Tuesday, January 18, 2011

3

“Umi, Is nak ajak Najihah pergi sekolah dengan Is, boleh umi?” soal Isqandar sambil gogok Milo. Kemudian kunyah roti. Terakhir pandang tepat muka Puan Aida.  Letak sikit harapan. Kemudian harapan tu jadi tambah banyak selepas itu. Tahu uminya mesti okey punya. Sporting habis uminya tu.
            “Kenapa pulak tak boleh? Is ajaklah dia pergi dengan Is,” jawab Puan Aida selamba. Tapi wajahnya sudah berubah. Tak nampak selamba langsung. Macam orang yang tahan nafas saja. Mahu tak terkejut bila anak lelakinya dah mula gatal nak ajak anak saudara tukang kebun pergi sekolah bersama. Puan Aida dah agak, mesti anak lelakinya tu dah berkenan dengan budak perempuan sorang tu. Kalau tidak kenapa Isqandar bersungguh? Di situ Puan Aida dah rasa tak tentu arah. Takut kalau ya anaknya tu dah berkenan dengan budak tu. Mana boleh anaknya berkawan dengan anak saudara tukang kebun. Memang tak boleh sama sekali. Puan Aida tidak akan benarkan sama sekali.
Hanim, kakak Isqandar pandang muka Puan Aida. Nampak Hanim pun faham  dengan keadaan uminya. Tahu  uminya tak suka dengan apa yang didengar, tapi terpaksa bermuka-muka di hadapan Isqandar. Dia sedar juga uminya tidak mahu mendapat gambaran buruk di mata Isqandar. Sebabnya selama ini, Isqandar aggap uminya itu baik sangat. Jadi hendak atau tidak uminya terpaksa buat-buat suka walau tak suka sangat-sangat. Mana boleh Isqandar berkawan dengan perempuan sembarangan.  
            “Is dah berkawan dengan Najihah ke?” soal Puan Aida bersama perasan tak tentu arah itu.
            “Hmm,” jawab Isqandar sambil tersenyum. Seronok. Walau belum ada apa-apa keputusan yang agak menyenangkan hati, tapi Isqandar tahu, budak perempuan seorang tu memang suka jual mahal. Saja cakap tak nak kawan takut orang tuduh dia gatal.
            Puan Aida tambah kelam kabut. Cara Isqandar tersenyum lain benar. Jarang anak lelaki kesayangan itu tunjukkan wajah begitu. Bermakna ini mesti ada cerita disebaliknya.
            “Mak Tam!” Isqandar melaung memanggil Mak Tam yang berada di ruang dapur.
            “Ya Isqandar,” tergesa-gesa Mak Tam ke ruang makan.
“Najihah dah pergi sekolah Mak Tam?” soal Isqandar sambil sapu jem di atas roti. Sekeping tak cukup untuk buat tenaga nak bertekak dengan budak perempuan tu.  Isqandar kena makan lebih.
            “Dia tengah bersiap. Kejap lagi dia pergilah,” beritahu Mak Tam sambil melihat wajah Puan Aida.
            Mak Tam mula cemas bila nampak Puan Aida jeling semacam. Jeling macam nak makan orang. Tapi Mak Tam jelas benar akan jelingan Puan Aida itu. Bukan sehari dua Mak Tam kenal Puan Aida, dah lama benar. Jadi Puan Aida tak pelu tipu Mak Tam, sebab Mak Tam memang tahu dengan perkara sebenarnya.
            “Mak Tam tolong cakap dengan dia, suruh dia tunggu Is dalam kereta,” arah Isqandar lagi.
            Mak Tam rasa sangat serba salah tetapi dia akur juga dengan arahan sebab tak nak dengar Isqandar tanya yang bukan-bukan.
            Mak Tam melangkah cepat menuju bilik mereka di hujung dapur. Waktu dia sampai di bilik mereka, kelihatan Najihah sudah sedia untuk ke sekolah.
            “Isqandar suruh Najihah tunggu dalam kereta, tapi Mak Tam rasa baik Najihah pergi terus. Tak payahlah tumpang kereta mereka,” pesan Mak Tam dengan suara perlahan.
            Najihah angguk. Tanda dia faham. Dia sendiri pun tak nak tumpang kereta orang kaya tu. Lebih baiklah dia berjalan kaki saja.
“Tapi jangan sampai Isqandar tahu Mak Tam suruh Najihah pergi sekolah tanpa tunggu dia. Pergi diam-diam nanti dia bising,” pesan Mak Tam lagi.
            “Baik Mak Tam.” Najihah cium tangan Mak Tam dan cium pipi Mak Tam kemudian dia terus melangkah.  Pergi senyap-senyap.
            Mak Tam ke ruang makan semula dengan perasaan sedikit lega. Lepas ni kalau Isqandar bising-bising, dia dah tak kisah. Sekurang-kurangnya Najihah dah pergi sekolah.  
            “Maaf Isqandar, Najihah dah pergi,” kata Mak Tam.
            “Bukankah Is suruh dia tunggu dalam kereta?” Isqandar dah marah bila dengar Mak Tam cakap macam tu. Budak perempuan ni memang nak kena. Tunjuk sangat keras kepala dia.  
            “Mak Tam masuk bilik, dia dah tak ada.” Mak Tam terpaksa berbohong sebab tak nak Isqandar syak apa-apa. Dia ke dapur selepas itu sebab tak nak dengar Isqandar bising-bising. Dah kenal sangat dengan mulut Isqandar itu.
            “Hisy! Dia inikan!” marah Isqandar. Terus  bangun.
            “Umi, Is pergi dulu.” Isqandar menyalami umi dan kakaknya tergesa-gesa. Kemudian terkejar menuju ruang tamu.
            “Umi, lain macam saja Isqandar ni. Macam dah suka dengan budak perempuan tu saja. Selalunya dia tak pernah ambil tahu tentang sesiapa. Dengan Puteri pun dia tak pernah buat macam tu!” Hanim meneka. Dia sendiri perasan seperti ada yang tak kena dengan Isqandar.  
            Puan Aida diam tapi dia ligat berfikir.
            “Umi kena hati-hati. Kita tak boleh biarkan Is buat sesuka hati dia. Dia tu bakal mewarisi syarikat atuk. Umi kena ingat tu. Jangan biarkan Is buat benda yang boleh menjatuhkan reputasi dia sebagai seorang pewaris utama.” Hanim jadi tukang hasut. Bimbang juga kalau-kalau adiknya itu buat hal.
            “Hanim jangan bimbang. Umi akan kawal Is dengan ketat! Umi tak akan biarkan Is terlibat dengan benda-benda tak berfaedah ni. Lagi pun umi tahu apa yang terbaik untuk Is!” Janji Puan Aida.

Isqandar terus masuk kereta.  Marah bukan main lagi. Tidak sangka hari itu dia gagal juga. Sepanjang berada di dalam kereta Isqandar langsung tidak bercakap. Dia terus menanti di luar pintu pagar sebaik sahaja turun dari kereta. Dia hendak menanti Najihah. Budak sombong itu mesti diajar cukup-cukup hari ini. Tak boleh tangguh-tangguh lagi. Isqandar tak nak bertolak ansur juga. Dah hilang sabarnya.
            “Selamat pagi Is,” sapa Puteri Amira dengan manja sebaik sahaja menghampiri Isqandar.
Isqandar tak jawab apa-apa. Malas campur meluat. Masih melihat arah pejalan kaki. Hatinya betul-betul sakit. Bukan sikit sakitnya. Dah berbakul-bakul sampai dah tak terpikul.
            “Tunggu apa lagi, jomlah masuk!” ajak Puteri Amira selamba. Sejak nampak Isqandar tercegat di situ dia sudah tahu Isqandar menantikan siapa.  Sejak itulah bermula sakit hatinya.
            “Masuklah dulu.” marah Isqandar.  
            “Is tak manislah awak tercegat macam ni. Nanti orang ingat awak pak guard baru sekolah kita!” Puteri Amira cuba memujuk.
            “Aku sendiri tak kisah, kenapa orang lain pulak yang kena sibuk-sibuk hal aku? Suka hati akulah nak jadi pak guard ke atau apa ke!” Isqandar sudah bengang. Sudahlah dia marahkan Najihah dua tiga hari ini, Puteri Amira pula tumpang sekaki. Makin maraklah api kemarahannya.
            “Jomlah kita masuk. Nanti bukan setakat orang ingat pak guard, nanti orang cakap awak tunggu budak baru tu pulak. Awak tak malu ke kalau kawan-kawan lain tuduh awak syok kat budak baru tu?” Puteri Amira tak berhenti mencuba. Dia mahu Isqandar masuk ke sekolah bersamanya. Tak nak beri peluang langsung Isqandar mendekati Najihah. Tak akan sama sekali.
            “Aku tak kisahlah budak lain nak cakap apa. Selagi aku tahu apa aku buat, orang lain nak cakap apapun suka hatilah!’ marah Isqandar.
            Puteri Amira tak berganjak dari situ. Kali ini apa nak jadi, jadilah. Dia tidak akan benarkan Isqandar rapat dengan budak baru tu. Puteri Amira tak akan mudah mengaku kalah.
            “Yang kau tercegat kat sini kenapa? Masuklah!” tengking Isqandar bila melihat Puteri Amira tak bergerak-gerak dari tadi.
            Puteri Amira diam. Tak jawab apa-apa. Hari itu dia dah nekad. Walau apa terjadi dia tetap nak masuk ke kawasan sekolah bersama Isqandar.
            “Ah! Suka hati engkaulah. Aku dah tak kuasa nak layan!” kata Isqandar akhirnya.
Lama mereka menanti di situ namun sehingga masa berbaki 5 minit lagi, Najihah tidak juga muncul. Akhirnya keduanya masuk juga ke kawasan sekolah.
            Tiba di dalam kelas, Isqandar begitu terkejut melihat Najihah sudah berada di tempat duduknya sambil berbual dengan Nurul.
            Mustahil Najihah boleh sampai awal sedangkan Isqandar tahu Najihah ke sekolah hanya dengan berjalan kaki. Tahu juga jalan kaki Najihah tu jenis yang bagaimana.
            Isqandar ke tempat duduknya sambil itu dia menjeling Najihah. Najihah juga melihat Isqandar. Kemudian Isqandar  berdiri bersebelahan meja Najihah.
            “Datang dengan apa tadi? Cepat sampainya!” tanya Isqandar sambil pandang wajah Najihah.
            “Oh! Najihah naik kereta kebal tadi. Aku yang bawak. Tak nampak ada kereta kebal parking kat depan tu? tu kereta kebal akulah!” Nurul tolong jawab dengan nada seloroh. Saja nak buat gempak pagi-pagi.  
            Isqandar terus buat muka masam. Kalau tak ingat dalam kelas, memang budak Nurul tu dah kena dengan Isqandar. Isqandar sudahlah angin satu badan, boleh lagi Nurul buat lawak bodoh begitu.
            Najihah mengekek ketawa. Rasa geli hati mendengar cakap-cakap Nurul. Tak sangka Nurul tu lawak jugak. Boleh ingat kereta kebal lagi. Tapi kalau dia cakap naik ferarri lagi bagus. Lagi terbakar hati mamat tu.
            Isqandar terus ke tempat duduknya. Dihempas beg sekolah di atas meja dengan kuat sehingga mengundang perhatian rakan sekelas yang lain. Kemudian Isqandar tolak-tolak meja sehingga mengeluarkan bunyi bising.
            Najihah buat tak tahu. Kau hempaslah apa-apa, aku tak kisah. Kau tolaklah apa saja, aku tak kisah juga. Suka hatilah kau nak buat apa! Bukan masalah aku pun, kata hati kecil Najihah. Dia terus berbual dengan Nurul. Seronok juga dapat menumpang kereta ayah Nurul pagi itu.
            Dah lama berbual dengan Nurul, Najihah toleh untuk pandang Isqandar.  Rasa pelik juga bila Isqandar dah tak hempas-hempas dan tak tolak  apa-apa. Penat agakya.
            Tak sangka Isqandar tengah pandang arah Najihah. Cepat-cepat Najihah pandang muka Nurul semula. Takut nak pandang muka Isqandar. Dah lain macam sangat muka Isqandar.
            Sambil mendengar Nurul bercerita, sekali lagi Najihah jeling Isqandar. Terkejut juga Najihah bila nampak Isqandar masih pandang tepat kepadanya. Wah! Dahsyat mamat ni menurun. Tak baik-baik lagi rupanya.
            Najihah tarik nafas panjang. Dia tak faham langsung dengan sikap Isqandar itu. Sibuk sangat nak kawan dengannya. Macam tak ada kawan lain!  Dah orang tak nak kawan tu, faham-faham ajelah. Ini tidak, main paksa-paksa pulak. Runsing Najihah jadinya. Hari itu dia aman sikit sebab Helmi tak datang sekolah. Kalau tidak itu pun nak kena elak jugak. Lagi runsing.  

MASA rehat Najihah ke perpustakaan lagi. Lebih selesa menghabiskan masa di situ. Tapi dia begitu terkejut bila melihat Isqandar sudah duduk di tempat dia duduk semalam. Jadi terpaksalah mencari tempat duduk yang lain.
            Isqandar lihatkan saja tingkah Najihah. Setelah Najihah duduk dia pun bangun. Kononya hendak mencari buku yang terdapat di rak yang betul-betul terletak di belakang tempat duduk Najihah.
            Mulanya dia tolak kerusi Najihah. Sengaja mencari pasal. Saja nak mulakan episod  balas dendam.
            Najihah  tetap tidak peduli. Terus dengan bacaannya.
            “Hisy! Ekor kuda siapa pulak sesat kat sini ni!” Isqandar bercakap sendiri,  kemudian ditariknya  rambut Najihah.
“Aduh! Sakitlah!” marah Najihah sambil pusingkan badannya. Kemudian dia pandang Isqandar dengan jelingan tajam.
“La, rambut manusia ke? Ingat tadi ekor kuda siapalah yang sesat kat sini!” balas Isqandar. Buat muka tak bersalah.
“Huh! Tak kenal ke rambut manusia dengan ekor kuda?’ marah Najihah. Betul-betul tidak senang dengan tingkah Isqandar itu. Sejak hari pertama, tak habis-habis  mencari pasal dengan Najihah.
Isqandar duduk berhadapan dengan Najihah dengan muka tak malu.
“Eh! Boleh tak awak jangan duduk sini?” soal Najihah. Mukanya dah sehabis masam. Betul-betul tak suka dengan apa yang Isqandar buat.
“Eh! Suka hati orang lah nak duduk mana!” balas Isqandar.
            Malas hendak berlawan cakap, Najihah bangun mencari tempat duduk lain. Biarlah dia beralah dari bertekak.
            Isqandar turut bangun juga selepas itu. Dia duduk pula di hadapan Najihah di tempat baru.
            “Karang ada jugak yang kena karate dengan aku!” bebel Najihah sendirian. Sakit betul hatinya dengan sikap Isqandar itu. Terang-terang hendak menguji kesabaran Najihah.
            Isqandar jeling. Buat-buat tak dengar cakap-cakap Najihah. Tapi Isqandar memang dengar, lebih-lebih perkataan karate itu.
            “Aik, apa pasal manusia ni ada kat sini?” soal Nurul tiba-tiba. Dia yang baru muncul agak terkejut  melihat kehadiran Isqandar.
            Isqandar jeling pula Nurul. Geram betul dia melihat Nurul. Kacau daun betul!
            “Aku rasa, mahu demam buku-buku dalam perpustakaan ni bila nampak kau kat sini,” kata Nurul lagi sambil tergelak kecil. 
            “Eh! Nurul, kau boleh diam tak? Memekak saja. Murai tercabut ekor pun tak bising macam kau ni!” kata Isqandar. Betul-betul tak senang dengan kehadiran Nurul. Menganggu usahanya untuk mendekati Najihah.
            “Tak adalah. Aku pelik jugak tengok kau ada kat sini. Tak pernahnya datang perpustakaan seumur hidup!”
            “Suka hati akulah nak datang ke tidak!”
            “Hmm, satu lagi. Aku takutlah kau duduk sini., takut kena serang dengan awek kau tu, semalam Najihah dah kena serang!”
            “Awek aku? Siapa?” soal Isqandar dengan rasa terperanjat.
            “La! Apa punya jenis manusia lah kau ni. Awek sendiri pun tak kenal. Siapa lagi kalau bukan ratu cantik tu!”
            “Siapa ratu cantik?” soal Isqandar dengan penuh tanda tanya. Selama ini tak tahu pulak sekolah mereka ada ratu cantik.
            “Siapa lagi ratu cantik kat sekolah kita ni kalau bukan Puteri Amira. Bukan ke dia kekasih kesayangan kau!”
            “Uwekk…” Isqandar buat muntah.
            “Kau ni Nurul, kalau ya pun nak kenenkan aku, carilah yang okey sikit. Kalau Puteri tu aku minta maaflah. Sekalipun tinggal dia seorang  dalam dunia ni, aku tak akan pilih dia jugak. Tak hingin aku!”
            Nurul sambut dengan gelak. Najihah juga tumpang tersenyum. Cara Isqandar bercakap seperti sangat bersungguh.
            “Dia serang awak Najihah? Kenapa dia serang awak?” Isqandar kembali bertanya. Nak tahu jugak cerita sebenar, sampai serang menyerang pulak tu.  
            “Sebab dia cakap Najihah nak mengorat kau. Sebab itu dia bagi amaran, jangan kawan dengan kau!” Nurul tolong jawab soalan Isqandar kerana bagi Nurul, dia lebih tahu tentang Puteri Amira berbanding Najihah sendiri.
            “Oh! Sekarang ni orang tahulah kenapa awak tak nak kawan orang. Bukan setakat antara dua darjat saja rupanya. Dah ada kes lain yang menumpang sama. Padanlah takut sangat nak kawan dengan orang!” kata Isqandar dengan perasaan yang sangat kecewa. Kemudian rasa kecewa itu bertukar marah.
            “Huh! Panjang umur awek kau Isqandar. Baru kita sebut-sebut dah muncul,” kata Nurul sebaik sahaja terpandang Puteri Amira.
            “Habislah kita Nurul!” kata Najihah perlahan.
            “Itulah Isqandar, duduk sini lagi!” bebel Nurul pula.
            “Yang kau orang berdua ni takut sangat dengan dia kenapa? Bukannya dia boleh makan orang pun!”
            “Memanglah tak boleh makan orang, tapi cakap-cakap dia tu buat orang sakit hati,” kata Nurul lagi.
            “Jom Nurul, kita blah saja. Malas aku nak pandang muka dia!” Najihah terus bangun. Dia letak semula buku yang dipegangnya ke tempat asal.
            Tergesa-gesa keduanya tinggalkan perpustakaan. Isqandar juga ambil langkah yang sama. Dia juga bangun dan cepat-cepat melangkah keluar selepas meletakkan semula buku yang diambil dari rak yang sama.
            “Is, nak ke mana ni?” soal Puteri Amira bila melihat Isqandar tergesa-gesa melangkah.
            Isqandar buat tak tahu. Langsung tidak menghiraukan teguran Puteri Amira.  Ketika itu Isqandar begitu marah dengan Puteri Amira. Tidak sangka Puteri Amira sudah berani menyerang Najihah.
            “Hey, Is, tak dengar ke Puteri panggil?” Puteri Amira turut terkejar Isqandar.
            Isqandar berhenti melangkah. Dia pandang tepat wajah Puteri Amira.
            “Nurul beritahu aku kau serang Najihah semalam, betul ke?” soal Isqandar dengan tegas.
            Puteri Amira jadi serba salah.
            “Bukan Puteri serang dia, Puteri cuma cakap….”
            “Jangan kawan dengan aku? Begitu?” tengking Isqandar pula.
            Mulut Puteri Amira sudah terkunci. Tidak mampu bercakap lagi sebab masa tu dia rasa agak takut juga dengan Isqandar.
            “Boleh tak kalau kau jangan menyusahkan aku? Boleh tak jangan ambil tahu tentang hidup aku? Aku benci sangat!” soal Isqandar sebelum terus melangkah.
            Puteri Amira hanya melihat langkah Isqandar dengan hati yang benar-benar terbakar.