Friday, July 24, 2015

RINDU KASIH MADINAH 1

AKHIRNYA keputusan peperiksaan pertengahan tahun diumumkan juga. Waktu melihat keputusan dan kedudukan dia di dalam kelas, hati Wardah mula menangis. Kali ini keputusannya memang di luar jangkaan. Malu itu memang dia rasa tapi sebenarnya dia rasa sangat takut ketika itu. Takut dengan habuan yang bakal dia terima kerana dapat keputusan yang tidak dijangkakan. Di mana silapnya sedangkan dia sudah sehabis berusaha untuk lakukan yang terbaik? Atau memang dia sudah terpilih untuk duduk di dalam senarai pelajar paling bodoh?
            Tapi hendak diapakan lagi. Keputusan sudah pun muktamad. Tiada ada apa yang mampu mengubah keputusan tersebut. Wardah terpaksa hadap semuanya nanti.   
“Saya tak sangka anak cikgu pun boleh dapat nombor last. Ingatkan mak bapak dia cikgu boleh dapat nombor satu!” usik Ahmad Zikri ketika menghampiri Wardah yang seakan membawa diri duduk di bawah pokok besar menghabiskan waktu rehatnya yang berbaki lagi sepuluh minit.
            Bukanlah niat Ahmad Zikri hendak menyakiti hati Wardah, tapi entah kenapa sejak dari tingkatan 1 lagi, Ahmad Zikri cukup berkenan dengan Wardah. Nak kata Wardah tu cantik, tak juga. Tapi sedap mata memandang. Orangnya putih kuning, bermata kuyu dan wajah Wardah itu nampak sangat lembut. Tapi mulut Wardah, pergh. Alang-alang memang hilang sabar.
Wardah jeling tajam. Hati panas, sekarang telinga pula. Silap hari bulan ada yang Wardah paksa telan batu. Banyak cakap pulak.
Ahmad Zikri ketawa menyambut jelingan tajam Wardah. Makin manis. Ah! Angau Ahmad Zikri dibuatnya.
“Menyampahlah tengok muka awak!” Wardah pandang semula arah padang.
“Terima kasihlah sebab dapat nombor 42, kalau awak tak ambik nombor tu, nampaknya sayalah yang kena ambik.” Ahmad Zikri ketawa-ketawa sambil perhatikan Wardah yang duduk sambil pandangan mata dilemparkan ke arah padang.
            “Hati saya ni tengah sakit, boleh tak awak jangan sakitkan lagi?” marah Wardah. Suara juga sudah tinggi.
            “Hati awak  sakit ke?” Ahmad Zikri tanya sambil sambung ketawa.
            Wardah tak jawab. Mata masih pandang padang. Kepala sedang ligat berfikir bagaimana untuk berhadapan dengan kedua ibu bapanya. Dia sudah tidak sanggup menerima libasan tali pinggang lagi.
            “Awak sakit hati ke?” soal Ahmad Zikri semula.
            “Boleh tak awak jangan kacau saya? Kenapalah awak ni suka sangat menyusahkan hidup saya. Dah berapa kali saya cakap, saya tak nak kawan dengan awak, masih jugak kacau saya. Tolonglah faham sikit.” Wardah merayu pula.
            “Apa saya ni kurang kacak ke, sebab itu awak tak nak kawan saya?”
            Semakin marah Wardah jadinya. Kepala sudahlah fikir macam-macam, kacang hantu ini pulak merepek yang bukan-bukan. Ada hati nak jadi Romeo konon.
            “Kalau awak berdiri sebelah tiang bendera tu dan dipaksa pilih, saya rela pilih tiang bendera dari pilih awak!”
            “Ooo, maknanya awak nak saya jadi macam tianglah baru awak nak berkawan dengan saya?” Sakit juga hati Ahmad Zikri. Macamlah dia tiada rupa. Sedangkan dialah yang paling top kat sekolah.
            “Sudah-sudahlah dengan perangai loyar buruk awak tu. Awak tahu tak, saya ni tengah risau. Tapi awak makin mengusutkan keadaan saya.” Rendah semula suara Wardah. Sudah tak kuasa hendak melayan Ahmad Zikri.
            Ahmad Zikri ketawa dan terus duduk bersila di hadapan Wardah. Sengaja diturun naikkan keningnya sambil menatap mata cantik Wardah. Ditahan hati yang makin berdebar apabila berkesempatan untuk berada lebih dekat dengan gadis itu.
            “Urat kening awak dah putus ke? Pergilah! Nanti apa pula orang lain kata bila tengok kita berdua di sini.” Wardah tolak badan Ahmad Zikri.
            “Biarlah mereka nak kata apa pun. Saya bukan pinjam sudu mereka untuk kacau awak.” Ahmad Zikri tersenyum cantik.
            Wardah mendengus kasar. Tak tahu dengan cara apa lagi untuk menghalau Ahmad Zikri. Memang dasar budak tak makan saman. Sudahnya dia bangun. Kalau dilayan nanti, makin menjadi. Baik dia blah ajelah.
            “Wardah, kain kau koyak!” Tiba-tiba Ahmad Zikri dapat idea untuk kenakan Wardah.
            “Ha? Mana...mana?”
            Kelam-kabut Wardah memeriksa kainnya. Berpusing-pusing badan Wardah untuk melihat belakang badan. Dalam pada itu Ahmad Zikri dah terbahak-bahak mentertawakannya. Kali ini Wardah dah tak boleh sabar. Sebelah kasut dia tanggalkan. Kali ini Ahmad Zikri yang seronok ketawa itu akan dapat habuannya.
            Tanpa fikir apa-apa terus Wardah baling kasutnya ke arah Ahmad Zikri. Tepat mengena dahi. Ahmad Zikri terus diam terbaring di rumput. Puas hati Wardah. Mampuslah kau kat situ. Gerutu hatinya. Wardah kutip kasut yang dia baling tadi bersama perasaan separuh lega. Dapat juga dia membalas perbuatan Ahmad Zikri.
Ahmad Zikri masih tidak bergerak. Wardah biarkan saja. Dia takkan tertipu lagi dengan helah Ahmad Zikri.
            Loceng berbunyi. Waktu rehat sudah berakhir. Tapi Ahmad Zikri masih terbaring di atas padang rumput.
            “Nak tidur balik rumahlah!”
            Wardah berjalan laju meninggalkan Ahmad Zikri. Kemudian dia menoleh ke belakang. Budak paling nakal di dalam kelasnya itu masih tidak bergerak-gerak.
“Kuat sangat ke kasut yang aku baling tadi?” soal Wardah sendirian.
            Tak puas hati. Wardah pergi melihat keadaan Ahmad Zikri semula. Kaki kanan Ahmaf Zikri digerakkan menggunakan hujung kaki kanan. Tiada sebarang reaksi. Wardah menyepak perlahan betis Ahmad Zikri. Tetap tiada sebarang perubahan.
            “Zikri,” panggil Wardah perlahan.
            Dari mata kasar, dada Ahmad Zikri seakan tidak berombak. Hati mula risau. Masalah yang pertama masih belum selesai kini timbul pula masalah yang baru. Mati dia kalau terjadi apa-apa pada Ahmad Zikri.
            “Waktu rehat dah habis  ni. Janganlah main-mainlah!” Suara Wardah seakan cemas. Namun, Ahmad Zikri masih begitu.
 Hati makin risau. Sudah terbayang wajah ibu bapa Ahmad Zikri yang datang ke sekolah untuk memarahinya. Mungkin pegawai polis juga akan datang menangkapnya kerana kesalahan membunuh dengan niat. Berita mengenai seorang gadis yang mencederakan rakan sebaya sehingga menyebabkan kematian mungkin akan terpampang di dada akhbar besok.
“Zikri, bangunlah woi! Tak kelakar pun gurauan awak ni.” Wardah menyangkung di sebelah Ahmad Zikri. Sengaja dipicitnya hidung Ahmad Zikri untuk membangunkan lelaki itu. Tetapi helahnya tidak berkesan.
“Zikri! Saya minta ampun... Saya tak berniat nak cederakan awak.”
Suara cemas sudah keluar. Tubuh Ahmad Zikri digoncang kuat. Mata jadi panas dengan sendirinya. Rasa macam nak meraung pun ada juga. Perkara-perkara negatif yang difikirkan tadi kembali terbayang di dalam kepala. Liar mata Wardah mencari sesiapa sahaja yang boleh membantu. Tiada pula kawan-kawan yang dia kenal lalu di situ.
Dia perlu mendapatkan bantuan. Mungkin Ahmad Zikri cuma pengsan. Guru bertugas perlu dimaklumkan mengenai hal ini. Wardah bangun. Ketika dia berpaling untuk melangkah, hujung kain baju kurungnya ditarik kuat dan menyebabkan dia duduk tersembam di sebelah Ahmad Zikri.
“Saya hidup lagilah.” Dia kenyit mata. Tawa Ahmad Zikri kedengaran semula. Seronok sungguh dia mempermain-mainkan Wardah. Dia bangun dan menyapu punggungnya yang penuh dengan rumput kering.
“Kurang ajar!” Wardah bangun dan bercekak pinggang. Tak kelakar pun gurauan Ahmad Zikri tadi.
“Sayang juga awak kat saya kan?” Ahmad Zikri tunjuk senyum nakal.
“Sayang kepala hotak awak! Dah tak ada idea lain lagi ke nak bergurau?”
“Ada. Masih banyak lagi koleksi gurauan yang saya simpan. Semuanya untuk awak.”
Malas nak melayan lagi. Wardah berjalan laju meninggalkan Ahmad Zikri di belakang.
“Wardah! Tunggulah kejap.”
Wardah buat-buat tak dengar. Masalah yang bakal dihadapi bila pulang ke rumah nanti lebih penting buat masa ini. Apa alasan logik yang boleh diberi pada abah nanti? Belum apa-apa lagi dia sudah dapat rasakan perit dan pedihnya badan bila menerima habuan daripada abah nanti. Mengalir airmata Wardah bila mengenangkan semua itu. Bukan salah dia kerana dapat tempat yang tercorot. Dia dah berusaha sebaik mungkin. Tapi percubaannya masih tidak berjaya.
“Lajunya awak jalan. Buat apa tergesa-gesa sangat nak masuk dalam kelas? Belajar pandai-pandai pun bukannya boleh dapat nombor satu .” Ahmad Zikri menyakat lagi sebaik sahaja dapat menyaingi Wardah. Tapi tiba-tiba senyumnya hilang tatkala melihat mata Wardah yang merah.
“Eh, awak menangis? Ala...terharunya saya. Terima kasihlah sebab awak risau sangat dengan keadaan saya tadi.”
“Jangan perasanlah. Buang masa saja saya nak risau pasal awak. Saya risau pasal keputusan peperiksaan sayalah!”
“Pasal benda tu pun nak menangis? Bukannya teruk sangat keputusan peperiksaan kau tu. Nombor satu juga. Nombor satu dari belakang!”
“Diam!”
Wardah sudah tidak tahan. Dicekaknya leher baju sekolah Ahmad Zikri. Buntang matanya merenung Ahmad Zikri.
“Kalau awak bercakap lagi, saya sumbat mulut awak dengan buku lima saya ni.”
Wardah genggam penumbuk. Cubalah Ahmad Zikri bercakap lagi. Memang selamat muka dia kena tuam nanti.
“Wo, relakslah! Okey, saya diam.” Ahmad Zikri tekup mulut dengan dua-dua tangan.
Nafas Wardah turun naik menahan geram. Ikutkan hati mahu dilambung saja budak hati kering tu.
Wardah lepaskan Ahmad Zikri selepas itu. Dia bagi isyarat supaya Ahmad Zikri beredar dulu. Mujur dia tidak banyak soal. Wardah mengekorinya  dari  belakang. Sambil berjalan dia membersihkan rumput kering yang melekat di bajunya.
“Aduh!”
Wardah terlanggar Ahmad Zikri. Terhoyong-hayang dia cuba mengimbangkan badan. Ahmad Zikri sempat menarik pinggang Wardah bagi mengelakkan dia terjatuh. Wardah tergamam. Tapi cepat-cepat dia menolak Ahmad Zikri dan berundur ke belakang.
“Kenapa awak berhenti?” Wardah menjerkah. Malu pun ya juga.
“Saya takut awak melencong ke tempat lain. Yalah, awak kata tadi tengah susah hati. Risau juga saya kalau-kalau awak pergi panjat bumbung sekolah.”
“Awak fikir saya ni pendek akal sangat ke nak buat kerja bodoh tu?” Suara Wardah masih tinggi.
“Kalau panjang akal takkanlah awak dapat tempat terakhir dalam kelas, kan?”
Ahmad Zikri gelak dan berlari meninggalkan Wardah. Wardah mengejar. Kali ini dia tak kira. Ahmad Zikri perlu diajar. Selagi tidak diberi pengajaran selagi itulah Ahmad Zikri akan menganggunya.
“Hoi!”
Dua-dua terhenti. Ahmad Zikri pandang Wardah. Wardah ketap bibir. Sekejap saja muka dia berubah pucat apabila melihat penolong ketua pengawas sedang merenung mereka sambil mencekak pinggang.
“Apahal main kejar-kejar ni? Waktu rehat dah habis, kan?” tanya  pengawas itu.
“Kami tahu kak. Tadi mak cik kantin minta tolong kami kutip pinggan di padang. Sebab itulah lambat sikit masuk ke kelas. Kami pergi dulu.” Dengan selambanya Ahmad Zikri menarik tangan Wardah. Tapi dengan pantas Wardah merentap tangannya.
Ahmad Zikri tak menunggu lagi di situ. Dia tinggalkan Wardah bersama pengawas yang masih masam mencuka merenung mereka.
“Err, adik masuk kelas dulu.” Wardah tergagap-gagap.
“Tunggu!”
Pengawas itu datang dekat. Dari bercekak pinggang dia meletakkan tangan di bahu Wardah. Bibirnya dekat sangat dengan telinga
“Kakak nak pinjam tiga ringgit. Balik rumah nanti kakak ganti balik.”
Wardah menyeluk poket. Memang cukup tiga ringgit duit yang dia ada. Tanpa banyak soal, dihulurnya duit itu pada Hajar.
“Pergi masuk kelas. Bising cikgu adik nanti.” Hajar menghalau  adiknya. Langsung tak pandai berterima kasih.
Besar kecil anak matanya melihat Wardah melangkah longlai menuju ke kelas. Hajar senyum. Dia sudah ada bahan cerita yang boleh dilaporkan pada mak dan abah apabila pulang ke rumah nanti

            

No comments: