Tuesday, November 12, 2013

KEKASIH UNTUK DIA BAB 3

HARI ketiga. Sampai ofis dalam pukul 8.00 macam tu lebih kurang sedang waktu ofis beroperasi mula 9.30 pagi. Tak apa awal. Boleh juga sambung tidur. Banyak masa lagi untuk aku bersenang senang sebelum memulakan kerja.  
Aku letak kepala atas meja. Fikir juga, apa pula yang bakal berlaku hari ini. Masih adakah babak tenung-tenung seperti semalam? Kalau ada, kenapa pula? Kenapa ajak aku main tenung-tenung sedangkan Hilda rasanya lebih sesuai.
Ah! Lantaklah. Malas nak fikir.
Aku cuba pejam mata. Kalau dapat tidur memang best. Ada sejam lebih. Memang nikmat betul. Tersedar semula bila aku tercium bau yang sangat segar dan harum. Suasana ofis yang dingin, buat aku seram sejuk. Masa tinggal di asrama dulu, sering kali juga kawan-kawan bercerita tentang keujudan hantu-hantu yang menunggu bangunan tinggi.
Ada hantukah di pejabat pengurusan ini? Tak berani mahu buka mata kerana haruman itu terasa semakin hampir. Perlahan aku buka mata. Seperti ternampak bayangan putih di hadapan mata.
“Makkkk…” Sekuatnya aku menjerit. “Encik ni terperanjatkan saya saja,” marahku. Pagi-pagi buat jantung aku serupa nak luruh. Tercegat macam tu depan meja, mana tak terkejut.
Wajah Encik Hazrul nampak serius. Tak senyum dan tak beriak langsung. Dia ni memang manusia yang tidak dibekalkan dengan perasaan ke? Berdarah dingin agaknya. Boleh lagi buat selamba.
Tiba-tiba Encik Hazrul letak sekuntum bunga raya berwarna putih atas meja. Seingat aku ada banyak pokok bunga raya di tanam di sekitar kawasan syarikat. Sempat lagi tu petik.
“Untuk saya?” soalku.
“Kalau untuk orang lain, saya tak letak atas meja awak,” jawab Encik Hazrul dan dia jalan terus.
“Buatkan saya air,” katanya sebelum masuk bilik. Huh! Sombongnya.
Nak tak nak, terpaksa bangun dan atur langkah ke pantri. Ambil muk dia. Lepas buat air aku atur langkah perlahan. Ketuk pintu bilik dan tunggu perkataan masuk.
“Masuk.” Dengar suara Encik Hazrul dari dalam.
Tolak pintu dan bergerak ke meja. “Air encik.” Aku cakap dan letak muk atas meja. Encik Hazrul pandang aku tepat dengan pandangan seperti selalu. Janganlah dia ungkit pasal semalam.
“Cepat betul awak lari semalam kan. Tahu-tahu hilang macam tu saja. Melilau saya cari. Kat perhentian bas pun tak ada. Kenapa takut sangat saya hantar? Seronok agaknya dapat bergesel-gesel dengan Bangla Myanmar bagai.”
Uiks, statement luar biasa ni. Nak aje aku balas balik. Karang panjang lebar pulak. Jadinya aku tutup mulut. Tak nak cakap apa-apa. Tapi kepala dah mula syak, sah lelaki ni ada sakit mental. Kalau tidak tak kan macam tu sekali. Mana ada bos lelaki nak hantar balik pekerja perempuan yang baru dua hari kerja macam tu saja, kalau skru kepala tak longgar.
“Pekak ke? Saya tanya ni…”
“Err, encik tanya apa?” soalku selamba.
“Awak suka ke bergesel dengan orang lelaki dalam bas?” soalnya. Nada menyindir yang benar-benar menyakitkan hati.
“Eh, gila tak suka…” jawabku dengan selamba juga. Lagi mahu tanya. Sengal punya soalan. Boleh lagi tanya aku suka ke tidak bergesel dengan orang lelaki. Aku ingat bos saja, kalau orang lain, memang lama kena.
Aku nampak wajah Encik Hazrul bertukar merah. Terkejut gamaknya dengan jawapan aku yang luar biasa tu. Jadi, jangan berani-berani tanya aku dengan soalan bodoh macam tu lagi kalau tidak mahu mendengar jawapan bodoh juga.
“Okey encik, saya keluar dulu…”
Tiada jawapan daripada Encik Hazrul, maknanya dia tak halang. Sempat juga jeling wajah dia yang masih merah. Serupa muka dia sudah kena salai saja. Peliknya aku rasa. Ini bukan lagi skru kepala longgar, boleh jadi skru tu dah tercicir di mana-mana sebab itulah perangai pun tak serupa orang.
Kesian, muda-muda dah gila!

MASA sudah berganjak pukul 10.00 pagi. Pejabat pengurusan masih seperti biasa. Keadaannya sama seperti pagi semalam. Masing-masing berbual sesama sendiri. Agaknya beginilah keadaannya setiap hari. Yalah, masing-masing sangka bos masuk pukul 11.00 pagi. Jadi semua pun buat ofis sendirilah. Tak tahu bos sudah sampai pukul 8.00 tadi.
            Lantak koranglah. Aku budak baru. Karang kalau aku cakap bos dah sampai, kata aku memandai pulak buat cerita. Tengok ajelah.
            Tiba-tiba saja pintu bilik Encik Hazrul terbuka dan dia pandang semua yang sedang berborak sakan. Masing-masing tunjuk muka pucat. Nampak terkejut.
            “Hmm…” kata Encik Hazrul sambil atur langkah ke mejaku. Pandang aku sekilas dan dia hentak muk atas mejaku sebelum masuk ke biliknya semula. Kelam kabut masing-masing. Aku rasa bukan Encik Hazrul marah mereka berborak, tapi marah aku sebab aku suka bergesel dengan orang lelaki dalam bas. Rasa nak gelak kuat-kuat pun ada.  
            “Bila bos sampai?” Kak Ha tanya. Macam takut pun ada.
            “Pukul lapan tadi,” jawabku.
            “Kenapa tak cakap?” Hilda seperti marah di tempat duduknya.
            “Tak ada yang tanya pun,” jawabku.
            “Habislah aku. Lapuran yang dia minta semalam pun aku tak siapkan lagi.” Hilda gelabah sendiri. Nampak benar dia takut.
            Wah, rasa nak tepuk tangan saja. Padan muka. Jahatnya aku.
            Masing-masing pandang pintu bilik Encik Hazrul selepas itu bila terdengar bunyi pintu ditarik. Encik Hazrul muncul lagi.
            “Saya nak lapuran yang saya minta semalam.” Dia ketuk sekali meja Hilda. “Saya datang nanti mesti lapuran tu ada atas meja saya.” Katanya lagi dan dia atur langkah melintasi mejaku. Sempat lagi dia jeling aku dan terus melangkah keluar.
            “Mati aku macam ni…” kata Hilda.
            Aku bangun. Mahu ke pantri untuk basuh muk Encik Hazrul. Sedang aku basuh muk, aku dengar suara Encik Hazrul menjerit kuat memarahi Hilda. Gila meroyan sungguhlah lelaki seorang ini. Entah kenapa hari ni tiba-tiba angin semacam.
            Malas nak keluar dulu, jadi aku tunggu sekejap di pantri. Biar Encik Hazrul selesaikan kemarahannya terhadap Hilda. Itu masalah mereka dan aku tidak mahu terlibat sama.
            Sebentar kemudian Hilda masuk pantri bersama linangan air mata dan dia menangis teresak selepas itu. Kak Ha juga muncul untuk memujuk. Jadinya aku sudah dipaksa untuk melihat adegan free drama hari ini.
            “Sabar Hilda, bukan kita tak tahu perangai Encik Hazrul. Lagipun dah tahu bukan lapuran tu penting, dia nak bawa ke meeting, kenapa tidak siapkan segera. Memang Hilda cari pasal dengan dialah.” Kak Ha tepuk-tepuk belakang Hilda.
            “Saya ingatkan dia datang lambat lagi. Selalu kalau tak tengah hari dia tak nampak batang hidung dia,” esak Hilda.
            Hmm, sendiri punya salah rupanya. Nasiblah.
            “Tak kisahlah dia masuk kerja pukul berapa, tapi kerja kita kena selesaikan cepat. Mana boleh tangguh-tangguh sebab kita pun tak dapat agak dia masuk kerja waktu bila. Tengok semalam dia masuk pukul berapa. Kalau tak ada benda penting, dia tak akan datang awal,” pujuk Kak Ha lagi.
            Aku putuskan untuk tinggalkan pantri. Sebenarnya aku memang tidak suka orang yang tidak mahu mengakui kesilapan sendiri, sebalik selalu menyalahkan orang. Dalam hal ini ternyata memang Hilda bersalah. Dia melengahkan kerja dengan alasan yang tidak wajar. Jadinya, tak perlulah aku bersimpati dengan Hilda.
            Terkejut bila sekembali dari pantri nampak Encik Hazrul bercekak pinggang di hadapan mejaku dengan wajah masam mengalahkan jeruk asam kelubi.
            “Apa hal lama sangat dalam pantri? Bergossip tentang saya?” herdiknya.
            “Eh, saya tak terlibat dalam ini cerita. Saya basuh muk encik saja,” balasku dengan jujur.
            “Ikut saya sekarang…” arahnya.
            “Ke mana?” soalku.
            “Ikut ajelah, jangan banyak tanya.” Dia tengking sekali.
            Ewah, mamat ni. Tanya pun angin. Melampau betul. Masa tu sempat lagi aku pandang Kak Huda. Kak Huda buat muka seperti cakap jangan melawan cakap bos. Aku angguk tanda faham tapi sebenarnya suka hati akulah aku nak melawan ke tidak.
            Aku mengekorinya. Tak sampai mana, dia pandang aku semula. “Lenggang kangkung aje? Buku nota tak bawak, pen tak bawak? Awak ingat kita nak pergi makan angin?”
            Aduhai, serba tak kena. “Itu pasal saya tanya kita nak ke mana.” Aku jawab, walau dengan nada lembut, tapi pasti saja jawapanku buat Encik Hazrul panas. Kalau tidak tak kan dia garu dahi sampai begitu sekali. Pening ke dengar jawapan aku?
            Kak Huda hulur buku nota dan sebatang pen kepadaku dan dia tepuk bahuku perlahan. Tak tahu apa makna tepukannya itu. Mungkin nak cakap ‘good luck’ atau sabar banyak-banyak Azian, bos kita tu kureng sikit. Tapi rasanya jawapan kedua tu memang ada kena mengena.
            Aku sambung ikut Encik Hazrul. Mulanya ingat dia nak masuk lif, tapi rupanya kami ke bahagian lain di tingkat yang sama. Tertulis di hadapan pintu dengan perkataan  conference room. Maknanya aku sudah dibawa untuk ke meeting bersama. Ini memang kerja gila. Apa yang aku tahu tentang meeting?
            “Encik, betul ke ni?” soalku, waktu dia tolak pintu.
            “Apanya yang betul?” soal Encik Hazrul balik.
            “Encik bawa saya untuk meeting?”
            “Ya, meeting. Awak harapkan saya bawa awak ke mana? Zoo?”
            Ah! Melampau jawapan. Ingat aku kaki pergi Zoo ke? “Zoo tu advance sangat. Ingat tadi pergi muzium aje.” Ambik kau.
            Tak sangka jawapan aku boleh buat Encik Hazrul tersenyum. “Ada saja jawapan awak yek?”
            “Setiap tanda soal itu perlu dijawab walaupun dengan jawapan salah.”  
            Langkah Encik Hazrul terhenti dan dia pandang aku tepat. Tak ada senyuman lagi. Kemudian sambung jalan. Mungkin tak tahu nak cakap apa. Bagus. Aku pun sudah penat nak menjawab.
            Di dalam bilik tersebut sudah ada seorang perempuan bertubuh langsing memakai skirt warna merah paras lutut sedang menyusun fail-fail di atas meja.
            “Dia ni PA pejabat promosi. Musuh ketat kita. Bos dia sedang berusaha untuk mengalahkan saya.” Encik Hazrul bisik perlahan.
            “Oh!” Setiap kali dengar perkataan musuh, aku memang terkejut. Bukan sedikit terkejut, besar punya terkejut. Bagi aku perkataan musuh itu adalah satu perkataan yang membawa kepada bahaya yang sangat besar dan perlu ditentang habis-habisan.
            “Selamat pagi encik…” kata gadis itu.
            Tiada balasan daripada Encik Hazrul. Buat bodoh dia aje. Jadi, gadis itu terus dengan kerjanya.
            “Sebentar saja lagi bakal berlangsung pembentangan untuk projek makanan sejuk beku terutama daging ayam dan daging lembu. Sebelum dibincangkan kepada majlis tertinggi beberapa ketua bahagian akan menilai terlebih dahulu projek ni. Kalau rasa memang ada potensi, semua ketua bahagian akan beri kata putus. Tugas saya sekarang ialah bagaimana untuk mencari alasan untuk mengagalkan projek ini,” bisik Encik Hazrul lagi.
            Aku kerut dahi sebab aku tidak tahu apa-apa. “Tak faham.” Aku cakap terus terang.
            “Memang projek ni nampak bagus, tetapi saya terpaksa membantah.”
            “Sebab?” soalku.
            “Sebab dendam.”
            Terkejut juga dengar jawapan Encik Hazrul. Menakutkan sama. “Encik, dendam tu salah satu ion negative yang tidak baik untuk badan. Kita tidak boleh menyimpan dendam terlalu lama sebab takut memakan diri sendiri.” Macam bagus saja aku bagi jawapan. Tapi sebenarnya itu satu kenyataan. Aku tidak pernah berdendam dengan mak ngah walau apapun perbuatan kejam yang mak ngah lakukan terhadap aku. Aku hanya anggap mak ngah seperti ibu tiri Cinderella yang sebenarnya sangat kasihan. Dan aku adalah Cinderella yang satu hari nanti ada seorang putera yang bakal menyelamatkan aku dari semua kekejaman itu. Jadi dalam banyak hal, aku masih dikira beruntung.
            “Saya tak peduli,” bisiknya lagi.
            Encik Hazrul duduk di kerusi paling hujung dan dia suruh aku duduk bersebelahan dengan dengannya. Di hadapan meja, ada sebuah komputer bimbit yang sudah siap terpasang.
            “Sementara tunggu orang lain datang, encik boleh tengok dulu usul yang bakal kami bentangkan,” kata gadis itu di hujung sana.
            “Huh, jangan harap!” kata Encik Hazrul perlahan dan kedengarannya sangat menakutkan. Dendam benar dia rupanya. Baru aku faham. Encik Hazrul itu memang ada pakej lengkap. Bukan saja mental, bahkan pendendam tegar.
            Seorang demi seorang muncul dan mengambil tempat. Masing-masing juga beri ucapan selamat pagi kepada Encik Hazrul, tapi satu pun tidak berjawab. Buat bodoh dia saja. Aku pulak yang naik geram. Berlagak betul.
Dan terakhir seorang gadis muncul dengan gaya yang cukup elegan. “Inilah pengurus besar bahagian promosi, Puteri Zahra. Musuh ketat kita.” Encik Hazrul rapat badannya ke badanku dan berbisik.
            “Oh, cantiknya,” pujiku sebabnya memang gadis yang bernama Puteri Zahra itu cantik gila. Tubuhnya kecil sahaja. Berkulit putih kuning. Rambut pula hitam pekat melepasi bahu. Berwajah manis dan nampak dari golongan bijak pandai.
            “Huh, seratus kali ganda lagi cantik awak…”
Aku pandang muka Encik Hazrul. Wah, lelaki ini bukan saja hilang skru, tapi ada masalah dengan penglihatan juga. Kesiannya…
“Terima kasih kerana meluangkan masa ke perbentangan usul projek saya kali ni,” kata Puteri Zahra memecah keheningan suasana. Waktu itu masing-masing membuka fail di hadapan mereka kecuali Encik Hazrul. Nampak benar keras kepalanya.
“Sebagaimana yang kita tahu, produk berasaskan makanan sejuk beku…”
Encik Hazrul bangun tiba-tiba. “Maaf, saya sudah mengkaji usul yang awak cuba bentangkan dan saya dapati tidak akan membantu apa-apa. Jadi, saya putuskan usul ini tidak akan mendapat perhatian saya. Maaf, saya tidak dapat membantu. Bersurai sekarang.”
Fuh, macam itu saja? Sebab dia berdendam, dia guna kuasa yang dia ada untuk membatal usul orang macam tu saja? Power Rangers betul Encik Hazrul ni.
“Maaf, boleh tak Encik Hazrul beri perhatian kepada usul saya sehingga selesai?” soal Puteri Zahra dengan wajah yang sudah merah. Kalau aku jadi Puteri Zahra, bukan saja merah kuning hijau semua keluar. Hijau paling banyak sebab boleh jadi Hulk.
“Saya tidak suka membuang masa saya dengan usul yang mengarut. Banyak lagi perkara yang perlu saya beri perhatian.” Encik Hazrul mula bergerak, jadi sebagai kroni Encik Hazrul, aku bangun dan bergerak sama. Beberapa orang lain juga bangun.

“Hazrul, kau ni sudah melampau,” jerit Puteri Zahra. Aku nampak Encik Hazrul senyum. Julung-julung kalinya aku nampak dia senyum begitu, tetapi aku seperti nampak ada tanduk dua di atas kepala Encik Hazrul juga. Serius, nampak jahat sangat. 

9 comments:

eija said...

gila c hazrul nie..blh plk mcm 2.. aduiu

camelia said...

Huittt..siut gila si Hazrul...mesti byk ilmu menjawab soklan gitu...

danial azila said...

Seriyez .. B memg sewel En.Hazrul nie .. Tp .. Xpe ... Sy suke .. Hehehehehe .. :) ;)

dini-alya said...

gaya2 cam bekas aweks je si Zahra tu .. hahahahah

JueN said...

hahaha..kalu hati dh suke...mmg cntik sokmo la si azian 2...

-sj- said...

Oooo.... He is so determined in his doing....

aisyah said...

amboi x sempat present dh kna reject...

baby mio said...

best...

Nana Nn said...

wow.....
the evil side of Hazrul
mangujakan....
tp sian pa dia.....terkujat
saya suka saya suka