kak sarah...

Unknown said...

best...

fezmia said...

suka...kesian azian. sempoi je diaorg.

-sj- said...

Tak blh nak kata apa dah....sound directpun blh blur lg....

tie tinie said...

bengong punya HIlda.. haishhh.. geram betul aku...
azian.. sila ikut en.Han lari..
"Bawa daku pergi... lari lebih jauh.. dari realiti"...

~Cik MI~ said...

Alalalalalala.... Mula2 baca kelat aje perasaan. Lps tu rasa sweet aje... Hehehehehe

Lady Libra said...

Alaaaaaahaaaiiiii.... sweetnye lahhhh....

Unknown said...

Tak sabar nk tgu versi cetak....

Unknown said...

hailah azian...kene jer ngan en hazrul..En. Hazrul suka ek main-mainkan azian...sweeeet jer..:)

aisyah said...

Hilda ni mmg dengki btul

Siti Soleha Yahaya said...

Ado laaa....Azian...Azian

Siti Soleha Yahaya said...

Ado laaa....Azian...Azian

Nana Mohd Yasin said...

sweet

ainahmad said...

So Sweet...

Unknown said...

Sweet giler😍