PELIK.
Tak nampak pulak dia hari ni. Ingatkan dia masuk kerja pukul 11.00 tapi
sehingga waktu rehat dia masih tidak muncul-muncul. Memanglah ada rasa bebas
tapi rasa macam terkurang saja. Rasa macam tak lengkap saja hari ni. Aduhai
perasaan, kenapa lain aje ni? Sebelum-sebelum ini tak pula rasa apa-apa. Selalunya
memang harap tak nampak muka dia, tapi bila betul-betul tak nampak, lain pulak
jadinya.
Rindu dia ke? Ah! Gila kalau rindu
dia.
Aku bawa bekas makanan ke pantri.
Pagi tadi sempat masa nasi dan sambal tumis ikan bilis. Bolehlah untuk
kenyangkan perut.
Isi air masak dalam muk yang Encik
Hazrul beri dan bawa ke meja. Lepas baca doa makan, aku jamah nasi. Ya, kalau
susah buat cara susah. Apa-apa pun, hidup perlu diteruskan. Jangan ada
rungutan, kalau aku rasa aku susah, ada yang lebih susah dari aku. Pasrah.
Tiba-tiba aku tersedak. Siapa pulak
yang mengutuk aku ni. Cepat aku minum air dan selepas itu aku terbatuk menahan
perit kerongkong. Terasa seperti ada orang tepuk belakang. Cepat aku toleh.
“Encik...?” soalku. Terkejut juga
melihat dia. Tiba-tiba saja muncul sedangkan sudah separuh hari orang menunggu
dia. Dan aku terpandang mata dia seperti merah sahaja. Dia menangis ke? Kalau
betul dia menangis, apa sebabnya? Ah! Banyak tanya pulak.
“Hmm, makan tak toleh kiri kanan,”
katanya lalu duduk di hadapanku. Sebuah plastik warna hitam dia letak atas
meja.
“Encik dah makan ke?” soalku. Sekilas
pandang dia lagi. Memang mata dia merah.
“Sudah. Saya jumpa kawan tadi. Terus
makan tengah hari.”
Aku angguk dan sambung makan tanpa
pedulikan dia. Dia juga diam. Walau aku perasan dia tidak perhatikan aku,
tetapi rasanya sesekali perhatiannya tercuri ke arahku. Aku angkat muka dan
pandang dia.
Yalah, dia menangis sebenarnya.
“Encik okey?” soalku. Mana tahu ada masalah kerja atau dia kena marah sebab itu
merajuk tak nak masuk kerja. Anak orang kaya memang begitu selalunya.
“Masalah kerja saja…” jawabnya
perlahan dan suaranya seakan tersekat.
“Biasalah encik. Mana ada kerja
senang…” Cuba pujuk dia, walau aku bukanlah berbakat dalam bab pujuk orang. Aku
nampak air matanya bergenang dan rasanya dia memang teruk kena marah.
Dia tak jawab. Mungkin sedang pujuk
perasaan sendiri. Sehingga aku selesai makan, dia masih begitu. Tak banyak
songeh pulak dia hari ni.
“Oh, ya. Ini untuk awak.” Dia tolak
plastik hitam depanku waktu aku minum air. Cepat aku letak semula muk atas
meja. Cuba lihat apa yang ada di dalam beg plastik tersebut.
“Buah janggus?” Terjerit aku
jadinya. “Mana encik dapat buah ni?” soalku. Memang terkejut bila nampak buah
janggus di dalam plastik tersebut. Yang aku idamkan tiba-tiba ada di hadapan
mata.
“Hmm, bos awak yang tercabut skru tu
suruh orang carikan buah ni.”
Aku gelak. Oh, rupanya memang dia
dengarlah aku kutuk dia hari tu. Kalau tidak tak kan dia suruh orang carikan
buah janggus ni. “Encik la, suka sangat dera saya. Suka sangat marah saya.
Kalau tak suka saya, tak apalah. Tapi janganlah buat saya macam tu. Saya ni
anak yatim piatu. Berdosa besar kalau encik dera anak yatim piatu.”
“Siapa kata saya tak suka awak?”
Nampak dia lap sisa-sisa air mata.
“Yalah…suka sangat marah saya.”
“Kalau saya tak tinggikan suara,
awak tak bergerak. Buat bodoh awak aje…” Dia bangun selepas itu dan bergerak
perlahan.
“Encik…” Aku panggil masa Encik
Hazrul sampai pintu pantri. Dia pusing badan dan mata kami bertemu. “Terima
kasih…” Aku angkat plastik dan tunjuk kepada dia.
“Jangan setakat benda tu, hati gajah
pun saya sanggup suruh orang lapah…”
“Apa encik, macam perli aje.”
“Saya sayang awak dengan sepenuh
hati saya…” katanya dengan wajah serius.
“Oh ya? Takutnya…” Aku gelak.
Pandailah dia buat lawak. Kemudian aku lihat Encik Hazrul terus melangkah.
Nampak langkahnya lemah dan kosong. Kesiannya dia. Mesti dia ada masalah besar
yang susah untuk diselesaikan.
Aku basuh bekas makanan dan letak
atas rak. Balik karang aku boleh ambik. Tapi beg plastik berisi buah janggus
tak boleh tinggal kat situ. Nanti ada yang mintak. Bukan senang nak dapat buah
janggus. Jadi aku bawa beg plastik ke tempatku dan simpan dalam laci.
Encik Hazrul keluar dari biliknya
masa aku nak letak kepala atas meja. Ingat nak rehat sekejap sementara
menantikan waktu kerja bermula. “Encik nak air?” soalku.
Dia geleng. “Awak rehat ajelah…”
katanya dengan suara yang agak perlahan. Kemudian dia ke pantri. Aku sambung
letak kepala atas meja. Entah apalah yang dia buat kat pantri tu. Biar dialah.
Suasana kembali senyap dan Encik
Hazrul masih tidak muncul-muncul lagi. Tidak berapa lama selepas itu suara riuh
rendah dari tiga serangkai itu bergema. Mesti ada yang menjadi bahan ketawa
mereka.
Aku angkat kepala dan pandang mereka
sambil kemas rambut.
“Yan tak makan?” soal Kak Ha sebaik
duduk.
“Dia mana ada duit kak. Sengkek
macam dia ni mana mampu makan kat D’ Selera.” Hilda ketawa. Ketawanya tentu
saja bernada sinis. Sabar Azian. Jangan terasa kerana kata-kata orang.
“Saya dah makan kak, saya bawa bekal
aje,” jawabku perlahan dan perhatikan Encik Hazrul yang bergerak keluar dari
pantri.
“Itulah, lain kali kalau tak mampu
kerja di sini, kau janganlah kerja kat sini. Kau tahu tak, dengan status kau
yang ala-ala orang susah ni dah menjatuhkan status pejabat pengurusan. Kau
minta sajalah unit cleaner ke. Memalukan tau tak kalau orang lain tahu ada
pekerja sengkek kerja kat bahagian pengurusan. Banyak-banyak bahagian,
kenapalah HR hantar manusia macam kau ni kat sini,” kata Hilda lagi.
“Apa awak cakap Hilda?” soal Encik
Hazrul dengan tiba-tiba. Suaranya seperti orang marah saja.
“Err…encik. Saya tak cakap apa-apa.”
Aku nampak muka Hilda berubah pucat.
“Saya dengar tadi awak cakap pekerja
sengkek? Siapa pekerja sengkek tu?” soal Encik Hazrul lagi. Dia bercekak
pinggang pula. Mata tajam pandang Hilda. Serius, aku takut melihat keadaan
Encik Hazrul begitu. Sudahlah Encik Hazrul itu seperti ada masalah dalaman
saja. Hilda pula menaikkan kemarahan dia. Jadi memang aku rasa Hilda bakal
menjadi mangsa Encik Hazrul.
Hilda nampak serba salah untuk
jawab.
“Apa masalah awak sebenarnya ni?
Kalau saya sendiri tak cakap apa-apa pun tentang taraf pekerja bawahan saya,
apa hak awak nak cakap pekerja saya macam tu? Awak ke pemilik Menara Holding
ni?” Kali ini suara Encik Hazrul tambah keras.
“Saya minta maaf encik,” kata Hilda.
“Awak tak perlu minta maaf dari
saya, orang yang awak kena minta maaf ialah Azian. Awak sudah menghina dia.
Awak minta maaf sekarang jugak!” pekik
Encik Hazrul.
“Encik, saya okey. Saya tak kisah.”
Aku menyampuk.
“Awak diam Azian. Perangai awak
memang macam ni. Orang buat apa pun awak biarkan saja. Orang pijak-pijak pun
awak masih diamkan. Hati saya yang sakit tau tak.” Encik Hazrul marah aku pula.
Tak berani aku nak menjawab.
“Awak minta maaf sekarang!” jerit
Encik Hazrul.
“Azian, saya minta maaf,” kata
Hilda.
“Ya, saya maafkan,” jawabku
perlahan. Benar-benar tidak sangka begitu rupanya perangai Encik Hazrul.
“Sekali lagi saya dengar awak cakap
yang bukan-bukan, saya akan ambil tindakan tegas. Ini amaran pertama daripada
saya.” Habis saja bercakap, Encik Hazrul terus atur langkah laju ke biliknya.
Pintu dihempas sekuatnya selepas itu. Benar-benar buat aku terkejut.
“Bila bos sampai?” soal Kak Ha.
“Baru lagi,” jawabku.
“Eh, kau ni bawak sial apa hah?
Setiap kali aku kena marah, pasti pasal kau. Kau ni memang siallah!” marah
Hilda.
“Hilda, tak baik cakap macam tu…”
kata Kak Ha.
“Memang betul apa. Dah berapa kali
saya kena marah disebabkan perempuan ni.” Hilda hentak kaki dan dia bawa diri
ke pantri.
“Yan jangan terasa ya. Dia memang
perangai macam tu,” kata Kak Huda pula seperti hendak pujuk aku. Kemudian dia
mengekori Hilda. Mungkin mahu pujuk Hilda.
“Yan kena sabar. Memang tak semua
orang akan suka kita dan kita pun kadang-kadang tak suka dengan orang. Jadi
akak harap sangat Yan sabar. Jangan disebabkan perkara macam ni Yan nak
berhenti kerja. Anggap sebagai dugaan saja.” Kak Ha juga bangun. Dia turut sama
ke pantri.
Tinggallah aku sendirian. Sebenarnya
aku juga perlukan pujukan dari teman-teman. Aku juga mangsa dalam hal ni, tapi
nampaknya Kak Ha dan Kak Huda lebih memberi perhatian terhadap Hilda. Tak
apalah. Anggap saja aku orang asing. Tiba-tiba air mata menitik. Selalunya aku
boleh tahan, tapi kali ni memang benar-benar terasa diri aku ini memang pembawa
malang. Bukan mak ngah saja yang sebut sekarang Hilda pula.
Encik Hazrul keluar dari biliknya.
Cepat aku lap air mata. “Kenapa menangis ni?” soalnya.
“Taklah, mata masuk habuk,” jawabku.
“Habuk? Ingat saya ni bodoh sangat
ke?” soalnya dengan nada sedikit keras. Marah lagi rupanya.
“Ya habuk.” Aku cuba senyum.
“Jangan senyum kalau tak nak
senyum.” Marahnya lagi. Masa itulah aku nampak Kak Ha dan Kak Huda berlari anak
dari pantri.
“Ikut saya sekarang,” arahnya.
“Ke mana?” soalku.
“Janganlah tanya!” pekiknya.
Aku bangun. Akur dengan arahan. Nampak
seperti Encik Hazrul tidak boleh mengawal perasaannya.
“Bawa beg tangan awak dan barang
yang saya beri kat awak tadi. Kita tak balik ofis hari ni,” kataya dengan
tegas.
Aku keluarkan beg tangan dan beg
plastik. “Kejap nak ambil bekas makanan saya,” ujarku dan berlari anak ke
pantri. Di pantri Hilda masih teresak.
“Kau nak apa lagi hah, sial?” soal
Hilda.
Menyirap darah. “Beginikah cara
seorang yang kononnya berpelajaran tinggi dan high class? Serupa macam tak
pernah pergi sekolah saja…” Aku perli. Kemudian ambil bekas makanan.
“Eh sial, apa kau cakap?”
“Saya tanya, macam ini ke orang yang
berpelajaran tinggi dan dari golongan bercitarasa tinggi bercakap?” Aku tanya
lagi dan senyum sinis.
Nampak kemarahan Hilda sudah ke
tahap yang tidak boleh dikawal lagi. Tidak semena-mena dia tarik bajuku.
“Apa kau cakap?’ soal Hilda kasar.
“Apa lagi ni…” Encik Hazrul menjerit
di muka pintu pantri. Cepat Hilda lepaskan bajuku.
“Dia cari pasal dengan saya encik.
Dia ugut saya tadi…” kata Hilda.
Aku kerut dahi. Pandainya Hilda main
drama.
“Awak ikut saya sekarang!” Encik
Hazrul menjerit lagi. Jadi aku ikut Encik Hazrul tanpa pedulikan Hilda lagi.
DI
DALAM kereta Encik Hazrul membisu seribu bahasa. Sebenarnya aku sendiri takut
melihat keadaan dia begitu. Memang tidak menyangka dia akan bertindak
sedemikian rupa. Apa agaknya masalah dia yang sebenarnya.
“Encik, kalau encik ada masalah,
encik kongsikanlah dengan saya. Insya Allah, kalau tak mampu bantu encik
mungkin saya akan menjadi pendengar yang setia. Saya sudi mendengar masalah
encik.” Aku beranikan diri untuk bersuara. Tidak mahu terus-terusan dengan
suasana senyap dan sunyi. Bosan dan menakutkan.
“Saya sudah jatuh cinta sebenarnya…”
“Oh…” Aku angguk. Masalah cinta
rupanya. Ingatkan masalah kerja. Padanlah gilanya semacam. Orang kata kalau
disebabkan cinta, memang begitulah keadaannya.
“Habis tu? Keluarga encik menentang
pilihan encik?” Disebabkan pengaruh sinetron, mudah saja aku membaca jalan
cerita cinta Encik Hazrul.
“Hmm…”
“Kalau encik dah suka, bawak lari
ajelah kekasih encik tu, habis cerita. Kata jatuh cinta, encik ingat senang ke
nak jatuh cinta.”
“Awak mengajar saya jadi jahat ke?”
“Eh, kata tadi cinta. Sebab cinta
orang akan buat apa saja. Encik lupa ke, cinta itu kan buta…” Melihatkan muram
yang sudah mula susut di wajah Encik Hazrul, buat aku rasa selesa pula hendak
bergurau dengan dia.
“Memang pun saya sudah bersedia nak
bawak dia lari. Masalahnya sekarang ni, nak ke dia lari dengan saya.”
“Gila tak nak!” Aku pandang tepat
wajah Encik Hazrul. “Kalaulah saya jadi gadis tu, kejap ini jugak saya lari
dengan encik.” Tak, aku buat lawak saja. Nak sedapkan hati Encik Hazrul. Nak
beri dia semangat larikan anak dara orang.
“Ya…? Serius awak nak ikut kalau
awak gadis yang saya cintai tu?”
“Mestilah nak.”
Aku nampak bibir Encik Hazrul
mengukir senyuman. Nampak benar dia suka. Siapalah gadis yang hendak dia bawa
lari itu. Betapa bertuahnya dia. Aku tahu sebenarnya Encik Hazrul ini luaran
saja garang, tapi dalam hati dia ada
taman. Taman yang sangat luas. Kalau tidak masakan dia sanggup suruh orang
carikan aku buah janggus.
“Err, encik nak pergi mana ni?”
soalku setelah agak jauh Encik Hazrul memandu.
“Eh, tadi kata nak lari dengan saya.
Boleh tanya pulak.”
“Pandainya encik buat lawak.”
“Buat lawak apa pulak, saya serius
ni.”
“Dahlah encik. Encik nak ke mana
sebenarnya ni?”
Encik Hazrul mengeluh. “Hari ni saya
nak relak. Saya tak nak kerja dan saya mahu merancang masa depan saya. Jadi
tolong teman saya.”
“Habis tu kita nak ke mana?”
“Perpustakaan.”
“Perpustakaan? Perpustakan kan
tempat orang baca buku.”
“Sayang, perpustakaan memang tempat
orang baca buku. Yang beli ikan tu namanya pasar.”
Adoi, terkena lagi. “Okeylah. Tak
kisah nak pergi mana, tapi lepas tu encik hantar saya ke perhentian bas.”
“Nanti saya hantar awak pulang.”
“Untuk mengelakkan fitnah, saya rasa baiklah encik
jangan hantar saya. Itupun kalau encik masih lagi fikirkan tentang maruah saya.”
Tiada jawapan daripada Encik Hazrul dan aku rasa dia
faham. Dia terus memandu dan nampak lebih tenang.
“Err, pasal rancangan nak lari dengan saya tu macam
mana?” soalnya tiba-tiba.
Aku tampar bahu dia sekali. “Encik boleh tak jangan
merepek. Meraung karang kekasih encik.”
Encik Hazrul gelak perlahan. “Tengok gaya macam tak
meraung pun…”
Malas aku nak layan. Entah apa-apa dia ni.
23 comments:
alahai sweetnya mereka berdua nie...
Heheehe ka sarah bukan je Azian ... saya pun sanggup lari dgn orang macam Hazrul ni ! hehe :)
Act Hazrul kena paksa kahwin dgn Puteri tu ke?
Yannnnnn!!!! Apa kome ni blur sgt la.. Haha bawak lari je yan ni encik hazrul biar kasi sedar sikit hihi
Alahai..sweetnya hazrul...hazrul yg protective...padan muka hilda kena sembur...azian..azian...hint dah bagi byk kali pun x paham paham..blurrr sungguh...hihihih
Sedihla kak sarah bab ni..nak nangis boleh tak..siannye azian..makan ngan sambal jer ke...cepat2 novel keluar..x saabar nak beli..encik hazrul ♡ u..hihihi
Terbaik!!!♥♥♥♥ nk lgi please...
em... kesian dgn azian di hina oleh rakan sekerja camtulah adat dunia yg cantik kaya d muliakan yg miskin dan cacat di keji n dikutuk mujur ade hazrul kerna dpt membela pekerja seperti azian agaknya ade x lg bos seperti hazrul yg prihatin terhadap pekerjanya....
nape ya hazrul menangis agaknya dia sedih pasal azian or hasrat hati yg tependam d larang keluarga.....cuba2lah kira renung2kan....
awatlh hang ni blurr semedang jer yan... en.hazrul dh bg bnyk hint tu... tp geram betul dkt hilda... mulut mmg jht giler.. sabar ye yan... sy suka cerita ni best... tahniah n terima kasih kak sarah...
best...
suka...kesian azian. sempoi je diaorg.
Tak blh nak kata apa dah....sound directpun blh blur lg....
bengong punya HIlda.. haishhh.. geram betul aku...
azian.. sila ikut en.Han lari..
"Bawa daku pergi... lari lebih jauh.. dari realiti"...
Alalalalalala.... Mula2 baca kelat aje perasaan. Lps tu rasa sweet aje... Hehehehehe
Alaaaaaahaaaiiiii.... sweetnye lahhhh....
Tak sabar nk tgu versi cetak....
hailah azian...kene jer ngan en hazrul..En. Hazrul suka ek main-mainkan azian...sweeeet jer..:)
Hilda ni mmg dengki btul
Ado laaa....Azian...Azian
Ado laaa....Azian...Azian
sweet
So Sweet...
Sweet giler😍
Post a Comment