Sunday, November 17, 2013

KEKASIH UNTUK DIA BAB 4

Hampir setiap hari Encik Hazrul datang awal. Ada dua hari tu dia lebih awal dari aku. Jadinya, hari ini aku buat lambat. Sengaja berbual dengan jaga berbangsa Myanmar yang baru sebulan datang Malaysia. Bercakap Bahasa Malaysia pun memang tak pandai langsung. Yang dia tahu, selamat pagi, selamat petang, selamat pulang. Tu saja. Seronok sebenarnya melayan orang tak faham bahasa ni.
            Dekat-dekat pukul 9.15 macam tu baru aku masuk ofis. Masa tu semua dah sampai. Nampaknya aku paling akhir. Mulanya aku pelik, sebab belum pukul 9.30 masing-masing dah mula buat kerja, tapi rupanya tak ada yang pelik sebab Encik Hazrul sudah duduk tempat aku.
            Apa hal pulak ni.
            “Selamat pagi encik,” ucapku perlahan. Tak takut pun sebab aku bukannya lambat. Ada lima belas minit lagi. Tapi tak tahulah kalau jam aku rosak. Rasanya tak.
            Kata-kataku tidak berbalas. Masa tulah aku perasaan Kak Ha buat muka. Yang aku fahamkan isyarat Kak Ha tu jangan suruh aku bercakap. Gamaknya Encik Hazrul baru lepas mengamuk. Kalau tidak tak kan macam tu sekali.
            Aduhai, angin lintang pukang dari mana pulak yang datang menyerang.
            “Encik, boleh saya duduk tempat saya?” Aku bercakap lagi.
            “Apa kata kalau kita tukar jawatan. Awak duduk tempat saya dan saya duduk tempat awak?” Dia tanya.
            Eh, sengalnya.
            Sebenarnya aku boleh jawab begini, boleh apa salahnya kita tukar suka sama suka. Tapi rasanya jawapan macam tu nampak kurang ajar benar. Jadi aku putuskan diam dan pandang muka dia sahaja. Entah apalah salah aku pada dia. Nak kata aku pernah tolak cinta dia, menipu sangatlah. Baru beberapa hari jumpa dia. Tapi kenapa agaknya dia suka sangat buli aku. Satu hari kadang lima kali aku kena buat air. Sebelum ini kata Kak Ha sekali saja buat airnya. Karang aku buat satu baldi baru dia tahu.
            “Buat air untuk saya,” arahnya dan bangun dari tempat dudukku. Dia berjalan menuju ke biliknya tanpa toleh-toleh. Marah aku sebab lambat buat air? Melampaulah dia ni. Pagi-pagi buat aku bengang saja.
            Aku mengambil alih tempat duduk. Terbangun sekejap bila merasakan kerusiku panas. Bermakna dah lama dia duduk di situ.
            “Kenapa dengan bos?” soalku sebaik sahaja duduk semula.
            “Fasal 16 ditolak. Bos memang ingat cadangan dia tu diterima. Tapi semua tak setuju. Tu yang bengang sampai sekarang,” jawab Encik Suffian.
            Sebenarnya aku tidak tahu menahu fasal 16 tu apa. Aku baru lagi di sini. Yang aku tahu projek Menara Holding banyak melibatkan pembelian tanah kerana Merana Holding tidak secara langsung terlibat dengan perusahaan yang melibatkan sektor pertanian.
            Timbul juga keraguan. Sepatutnya dia naik angin semalam, sebab semalamlah keputusan itu diadakan, tetapi kenapa dia mengamuk hari ini? Sedang petang semalam elok aje main acara tenung-tenung. Eh, tak fahamlah dengan dia ni.
            Aku pasang plug komputer dan terpandang sekuntum bunga raya warna putih terselit di celah rak fail. Masih segar, bermakna baru dipetik dan diletakkan di situ. Wei, ke marah sebab tak sempat nak serahkan bunga raya tu kat aku? Hantu raya betullah dia ni.
            “Air saya mana!” Encik Hazrul jerit tiba-tiba. Alamak, lupalah pulak. Geramnya. Karang aku letak racun tikus dalam air tu baru dia tahu.
            Bergegas aku ke pantri. Ikutkan hati memang dah ya aku singgah beli racun tikus balik karang. Banyak songeh betullah. Pasal lambat buat air pun menjerit bergegar bangunan.
            Siap buat air aku bawa ke bilik orang tu. Macam biasalah. Sebelum masuk, ketuk pintu dulu. Sudah dengar dia cakap masuk, baru masuk. Mendengar arahan.
            “Air encik.” Aku letak muk atas meja. Betul-betul hadapan dia. Kemudian aku berdiri sekejap sebab mahu mendengar arahan seterusnya.
            Dia angkat muk dan hirup air. Kemudian pandang aku. Apa? Ingat aku letak racun tikus? “Kenapa?” Dia tanya seperti orang tiak ada perasaan.
            “Kalau tak ada apa-apa saya keluar dulu.” Aku cakap sebab ingat dia sudah hilang ingatan, selalunya mesti suruh aku duduk.
            “Siapa suruh awak keluar. Duduklah, macam tak biasa.”
            Sabar Azian, dia durian awak timun. Tergolek lagu mana pun awak yang luka. Bertabahlah. Perangai manusia mana sama. Mahu cari rezeki halal bukan senang.
            Aku duduk dan pandang muka dia. Dia juga pandang aku. Kan, acara tenung-tenung sudah bermula.
            “Kenapa lambat hari ni?” soalnya.
            “Saya mengorat jaga dari Myanmar tu,” jawabku selamba.
            Masa itulah dia tersedak air. Sampai terkena baju dia. Aku pandang saja. Tak hingin nak tolong cari tisu. Nasiblah.
            “Dah habis lelaki kat Malaysia ni sampai mengorat lelaki Myanmar?” soalnya kasar. Macamlah aku ni saudara mara dia pulak. Sibuk betul. Lantaklah aku nak mengorat siapapun. Bukannya urusan dia.
            “Sebab jaga tu handsome,” jawabku lagi.
            “Habis saya tak handsome?”
            Wah! Tak boleh blah punya ayat. Nak cakap dia handsome lah tu. Tak malu. “Encik handsome…” jawabku.
            “Habis tu kenapa mengorat lelaki Myanmar?’
            Eh, dia ni nak suruh aku mengorat dia ke? Tak kanlah. Peliknya aku rasa. Baru aje pun kami kenal. Mesra-mesra pun macam mesra itik dengan ayam.
            “Err, kalau tak ada apa-apa boleh saya sambung kerja saya?” soalku. Malas nak layan dia. Buat lawan bertekak saja.
            “Pergilah…!”
            Uiks, halau ke? Tadi beriya suruh aku duduk. Hmm…

PEJABAT pengurusan jadi sunyi sepi hari tu. Seperti semua takut-takut. Walau masa sudah menghampiri 5.00 petang, tak ada siapa yang kalut bersiap untuk pulang. Peliknya. Hmm, kalau tak ada siapa yang nak balik, biar aku sajalah yang balik. Lagipun aku tak pandai nak jadi pembodek.
            Tepat saja pukul 5.00 aku keluarkan beg tangan dan bangun. “Saya balik dulu,” kataku kepada semua. Tak siapa yang hiraukan. Masing-masing masih di tempat duduk dan tekun dengan kerja. Serius aku tak faham dengan kaki tangan pejabat pengurusan ni. Semalam lain. Hari sebelum tu pun lain. Hari ni memang betul-betul lain. Ke, tak lama lagi nak bonus. Sebab itu masing-masing tunjuk rajin? Ah! Lantaklah.
            Aku terus jalan.
            “Azian mana?”
            Elok saja aku lepas dari pintu utama, aku dengar suara Encik Hazrul bertempik tanya aku. Terus aku lari. Mulanya nak tunggu lif, tapi kalau tunggu lif sah karang Encik Hazrul tangkap aku, jadi aku ambil keputusan turun guna tangga saja. Biarlah buat kerja bodoh, janji lepas.
            Aku turun perlahan-lahan. Dari tingkat 11 hinggalah ke ruang lobi. Sampai ruang lobi aku nampak Encik Hazrul seperti tercari-cari. Waduh, gawat ini bos. Tak kan sampai bawah kejar aku. Lagipun apa masalah dia ni sebenarnya? Tak kan nak tahan pekerja dari balik. Tapi aku tak naklah menyerah diri macam tu saja. Sia-sia karang. Baik aku sembunyi dulu. Sudahlah laluan keluar dan masuk kat situ saja.
            Baru nak menyorok telefon sudah berbunyi. Sudahlah bunyinya satu batu boleh dengar. Kantoi. Cepat aku keluarkan dan jawab. “Apa dia…” marahku sambil berdiri balik tiang. Harap Encik Hazrul tak dengar bunyi telefon aku tadi. Kalau dia dengar memang habis.
            “Uiks, kasaqnya…” Nora tanya.
            “Awat hang telefon masa ni. Aku menyorok dari bos aku ni…”
            “Hang buat perangai ka?”
            “Bukan aku buat perangai, tapi bos aku tu gila semacam. Serupa skru tercabut saja.”
            Aku dengar Nora mengilai. “Woi, ni bukan cerita lawak.” Marah sudah.
            “Okey, okey aku telefon ni nak suruh hang balik. Buah janggus dah masak.”
            “La, aku mana duit nak balik. Nak suruh aku balik jalan kaki ka? Teringinnya nak makan buah janggus. Hang poslah kat aku sikit.”
            “Wei, hang ingat buah janggus macam ubi kayu boleh simpan lama?”
            “Hang tak kesian kat aku ka? Mana tau esok lusa aku mati, menyesal tak sudah hang,”
            “Ni yang aku malas nak telefon hang, mulalah main drama sebabak. Dahlah. Aku telefon lain tahun pulak.”
            Aku gelak. Lain tahun tu. Lawak betul Nora ni. “A’ah, lain tahun, lain tahunlah. Kirim salam kat mak dengan pak hang.”
            “Wokey, no hal.”
            Suara Nora hilang, yang terbayang buah janggus bergayutan. Kemerahan saja buahnya. Adoi, terliur sudah. Tapi apakan daya. Simpan sajalah keinginan nak jamah buah janggus.
            Hmm…Keluhan panjang terlontar.
            “Apa hal berdiri kat tiang ni?” Suara Encik Hazrul menyoal.
            Dah agak. Mesti dia jumpa jugak. Tak sempat nak terkejut bagai. “Nak baliklah ni…” jawabku, buat-buat kalut.
            “Kejap, siapa suruh awak balik? Orang lain sibuk lagi buat kerja.”
            Aku pandang wajah Encik Hazrul yang sudah bercekak pinggang. “Err, kalau saya masuk kerja tepat pada masanya, tak ada sebab untuk saya balik tak tepat pada masanya.” Aku jawab selamba.  Harap dia faham. Mungkin faham kut sebab dia garu kening selepas tu.
            Aku atur langkah setapak.
            “Kejap…”
            Adoi, macam nama aku Kejap. Aku pandang semula muka Encik Hazrul.
            “Siapa bos awak yang tercabut skru tu?”
            Alamak dia dah dengar rupanya. Aku nak jawab apa pulak ni. Sah-sah aku memang kutuk dia tadi. “Saya balik dulu, kalau lambat susah nak dapat bas.” Cepat aku jalan. Mujur aku ada alasan. Kalau tidak memang habis.

            Aku toleh masa betul-betul sampai pintu keluar. Nampak Encik Hazrul masih di situ dan pandang aku semacam. Sangat menakutkan, tapi ada aku kisah? 

10 comments:

aisyah said...

angin kus2 btul la en Hazrul ni

camelia said...

Boss tercabut skru dan ada skru yg dh longgar...kena lah Azian....sabar je

Kartina Khamis said...

BOS saya sorang jer....encik la...lagi mau tanya ker...huhu

mengarutnyablogini said...

Memang sungguh tercabut screw hahah lawak2

Azizah Zain said...

Best nk lagi,!!!!!boleh?

eija said...

aduhai azian..blh main cak2 plk..kn dh kantoi..hahahha.. aduii mgutuk org lain kali pdg knan kiri...nsb baik xkne tegking..

baby mio said...

Best3.

Siti Soleha Yahaya said...

Hehe....senyum sambil membaca...tp sedapkan tengok gamaq buah jangguih tuh..;-)

Mastura said...

errrkkk buah tu nama janggus ker....bukan gajus or orang utara panggil janggus....;

Nana Nn said...

sgt best
saya suka saya suka