“Encik, boleh tumpang tanya? Di mana pejabat
pengurusan?” Aku tanya seorang lelaki yang berdiri berhampiran lif. Lelaki
tinggi lampai, berambut pendek, berkulit cerah, toleh dan kemudian pandang
tepat ke arahku.
Wajah lelaki itu nampak seperti terkejut sebaik sahaja
pandang aku. Seolah-olah yang dia pandang itu sesuatu yang menakutkan. Mukanya
bertukar pucat selepas itu. Bibirnya seperti terketar. Tak apalah. Mungkin muka
aku sudah menakutkan dia.
Aku senyum pahit. Sedar diri.
“Apa awak tanya tadi?” soalnya kemudian. Membetulkan
tali leher dan nampak benar-benar lelaki itu cemas. Apa yang menakutkan lelaki
yang bertubuh sasa ini gamaknya. Betullah kata orang, lelaki paling takut kalau
terserempak perempuan hodoh.
“Pejabat pengurusan. Hari ni hari pertama saya bekerja
di sini,” jawabku. Diambil bekerja kerana mereka benar-benar memerlukan tenaga
kerja tetapi yang datang temuduga minggu lepas dalam 12 orang juga. Namun
rezeki berpihak kepadaku. Alhamdulilah.
“Okey ikut saya.” Dia pandang pas pekerja sementara yang
aku gantung di leher. Kemudian dia pandang pintu lif yang masih tertutup rapat.
Kembali pandang pas pekerjaku. Mungkin mahu tahu nama. Tapi kenapa dia tak
pakai pas pekerja pun. Satu lagi, sekarang sudah hampir 11.00 pagi. Tak kan
baru sampai.
Jangan sibuk hal orang Azian. Awak pun baru hari ni
mula kerja. Lepas tu masih berstatuskan pekerja sementara. Bila-bila masa orang
boleh tendang. Jadi, hal yang tidak berkaitan jangan sibuk nak ambil tahu.
Pintu lif terbuka. Lelaki tu masuk terlebih dahulu
dan aku ikut. Dia tekan nombor 11 bermakna pejabat pengurusan terletak di
tingkat 11.
“Encik, boleh saya tahu, pejabat pengurusan ni
pejabat apa?”
“Tadi tak tanya HR?” soalnya dengan suara yang agak
kuat. Uiks garangnya. Mula tadi macam takut, sekarang jelas-jelas tak suka.
Nampak betul memang tak selesa aku tanya bukan-bukan.
Cepat aku
geleng. HR hanya maklumkan jawatan aku saja. Lebih-lebih tak berani tanya.
“Pejabat CEO.” Dia jawab dengan nada sama juga.
Huh, tanya pun marah. Garang betul. Sombong pulak
tu. Macamlah anak tuan punya Menara Holding. Menyesal tanya tapi aku pandang
juga lelaki yang berdiri di sebelah kiriku itu. Muka dia masam habis. Macam
baru bergaduh dengan orang rumah saja.
Pintu lif terbuka. “Dah sampai.” Dia buat gaya suruh
aku keluar dulu. Jadinya aku melangkah keluar, kemudian tunggu dia.
“Ikut saya,” katanya.
Aku ekori lelaki itu dengan perasaan gementar. Kalau
pekerja biasa sudah garangnya semacam, bagaimanalah keadaan bos. Tentu garang
gila. Bertabah Azian Yuhanis. Bukan senang mahu mencari rezeki.
“Puan Huda!” panggil lelaki itu kepada salah seorang
pekerja sebaik kami sampai di pejabat pengurusan.
“Ya encik…” Seorang wanita berbaju kurung corak
bunga berselerak datang menghampiri kami.
“Pekerja baru pejabat pengurusan,” kata lelaki itu
dengan suara yang agak tegas. Dia melangkah ke hujung pejabat di mana terletak
sebuah lagi bilik. Mungkin bilik pejabat yang dikhaskan untuknya. Jadi, aku
sudah terserempak dengan bos? Padanlah garang semacam.
“Saya Nurul Huda. Panggil Kak Huda saja.” Wanita itu
memperkenalkan diri dengan ramah. Aku sambut tangannya dengan rasa gembira.
Senyuman dari bibir wanita berkulit cerah itu seperti meredakan sedikit rasa
gementar yang mula bersarang sejak malam tadi lagi.
“Kak, yang tadi tu bos ke?” soalku ketika Kak Huda
mahu bawa aku ke meja salah seorang pekerja lain.
“A’ah. Nama dia Hazrul Effendy bin Tan Sri Zabidi.”
Okey, betullah itu bos. Tenang Azian Yuhanis.
Segarang-garang manusia, memang susah nak makan manusia. Itu fakta, jadi jangan
takut.
Kemudian aku diperkenalkan pula kepada Kak Siti
Soleha yang minta dipanggil Kak Ha saja. Kak Ha juga sama seperti Kak Huda,
ramah dan mesra. Hanya seorang saja yang nampaknya bersikap dingin menyambut
salam perkenalanku iaitu Emma Hilda.
Mahu dipanggil Hilda walau antara kesemua pekerja di situ aku paling muda.
Hilda bertubuh langsing. Nampak sangat moden dengan
skirt atas lutut berwarna merah terang. Wajah masam dan banyak mencebik. Ya,
aku sedar aku serupa orang kampung. Berbaju kurung dengan tocang tinggi tanpa
sebarang solekan di wajah, aku nampak macam mak cik-mak cik mahu ke pasar saja.
Aku tinggalkan Hilda selepas itu kerana aku
diperkenalkan pula dengan dua orang pekerja lelaki iaitu Encik Suffian dan
Encik Hambali. Encik Suffian nampak masih muda hanya Encik Hambali nampak
berusia sedikit.
“Awak, pekerja baru, tolong masuk bilik saya
sekarang.” Suara lantang Encik Hazrul hampir saja kedengaran di seluruh pejabat
pengurusan. Mengejutkan aku sama.
“Azian pergilah cepat. Dengarkan saja arahan dia.
Memang dia macam tu. Pedulikan aje. Ingat ketuk pintu sebelum masuk,” pesan Kak
Huda. Bunyi pesanan seperti lelaki bernama Hazrul Effendy itu ada masalah
mental sahaja. Takut aku dengar.
Perlahan aku bawa diri menuju bilik bos dan ketuk
pintu. “Masuk.” Dengar suara dari dalam. Rasa gementar datang semula. Tabah
Azian.
“Encik panggil saya?” soalku sebaik sahaja berdiri
di hadapan meja Encik Hazrul.
“Duduk,” arahnya.
Aku duduk di kerusi hadapan meja, masa itulah aku
rasa badan sudah menggeletar.
“Siapa nama?” soalnya.
“Azian Yuhanis,” jawabku perlahan.
“Cakap kuat sikit tak boleh?” jerkahnya.
“Azian Yuhanis binti Yusof,” jawabku sedikit kuat. Aku
tunduk pandang muka meja. Memang rasa nak menangis pun ada.
Diam sekejap. Suasana dingin bilik pejabat yang dua
kali ganda luas dari ruang tamu rumah sewaku itu membuatkan aku tambah menggeletar.
“Umur berapa?” soalnya lagi.
“Dua puluh tiga tahun.”
“Kelulusan?”
“Kolej Yayasan Baitumal.”
“Kenapa Yayasan Baitumal?”
“Saya anak yatim piatu.”
“Hmm…”
Diam semula, tapi aku masih tidak berani angkat
muka.
“Tak nak tahu pasal saya ke?” soalnya semula. Cepat
aku geleng. Buat apa nak tahu pasal dia.
“Kenapa awak tak nak tahu pasal saya? Saya ni bos
awak!” Naik semula suara dia. Aku sudah salah jawab ke? Kena ambil tahu pasal
dia jugak ke?
“Awak nak tahu atau tidak, saya akan beritahu juga tentang
saya. Nama saya Hazrul Effendy, umur saya dua puluh lapan tahun. Walaupun ayah
saya pemilik saham terbesar di Menara Holding ni, saya tetap juga pekerja macam
awak.”
Aku angguk.
“Cuba ulang balik nama saya.”
“Encik Hazrul Effenfy.” Aku jawab.
“Awak kena ingat nama tu sebab sampai bila-bila pun
awak tak akan lupa dengan nama tu.”
Aku angguk lagi.
“Selain kerja di pejabat, saya beri awak satu kerja
lagi. Awak kena buatkan saya air. Pagi, tengah hari, dan petang dua kali.”
Angguk juga. Arahan diterima.
“Hmm, boleh sambung kerja awak, tapi sebelum tu
hantar dulu air saya.”
“Baik encik,” ujarku perlahan dan bangun. Bergerak
semula menuju pintu. Fuh, baru dapat bernafas dengan lega.
“Kenapa bos suruh masuk?” soal Hilda sebaik sahaja
aku melintasi mejanya.
“Bos tanya hal saya,” jawabku.
“Hmm…”
Aku ke tempat Kak Huda semula. “Kak, bos suruh saya
buat air,” kataku. Sebenarnya aku tidak tahu apa-apa tentang perkara tersebut.
“Oh, itu kerja akak. Jom kita ke pantri. Akak ajar
buat air.”
Aku mengekori Kak Ha hingga ke pantri yang terletak
belah kiri pejabat pengurusan. “Ini pantri, tempat kita minum-minum bila rasa
mengantuk. Kalau malas nak ke surau syarikat, boleh solat di sini,” kata Kak
Ha.
Pantri yang menempatkan satu set meja makan, lengkap
dengan kabinet, nampak cukup elegan untuk ruang rehat.
“Di sini kami ada muk masing-masing. Nanti Azian
bawa muk sendiri. Yang ini muk bos. Pastikan setiap kali bancuh air untuk bos,
guna muk dia ni. Jangan tertukar dengan yang lain. Karang tak pasal-pasal dia
baling ke dinding.” Kak Ha tunjuk muk warna biru kepadaku.
“Buat air pun ada peraturan. Kalau dia minta pagi,
buat MILO atau coklat panas. Kalau dia minta tengah hari atau petang, air teh
campur dengan madu. Dia pantang minuman sejuk dan segera. Two in one tu memang
dia pantang. Jangan sesekali bancuh air macam tu.”
Banyaknya pantang. Kalau aku memang pantang juga,
pantang jumpa. Semua aku telan.
“Okey, sekarang akak ajar buat coklat panas. Ini
minuman kegemaran bos. Dua sudu susu tanpa lemak, satu sudu gula, satu setengah
sudu coklat masak dan air panas. Campurkan susu, gula dan coklat dalam muk,
lepas tu masukkan air panas dan kacau. Kemudian hiaskan sedikit dengan whipped
cream. Siap. Kalau lupa nanti salin cara nak bancuh coklat. Bos tak suka manis
dan dia tak suka tawar. Sedang-sedang saja.”
Masalahnya nak dapatkan yang sedang-sedang itulah
yang payah. Manis tak boleh, tawar pun tak boleh. Payah macam ni.
“Hantar sekarang. Karang sejuk dia suruh buat lain.”
Aku ambil muk berisi coklat panas itu dan bawa
keluar pantri. Terus ke bilik Encik Hazrul. Ketuk terlebih dahulu dan dengar
arahan selanjutnya.
“Air encik,” ujarku sambil letak muk atas meja.
“Hmm…” katanya tanpa pedulikan aku.
Aku bergerak tinggalkan ruang bilik pejabat Encik
Hazrul selepas itu. Sambung mendengar arahan kerja dari Kak Huda. Rupanya
banyak juga yang aku kena buat. Pejabat pengurusan adalah pejabat penting di
mana semua perancangan syarikat bermula dari pejabat pengurusan. Encik Hazrul
yang bakal merancang semua perkara yang melibatkan kemajuan syarikat. Bermakna
pejabat pengurusan adalah tulang belakang Menara Holding.
Nampak macam biasa saja, tapi tanggungjawabnya
sangat berat.
WAKTU
rehat aku ikut Kak Ha dan Kak Huda makan di restoren D’ Selera yang terletak
tidak jauh dari bangunan Menara Holding. Sangatlan terkejut bila melihat
bayaran yang dikenakan. Untuk nasi
putih, ayam masak merah, sayur sawi dan segelas air sirap limau mencecah hampir
dua belas ringgit. Kalau begini memang lingkup aku. Esok kena bawa bekallah
jawabnya. Kalau tidak mahu kebulur aku menantikan gaji bulan depan.
“Kak, makanan di sini memang mahal
ke?” soalku kepada Kak Huda.
“Biasalah, sebab ini aje restoren
yang ada berhampiran Menara Holding. Semua makan kat sini termasuk bos-bos
besar.”
“Bos pun makan di sini?” soalku.
“Bos belum pernah makan kat sini.
Setahu akak bos kita tu ada restoren khas dia. Dia hanya boleh di situ saja, restoren
biasa macam ni apa kelas,” kata Kak Ha pula.
Cerewet sungguh, rasanya Michael
Jackson dulu pun tak cerewet macam tu. Aku dengarkan saja perbualan Kak Ha dan
Kak Huda selepas itu. Sedikit tidak tahu juga perangai ‘baik’ Encik Hazrul itu.
Jadi kena ambil langkah berhati-hati.
Lepas makan aku tinggalkan keduanya
sebab aku ada urusan lain. Kalau boleh nak rehat sama sebelum sambung buat
kerja.
Aku duduk tempatku semula dalam
pukul 2.00 macam tu. Nak telefon Nora. Sejak tinggalkan Langkawi, aku tak
telefon dia lagi. Dia pun tak telefon aku. Aku tahu dia merajuk dengan aku. Dia
tak benarkan aku balik KL sebab dia tahu aku mesti kena ‘masak’ dengan mak
ngah. Aku tak sebut aku bosan tinggal di Langkawi sebab tak nak dia kecik hati.
Dalam aku tak sebut pun, Nora tetap jugak kecik hati.
“Aku ni…” Sebaik saja Nora jawab
panggilanku.
“Tau…” Suara Nora lain macam.
“Hang marah aku ka?” soalku. Soalan
cari pasal. Sudah tahu kawan tu marah, boleh lagi aku tanya soalan tu.
“Dak aih, suka lagi hang tak dak.”
“Amboi sampai hati kata lagu tu…”
“Hang lagi sampai hati tinggai aku
sorang-sorang.”
“Aku kerja sat saja. Aku bosan esok
aku baliklah Langkawi.”
“Kalau hang dapat laki orang sana
macam mana?”
“Tak dak sapa nak kat akulah. Hang
jangan bimbang. Ni nak habaq, aku dah mula kerja hari ni.”
“Baguslah…”
“Macam tak suka saja dengaq aku dah
kerja.”
“Tak kan aku nak guling-guling kat
sini.”
“Tak palah, satgi senang-senang aku
call hang balik. Assalamualaikum…”
“Waalaikumusalam.”
Tak boleh sembang lama-lama. Kredit
tinggal berapa kupang saja lagi. Masa aku nak simpan telefon dalam beg tangan,
rasa terkejut teramat sangat bila nampak Encik Hazrul sudah tercegat tepi meja.
Bila masa pulak dia berdiri kat situ? Dia tak keluar makan ke?
“Tolong buat ayaq sat!” katanya.
Kemudian dia berlalu masuk ke biliknya.
Uiks, dan dan tukaq channel. Perli
akulah tu…
16 comments:
Buat ayaq sat..hailah encik hazrul ♡♡♡
Alhamduliah...best sgt
Hailah.... En. Hazrul.. awal2 dah tunggu perangai!
Ada tak nnti scene Hazrul jumpa Yan di Langkawi?
gelak terguling-guling..:D kak,nak lg nak lg;)
hahaha.. kuat menganjing(perli)!! cepat betul tukar channel ye En.Hazrul.. hahah
Haiiiyyyoooo!! Best! Gelak sorang2, bila baca.. :))
terima kasih semua, camelia, memang tak ada babak tu sebab dah lepas dan nak dekat ending nanti baru hazrul cerita, kali pertama dia jatuh cinta kat azian
best....nak lagi...
Superb Kak Sarah! Mmg bab 1 lg si Azian ni tunjuk her blur-ness. Yg si Hazrul pulak kuat membuli nk umpan perhatian Azian. Sy rs dia dgr Azian kt x de org nk kt dia. Suka la si Hazrul tu. :) nk lg Kak... Pretty please...
Wah... jadi org gile kejap gelak sorang2... cpt2 kak sarah marissa... x sabar nak beli novel ni
Terkaku En Hazrul tengok Azian ya kat lif. Mest teringat disuatu masa dulu kan? GARANGNYA En Hazrul ni...panggil orang macam nak makan. "buat ayaq sat". Aik dah jatuh hati ngan air tangan Azian ke En Hazrul pasal pagi tadi pertama kali merasa air tangan Azian. :) :)
x tanya pasal dia pun nak marah... aiiihhh
Terkejut beruk En.Hazrul nampak Azian .. Hahaha .. " Mcm mana minah nie boleh ada kat sini .. ? " Hahahhaha .. Nmapak x .. ! Ske3 .. Nk lg Kak Marissa .. <3 :) ;) O:)
Senyum lebar....serasi sll...:-)
Tergelak baca arahan last tu
Post a Comment