HARI
kedua. Macam semalam, aku datang awal juga. Maklum, bila naik bas, aku perlu
keluar awal agar tidak berlaku kelewatan. Haruslah tunjuk contoh yang baik
kalau mahu kekal bekerja di sini. Tapi semalam awalnya aku di pejabat HR, dan
kemudian baru ke pejabat pengurusan.
Lebih kurang
sejam duduk sendirian di ofis, Kak Ha dan Kak Huda sampai sambil berbual.
“Awal Azian sampai,” tegur Kak Huda
dengan ramah. Hari ini dia pakai baju kurung batik sutera warna ungu. Nampak
anggun dengan gaya tersendiri. Kak Ha pula seluar putih dengan baju warna merah
terang.
“Saya naik bas kak, kena keluar
awal,” jawabku jujur.
“Bagus tu, tak apa datang awal,”
kata Kak Huda lagi. Kali ini seperti memberi sokogan dan semangat. Kemudian
mereka sambung berbual. Seorang demi seorang muncul selepas itu. Masing-masing
bercerita sesama mereka dan aku terpinggir sendiri.
“Jom semua ke pantri. Hari ni saya
ada bawa pulut kuning, sempena ulang tahun perkahwinan saya.” Encik Hambali
muncul bersama plastik yang berisi bekas makanan polisterin.
Encik Hazrul berdiri di belakang
Encik Hambali. Awal pula dia datang. Matanya merenung aku. Terus aku tunduk.
Takut untuk menentang renungan matanya.
“Err, maaflah Azian. Saya buat
pesanan ni sebelum Azian masuk kerja, jadi cukup-cukup untuk kaki tangan
pejabat pengurusan sebelum ini saja,” kata Encik Hambali.
“Eh, tak apa…” Aku jawab sambil
tersenyum. Tak terasa pun sebab aku faham dengan keadaan sebelum ketiadaanku di
sini.
“Maaf ya Azian.”
“Tak apa…” Aku balas dengan senyuman
lagi.
“Bos, joinlah sekali…” Encik Hambali
bercakap dengan Encik Hazrul pula.
Aku lihat Encik Hazrul mengekori
Encik Hambali dan kesemua pekerja lain juga ke pantri. Tinggallah aku
sendirian. Sambung buat kerja tanpa ada perasaan apa-apa. Betul kata Encik
Hambali, masa tu aku tak bekerja lagi di sini.
Kemudian aku nampak Encik Hazrul
keluar dari pantri bersama bekas makanan. Langkahnya tidak ke bilik, tetapi ke
mejaku. “Masuk bilik saya sekejap,” arahnya.
Cepat aku bangun dan ekori langkah
Encik Hazrul. Aku tolong tolak pintu sebab tangannya bawa bekas makanan dan
muk. Kenapalah tak makan di pantri saja. Nak juga makan dalam bilik. Yalah, apa
kelas makan di pantri.
“Sila duduk,” katanya selepas itu
sebaik sahaja kami berada di dalam bilik pejabatnya. Jadi aku duduk. Kemudian
dia letak bekas makanan di hadapanku.
“Tolong makan untuk saya. Saya tak
makan pulut. Nanti Hambali fikir apa pulak,” katanya. Dia ke tempat duduknya
dan mula teguk air.
Serba salah sebenarnya nak makan,
lebih-lebih di hadapan dia tapi serius cakap, memang aku teringin nak makan
pulut kuning. Sudah lama tak jamah pulut.
“Makanlah cepat…” tegas saja arahan
Encik Hazrul memaksa aku buka penutup bekas makanan. Pulut kuning bersama
rendang kerang. Sudu plastik juga disediakan sekali di dalam bekas makanan.
Aku baca doa makan, tapi segannya
nak makan.
Encik Hazrul bangun dan bawa muk ke
tepi dinding. Dia berdiri di situ sambil lempar pandangan ke luar. Jadi,
bolehlah aku makan dengan selesa.
Hmm, sedapnya. Pulut yang lemak dan
lembut, rendang kerang yang sangat sedap. Dapat juga aku makan pulut kuning.
Alhamdulilah. Kenapa ada orang yang tidak suka dengan pulut? Ya, nama juga
selera masing-masing. Pasti saja tidak sama.
Ketika pulut sudah separuh masuk
perut, aku angkat kepala dan pandang Encik Hazrul. Tak sangka dia perhatikan
aku rupanya. Kemudian aku nampak cepat dia pandang luar. Mungkin dia nak cakap
aku buruk makan sebab aku makan dengan lahap. Atau dia nak cakap serupa tak
pernah jumpa pulut kuning. Apapun tanggapan dia, rezeki jangan ditolak. Musuh jangan
dicari. Aku sambung makan tanpa mahu fikir apa-apa. Makanan harus dinikmati
sebaiknya.
“Encik, saya sudah selesai makan.”
Aku cakap dan tutup semula bekas makanan sebaik sahaja pulut kuning selamat
semuanya masuk dalam perut. Cepat aku bangun.
“Tinggalkan aje bekas makanan kat
situ. Kalau awak bawa keluar nanti Hambali syak,” kata Encik Hazrul dan dia
melangkah ke meja.
Aku angguk. “Terima kasih…” Aku
cakap dan pandang wajahnya.
“Saya yang sepatutnya ucap terima
kasih sebab tolong makan untuk saya,” balasnya dan duduk semula. Muk dia letak
di tepi. Seperti mahu memulakan kerja.
“Sekejap,” panggilnya masa aku
hendak beredar. Dia ambil sesuatu di dalam laci. “Ini memang awak punya,” kata
Encik Hazrul sambil hulurkan sebuah muk berwarna hijau muda.
“Saya punya?” soalku.
“Ya, awak punya.”
Aku kerut dahi. Serius tak faham.
Muk ini aku punya? Adoilah, macam-macam.
“Mulai hari ni, guna muk tu untuk
minum.”
“Terima kasih.” Aku cakap walau
kepala bingung sikit. Tanpa berlengah lagi, aku terus keluar. Rupanya rakan
lain masih di pantri. Mujur juga, kalau tidak pasti ada yang syak kenapa aku
berada di bilik Encik Hazrul. Tapi perut betul-betul kenyang.
Aku pandang muk yang diberikan
kepadaku. Ada tulisan kecil seperti tarikh. 26 Dec 2011. Cenang. Oh, pernah
lepak Cenang rupanya.
SIAP
bancuh air, aku bawa ke bilik Encik Hazrul. Sudah tiba untuk Encik Hazrul minum
petang. Sebenarnya takut juga nak masuk bilik dia. Lepas dia tengking semua
kaki tangan pejabat pengurusan sebelum rehat tadi, aku rasa mula tidak selesa
hendak bekerja di sini. Cara Encik Hazrul memarahi pekerja memang nampak
menakutkan.
“Masuk.” Aku dengar suara Encik Hazrul dari dalam.
Perlahan aku tolak pintu. “Saya bawakan air encik,”
kataku dan melangkah menghampiri meja Encik Hazrul. Letak muk di atas meja.
Sekilas jeling Encik Hazrul yang tekun dengan kerjanya. Mukanya masih sama,
serius habis. Memang takut nak pandang.
Lepas letak muk, aku bergerak mahu tinggalkan bilik
Encik Hazrul. “Sekejap,” panggil Encik Hazrul selepas beberapa tapak aku
melangkah. Langkah serta merta terhenti dan aku pusing pandang Encik Hazrul.
“Duduk,” arahnya.
Aku melangkah semula dan duduk di kerusi yang
terdapat di hadapan meja Encik Hazrul. Berdebar menanti arahan. Mahu cakap air
yang aku bancuh tu tak sedap ke? Namun lepas teguk, Encik Hazrul tak cakap
apa-apa.
Dia bangun bawa muk dan berdiri di hadapan dinding
yang sepenuhnya kaca. Menampakkan permandangan luar. Dia teguk lagi air tanpa
pedulikan aku yang sabar menantikan arahan.
Berlalu beberapa ketika, dia duduk semula di
tempatnya. Kembali menyambung kerja. Langsung tak pedulikan aku. Dia ni sedar
atau tidak keujudan aku dalam bilik pejabat dia? Jadi apa kepentingan aku duduk
di sini kalau sekadar suruh duduk saja?
“Encik, boleh saya keluar?” soalku, memberanikan
diri minta keluar. Lagipun tidak selesa berada di dalam keadaan begini.
“Ada saya minta awak keluar?” soalnya dengan nada
tegas kemudian pandang aku tepat. Kecut aku jadinya. Rupanya marah Encik Hazrul
masih belum reda. Terpaksalah aku duduk di situ tanpa berbuat apa-apa.
Aku perasan Encik Hazrul asyik pandang aku selepas
itu. Sesekali pandangan mata kami bertembung dan aku senyum. Namun langsung
tidak dibalas. Tak apalah.
Aku toleh pandang bilik pejabat milik CEO Menara
Holding. Hmm, biasalah. Pejabat orang besar-besar. Harus besar sama. Dah jenuh pusing-pusing kepala tengok suasana
pejabat, aku kembali pandang depan. Masa itu, Encik Hazrul masih pandang aku.
Apa yang tidak kena lagi? Asyik pandang saja, langsung tidak bercakap. Buat aku
serba salah.
“Awak boleh sambung buat kerja, tapi sebelum balik,
jumpa saya dulu.” Encik Hazrul bersuara tiba-tiba.
“Terima kasih, saya pergi dulu.” Aku minta diri
sebaik sahaja bangun.Tanpa menunggu lagi, aku terus atur langkah menuju pintu.
“Hmm, terima kasih untuk air,” katanya masa aku
tarik pintu.
“Sama-sama.” Sempat menoleh dan dia pandang aku.
Seperti biasa aku senyum dan untuk kali ini, senyumanku tetap tidak berbalas.
Tak mengapa Azian, senyum juga satu sedekah. Kalau sudah sifatnya sedekah,
jangan sesekali diungkit, walau hanya segaris senyuman.
“Apa hal lama sangat kat dalam tu?” soal Kak Huda
sebaik sahaja aku ke tempat dudukku. Sudah agak, aku pasti disergah dengan
soalan begitu memandangkan agak lama juga aku di dalam bilik Encik Hazrul.
Apa aku nak jawab ni? Tak kan nak beritahu aku dan
Encik Hazrul main acara tenung-tenung. Memang riuh nanti satu ofis. Sudahlah
baru dua hari bekerja di sini. Apalah tanggapan rakan sekerja kalau aku
bercakap jujur. Perkara ini bukanlah bahan gurauan. Ianya melibatkan maruah aku
sama.
“Encik Hazrul tanya saya beberapa perkara.” Itu saja
alasan yang aku ada.
“Hmm, pelik. Jarang bos tanya pekerja dia.” Aku
nampak Kak Huda kerut dahi. Kak Ha pula nampak macam sudah siap-siap nak balik.
Baru pukul 4.30 sudah berkemas?
“Yalah, mana bos tak tanya macam-macam, tengok macam
orang kampung saja yang datang kerja. Orang HR pun satu, nak hantar orang
bekerja di pejabat pengurusan, agak-agak jugaklah. Tengok dulu orangnya macam
mana. Serupa tak sekolah saja.” Hilda gadis tinggi lampai dan bertubuh
langsing, rambut paras bahu bersuara dari tempat duduknya. Sejak semalam, Hilda
memang tunjuk sikap dingin. Macam tak senang dengan kehadiranku. Mungkin aku
kelihatannya seperti gadis kampung. Dua hari ini aku hanya pakai baju kurung
sahaja. Tidak seperti mereka yang kelihatannya sangat bergaya. Sesuai untuk
bekerja di pejabat pengurusan.
Aku buat tidak dengar. Tidak berbekas pun.
Aku difahamkan, tugas pekerja di pejabat pengurusan
sangat banyak memandangkan mereka semua adalah pembantu yang melancarkan tugas
seorang CEO. Maklum CEO merupakan kepala kepada sesebuah syarikat. Aku tak
kisah semua perkara tu sebab aku hanya menjalankan tugas aku sahaja.
Lebih-lebih, aku tidak mahu tahu. Lantaklah.
Sebelum pulang, aku ke bilik Encik Hazrul seperti
diarahkan. Aku ketuk pintu terlebih dahulu dan tunggu arahan. Pejabat
pengurusan sudah pun kosong. Semua sudah pulang.
“Masuk.” Dengar suara Encik Hazrul dari dalam.
Aku tolak pintu perlahan. “Saya sudah mahu pulang.”
Aku beritahu di muka pintu.
“Duduk sekejap,” arahnya. Kalau tidak berdebar,
memang menipulah. Dengan keadaan yang sunyi sepi tanpa pekerja lain,
macam-macam mula terbayang di fikiran.
“Boleh tak kita sambung esok saja?” soalku,
beranikan diri mengingkari arahan.
“Faham ke tak faham apa yang saya cakap?” soal Encik
Hazrul dengan suara yang kuat. Tambah kecut perasaan mendengar suara Encik
Hazrul begitu. Jadi, apa pilihan yang aku ada melainkan bergerak
menghampirinya. Tanpa berkata sepatah perkataan, aku aku duduk di kerusi di
hadapan meja Encik Hazrul. Satu saja yang terlintas di kepalaku, kalau Encik
Hazrul mahu buat jahat, dengan siapa aku mahu minta tolong. Dengan susuk
tubuhnya begitu, aku rasa aku tidak mampu untuk mempertahankan diri.
Tuhan, berikan aku sedikit kekuatan.
Encik Hazrul menyandar dan sesekali berpusing
perlahan. Tangan kanan bermain dengan sebatang pen. Dan matanya…
Mata lelaki itu merenung tajam ke arahku. Apa yang
tidak kena lagi.
“Awak tunggu sampai saya siap buat kerja,” katanya
selepas itu.
Itu saja? Tunggu dia sehingga dia selessi buat
kerja? Sampai pukul berapa pulak tu? Kalau kerja dia tak siap sampai tengah
malam, macam mana?
“Dah solat asar?” soalnya.
Dan dan darah naik ke muka. Rasa panas dengan
tiba-tiba. Tak kan aku nak beritahu dia, aku tak boleh solat dalam seminggu ni.
Dan patut ke aku jawab, saya tak solat. Macam megah pulak beritahu orang tak
solat. Apa pula tanggapan Encik Hazrul nanti. Orang kata, kalau ada yang
mengingatkan kita waktu solat itu, orang itu sudah dikira baik walau sebenarnya
dia jahat.
Soalan Encik Hazrul aku biarkan kosong dan diamku
nampaknya sudah membayangkan jawapan sebab Encik Hazrul tidak bertanya apa-apa
selepas itu. Dia sambung buat kerja dan sesekali dia pandang aku.
Persoalan sekarang ialah, kenapa lelaki ini kelihatannya
sangat aneh? Ada keganjilan yang luar biasa aku rasakan. Tidak seperti lelaki
normal lain atau aku memang tidak pernah faham sikap sebenar lelaki itu
bagaimana.
“Balik naik apa?” soalnya.
“Bas,” jawabku sepatah.
“Hmm…” Di sambung semula buat kerja. Aku pula sambung
jadi patung bernyawa. Lama jugak aku jadi patung bernyawa.
“Hmm… jom saya hantar awak balik,” katanya
tiba-tiba.
“Tak nak!” Cepat aku bantah.
“Kenapa pulak?” soal Encik Hazrul. Pandang aku
dengan renungan mata yang tajam.
“Saya tak suka orang hantar saya balik.”
“Saya bukan orang lain, saya bos awak.”
“Lagilah saya tak nak. Saya balik dululah…” Aku
cepat-cepat bangun.
“Eh, awak tunggu saya,” arahnya.
Aku tak peduli. Terus keluar dari bilik Encik
Hazrul. Terus ambil beg tangan atas meja. Kemudian kepala ligat fikir bagaimana
mahu mengelak. Akhirnya aku pilih lari ke pantri. Sembunyikan diri di situ buat
seketika.
Aku dengar pintu bilik Encik Hazrul ditutup kuat
selepas itu dan aku dengar seperti dia berlari anak. Nasib baik aku lari ke
pantri. Kalau tidak sah-sah bertembung di lif. Wah, macam senetron pun ada.
Aku bertenang sekejap sementara lepaskan Encik
Hazrul turun. Harap aku boleh pulang ke rumah dengan selamat selepas ini.
9 comments:
klau sy pn sy buat mcam azian..takut kut...semcam je prangai bos
dup dap..dup dap..fuh, kita pulak yang nerves. suka gila novel ni.
Ayoyo .. Main sembunyi2 nmpak Azian .. Dn En.Hazrul main kejar2 .. Hahahahaha .. Da mcm sinetron ..
esok sambung lg
Ye kan...kalau ada n3 selang sehari kan bagus....he he he..
hahaha azian..xde tmpt lain ke nk nyorok.. aduii klo aku jd azian pn msti kecut perut gak..
Harus smbg baca bab 3.... Tp bila ek??
ok skrg baru nampak ada watak nak mcm antagonis sikit iaitu Hilda hehehe ...Entah-entah Hilda ni minat kat En Hazrul...tu bengang kat Azian tu huhu
bestnya
sweet je
mmg kiut la
saya suka saya suka
Post a Comment