Monday, January 4, 2016

Kerana Aku Sayang Padamu- Bab 1


MIKAEL pandang sekeliling. Bilik Nazim yang berdinding kaca dan menampakkan ruang pejabat nampak luas dan selesa. Lambang seorang peguam yang berjaya. Dia tumpang kagum dengan kejayaan seorang sahabat.
            Sebenarnya pandangan mata lebih kepada gadis bertubuh langsing, berkulit putih melepak dan berambut beralun melepasi bahu. Wajah gadis yang menjadi intaian sejak enam bulan dahulu nampak berseri tanpa sebarang alat solek. Hanya bibirnya kelihatan basah dengan gincu berwarna merah jambu. Ah! Entah kenapa, dalam berjuta mata Mikael boleh berkenan pada gadis seorang ini?
            Mikael betulkan posisi duduknya bila nampak Naila bakal masuk ke dalam bilik Nazim. Mahu kelihatan bersahaja. Kali ini dia harus lebih berhati-hati agar helahnya tidak terhidu. Bukan selalu dapat peluang begini.
“Maaf, Encik Nazim ada hal. Dia suruh I berurusan dengan you,” kata Naila sambil labuhkan punggung di atas kerusi Nazim. Tidak sangka pula ada orang dari Kristal Holding yang bakal berkunjung. Setahu Naila, tiada sebarang janji temu yang dibuat dengan pihak Mikael. Sebelum ini semuanya berjalan dengan baik sahaja.
            Mikael tersenyum sambil pegang bibir. Lagi Mikael suka kalau Nazim tiada. Memang berharap benar dapat bercakap dengan Naila. Susah betul mahu bercakap dengan gadis seorang ini. Liat amat. Tak makan pujuk rayu. Langsung tidak serupa gadis-gadis lain yang Mikael pernah jumpa, pantang ajak keluar mahu saja. Yang berkenan di mata pula, susah benar hendak diajak berbicara.
            “Tak kisah, dengan you pun okey. Hmm, cantik hari ni,” puji Mikael. Tak pernah dia melihat Naila berbaju kurung. Selalu, kalau tak seluar pasti saja skirt yang menampakkan pahanya yang putih melepak dan gebu. Serius, memang cantik. Baju kurung warna hijau muda dengan corak bunga kecil berterabur sangat sesuai dengan kulit Naila. Makin membara perasaan Mikael dengan rasa cinta.
            “Oh, hari ni hari lahir I.” Jujur saja Naila beri jawapan. Wajah Mikael pula langsung tidak dipandang. Dia sudah masak dengan pujian lelaki. Dalam sepuluh, nak cari satu yang ikhlas pun payah. Semuanya ada makna yang tersembunyi.
            Senyuman Mikael makin melebar. Maknanya setahun sekali sajalah dia pakai baju kurung? Hmm… Gadis bertubuh langsing, berketinggian paras dada Mikael itu ditatap lama.  Dalam tempoh enam bulan ini perlbagai cara Mikael guna untuk mendekati Naila namun setakat ini belum menampakkan hasil. Masih sukar untuk menawan hati Naila. Entah apa ilmu kebal yang dia guna sampai tak berjaya langsung Mikael cucuk jarum.
            “Ya? Selamat hari lahir,” ucap Mikael.
            “Terima kasih. Err, rasanya kita tak ada sebarang urusan? Semuanya sudah dibincangkan sebelum ini bukan?” Naila kerut dahi. Cuba ingat kalau dia dan Nazim terlepas pandang. Pelik juga kenapa lelaki yang umum sudah iktiraf sebagai lelaki kacak dan menjadi sebutan para gadis itu muncul tiba-tiba.
            “Memang tak ada, tapi I datang atas urusan peribadi.”
            “Ya? Peribadi macam mana tu?” Baru Naila angkat muka dan pandang wajah Mikael. Lelaki yang cuba mendekati Naila, namun Naila tak layan. Bagi Naila lelaki sama saja. Tak ada yang jujur dan ikhlas. Lebih-lebih spesies lelaki seperti Mikael. Entah berapa ramai anak dara yang dia angkut balik rumah. Tengok muka saja Naila sudah tahu. Lelaki yang sentiasa laparkan perempuan. Tanpa perempuan, tak sah hidup gamaknya.
            “I nak you  tolong uruskan jual beli rumah I.” Mikael pun tidak tahu rumah mana yang mahu dibeli. Spontan saja idea tersebut. Walhal asal tadi dia mahu melihat Naila sahaja. Tak terlintas pun mahu berurusan apa-apa. Salah dia juga tidak telefon Nazim terlebih dahulu. Main redah.
            Naila angguk. Orang banyak duit. Beli rumah serupa beli kasut.
“Okey, tak ada masalah.” Masa itulah dia nampak Nazim muncul. Melonjak jugak hati Naila.
 “Jadi I serahkan kes you kepada Encik Nazim. Dia dah sampai tu.” Terus saja Naila bangun. Sebenarnya dia memang tidak mahu berurusan dengan Mikael. Lain jadinya nanti. Mikael itu mana boleh dilayan lebih-lebih. Bak kata Mia, bercakap saja boleh buat perempuan mengandung.
            “Eh, you tak boleh uruskan ke?” Membuak rasa kecewa Mikael bila Naila sudah sedia untuk tinggalkan bilik Nazim.  
            “I pekerja biasa aje. Lebih baik you berurusan dengan Encik Nazim sendiri.” Tak senang nak layan lebih-lebih. Terus saja Naila tinggalkan Mikael.
            Boleh angin satu badan ni. Jual mahal sungguh. Ingatkan perempuan semua sama. Asal ada lelaki kocek kencang habis dilayan, tapi perempuan seorang ini memang lain.
            “Ya Mikael, apa hal? Tiba-tiba saja datang ofis aku?” soal Nazim sebaik sahaja mengambil alih tempat Naila. Memang rasa pelik juga melihat Mikael. Serupa tak ada kerja. Sedangkan dia itu antara orang kuat Kristal Holding.
            “Apsal perempuan tu sombong sangat?” marah Mikael. Matanya masih mengekori Naila hingga Naila ke tempat duduknya.
            “Dia ada cakap yang kurang menyenangkan ke?” soal Nazim. Tahu akan perangai Naila. Mana boleh silap sikit. Habis disemburnya. Bukan dia kira.
            “Tak adalah, sombong semacam. Sakit pulak hati aku.”
            “Dia memang macam tu. Tegas sikit orangnya. Aku pun takut dengan dia. Jadi, apa tujuan kau datang sini?” Nazim bertanya lagi. Kalau boleh tidak mahu berbual tentang Naila.
            “Eh, dia tu dah ada teman lelaki?” Mikael masih belum sudah. Hatinya masih belum puas untuk berbicara tentang Naila. Soalan Nazim juga tidak diendahkan.
            “Yup, kerja pelantar minyak.” Bohong Nazim. Atas permintaan Naila sendiri kalau ada client yang bertanyakan status diri Naila. Maklum, berdahi licin siapa yang tidak berkenan. Ada saja client Nazim yang bertanyakan status Naila.
            “Serius?” soal Mikael. Macam jantungnya sudah terhempas saja. Hampa dan kecewa. Gadis yang dintai rupanya sudah berpunya.
            “Yup, kadang kalau kekasihnya cuti mereka habiskan masa bersama. Dan aku dapat tahu mereka tinggal serumah.” Bohong Nazim lagi. Juga atas permintaan Naila. Kadang-kadang Nazim sendiri pelik kenapa sampai begitu sekali Naila sanggup berbohong. Seolah menjatuhkan maruah sendiri saja.
            Terpempan Mikael sekejap. Terus matanya melihat Naila yang sedang bergurau senda dengan rakan sekerja. Padanlah tak pandang lelaki lain. Sudah ada teman istimewa rupanya. Siapalah lelaki yang bertuah itu.
            “Macam mana? Masih berminat walaupun nanti bekas orang?” Sinis saja soalan Nazim. Faham citarasa anak orang kaya seorang ini. Bukan dia tidak kenal. Kawan baik yang dia kenal sejak lama dulu. Ayah mereka kenalan rapat. Tidak hairanlah Nazim kenal luar dan dalam Mikael.
            Mikael diam. Macam mana dia hendak bekas orang kalau dia sendiri juga belum pernah menjadi bekas sesiapa. Betul dia ramai kenalan wanita, tetapi setakat untuk bergembira saja. Bawa balik ke rumah belum pernah. Mahu kena bunuh dengan umi.
            “Aku macam tak percaya saja dia perempuan macam tu.”
            “Ya? Kenapa kau fikir macam tu?”
            “Tak tahu nak jelaskan macam mana. Naluri aku kuat cakap, dia tu perempuan baik-baik.” Mikael urut dada. Dia nampak dengan jelas aura baik-baik pada wajah Naila. Mustahil boleh lakukan perkara begitu.
            “Sebab?” Nazim mahu tahu juga kenapa Naila itu begitu istimewa di mata Mikael sehingga berusaha bersungguh untuk mendapatkannya. Sedangkan sudah ramai gadis-gadis jelita sedang menunggu dirinya.
            “Dia tak layan aku langsung.”
            “Sebab tu saja? Sebab dia tak layan kau?” Nazim tergeleng.
            “Yup!”
            “Kau ingat semua perempuan mata duitan? Lagipun dia tu jenis setia pada yang satu. Aku rasa tak payahlah kacau orang punya. Berlambak lagi perempuan lain yang boleh kau pilih kalau kemaruk sangat dengan perempuan.” Tak faham Nazim. Punyalah ramai anak dara, yang itu juga Mikael terpikat.
            “Tapi aku berkenan yang tu.” Mata Mikael masih melihat Naila.
            Nazim geleng lagi.
“Duit banyak, rupa ada, tak ada masalah pun nak pikat artis ke, model ke, yang berkenan dekat perempuan yang ada kekasih kenapa?” Nazim senyum sinis. Entah apa kelebihan Naila itu, Nazim juga tidak tahu. Kalau Nazim sendiri, fikir sepuluh kali nak pikat Naila. Tak sanggup dia beristerikan perempuan segarang Naila. Sudahlah tidak romantis langsung. Serupa tiada perasaan saja.
            “Kalau hati sudah berkenan, tak boleh nak kata apa…”
            “Suka hatilah. Err, apa hal kau datang ofis aku ni. Serupa tak ada kerja saja…” Nazim kembali bertanyakan soalan yang sama.
            “Aku bosan.”
            “Bosan tapi datang ofis aku? Aku rasa kau salah tempat ni…”
            “Kau rasa macam mana nak pikat Naila?”
            Tahulah Nazim. Itu tujuan sebenar Mikael datang ke pejabatnya. Mahu mengintai si mawar berduri itu rupanya.
            “Tu kerja susah sikit sebab dia ni lain. Kalau kau bagi bunga, aku berani jamin mesti dia paksa kau makan bunga tu balik. Jadi, aku nasihatkan baik jangan cari penyakit.” Itu sahaja yang Nazim boleh bantu.
            “Macam kau tak kenal aku siapa. Kalau aku nak, pernah orang lain tolak?”Angkuh sahaja Mikael berkata.
            “Kalau orang lain mungkin aku percaya. Tapi bukan Naila.”
            “Kau tengoklah nanti…” Mikael masih pandang Naila. Tak kisahlah bekas orang pun. Janji dia boleh dapatkan Naila.
           
“KERAP pulak dia datang.” Mia pandang bilik Nazim yang dindingnya diperbuat dari kaca sepenuhnya. Di dalam bilik itu, Mikael dan Nazim masih rancak berbincang.
            “Ada urusan peribadi. Kata nak beli rumah.” Naila jawab nak tak nak. Memang langsung tidak berminat kalau urusan yang melibatkan lelaki bernama Mikael itu. Entahlah, rasa macam meluat saja.
            “Pergh, orang kaya. Beli rumah serupa beli baju saja. Tak salah aku dia baru saja beli sebuah banglo. Kau tahu berapa harganya?” Ada Nazim beritahu Mia, Nazim baru saja selesai uruskan jual beli rumah untuk Mikael.
            “Berapa?” Nina rakan sepejabat mereka bertanya.
            “Tiga juta, enam ratus ribu, lapan ratus. Sikit lagi nak dekat empat juta.”
            “Tak hairan pun. Baru ni kan ada client beli ruman tujuh juta.” Naila menyampuk.  Tak hairan dia setakat tiga juta. Kalau tiga puluh juta pun dia tak akan terkejut. Bukan rumah Naila pun. Orang punya duit, lantaklah nak beli berapa juta sekalipun.
            “Kita ni nak beli rumah flat kos rendah pun, belum tentu lepas.” Mia mengeluh.
            “Senang saja kau nak tinggal dalam rumah berharga juta-juta ni. Kau mengorat saja lelaki yang ada dalam bilik Encik Nazim tu.” Naila beri cadangan.
            “Eh, kalau dia nak, memang aku menyerah diri. Masalahnya dia tak akan pandang perempuan macam kita ni. Kenalah sedar diri sama.” Mia menjawab.
            “Huh, kalau aku memang tak ingin pun lelaki macam tu. Tak ada ciri-ciri jadi imam langsung.” Naila mencebik.
            “Wei, cik kak. Kau tahu tak, pasangan kita adalah cermin kita. Kalau kita sendiri tak memiliki ciri-ciri seorang makmum yang baik, jangan harap kita akan dapat suami taraf imam. Kau kena sedar tu. Itu pesan nenek aku. Jadi, jangan haraplah kita akan dapat lelaki yang baik-baik sebab perangai kita pun tak baik.”
            Terpempan Naila seketika. Kata-kata Mia makan dalam. Betul, dia berhajatkan lelaki yang baik-baik untuk menjadi suaminya sedangkan dia sendiri juga bukan dari kalangan yang baik. Aurat juga dia tidak pernah jaga. Solat? Entah berapa lama dia tidak solat.
            “Memang tidak adillah untuk lelaki yang baik memiliki perempuan macam kita.” Mia menokok.
            “Yup, aku setuju. Kalau kau berangan nak memiliki suami ala-ala imam muda, kau kena cermin sama diri kau, Naila. Berhenti pakai baju seksi-seksi.” Nina turut memberi pendapat.
            Terdiam terus Naila. Rupanya dia meminta sesuatu yang sangat mustahil. Tapi tak salah bukan kalau dia meminta yang baik-baik. Tak salah kalau dia mimpikan untuk mendampingi seorang lelaki yang boleh mengajak dia ke jalan yang benar.
            Ketiga mereka terdiam bila melihat Nazim dan Mikael bergerak tinggalkan bilik Nazim. Kalut masing-masing buat kerja.
            “Naila, ikut saya.” Nazim berdiri di hadapan meja Naila. Sementara Mikael berdiri disebelahnya.
            “Saya sedang berurusan dengan jual beli sebuah rumah. Temu janji pukul dua nanti. Kedua-dua pihak sudah setuju nak tanda tangan dokumen hari ni. Encik ajak Mia. Dia kosong hari ni.” Naila pandang Mia yang sedang buat muka.
            “Encik, saya pun ada hal.” Cepat Mia menyampuk.
            “Okeylah kalau masing-masing dah ada kerja.” Nazim bergerak tinggalkan meja Naila. Naila yang masih tunduk langsung tak pandang wajah keduanya.
            Nazim dan Mikael berlalu pergi. Ketika itu Mikael benar-benar tidak puas hati dengan Nazim. Langsung tidak tahu bertegas dengan pekerja sendiri.
            “Kau tak boleh berkeras sikit ke? Kau boleh paksa Naila ikut kau bukan?” marah Mikael. Kalau dia jadi Nazim, memang Naila tu sudah lama dipecatnya.
            “Mereka dah beritahu ada kerja. Takkan aku nak kacau. Mereka pun kerja untuk aku, jadi aku kena faham,” balas Nazim. Makin dia tidak senang dengan perangai Mikael. Terlalu mendesak.
            “Kau ketua. Kau patut beri arahan. Bukan pekerja kau yang bagi arahan,” marah Mikael. Bukan main dia berangan dapat keluar bersama Naila, sudahnya langsung tidak kesampaian gara-gara sikap Nazim yang tidak tegas langsung.
            Nazim sendiri sebenarnya malas hendak bertekak dengan Mikael. Lelaki seorang ini mana pernah mahu mengalah. Dia saja yang betul walau terang-terang dia salah. Sudahnya, Nazim buat bodoh saja.



Tuesday, December 1, 2015

Rindu Kasih Madinah.

Bagi yang masih belum dapatkan naskah ini, boleh berbuat demikian sekarang sebab stok semakin berkurangan. Pihak TK memang takkan ulang cetak lagi. Cepat-cepat sebelum kehabisan.

Friday, July 24, 2015

RINDU KASIH MADINAH 1

AKHIRNYA keputusan peperiksaan pertengahan tahun diumumkan juga. Waktu melihat keputusan dan kedudukan dia di dalam kelas, hati Wardah mula menangis. Kali ini keputusannya memang di luar jangkaan. Malu itu memang dia rasa tapi sebenarnya dia rasa sangat takut ketika itu. Takut dengan habuan yang bakal dia terima kerana dapat keputusan yang tidak dijangkakan. Di mana silapnya sedangkan dia sudah sehabis berusaha untuk lakukan yang terbaik? Atau memang dia sudah terpilih untuk duduk di dalam senarai pelajar paling bodoh?
            Tapi hendak diapakan lagi. Keputusan sudah pun muktamad. Tiada ada apa yang mampu mengubah keputusan tersebut. Wardah terpaksa hadap semuanya nanti.   
“Saya tak sangka anak cikgu pun boleh dapat nombor last. Ingatkan mak bapak dia cikgu boleh dapat nombor satu!” usik Ahmad Zikri ketika menghampiri Wardah yang seakan membawa diri duduk di bawah pokok besar menghabiskan waktu rehatnya yang berbaki lagi sepuluh minit.
            Bukanlah niat Ahmad Zikri hendak menyakiti hati Wardah, tapi entah kenapa sejak dari tingkatan 1 lagi, Ahmad Zikri cukup berkenan dengan Wardah. Nak kata Wardah tu cantik, tak juga. Tapi sedap mata memandang. Orangnya putih kuning, bermata kuyu dan wajah Wardah itu nampak sangat lembut. Tapi mulut Wardah, pergh. Alang-alang memang hilang sabar.
Wardah jeling tajam. Hati panas, sekarang telinga pula. Silap hari bulan ada yang Wardah paksa telan batu. Banyak cakap pulak.
Ahmad Zikri ketawa menyambut jelingan tajam Wardah. Makin manis. Ah! Angau Ahmad Zikri dibuatnya.
“Menyampahlah tengok muka awak!” Wardah pandang semula arah padang.
“Terima kasihlah sebab dapat nombor 42, kalau awak tak ambik nombor tu, nampaknya sayalah yang kena ambik.” Ahmad Zikri ketawa-ketawa sambil perhatikan Wardah yang duduk sambil pandangan mata dilemparkan ke arah padang.
            “Hati saya ni tengah sakit, boleh tak awak jangan sakitkan lagi?” marah Wardah. Suara juga sudah tinggi.
            “Hati awak  sakit ke?” Ahmad Zikri tanya sambil sambung ketawa.
            Wardah tak jawab. Mata masih pandang padang. Kepala sedang ligat berfikir bagaimana untuk berhadapan dengan kedua ibu bapanya. Dia sudah tidak sanggup menerima libasan tali pinggang lagi.
            “Awak sakit hati ke?” soal Ahmad Zikri semula.
            “Boleh tak awak jangan kacau saya? Kenapalah awak ni suka sangat menyusahkan hidup saya. Dah berapa kali saya cakap, saya tak nak kawan dengan awak, masih jugak kacau saya. Tolonglah faham sikit.” Wardah merayu pula.
            “Apa saya ni kurang kacak ke, sebab itu awak tak nak kawan saya?”
            Semakin marah Wardah jadinya. Kepala sudahlah fikir macam-macam, kacang hantu ini pulak merepek yang bukan-bukan. Ada hati nak jadi Romeo konon.
            “Kalau awak berdiri sebelah tiang bendera tu dan dipaksa pilih, saya rela pilih tiang bendera dari pilih awak!”
            “Ooo, maknanya awak nak saya jadi macam tianglah baru awak nak berkawan dengan saya?” Sakit juga hati Ahmad Zikri. Macamlah dia tiada rupa. Sedangkan dialah yang paling top kat sekolah.
            “Sudah-sudahlah dengan perangai loyar buruk awak tu. Awak tahu tak, saya ni tengah risau. Tapi awak makin mengusutkan keadaan saya.” Rendah semula suara Wardah. Sudah tak kuasa hendak melayan Ahmad Zikri.
            Ahmad Zikri ketawa dan terus duduk bersila di hadapan Wardah. Sengaja diturun naikkan keningnya sambil menatap mata cantik Wardah. Ditahan hati yang makin berdebar apabila berkesempatan untuk berada lebih dekat dengan gadis itu.
            “Urat kening awak dah putus ke? Pergilah! Nanti apa pula orang lain kata bila tengok kita berdua di sini.” Wardah tolak badan Ahmad Zikri.
            “Biarlah mereka nak kata apa pun. Saya bukan pinjam sudu mereka untuk kacau awak.” Ahmad Zikri tersenyum cantik.
            Wardah mendengus kasar. Tak tahu dengan cara apa lagi untuk menghalau Ahmad Zikri. Memang dasar budak tak makan saman. Sudahnya dia bangun. Kalau dilayan nanti, makin menjadi. Baik dia blah ajelah.
            “Wardah, kain kau koyak!” Tiba-tiba Ahmad Zikri dapat idea untuk kenakan Wardah.
            “Ha? Mana...mana?”
            Kelam-kabut Wardah memeriksa kainnya. Berpusing-pusing badan Wardah untuk melihat belakang badan. Dalam pada itu Ahmad Zikri dah terbahak-bahak mentertawakannya. Kali ini Wardah dah tak boleh sabar. Sebelah kasut dia tanggalkan. Kali ini Ahmad Zikri yang seronok ketawa itu akan dapat habuannya.
            Tanpa fikir apa-apa terus Wardah baling kasutnya ke arah Ahmad Zikri. Tepat mengena dahi. Ahmad Zikri terus diam terbaring di rumput. Puas hati Wardah. Mampuslah kau kat situ. Gerutu hatinya. Wardah kutip kasut yang dia baling tadi bersama perasaan separuh lega. Dapat juga dia membalas perbuatan Ahmad Zikri.
Ahmad Zikri masih tidak bergerak. Wardah biarkan saja. Dia takkan tertipu lagi dengan helah Ahmad Zikri.
            Loceng berbunyi. Waktu rehat sudah berakhir. Tapi Ahmad Zikri masih terbaring di atas padang rumput.
            “Nak tidur balik rumahlah!”
            Wardah berjalan laju meninggalkan Ahmad Zikri. Kemudian dia menoleh ke belakang. Budak paling nakal di dalam kelasnya itu masih tidak bergerak-gerak.
“Kuat sangat ke kasut yang aku baling tadi?” soal Wardah sendirian.
            Tak puas hati. Wardah pergi melihat keadaan Ahmad Zikri semula. Kaki kanan Ahmaf Zikri digerakkan menggunakan hujung kaki kanan. Tiada sebarang reaksi. Wardah menyepak perlahan betis Ahmad Zikri. Tetap tiada sebarang perubahan.
            “Zikri,” panggil Wardah perlahan.
            Dari mata kasar, dada Ahmad Zikri seakan tidak berombak. Hati mula risau. Masalah yang pertama masih belum selesai kini timbul pula masalah yang baru. Mati dia kalau terjadi apa-apa pada Ahmad Zikri.
            “Waktu rehat dah habis  ni. Janganlah main-mainlah!” Suara Wardah seakan cemas. Namun, Ahmad Zikri masih begitu.
 Hati makin risau. Sudah terbayang wajah ibu bapa Ahmad Zikri yang datang ke sekolah untuk memarahinya. Mungkin pegawai polis juga akan datang menangkapnya kerana kesalahan membunuh dengan niat. Berita mengenai seorang gadis yang mencederakan rakan sebaya sehingga menyebabkan kematian mungkin akan terpampang di dada akhbar besok.
“Zikri, bangunlah woi! Tak kelakar pun gurauan awak ni.” Wardah menyangkung di sebelah Ahmad Zikri. Sengaja dipicitnya hidung Ahmad Zikri untuk membangunkan lelaki itu. Tetapi helahnya tidak berkesan.
“Zikri! Saya minta ampun... Saya tak berniat nak cederakan awak.”
Suara cemas sudah keluar. Tubuh Ahmad Zikri digoncang kuat. Mata jadi panas dengan sendirinya. Rasa macam nak meraung pun ada juga. Perkara-perkara negatif yang difikirkan tadi kembali terbayang di dalam kepala. Liar mata Wardah mencari sesiapa sahaja yang boleh membantu. Tiada pula kawan-kawan yang dia kenal lalu di situ.
Dia perlu mendapatkan bantuan. Mungkin Ahmad Zikri cuma pengsan. Guru bertugas perlu dimaklumkan mengenai hal ini. Wardah bangun. Ketika dia berpaling untuk melangkah, hujung kain baju kurungnya ditarik kuat dan menyebabkan dia duduk tersembam di sebelah Ahmad Zikri.
“Saya hidup lagilah.” Dia kenyit mata. Tawa Ahmad Zikri kedengaran semula. Seronok sungguh dia mempermain-mainkan Wardah. Dia bangun dan menyapu punggungnya yang penuh dengan rumput kering.
“Kurang ajar!” Wardah bangun dan bercekak pinggang. Tak kelakar pun gurauan Ahmad Zikri tadi.
“Sayang juga awak kat saya kan?” Ahmad Zikri tunjuk senyum nakal.
“Sayang kepala hotak awak! Dah tak ada idea lain lagi ke nak bergurau?”
“Ada. Masih banyak lagi koleksi gurauan yang saya simpan. Semuanya untuk awak.”
Malas nak melayan lagi. Wardah berjalan laju meninggalkan Ahmad Zikri di belakang.
“Wardah! Tunggulah kejap.”
Wardah buat-buat tak dengar. Masalah yang bakal dihadapi bila pulang ke rumah nanti lebih penting buat masa ini. Apa alasan logik yang boleh diberi pada abah nanti? Belum apa-apa lagi dia sudah dapat rasakan perit dan pedihnya badan bila menerima habuan daripada abah nanti. Mengalir airmata Wardah bila mengenangkan semua itu. Bukan salah dia kerana dapat tempat yang tercorot. Dia dah berusaha sebaik mungkin. Tapi percubaannya masih tidak berjaya.
“Lajunya awak jalan. Buat apa tergesa-gesa sangat nak masuk dalam kelas? Belajar pandai-pandai pun bukannya boleh dapat nombor satu .” Ahmad Zikri menyakat lagi sebaik sahaja dapat menyaingi Wardah. Tapi tiba-tiba senyumnya hilang tatkala melihat mata Wardah yang merah.
“Eh, awak menangis? Ala...terharunya saya. Terima kasihlah sebab awak risau sangat dengan keadaan saya tadi.”
“Jangan perasanlah. Buang masa saja saya nak risau pasal awak. Saya risau pasal keputusan peperiksaan sayalah!”
“Pasal benda tu pun nak menangis? Bukannya teruk sangat keputusan peperiksaan kau tu. Nombor satu juga. Nombor satu dari belakang!”
“Diam!”
Wardah sudah tidak tahan. Dicekaknya leher baju sekolah Ahmad Zikri. Buntang matanya merenung Ahmad Zikri.
“Kalau awak bercakap lagi, saya sumbat mulut awak dengan buku lima saya ni.”
Wardah genggam penumbuk. Cubalah Ahmad Zikri bercakap lagi. Memang selamat muka dia kena tuam nanti.
“Wo, relakslah! Okey, saya diam.” Ahmad Zikri tekup mulut dengan dua-dua tangan.
Nafas Wardah turun naik menahan geram. Ikutkan hati mahu dilambung saja budak hati kering tu.
Wardah lepaskan Ahmad Zikri selepas itu. Dia bagi isyarat supaya Ahmad Zikri beredar dulu. Mujur dia tidak banyak soal. Wardah mengekorinya  dari  belakang. Sambil berjalan dia membersihkan rumput kering yang melekat di bajunya.
“Aduh!”
Wardah terlanggar Ahmad Zikri. Terhoyong-hayang dia cuba mengimbangkan badan. Ahmad Zikri sempat menarik pinggang Wardah bagi mengelakkan dia terjatuh. Wardah tergamam. Tapi cepat-cepat dia menolak Ahmad Zikri dan berundur ke belakang.
“Kenapa awak berhenti?” Wardah menjerkah. Malu pun ya juga.
“Saya takut awak melencong ke tempat lain. Yalah, awak kata tadi tengah susah hati. Risau juga saya kalau-kalau awak pergi panjat bumbung sekolah.”
“Awak fikir saya ni pendek akal sangat ke nak buat kerja bodoh tu?” Suara Wardah masih tinggi.
“Kalau panjang akal takkanlah awak dapat tempat terakhir dalam kelas, kan?”
Ahmad Zikri gelak dan berlari meninggalkan Wardah. Wardah mengejar. Kali ini dia tak kira. Ahmad Zikri perlu diajar. Selagi tidak diberi pengajaran selagi itulah Ahmad Zikri akan menganggunya.
“Hoi!”
Dua-dua terhenti. Ahmad Zikri pandang Wardah. Wardah ketap bibir. Sekejap saja muka dia berubah pucat apabila melihat penolong ketua pengawas sedang merenung mereka sambil mencekak pinggang.
“Apahal main kejar-kejar ni? Waktu rehat dah habis, kan?” tanya  pengawas itu.
“Kami tahu kak. Tadi mak cik kantin minta tolong kami kutip pinggan di padang. Sebab itulah lambat sikit masuk ke kelas. Kami pergi dulu.” Dengan selambanya Ahmad Zikri menarik tangan Wardah. Tapi dengan pantas Wardah merentap tangannya.
Ahmad Zikri tak menunggu lagi di situ. Dia tinggalkan Wardah bersama pengawas yang masih masam mencuka merenung mereka.
“Err, adik masuk kelas dulu.” Wardah tergagap-gagap.
“Tunggu!”
Pengawas itu datang dekat. Dari bercekak pinggang dia meletakkan tangan di bahu Wardah. Bibirnya dekat sangat dengan telinga
“Kakak nak pinjam tiga ringgit. Balik rumah nanti kakak ganti balik.”
Wardah menyeluk poket. Memang cukup tiga ringgit duit yang dia ada. Tanpa banyak soal, dihulurnya duit itu pada Hajar.
“Pergi masuk kelas. Bising cikgu adik nanti.” Hajar menghalau  adiknya. Langsung tak pandai berterima kasih.
Besar kecil anak matanya melihat Wardah melangkah longlai menuju ke kelas. Hajar senyum. Dia sudah ada bahan cerita yang boleh dilaporkan pada mak dan abah apabila pulang ke rumah nanti

            

Sunday, June 14, 2015

Perjalanan yang sangat indah.

Sesuatu yang ingin saya tulis dan kongsikan dengan pembaca semua. Impian yang saya simpan sejak lama namun tiada perancangan dan kesungguhan sedangkan saya lebih dari mampu. Rezeki yang Allah berikan kepada saya melimpah ruah. Alhamdulilah. Tiba-tiba saja, pada bulan Febuari saya terasa ingin benar melihat kaabah dengan mata saya sendiri. Akhirnya saya menghubungi pihak Tabung Haji. Bertanyakan kekosongan masa cuti sekolah kerana saya mahu membawa anak-anak saya bersama. Alhamdulilah, rezeki berpihak kepada saya. Sayangnya, kak long tak dapat join sama sebab ada exam penting. Tak apalah, mungkin ada rezeki lain nanti, insya-Allah.
Perasaan ketika itu sangat teruja dan rasa tidak sabar untuk ke sana. Saya telah bertolak dari KLIA menuju ke Jeddah pada Jumaat 29/5/2015, Ada orang teman saya yang menghantar saya, Kak Mariana dan Nurul. Saya harap, saya juga berkesempatan menghantar mereka dalam keadaan begitu.
Perjalanan sangat panjang. Lebih kurang 9 jam. Kami memulakan perjalanan pada pukul 4.00 petang dan sampai di lapangan Jeddah lebih kurang pukul 8 malam. Ini kerana tanah Arab lewat lebih kurang 5 jam dari waktu Malaysia.
Selepas tiba di Jeddah dan selesai proses kemasukkan, rombongan kami dibawa pula ke Madinah dengan bas. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 6 jam. Disebabkan malam, saya tak dapat melihat keadaan sekeliling.
Perasaan ketika memasuki Madinah memang tak boleh nak ditulis dengan kata-kata kerana saya bakal menjejakkan kaki di bumi di mana makam Rasululah ada di situ. Sebelum ini saya hanya berselawat dari kejauhan dan hari itu saya sendiri berpeluang mengunjungi bumi yang sangat bertuah. Subhanalah, umat sehina saya diberi peluang untuk ke sini. Hanya linangan air mata saja yang memahami perasaan saya ketika itu.
Kami tiba di hotel ketika azan subuh sudah berkumandang di Masjid Nabawi. Saya tidak berkesempatan untuk solat subuh di masjid kerana baru tiba, tapi suami saya sempat berkejar ke masjid. Rupanya di Masjid Nabawi sebaik sahaja azan, mereka akan dirikan solat selepas 20 minit kemudian. Memang agak lama juga.
Tiga buah masjid kalau kita bersolat di dalamnya bakal mendapat berlipat kali ganda berbanding solat di masjid lain. Tiga buah masjid itu ialah, Masjid Nabawi, Masjid Al-aqsa dan Masjidil Haram.
Masjid Nabawi sangat indah dan perasaan kita berada di dalamnya juga sangat indah kerana di masjid inilah terdapatnya makam rasul dan raudah. Sebagaiman Rasululah pernah bersabda, antara mimbarku dan rumahku merupakan taman dari taman-taman syurga( HR. Al Bukhari dan Muslim) Subhanalah...Saya tak dapat nak tulis perasaan saya, jadi saya kirimkan doa agar semua pembaca yang membaca coretan ini akan dapat ke sana nanti.
Selepas tiga hari di Madinah dan melawat kawasan-kawasan bersejarah, tiba masanya kami tinggalkan Madinah. Doa saya, semoga ini bukan kali pertama dan terakhir. Andai kali terakhir, terimalah semua amalan saya selama berada di sini.
Perjalanan ke Mekah dengan menaiki bas sebenarnya tidaklah begitu extrem seperti yang saya bayangkan. Jalan yang cantik sebab sudah taraf lebuhraya. Tinggal lagi berhadapan dengan ribut padang pasir. Memang nampak pasir bergulung-gulung. Saya melihat sendiri keadaan padang pasir yang berbatu-batu. Tetapi jangan tak tahu, dalam keadaan padang pasir begitu saya berpeluang melihat ladang unta dan kambing. Subhanalah.
Sampai di Mekah sudah 8 malam. Perasaan saya? Tak dapat saya gambarkan. Jadi, saya kirimkan doa juga semoga semua yang membaca catatan saya ini berkesempatan menjejakkan kaki ke sini.
Selesai urusan di hotel tiba masanya kami dibawa untuk menunaikan umrah diiringi seorang mutawif yang sangat berpengalaman. Nama mutawif tu Tuan Haji Hairuddin.
Inilah momen paling penting. Kali pertama saya dipertemukan dengan kaabah yang menjadi kiblat saya selamat ini.
Sebelum tiba, saya teringat kata-kata orang, kalau kita banyak dosa, kita tak akan dapat melihat kaabah. Saya sangat risau memandangkan saya ini manusia yang terlalu banyak salah dan silap. Dengan Allah, dengan manusia. Tapi bila saya mula dapat melihat kaabah, alhamdulilah. Saya benar-benar sudah terpilih untuk menjadi tetamu Allah.

Wednesday, May 20, 2015

Dah bersawang.

Lama gila tak masuk sini. Seperti terlupa alamat pun ada. Serius terlupa. Tahun ni insya-Allah, Teratak Kasih bakal keluar dengan cerita Mikael. Tarikh bila keluar saya tak dapat pastikan. Maklum, banyak benda yang hendak didahulukan. Suamiku Orang KL pun masih dalam menunggu giliran. Harap semua bersabar ya.

Thursday, October 30, 2014

SUAMI EDISI TERHAD- Bab 1

HARI-HARI yang aku lalui adalah hari-hari yang sangat indah. Sukar untuk aku huraikan dengan kata-kata betapa bahagianya aku. Melewati hari-hari bersama suami tercinta dan buah hati kami terasa seperti tercampak ke dunia paling indah. Dunia yang hanya ada aku, Encik Hazrul dan Humairah. Besar benarkah permintaanku andai aku hanya mahukan kami bertiga saja di dalam dunia ini? Aku tidak perlukan sesiapa lagi. Sungguh, aku memang tidak perlu sesiapa pun juga.
Tapi mana mungkin kerana kehidupannya ini merupakan rantaian yang memerlukan antara satu sama lain. Hendak atau tidak, kehadiran pihak lain sama penting. Hidup seharusnya begitu. Saling perlu memerlukan. Ibarat aur dengan tebing. Tidak terlalu pentingkan diri sendiri dan tidak terlalu mengambil tahu hal orang lain.
            Bagiku cukup kalau namanya kehidupan yang baik-baik saja, yang biasa-biasa saja tapi bersama limpahan kasih sayang yang tidak terhingga. Tiada lain yang aku minta. Bukan kemewahan yang aku dambakan. Hanya yang biasa-biasa saja.
            Cinta. Selain hidup yang biasa-biasa, aku juga memerlukan cinta. Sangat memerlukannya kerana aku juga manusia biasa yang ingin dikasihi. Tak salahkan kalau manusia biasa seperti aku mahukan kebahagiaan? Siapa yang tidak mahu hidup bahagia? Kalau diberi pilihan antara wang ringgit, aku tetap pilih untuk hidup bahagia walau sekadar jadi isteri seorang penternak lembu.
            Aku mengenal erti cinta melalui dia. Cinta yang aku kira mustahil untuk insan seperti aku miliki. Namun kata Encik Hazrul, cinta itu sifatnya sangat luar biasa. Tak pernah kenal sesiapa. Tak pernah terbezakan antara jelek dan yang memiliki kesempurnaan. Siapa saja di luar sana, pasti akan temui cinta agung masing-masing. Dan sesungguhnya aku adalah insan yang terpilih untuk memiliki cinta agung itu. Cinta dari seorang lelaki yang sangat hebat.
            Ah! Manisnya percintaan ini.
            Humairah mengekek. Sekaligus mematikan semua lamunanku yang indah-indah belaka.  Sejak pandai ketawa, senang saja dia mengekek. Pantang diacah sedikit. Kadang-kadang melihat wajah kami berdua saja dia boleh ketawa. Macamlah muka papa dan mama ni muka badut. Mungkin itulah yang membuatkan dia ketawa. Dia ada ibu bapa yang sangat menyanyangi dirinya. Jadi, dia berusaha untuk menyenangkan hati kedua ibu bapanya.
            Sayang Humairah.
Humairah sudah enam bulan. Badannya berisi seperti kebanyakkan bayi seusia dengannya. Kulitnya putih gebu. Wajahnya? Saling tak tumpah seperti wajah papanya. Sangat comel. Kata orang kalau anak perempuan mengikut wajah ayah, sejuk, penyabar, tak keras kepala dan tak pentingkan diri sendiri. Harap begitulah.
Humairah tidak banyak ragam. Senang dijaga, siang dia akan tidur dan malam akan berjaga. Itu saja masalahnya. Tapi elok juga dia berjaga malam. Boleh temankan papanya. Papanya bukankah suka tidur lewat malam.  
            “Sayang, kita tunggu papa…” bisikku kepada Humairah sebaik saja siapkan Humairah. Pipi gebu itu aku cium. Wanginya anak mama. Masih ada bau bayi. Mungkin bau inilah yang Encik Hazrul rindukan saban hari. Maka tidak hairanlah kalau Humairah menjadi pilihan untuk dicium terlebih dahulu sebaik sahaja tiba di rumah. 
            Sambil dukung Humairah, aku pandang cermin. Rambut sudah aku tocang kemas. Bibir juga nampak seksi dengan gincu warna merah jambu. Bedak asas juga masih rata di muka. Cukup. Encik Hazrul memang tidak suka aku bersolek secara berlebihan. Baginya cukup menutup wajah kusam. Katanya lagi, tanpa sebarang solekan juga, aku tetap dipandang manis. Sebagai isteri, pasti saja aku mahu lakukan yang terbaik buat suamiku. Tidak mahu dipandang jemu.
            Setahun dua, usia perkahwinan itu masih di alam manis. Apa juga yang dibuat serba cantik dan menarik, namun bila masuk usia ketiga tahun, perasaan itu pasti saja berkurangan. Kasih sayang akan mula pudar kalau tidak diusahakan sesuatu. Semuanya bakal jadi hambar nanti. Hilang kasih maka hilanglah sayang.
            Huh! Siapa kata alam perkahwinan itu manis belaka? Kahwin dulu baru tau cerita.
            Saban petang, aku dan Humairah seperti penunggu yang sangat setia. Kami menantikan lelaki yang sama. Lelaki yang paling kami sayang dan lelaki yang telah membahagiakan hidup kami.
            Petang ini sangat cantik. Cahaya matahari mula meredup. Angin dingin Bukit Cendana sentiasa berpuput lembut. Sangat menyegarkan. Di halaman rumah bunga-bunga ros berwarna merah hati dan merah jambu sedang kembang mengelilingi pagar kayu rumah kami. Bersulam dengan bunga matahari yang sentiasa menarik perhatian. Di hujung halaman putik-putik anggur mula menampakkan hasil.
            Pokok-pokok anggur itu aku tanam sebagai penyeri taman. Suka melihat buahnya yang bergayutan di halaman Syed Imran. Jadi aku cuba tanam di halaman rumahku dan nampaknya serasi. Bukanlah harap sangat akan buahnya, tapi rasa gembira bila mula menampakkan hasil.
            Dari kejauhan aku melihat pacuan empat roda Encik Hazrul sudah mula menghampiri kawasan rumah. Melalui lorong kecil yang kiri kanannya ditumbuhi dengan pohon-pohon jacaranda. Bunga-bunga kuning sudah terdampar di sepanjang lorong. Sungguh cantik. Sungguh Indah. Akan berterbangan bila ditiup angin, juga setiap kali ada kenderaan yang melalui lorong tersebut.
            Ah! Aku tahu kenapa Bukit Cendana menjadi pilihan Encik Hazrul. Bukan saja mendamaikan, bahkan menyajikan permandangan yang sangat cantik.
            “Papa dah balik…” bisikku perlahan ke telinga Humairah. Humairah pasti saja tidak duduk diam bila melihat kelibat kenderaan papanya. Seolah-olah tahu, sang papa sudah pulang. Pulang membawa kasih sayang yang melimpah ruah.
            Perasaan aku tetap sama setiap kali menyambut kepulangan Encik Hazrul. Sama seperti mula-mula kami tinggal serumah dulu, ketika terpaksa menjadi suami isteri olok-olok. Perasaan itu juga masih sama seperti kami sudah bergelar suami isteri yang sah. Sikit pun tidak terkurang. Mungkin itulah rasa kasih yang tidak terhingga buat dirinya. Tak pernah jemu walau sedikit. Tetap merindui dirinya walau berpisah untuk jangka masa beberapa jam sahaja.
            Paginya seawal jam lapan pagi, Encik Hazrul sudah memulakan tugasnya. Tengah hari akan pulang makan tengah hari dan solat zuhur. Sambung semula berkerja sehingga jam lima petang. Tidaklah berjarak terlalu lama dia tinggalkan rumah. Entah kenapa rasa rindu itu tetap juga menggebu.
            Mata tetap memberi tumpuan terhadap pacuan empat dan roda sehinggalah kenderaan itu berhenti betul-betul antara pintu masuk dengan deretan pokok bunga matahari. Berlalu beberapa saat, lelaki yang kami tunggu keluar dari kenderaan.
            “Hai sayang…” ucapan yang tidak lekang dari bibirnya setiap kali dia pulang. Sebenarnya sayang itu istimewa buat puterinya. Dan kadang-kadang ucapan itulah yang membuatkan aku berjauh hati. Mana tak cemburu. Kalau dulu sayang itu memang khas untuk aku dan sekarang untuk Humairah pula.
            Humairah dipangkuan berpindah pula ke pangkuan Encik Hazrul. Budak montel itu dicium beberapa kali. Buah cinta kami yang mendapat sepenuh perhatian sejak dilahirkan, nampak suka benar. Tak diam langsung.  
            “Papa rindu Humairah,” bisik Encik Hazrul.
            Yalah, rindukan Humairah saja. Aku ini seperti tunggul kayu. Tarik muka masam sekejap. Aku yang berhias cantik ini langsung tidak dipuji. Dipandang pun tidak.
            “Eh, mama jeleslah…” Encik Hazrul jeling aku sambil tersenyum.
            “Tak ada maknanya,” balasku.
            “Serius?” soalnya.
            Aku duduk semula di bangku kayu tanpa menghiraukan Encik Hazrul. Setiap petang, sekembali dari bekerja, beginilah kami. Memerhatikan wajah petang dengan cara kami sendiri.
            “Mama pun papa rindu jugak. Mana boleh tak rindu teman tidur papa, karang tak pasal-pasal papa kena tidur luar,” kata Encik Hazrul, cuba mengusikku. Tanpa usikan, terasa hambar, kerana dari mula aku mengenali Encik Hazrul, begitulah dia. Ada saja bahan usikan yang membuatkan aku tersenyum.
            Siapa sangka lelaki yang memegang status CEO ketika itu, pandai bergurau. Sedang raut wajahnya umum sedia tahu. Bukan saja nampak tegas, bahkan garang juga. Dia sangat digeruni setiap kaki tangan di Menara Holding. Dari pihak bawahan, sehinggalah ke pihak atasan. Sedang semua ahli jawatan kuasa tertinggi Menara Holding juga takut dengan beliau.
            Perwatakan itu bertukar sama sekali bila beliau berada di rumah. Dengan erti kata yang lain, ketika dia berada di sisiku. Seolah-olah bertukar posisi. Sangat penyayang dan sangat romantis. Kalau tidak romantis, masakan aku boleh jatuh cinta dengan mudah.
            “Oh, sebab teman tidur papa aje ke…?” Aku menyindir. Jeling dia sekali.
            “Abang sebut tidur ke?” Encik Hazrul ketawa perlahan.
            “Abang sebut teman tidur okey, saya belum pekak lagi,” jawabku sedikit kuat.
            “Eh, marah ke?”
            Aku tak balas. Sekadar perhatikan halaman dengan perasaan sedikit geram. Kemudian pandangan mata mencari wajahnya semula.  
            “Sebenarnya abang nak sebut teman hidup abang. Tersebut tidur pulak. Awal lagi dah tersasul…” Senyuman manis Encik Hazrul ukir di bibirnya. Senyuman itulah yang membuatkan aku bernafas di dalam lega. Senyuman yang membuatkan aku menjadi seorang perindu saban hari.
            Sekelip mata hilang semua rasa yang tak tidak enak.
            “Yalah tu…” ucapku tenang.
            Encik Hazrul lentokkan kepalanya ke bahuku. Seperti mahu menyandarkan segala permasalahan ke bahuku. Di manakah lagi hendak dia berkongsi rasa kalau bukan dengan aku. Sebagai seorang isteri, aku rasa sangat berbesar hati.
            “Macam mana dengan pekerja baru tu?” soalku perlahan. Aku diberitahu oleh Encik Hazrul, dia baru saja mengambil pekerja dari Bangladesh dua minggu lalu mengantikan pekerja Indonesia yang sudah tamat perkhidmatan.
Kebiasaannya Encik Hazrul pasti saja bercerita tentang ladang ternakan. Bercerita tentang masalah pekerja asing yang susah untuk terima arahan kerana masalah komunikasi. Itulah sebahagian dunianya sekarang ini. Tidak lagi Encik Hazrul seperti dulu seorang CEO yang sentiasa memerah tenaga untuk memajukan Menara Holding.
            “Sorang cakap bahasa itik, sorang bercakap bahasa ayam. Abang bercakap bahasa orang putih. Masing-masing ternganga. Mahu kencing manis abang macam ni…”
            Aku tergelak. Kelakar juga kata-kata Encik Hazrul itu. Tetapi aku jelas dapat melihat kepuasan pada raut wajahnya. Itulah kepuasan yang dia cari selama ini.
            “Hmm, mana lebih senang antara uruskan Menara Holding dengan uruskan ladang ternakan?” soalku.
            “Mestilah uruskan ladang ternakan lebih senang. Seribu kali lebih senang dari uruskan Menara Holding.”
            “Tapi ladang ternakan tak seglamer uruskan Menara Holding.”
            “Abang tak pernah pun mimpi nak glamer. Bukan jenis abang.”
            Aku tahu tu. Aku kenal Encik Hazrul. Dia bukan jenis yang gila akan semua itu. Kalau tidak, tak kan semudah itu dia melepaskan jawatannya sedangkan jawatan itulah yang menjadi rebutan.
            “Abang rasa benar-benar bahagia sekarang ni. Kehidupan yang abang impikan sejak dulu lagi.”
            “Abang memang suka tempat yang sunyi?”
            “Hmm… Rasa tenang saja. Kenapa tanya?  Azian dah mula bosan?”
            Aku geleng. “Tak pernah bosan selagi abang ada di sisi.”
            “Habis tu kenapa tanya?”
            “Kadang-kadang masih ada perkara yang saya tidak tahu tentang abang, dan saya tidak mahu ketinggalan walau satu pun.” Aku senyum. Membayangkan rasa puas hatiku.
            “Memang pun. Memang tak faham-faham lagi rupanya.”
            “Apanya?” soalku.
            “Mana air abang?”
            Aku gigit hujung bibir. “Humairah, dulu masa mama kerja, bos mama suka cakap ayat tu. Tak sangka sekarang ni pun mama terpaksa dengar jugak.”
            “Habis, bos mama Humairah tu dah jadi suami mama Humairah, kenalah dengar selalu.”
            “Azian, buatkan saya air. Azian mana air saya!” Aku ajuk ayat-ayat Encik Hazrul sambil bangun. Manisnya kenangan itu.
            Encik Hazrul ketawa.
            “Mama tak sedar, rupanya dengan cara tulah, papa Humairah nak mengorat mama.” Pipi Humairah aku cubit perlahan. Geram.
            “Tau takpe…”
            “Tau dah…”
            Aku senyum puas sambil atur langkah. Teh madu boleh, bermadu jangan!

SELESAI solat isyak, kami menonton TV bersama di ruang tamu. Humairah akan meniarap di atas tilamnya. Sambil menonton, Encik Hazrul tidak lepas dengan mesin kira dan juga beberapa helaian kertas. Tugasnya mengira pula.
            “Nora kirim salam. Lupa nak cakap kat abang tadi. Dia call lepas abang balik makan tengah hari.” Baru teringat tentang panggilan Nora.
            “Waalaikumusalam… Apa cerita?” soal Encik Hazrul. Palingkan badan. Pasti saja mahu minta diurut. Tanpa sebarang arahan, aku lakukan tugasku. Mahu jadi tukang urut yang terbaik di dunia buat Encik Hazrul.
            “Dia nak kahwin.” Tangan kiri dan kanan memainkan peranan. Makin mahir.
            “Ya? Alhamdulilah…”
            Cerita tentang Nora berakhir begitu saja. Encik Hazrul tidak akan bertanya lebih-lebih. Dia tidak gemar. Aku juga tidak akan bercerita lagi kalau Encik Hazrul tidak bertanya. Bermakna dia kurang berminat hendak tahu lebih lanjut. Kalau aku pasti saja habis semua aku tanya.  
            “Bawah sikit…”  arahnya. Kedua tangan mengurut bahagian pinggangnya pula.
            “Berapa umur abang tahun ni?” soalku.
            “Sampai hati, umur abang pun tak ingat.”
            “Taklah, saja tanya.”
            “Kenapa?  Sejak jadi penternak lembu ni abang dah nampak tua sangat ke?” soalnya.
            “Hesy, ke situ pulak. Tak ada kena mengena okey…”
            “Yalah, abang sedar diri!”
            Cepat tangan cucuk pinggang dia. “Eh, janganlah. Abang sensitif tau. Humairah tu bulat lagi matanya. Sejam dua lagi memang tak tidur tu…”
            “Mengada sangat. Sikit-sikit sentap!”
            “Bukan sentap. Abang cuma sedar diri…”
            Aku peluk dia dari belakang.
            “Sayang abang…” bisikku perlahan. Dia toleh pandang aku. Pipi kananku dia cium sekali.
            “Pernah ke abang tak sayang Azian?” soalnya pula.
            “Manalah saya tahu…” Aku tenung anak matanya.
            “Tak pernah walau sedikit. Tetap sayang seperti pertama kali abang pandang Azian.” Pipiku dia pegang.
            “Temani abang, walau apa pun kedaan abang nanti.”
            “Saya yang sepatutnya buat permintaan tu. Tolong jangan tinggalkan saya dan Humairah, walau apa keadaan sekalipun.”
            “Insya-Allah. Azian dan Humairah adalah keutamaan abang sekarang ni. Abang lakukan semuanya demi dua orang penting dalam hidup abang. Akan abang pertahankan walau dengan nyawa abang sekalipun. Abang nak Azian dan Humairah tahu, abang sangat sayangkan korang berdua.”  
            Kata-kata Encik Hazrul benar-benar sampai ke dalam lubuk hatiku. Seringkali juga dia ungkapkan kata-kata begitu. Entah kenapa, walau seringkali mendengar kata-kata begitu, aku tetap teruja mendengarnya. Seperti memberi satu semangat yang tidak ternilai. Walau bukan kata-kata romantis yang penuh puitis, tetap juga indah untuk didengar. Ya, aku mahu dengar untuk sekian waktu yang ada. Tak jemu, langsung tak bosan.
            “Terima kasih...” Aku tersenyum cantik. Ikhlas dari hati. Hanya itu saja yang mampu aku lakukan sebagai hadiah untuk Encik Hazrul.
            “Humairah, manalah papa tak cair selalu kalau mama asyik tersenyum macam ni. Berdebar saja jantung papa. Sama saja macam dulu. Asal tengok senyuman mama macam tu, mulalah papa tak sedap hati.”
            Ada-ada saja Encik Hazrul ni.
            “Hmm, masa untuk Muhammad Adam?” soalku. Memancing Encik Hazrul sebenarnya. Nak ajak tidur.
            “Kalau Wardah macam mana?”
            “Saya tak kisah?”
            “Hmm, tak nampak mata kakak Wardah? Bulat lagi tu. Jangan haraplah nak tidur cepat.”
            Kami sama-sama pandang Humairah.
            “Hah, turun keturunan papa dialah. Suka sangat berjaga malam. Kalau dulu CEO tu memang saya percayalah. Sekarang kan jaga lembu saja pun…”
            “Habis abang dah biasa tidur lewat.”

            “Hmm, nasiblah!” Sambung semula peluk Encik Hazrul.