Minggu
baru. Hari baru. Semoga hari ini baik-baik saja. Ceria-ceria saja. Tak nak
susah hati, tak nak sakit hati. Sakit hati? Baru sebut tak nak sakit hati, aku
sudah nampak kereta mewah Encik Hazrul memasuki kawasan syarikat. Maknanya awal
lagi dia hari ni. Wah, buang tebiat sungguh dia ni. Anak Tan Sri dan bertugas
sebagai Chief Executive Officer, boleh jadi pekerja paling awal datang. Memang
karut dan serupa kartun saja. Tapi biarlah dia, yang aku sibuk kenapa pulak?
Aku tak akan masuk pejabat awal.
Rela lepak dengan geng guard tak faham bahasa dari main acara tenung-tenung
dengan lelaki tu. Nasiblah.
“Azian Yuhanis!”
Aduhai…Aku baru nak kenakan jaga
Myanmar ni, sudah dipanggil. Memang kacau daun betullah. Aku pusing badan dan
nampak Encik Hazrul berdiri tegak tidak jauh dari tempat aku berdiri. “Ya,”
jawabku sepatah.
“Masuk ofis sekarang!” katanya
dengan suara tegas.
“Baru lapan setengah. Awal lagi.” Menjawab
jugak tu.
“Sekarang!” Dia separuh menjerit.
“Encik masuklah dulu. Saya nak
berborak kejap.” Aku tidak pedulikan dia.
“Faham bahasa ke tidak?” soalnya
dengan suara yang lebih lantang. Beberapa pekerja yang baru sampai pandang kami
dengan pandangan pelik. Mungkin nampak kami serupa suami isteri sedang bertekak
sahaja.
Aku buat tak tahu juga.
“Saya kira sampai tiga. Kalau awak tak
naik, siap awak. Satu!” Encik Hazrul mulakan kiraan.
Ini yang aku menyampah sangat.
Punyalah ramai manusia yang bekerja di Menara Holding ini, aku jugaklah manusia
yang dia suka buli. Serius, memang skru kepala dia sudah tercabut.
“Dua!” Dia sambung kiraan.
“Okey, saya masuk sekarang.”
Sudahnya aku mengalah. Geramnya.
“Puas hati?” Aku jeling dia sekali.
Lelaki berwajah masam itu atur
langkah mendahului aku dan aku ekori dia dari belakang. Masa nak sampai pintu
masuk bangunan utama aku nampak, pantas saja tangan Encik hazrul petik bunga
raya berwarna putih yang ditanam di dalam pasu berhampiran tiang. Oh, inilah
pokok bunga raya yang menjadi mangsa Encik Hazrul setiap hari. Nasib baiklah
pokok bunga raya, buatnya pokok bunga kobis macam manalah agaknya.
Kami ke lobi syarikat dan menuju
lif. Tidak ramai yang menunggu lif memandangkan masih terlalu awal. Yang aku
perasan sangat, beberapa pekerja pandang Encik Hazrul dengan pandangan pelik.
Mana tak pelik, bos datang awal.
Bila aku rasa Encik Hazrul tidak
memberi perhatian terhadapku, aku mengundur perlahan demi perlahan ke belakang
dan akhirnya aku sembunyikan diri di sebalik meja penyambut tetamu yang
terdapat di ruang lobi. Malas nak naik lif dengan orang tu.
Aku diam sekejap. Pasti Encik Hazrul
sudah masuk lif. Lega rasa. Masa aku aku bangun, rasa nak luruh jantung bila
nampak Encik Hazrul sudah tercegat di sebalik meja.
“Apa kes ni?” soalnya.
Serius aku tak tahu nak jawab apa.
Rasa macam budak bodoh sangat. Lebih rasa bodoh bila aku nampak bibir Encik
Hazrul sudah mengukir senyuman. Tu memang sah-sah senyum kutuk aku. Aduhai,
apsal aku boleh buat perangai macam ni.
Walau rasa macam-macam, aku tetap
bergerak menuju lif semula. “Nak saya pegang ke?” soalnya.
“Pegang?” soalku. Blur, tak faham.
“Yalah, mana tahu nak lari-lari
lagi.”
Ya ampun, mana aku nak sorok muka
ni. Memang hari ni sudah jadi hari terkena aku. Tapi nak buat macam mana,
bertabahlah. Kalau salah masuk parking boleh undur-undur, kalau salah
perbuatan, buat bodoh ajelah.
Bila lif terbuka, terus aku masuk.
Kemudian Encik Hazrul. Dia sendiri yang tekan tingkat 11. Dalam lif kami tak
cakap apa-apa. Hanya mataku melihat tangan Encik Hazrul yang memegang bunga
raya warna putih.
Lif terbuka dan dia dulu-dulu
keluar. Aku ikut dari belakang. Masa lalu kat meja aku, dia letak bunga raya
tersebut atas meja dan dia terus masuk bilik dia. Tak toleh dan tak suruh aku
buat air. Bagus, merajuk gamaknya. Jadi aku lari masuk pantri.
Aku duduk bersila di belakang meja.
Kalau duduk situ sah orang dari muka pintu pantri tak nampak. Perlahan aku
keluarkan bekas berisi sandwich. Sempat buat sandwich dan sempat juga buat
maggi goreng untuk makan tengah hari. Makanan di restoren sebelah Menara
Holding ni mahal gila. Tak mampu aku. Sudahlah duit tinggal cukup-cukup untuk
sampai ke bulan hadapan saja.
Mak ayah, tenang-tenang ya di SANA.
Anak mak dan ayah ni tak apa-apa. Dia biasa hidup susah. Aku sumbat sandwich
lepas baca doa makan.
“Makan sorang saja ke?” Encik Hazrul
sergah. Mujur tak tercekik. Nampak saja dia ni mana aku menyorok.
“Yang duduk atas lantai tu kenapa?
Kalau tahu nak duduk macam tu, tak payahlah Menara Holding sediakan kerusi dan
meja kat pantri ni.”
Perlahan aku bangun. Mata kami
saling bertemu.
“Kat tangan tu apa?” soalnya.
“Sandwich.”
“Yang satu lagi tu?”
“Maggi goreng.”
“Mintak maggi goreng tu. Saya pun
belum sarapan lagi.”
Cara dia mintak, serupa paksa saja.
Penyamun pun tak macam ni. Nak tak nak aku hulurkan bekas maggi goreng
kepadanya. Nampaknya selamatlah makanan tengah hari aku.
Dia sambut bekas maggi goreng tapi
mata tetap pandang aku. Kemudian dia buka penutup bekas makanan. “Hmm, nampak
sedap.” Dia cakap. Eh, memang sedap pun. Aku yang bersusah payah masak,
memanglah sedap.
“Tolong ambilkan saya sudu dan
garfu.” Dia arah.
“Minta bekas sandwich tu sama.” Baru
nak menapak, dia minta pulak bekas sandwich. Habis aku nak makan apa? Tapi aku
letak juga bekas sandwich atas meja. Kemudian sambung ambil sudu dan garfu.
Hulurkan kepada dia sambil gigit hujung bibir. Seketul sandwich rasanya sudah
selamat.
Dia sambung makan maggi goreng. “Eh,
air mana?” soalnya.
Tak tahu nak cakap apa lagi.
Sudahnya aku buatkan juga dia air. Sebenarnya memang bengang sebab dia sudah
makan makanan aku. Tapi tak kan nak menyumpah. Dah rezeki dia, nak buat macam
mana lagi.
Siap buat air, aku letak depan dia.
Kemudian pandang dia habiskan manggi goreng dengan lahap. Serupa sepuluh hari
tak makan saja. Orang kaya pun macam ini ke gayanya?
“Hmm, sedap awak masak. Bolehlah
tolong masak untuk saya nanti.” Dia cakap dengan mulut penuh. Aku tak balas
apa-apa sebab terkejut sama. Tak tahulah nak rasa bangga atau tidak dengan
pujian dia itu sebab aku masak main campak-campak saja.
“Mana sedap encik, campak-campak aje
tu…” Mendatar suara sebab sedih pun ada bila terkenangkan makanan tengah hari
aku sudah masuk semua dalam perut Encik Hazrul.
“Kalau campak-campak pun dah sedap,
belum masak betul-betul.” Dia sambung pula habiskan sandwich. Langsung tak
tinggal untuk aku. Pelahap betullah dia ni.
“Hmm, rasanya sedang elok ni kalau
nak buat isteri. Pandai masak, pandai buat air.” Dia jeling sekali dengan
jelingan yang betul-betul tak cantik.
“Hmm, siapalah yang nak kan saya
ni…” Buat muka sedih sama. Sedihlah, sebab aku tengah fikir ni nak makan apa
tengah hari nanti.
“Mesti ada. Sekarang inipun rasanya
dah ada nak ambik awak jadi isteri.”
Suka hatilah Encik Hazrul. Malas nak
layan. Sudahlah habiskan makanan aku, boleh lagi cakap macam tu. Langsung tidak
bersimpati.
“Alhamdulilah. Perut saya dah penuh.
Terima kasih.” Lepas habiskan minuman, Encik Hazrul bangun dan tinggalkan
pantri. Hmm, macam tu aje? Betullah bos sorang ni tak boleh pakai.
AKU
hanya pandang saja rakan-rakan yang keluar makan tengah hari. Nak turut serta,
duit cukup-cukup tambang bas. Tak apalah. Sudah biasa berlapar. Bukan mati pun
kalau tak makan satu hari.
Tiba-tiba aku dengar pintu bilik
Encik Hazrul seperti terbuka. Cepat aku letak kepala atas meja. Konon-kononnya
tidur. Nanti dia tanya bukan-bukan. Malas nak jawab.
Dia ketuk meja. Aku buat tak tahu. Kononnya
dah tidur. “Dah, jangan nak menipu. Jom kita makan tengah hari.”
Aku buat tak dengar.
“Saya kira sampai tiga, kalau awak
tak bangun, saya cium awak kat sini jugak.” Dia bisik tepi telinga. Masa tu
jugak aku rasa bulu romaku tegak.
“Satu!” Dia mula buat kiraan.
Terpaksalah aku tegak badan sebab
aku rasa apa yang Encik Hazrul cakap, dia akan buat. Itu prinsip dia. Kalau dia
yang buat rancangan, semua orang kena ikut.
Aku pandang muka dia. Muka dia tetap
serius. Tak menunjukkan dia main-main atau mahu bergurau.
“Kita makan tengah hari bersama.”
Aku geleng tanda aku tolak pelawaan
dia.
“Kenapa? Dah kenyang?” Dia tanya.
Sebenarnya dia perli. Yalah, maggi goreng dengan sandwich tadi dia yang
habiskan.
Aku diam.
“Awak puasa sunat?” Dia perli lagi.
Ada pulak yang aku sunat kat sini
karang. Tak habisnya perli aku.
“Dah, ikut saya.”
“Tak naklah encik…” Aku tolak dengan
cara baik.
“Saya sengaja habiskan makanan awak
tadi, sebab saya nak ajak awak temankan saya makan. Selalu sangat saya makan
sorang-sorang. Hari ni naklah makan berdua.”
“Tak apalah encik…”
“Tak apalah apanya!” Dia herdik
sekali. Mahu tak terperanjat gila aku dibuatnya. Tiba-tiba saja tinggikan
suara.
Adoi, tak sampai sebulan mahu aku
dapat penyakit masalah jantung macam ni. Tak boleh salah sikit. Bertempik
manjang.
“Kita nak makan kat mana?” soalku.
“Kat mulut!” Dia jawab dengan
selamba.
Taulah makan kat mulut. Tak kan guna
hidung pulak. Tensionlah cakap dengan orang macam ni. Perut aku sudahlah lapar
semacam, bos pulak buat perangai macam tu. Memang bengang sangatlah.
“Hah, kalau beriya sangat nak ajak
saya makan, jomlah kita pergi makan.” Akhirnya aku ambil beg tangan dan jalan
dulu-dulu.
“Kan senang kalau macam tu. Ini
tidak, nak kena tengking barulah ikut.”
Perlilah tu…! Serius memang sakit
hati.
8 comments:
kena marah saje azian ni
sabar je azian,ada ms nti kena kn balik bos kerek tu
Sian kat azian asyik kena buli dgn en hazrul...
En. Hazrul oiiii...sje je buat perangai gitu...
BEST...
kesian Azian, dapat bos kerek!
Adoi...lawak sungguh depa dua nih...haha
alahai... sian sungguh..
lama2 pekak jugak Hazian ni...
best
best
best
Post a Comment