Friday, November 22, 2013

KEKASIH UNTUK DIA BAB 6

MAKAN besar aku tengah hari ini. Nak sampai sini juga hampir setengah jam dari ofis. Rupanya inilah restoren kegemaran Encik Hazrul seperti kata Kak Ha dan Kak Huda. Memang kelaslah bos sorang ni.
            Kami ikut tol Subang, masuk lebuh raya Utara Selatan dan keluar semula susur Hospital Sungai Buluh. Tempoh dua lampu isyarat dan melalui jalan menuju Kepong dan akhirnya sampai ke restoren ala Thai yang tersergam cantik mengikut ciri-ciri restoren belah sana.
            Kalau ikutkan memang jauhlah dari Menara Holding, tapi nak diapakan lagi sebab Encik Hazrul sendiri yang buat pilihan.
            “Makanlah…” kata Encik Hazrul bila aku terpandang lauk yang terhidang. Serupa empat orang makan saja.
            “Setiap kali makan tengah hari encik akan makan di sini?” soalku ingin tahu. Dari dalam kereta tadi sudah mahu tanya, tapi aku lupa.
            “Tak jugak. Tapi keraplah saya makan di sini. Selebihnya saya balik rumah.”
            “Isteri masak?” cepat aku tanya.
            Dia senyum sambil sendukkan kuah tom yam ke mangkuk kecil. “Inilah orang kata soalan kura-kura dalam perahu. Tahukan saya ni teruna paling glamour kat Menara Holding tu, masih lagi tanya isteri masak. Awak memang nak sakitkan hati saya?” soal Encik Hazrul. Rasa pelik pulak dengan suara Encik Hazrul. Tak serupa langsung dengan Encik Hazrul sebelum ini. Mati-mati ingat dia ni ada sawan senyum, rupanya tidak. Masih boleh senyum rupanya dan aku lihat gayanya lebih santai. Satu lagi, serius cakap, senyuman dia agak manis.
            “Mana tahu isteri simpanan ke, encik tak nak orang lain tahu encik sudah ada isteri.”
            “Kepala tu jangan ala-ala sinetron sangatlah. Tak payah nak serabut pasal saya ada isteri simpanan ke, isteri tak simpanan ke. Saya masih bujang dan dengan bangganya saya nak umumkan, saya masih anak teruna seratus peratus. Dengan erti kata lain, saya belum ternoda.”
            Rasa panas kulit muka dengar pengumuman dia. Tak menahan langsung. Boleh lagi beritahu dia masih anak teruna seratus peratus. Kalau aku tahu, aku bakal dengar pengumuman dia macam tu, sumpah tak ingin aku temankan dia makan.
            “Kenapa tak jawab? Tak percaya saya masih teruna?” soalnya, macam paksa aku jawab.
            “Percaya, percaya,” jawabku cepat. Nanti merepek lebih jauh, lagi tebal pulak kulit muka aku, contohnya dia tanya nak test ke teruna dia. Memang parah kalau sudah soalan tu keluar. Tengok gaya sengal dia, mahu aje soalan tu terkeluar.
            “Kalau percaya, tolong habiskan makanan ni…”
            Tanpa mahu membuang masa, aku terus baca doa makan. Kemudian mula jamah.
            “Kalau makan tengah hari saya tak suka makanan yang berlemak. Contohnya masak lemak ke, kari ke. Saya suka makanan jenis rebus dan kukus.”
            Aku dengarkan Encik Hazrul bercakap. Tertanya juga, perlu ke dia beritahu aku semua tu?
            “Untuk makan malam, saya suka jenis yang ringkas sahaja. Contohnya makaroni bakar atau spegetti.” 
            Tengkorak dia ringkas. Tulah masakan yang susah nak masak. “Malanglah siapa yang jadi isteri encik…” Terlepas jugak cakap.
            “Apa pulak, tak kan itupun awak tak tahu masak?”
            “Hmm, saya kan. Kalau boleh nak suami yang suka masakan kampung. Yang sama selera dengan saya. Yang suka makan kari, yang suka masakan berlemak. Yang suka sambal belacan. Jadi, tak perlulah saya pening kepala nak jaga selera dia. Satu lagi, paling bertuah kalau dapat suami tak tercerewet. Contohnya…yang, gorengkan abang telur aje. Serius saya cakap, kalau ada lelaki jenis macam ni saya sanggup kahwin free  dengan dia. Tak payah berhantaran bagai. Sah, sah senang jaga.”
            Tiba-tiba Encik Hazrul letak sudu dan garfu dalam pinggan dengan cara agak kasar. Kemudian dia menyandar. Eh, angin pulak. “Serius saya cakap ni…” kataku lagi tanpa mahu ambil tahu apa yang sedang menimpa perasaan Encik Hazrul. Tapi aku perasan muka dia memang berubah sedikit. Masam.
            “Mungkin itulah lelaki tahap saya. Lelaki yang sesuai untuk hidup dengan saya adalah lelaki biasa-biasa saja. Tak kaya dan tak mewah.” Jujur lagi. 
            “Kalau ada lelaki kaya nak awak?”
            Aku geleng. “Tak akan ada sebab citarasa lelaki kaya sangat tinggi. Mesti mereka pandang yang cantik-cantik, yang seksi-seksi. Kalau bukan model atau artis, rasanya susah sikit.”  Aku sumbat ikan kerapu kukus. Begini rupanya selera Encik Hazrul. Memang tak kena dengan selera aku. Kalau aku, aku lebih suka masak masam manis.
            “Saya cakap kalau ada.” Tinggi sikit nada suara Encik Hazrul. Macam paksa aku suka orang kaya pula.
            “Susahlah encik, selera tak sama. Tengoklah macam selera encik. Mesti orang kaya lain selera sama macam encik. Jujurnya saya memang tak suka makanan untuk tengah hari ni. Saya tak suka ikan masak kukus sebab rasa macam hanyir. Saya suka masak masam manis sebab rasa hanyir ikan tak terasa sangat.” Berterus terang itu menyakitkan sebelah pihak, tapi lebih baik dari terus berpura-pura.
            “Ramai yang cakap sarapan itu penting, tapi bagi saya makan tengah hari tu lebih penting dari sarapan. Kalau saya ada duit yang cukup, perkara yang saya utamakan ialah makanan tengah hari. Encik dah rasa maggi goreng saya bukan. Sangat ringkas, tapi berkhasiat. Ada sayur, ada fish cake, ada hirisan telur. Lengkap sebagai hidangan tengah hari.” Puji diri sendiri sekejap. Rasanya tak salah, sebab semuanya aku lakukan dengan bersungguh hati.
            Encik Hazrul terus-terusan berdiam diri. Terasa ke dengan kata-kataku? Baguslah kalau dia terasa sebab aku cakap benda yang betul. “Encik, kenapa tak makan? Kata semua ni makanan kesukaan encik.” Aku tegur bila tengok dia semacam.
            “Dah hilang selera makan saya,” jawabnya perlahan.
            “Janganlah macam tu, saya tak mampu nak habiskan semua ni.”
            Hmm, nak merajuk, merajuklah. Sikit tak hiran. Bukan masalah aku pun kalau dia nak merajuk ke apa ke. Suka hati dialah.

SUDAH lewat empat puluh lima minit. Habislah kena marah dengan Hilda nanti. “Maaf semua, saya terlewat. Kawan belanja makan tadi,” ujarku sambil tahan perasaan.
            “Baru berapa hari masuk kerja dah tunjuk perangai? Macam ni nak jadi pekerja tetap?” marah Hilda. Aku dah agak. Perempuan ni sah tak menang mulut sembur aku. Anti betul dia dengan aku.
            “Hilda, kalau pun nak marah, janganlah tinggikan suara,” tegur Kak Ha.
            “Melampau sangat kak. Empat puluh lima minit dia curi tulang. Nasib baik bos tak masuk lagi.”
            Bukan bos tak masuk lagi. Aku yang suruh bos masuk lambat sebab aku tak nak masuk ofis dengan dia. Nanti rakan lain syak yang bukan-bukan. Tak naklah dituduh ada skandal dengan Encik Hazrul. Skandal dengan Encik Hazrul? Wah, bunyi macam gah saja.
            “Tak apalah. Dia tak tahu lagi tu. Azian, lain kali jangan buat lagi tau. Kalau boleh jangan makan tempat yang jauh-jauh. Bukan apa, Azian masih dalam perhatian. Kenalah tunjuk sikap yang baik.” Kak Huda pula beri nasihat. Berbeza betul cara orang beri nasihat guna akal dengan orang yang guna kepala lutut.
            “Baik kak…” Aku jawab lembut tanda orang salah dan kembali ke tempat duduk.
            “Apa hal ni?” soal Encik Hazrul. Tak tahu pulak dia dah tercegat kat belakang.
            “Ni budak baru ni. Dah lewat empat puluh lima minit,” adu Hilda.
            “Dia lewat empat puluh lima minit awak kira, yang awak tu lewat berjam-jam tak pernah kira? Ingat saya tak tahu kalau saya tak masuk ofis macam mana perangai masing-masing?” soal Encik Hazrul.
            Fuh! Lebih teruk dari aku rupanya. Aku tengok muka Hilda sudah semacam. Sah, malu tak terkira.
            “Apsal awak lambat?” soal Encik Hazrul kepadaku.
            “Kawan ajak makan,” jawabku sambil pandang muka dia.
            “Kawan atau bakal suami?” soal Encik Hazrul sambil atur langkah menuju biliknya.
            Memandailah bakal suami. Kalau tak main paksa tadi, tak ingin aku nak makan dengan dia. Banyak cakap pulak!
            “Ya? Azian dah ada calon bakal suami? Tahniah. Diam-diam aje dia.” Kak Ha usik selepas Encik Hazrul masuk ke dalam biliknya. Ini yang aku malas. Tak pasal-pasal kena usik.
            “Tak adalah kak…” Aku cuba menafikannnya.
            “Mestilah ada. Kalau tidak tak kan nak ajak makan kat luar. Ingat lelaki senang nak ajak perempuan makan kalau tak suka?” Kak Huda pula menyampuk.
            Adoilah, free aje kena gossip. Tak kan aku nak cakap bos ajak aku makan tengah hari kat restoren kegemaran dia sebab sudah habiskan makanan aku? Mana boleh bocor rahsia. Nanti macam-macam versi pulak aku dengar.
            “Biasa aje kak…”
            “Akak tengok Azian ni macam gadis yang terlalu lurus. Tengoklah, bos marah pun macam tak ada perasaan saja. Jadi akak rasa Azian pun susah nak faham perasaan lelaki,” kata Kak Ha.
            Memang aku tak pernah faham perasaan lelaki. Bukan lelaki saja bahkan semua orang. Perasaan itu bukankah bersifat dalaman. Mana boleh kita membaca perasaan orang dengan mudah. Dari membuat andaian yang bukan-bukan, rasanya lebih baik tidak faham langsung.
            “Memang dia ni tak ada perasaan kak. Bos tak suka dengan dia pun macam relak saja. Macam tak tahu apa-apa.”  Hilda menyampuk.
            Betulkah Encik Hazrul tak sukakan aku? Terasa juga. Padanlah aku saja yang dia buli.
            “Encik Hazrul tu semua orang dia tak suka. Macam tak tahu…” Encik Suffian menyampuk di hujung sana.
            “Tapi dengan perempuan ni terlebih dia meluat,” kata Hilda.
            Kasarnya  bahasa Hilda. Ada saja yang tidak kena. Macamlah aku sudah buat salah besar dengannya. Kita perlukan sebab untuk membenci seseorang, tapi aku tidak tahu apa sebabnya Hilda begitu tidak sukakan aku. Nak kata aku cantik, menipu sangatlah. Dia sebatu lebih cantik berbanding aku.
            “Air saya mana?” Tiba-tiba Encik Hazrul menjerit di muka pintu bilik. Terkejut aku dibuatnya. Apa hal lah bos sorang ni. Aku baru nak puji, dah baut perangai balik. Tadi masa makan bukan mainlah romantis. Masuk ofis dah menurun semula.
            “Tak apa Azian, nanti Kak Ha buatkan. Dia tengah mengamuk tu,” kata Kak Ha. Walau Kak Ha yang bakal buat air, aku bangun juga. Ada sesuatu yang ingin aku tanyakan kepada Kak Ha.
            “Kak, kenapa Hilda macam tak suka saya?” soalku ketika Kak Ha kalut buat air.
            “Oh, dia memang macam tu sikit. Dia harapkan yang bertugas di pejabat kita tu semua orang kelas-kelas. Maklum kita semua macam tulang belakang syarikat. Mungkin dia tengok Azian macam biasa-biasa saja. Itu yang dia tidak puas hati. Tapi Azian jangan pedulikan sangatlah dia tu. Perangai dia memang macam tu. Lama nanti, okeylah dia.”
            Penjelasan Kak Ha buat aku sedar akan sesuatu. Kadang-kadang memang susah untuk memahami seseorang dan sifat manusia itu memang berbeza. Kalau disebabkan aku ala-ala kadar saja membuatkan Hilda meluat, aku reda.
            “Tak apalah kak, nak buat macam mana kan…” ujarku perlahan.
            “Sabarlah Azian. Perangai manusia memang begitu…”
            Aku senyum tawar dan kembali ke tempat dudukku. Kemudian perhatikan saja Kak Ha masuk bilik Encik Hazrul. Sebenarnya terasa juga sebab tak dapat buatkan air untuk Encik Hazrul, tapi bagus juga Kak Ha tolong buatkan. Jadinya kuranglah meluat Encik Hazrul tengok muka aku.

            Tiba-tiba saja mata pandang Hilda. Dan kini aku faham. Tak apalah…

13 comments:

tinta merah said...

Bestnyer cerita awak...teratur..puas baca..nak lagi boleh? ;)

Subashini VJ said...

Haih Hilda... dia kena marah tapi still tak puas hati.. ade Hazrul buka mulut cakap dia meluat kat Azian..haih

Unknown said...

Dah ulang bnyk kli dh. Nk next entry plssssss

Siti Soleha Yahaya said...

Demand sungguh en. Azrul nih aihhhh...hehe

eija said...

ek eleh hilda ko plk lbih2..bos relek jer..

tie tinie said...

Sengal giler hilda.. persan bagus.. tapi 0..
ces..
azian sila buka hati lapang2.. besar2.. dan sila terima cinta En.Hazrul...
jgn tolak

Unknown said...

Best

Unknown said...

Alahai....bila laa nak kuar buku ni....tak sabar dah ni marissa

Unknown said...

Baca cikit cikit tak puas

aisyah said...

Jeles la tu hilda tu

aisyah said...
This comment has been removed by the author.
Nana Mohd Yasin said...

x pe hazian.....
Hilda tu jeles
lantak pi la...

mmg best

Unknown said...

Ek eleh....lebih 2 plak hilda ni..
Poyo giler. .agaknya sbb bos x layan dia kot..