Tuesday, January 18, 2011

3

“Umi, Is nak ajak Najihah pergi sekolah dengan Is, boleh umi?” soal Isqandar sambil gogok Milo. Kemudian kunyah roti. Terakhir pandang tepat muka Puan Aida.  Letak sikit harapan. Kemudian harapan tu jadi tambah banyak selepas itu. Tahu uminya mesti okey punya. Sporting habis uminya tu.
            “Kenapa pulak tak boleh? Is ajaklah dia pergi dengan Is,” jawab Puan Aida selamba. Tapi wajahnya sudah berubah. Tak nampak selamba langsung. Macam orang yang tahan nafas saja. Mahu tak terkejut bila anak lelakinya dah mula gatal nak ajak anak saudara tukang kebun pergi sekolah bersama. Puan Aida dah agak, mesti anak lelakinya tu dah berkenan dengan budak perempuan sorang tu. Kalau tidak kenapa Isqandar bersungguh? Di situ Puan Aida dah rasa tak tentu arah. Takut kalau ya anaknya tu dah berkenan dengan budak tu. Mana boleh anaknya berkawan dengan anak saudara tukang kebun. Memang tak boleh sama sekali. Puan Aida tidak akan benarkan sama sekali.
Hanim, kakak Isqandar pandang muka Puan Aida. Nampak Hanim pun faham  dengan keadaan uminya. Tahu  uminya tak suka dengan apa yang didengar, tapi terpaksa bermuka-muka di hadapan Isqandar. Dia sedar juga uminya tidak mahu mendapat gambaran buruk di mata Isqandar. Sebabnya selama ini, Isqandar aggap uminya itu baik sangat. Jadi hendak atau tidak uminya terpaksa buat-buat suka walau tak suka sangat-sangat. Mana boleh Isqandar berkawan dengan perempuan sembarangan.  
            “Is dah berkawan dengan Najihah ke?” soal Puan Aida bersama perasan tak tentu arah itu.
            “Hmm,” jawab Isqandar sambil tersenyum. Seronok. Walau belum ada apa-apa keputusan yang agak menyenangkan hati, tapi Isqandar tahu, budak perempuan seorang tu memang suka jual mahal. Saja cakap tak nak kawan takut orang tuduh dia gatal.
            Puan Aida tambah kelam kabut. Cara Isqandar tersenyum lain benar. Jarang anak lelaki kesayangan itu tunjukkan wajah begitu. Bermakna ini mesti ada cerita disebaliknya.
            “Mak Tam!” Isqandar melaung memanggil Mak Tam yang berada di ruang dapur.
            “Ya Isqandar,” tergesa-gesa Mak Tam ke ruang makan.
“Najihah dah pergi sekolah Mak Tam?” soal Isqandar sambil sapu jem di atas roti. Sekeping tak cukup untuk buat tenaga nak bertekak dengan budak perempuan tu.  Isqandar kena makan lebih.
            “Dia tengah bersiap. Kejap lagi dia pergilah,” beritahu Mak Tam sambil melihat wajah Puan Aida.
            Mak Tam mula cemas bila nampak Puan Aida jeling semacam. Jeling macam nak makan orang. Tapi Mak Tam jelas benar akan jelingan Puan Aida itu. Bukan sehari dua Mak Tam kenal Puan Aida, dah lama benar. Jadi Puan Aida tak pelu tipu Mak Tam, sebab Mak Tam memang tahu dengan perkara sebenarnya.
            “Mak Tam tolong cakap dengan dia, suruh dia tunggu Is dalam kereta,” arah Isqandar lagi.
            Mak Tam rasa sangat serba salah tetapi dia akur juga dengan arahan sebab tak nak dengar Isqandar tanya yang bukan-bukan.
            Mak Tam melangkah cepat menuju bilik mereka di hujung dapur. Waktu dia sampai di bilik mereka, kelihatan Najihah sudah sedia untuk ke sekolah.
            “Isqandar suruh Najihah tunggu dalam kereta, tapi Mak Tam rasa baik Najihah pergi terus. Tak payahlah tumpang kereta mereka,” pesan Mak Tam dengan suara perlahan.
            Najihah angguk. Tanda dia faham. Dia sendiri pun tak nak tumpang kereta orang kaya tu. Lebih baiklah dia berjalan kaki saja.
“Tapi jangan sampai Isqandar tahu Mak Tam suruh Najihah pergi sekolah tanpa tunggu dia. Pergi diam-diam nanti dia bising,” pesan Mak Tam lagi.
            “Baik Mak Tam.” Najihah cium tangan Mak Tam dan cium pipi Mak Tam kemudian dia terus melangkah.  Pergi senyap-senyap.
            Mak Tam ke ruang makan semula dengan perasaan sedikit lega. Lepas ni kalau Isqandar bising-bising, dia dah tak kisah. Sekurang-kurangnya Najihah dah pergi sekolah.  
            “Maaf Isqandar, Najihah dah pergi,” kata Mak Tam.
            “Bukankah Is suruh dia tunggu dalam kereta?” Isqandar dah marah bila dengar Mak Tam cakap macam tu. Budak perempuan ni memang nak kena. Tunjuk sangat keras kepala dia.  
            “Mak Tam masuk bilik, dia dah tak ada.” Mak Tam terpaksa berbohong sebab tak nak Isqandar syak apa-apa. Dia ke dapur selepas itu sebab tak nak dengar Isqandar bising-bising. Dah kenal sangat dengan mulut Isqandar itu.
            “Hisy! Dia inikan!” marah Isqandar. Terus  bangun.
            “Umi, Is pergi dulu.” Isqandar menyalami umi dan kakaknya tergesa-gesa. Kemudian terkejar menuju ruang tamu.
            “Umi, lain macam saja Isqandar ni. Macam dah suka dengan budak perempuan tu saja. Selalunya dia tak pernah ambil tahu tentang sesiapa. Dengan Puteri pun dia tak pernah buat macam tu!” Hanim meneka. Dia sendiri perasan seperti ada yang tak kena dengan Isqandar.  
            Puan Aida diam tapi dia ligat berfikir.
            “Umi kena hati-hati. Kita tak boleh biarkan Is buat sesuka hati dia. Dia tu bakal mewarisi syarikat atuk. Umi kena ingat tu. Jangan biarkan Is buat benda yang boleh menjatuhkan reputasi dia sebagai seorang pewaris utama.” Hanim jadi tukang hasut. Bimbang juga kalau-kalau adiknya itu buat hal.
            “Hanim jangan bimbang. Umi akan kawal Is dengan ketat! Umi tak akan biarkan Is terlibat dengan benda-benda tak berfaedah ni. Lagi pun umi tahu apa yang terbaik untuk Is!” Janji Puan Aida.

Isqandar terus masuk kereta.  Marah bukan main lagi. Tidak sangka hari itu dia gagal juga. Sepanjang berada di dalam kereta Isqandar langsung tidak bercakap. Dia terus menanti di luar pintu pagar sebaik sahaja turun dari kereta. Dia hendak menanti Najihah. Budak sombong itu mesti diajar cukup-cukup hari ini. Tak boleh tangguh-tangguh lagi. Isqandar tak nak bertolak ansur juga. Dah hilang sabarnya.
            “Selamat pagi Is,” sapa Puteri Amira dengan manja sebaik sahaja menghampiri Isqandar.
Isqandar tak jawab apa-apa. Malas campur meluat. Masih melihat arah pejalan kaki. Hatinya betul-betul sakit. Bukan sikit sakitnya. Dah berbakul-bakul sampai dah tak terpikul.
            “Tunggu apa lagi, jomlah masuk!” ajak Puteri Amira selamba. Sejak nampak Isqandar tercegat di situ dia sudah tahu Isqandar menantikan siapa.  Sejak itulah bermula sakit hatinya.
            “Masuklah dulu.” marah Isqandar.  
            “Is tak manislah awak tercegat macam ni. Nanti orang ingat awak pak guard baru sekolah kita!” Puteri Amira cuba memujuk.
            “Aku sendiri tak kisah, kenapa orang lain pulak yang kena sibuk-sibuk hal aku? Suka hati akulah nak jadi pak guard ke atau apa ke!” Isqandar sudah bengang. Sudahlah dia marahkan Najihah dua tiga hari ini, Puteri Amira pula tumpang sekaki. Makin maraklah api kemarahannya.
            “Jomlah kita masuk. Nanti bukan setakat orang ingat pak guard, nanti orang cakap awak tunggu budak baru tu pulak. Awak tak malu ke kalau kawan-kawan lain tuduh awak syok kat budak baru tu?” Puteri Amira tak berhenti mencuba. Dia mahu Isqandar masuk ke sekolah bersamanya. Tak nak beri peluang langsung Isqandar mendekati Najihah. Tak akan sama sekali.
            “Aku tak kisahlah budak lain nak cakap apa. Selagi aku tahu apa aku buat, orang lain nak cakap apapun suka hatilah!’ marah Isqandar.
            Puteri Amira tak berganjak dari situ. Kali ini apa nak jadi, jadilah. Dia tidak akan benarkan Isqandar rapat dengan budak baru tu. Puteri Amira tak akan mudah mengaku kalah.
            “Yang kau tercegat kat sini kenapa? Masuklah!” tengking Isqandar bila melihat Puteri Amira tak bergerak-gerak dari tadi.
            Puteri Amira diam. Tak jawab apa-apa. Hari itu dia dah nekad. Walau apa terjadi dia tetap nak masuk ke kawasan sekolah bersama Isqandar.
            “Ah! Suka hati engkaulah. Aku dah tak kuasa nak layan!” kata Isqandar akhirnya.
Lama mereka menanti di situ namun sehingga masa berbaki 5 minit lagi, Najihah tidak juga muncul. Akhirnya keduanya masuk juga ke kawasan sekolah.
            Tiba di dalam kelas, Isqandar begitu terkejut melihat Najihah sudah berada di tempat duduknya sambil berbual dengan Nurul.
            Mustahil Najihah boleh sampai awal sedangkan Isqandar tahu Najihah ke sekolah hanya dengan berjalan kaki. Tahu juga jalan kaki Najihah tu jenis yang bagaimana.
            Isqandar ke tempat duduknya sambil itu dia menjeling Najihah. Najihah juga melihat Isqandar. Kemudian Isqandar  berdiri bersebelahan meja Najihah.
            “Datang dengan apa tadi? Cepat sampainya!” tanya Isqandar sambil pandang wajah Najihah.
            “Oh! Najihah naik kereta kebal tadi. Aku yang bawak. Tak nampak ada kereta kebal parking kat depan tu? tu kereta kebal akulah!” Nurul tolong jawab dengan nada seloroh. Saja nak buat gempak pagi-pagi.  
            Isqandar terus buat muka masam. Kalau tak ingat dalam kelas, memang budak Nurul tu dah kena dengan Isqandar. Isqandar sudahlah angin satu badan, boleh lagi Nurul buat lawak bodoh begitu.
            Najihah mengekek ketawa. Rasa geli hati mendengar cakap-cakap Nurul. Tak sangka Nurul tu lawak jugak. Boleh ingat kereta kebal lagi. Tapi kalau dia cakap naik ferarri lagi bagus. Lagi terbakar hati mamat tu.
            Isqandar terus ke tempat duduknya. Dihempas beg sekolah di atas meja dengan kuat sehingga mengundang perhatian rakan sekelas yang lain. Kemudian Isqandar tolak-tolak meja sehingga mengeluarkan bunyi bising.
            Najihah buat tak tahu. Kau hempaslah apa-apa, aku tak kisah. Kau tolaklah apa saja, aku tak kisah juga. Suka hatilah kau nak buat apa! Bukan masalah aku pun, kata hati kecil Najihah. Dia terus berbual dengan Nurul. Seronok juga dapat menumpang kereta ayah Nurul pagi itu.
            Dah lama berbual dengan Nurul, Najihah toleh untuk pandang Isqandar.  Rasa pelik juga bila Isqandar dah tak hempas-hempas dan tak tolak  apa-apa. Penat agakya.
            Tak sangka Isqandar tengah pandang arah Najihah. Cepat-cepat Najihah pandang muka Nurul semula. Takut nak pandang muka Isqandar. Dah lain macam sangat muka Isqandar.
            Sambil mendengar Nurul bercerita, sekali lagi Najihah jeling Isqandar. Terkejut juga Najihah bila nampak Isqandar masih pandang tepat kepadanya. Wah! Dahsyat mamat ni menurun. Tak baik-baik lagi rupanya.
            Najihah tarik nafas panjang. Dia tak faham langsung dengan sikap Isqandar itu. Sibuk sangat nak kawan dengannya. Macam tak ada kawan lain!  Dah orang tak nak kawan tu, faham-faham ajelah. Ini tidak, main paksa-paksa pulak. Runsing Najihah jadinya. Hari itu dia aman sikit sebab Helmi tak datang sekolah. Kalau tidak itu pun nak kena elak jugak. Lagi runsing.  

MASA rehat Najihah ke perpustakaan lagi. Lebih selesa menghabiskan masa di situ. Tapi dia begitu terkejut bila melihat Isqandar sudah duduk di tempat dia duduk semalam. Jadi terpaksalah mencari tempat duduk yang lain.
            Isqandar lihatkan saja tingkah Najihah. Setelah Najihah duduk dia pun bangun. Kononya hendak mencari buku yang terdapat di rak yang betul-betul terletak di belakang tempat duduk Najihah.
            Mulanya dia tolak kerusi Najihah. Sengaja mencari pasal. Saja nak mulakan episod  balas dendam.
            Najihah  tetap tidak peduli. Terus dengan bacaannya.
            “Hisy! Ekor kuda siapa pulak sesat kat sini ni!” Isqandar bercakap sendiri,  kemudian ditariknya  rambut Najihah.
“Aduh! Sakitlah!” marah Najihah sambil pusingkan badannya. Kemudian dia pandang Isqandar dengan jelingan tajam.
“La, rambut manusia ke? Ingat tadi ekor kuda siapalah yang sesat kat sini!” balas Isqandar. Buat muka tak bersalah.
“Huh! Tak kenal ke rambut manusia dengan ekor kuda?’ marah Najihah. Betul-betul tidak senang dengan tingkah Isqandar itu. Sejak hari pertama, tak habis-habis  mencari pasal dengan Najihah.
Isqandar duduk berhadapan dengan Najihah dengan muka tak malu.
“Eh! Boleh tak awak jangan duduk sini?” soal Najihah. Mukanya dah sehabis masam. Betul-betul tak suka dengan apa yang Isqandar buat.
“Eh! Suka hati orang lah nak duduk mana!” balas Isqandar.
            Malas hendak berlawan cakap, Najihah bangun mencari tempat duduk lain. Biarlah dia beralah dari bertekak.
            Isqandar turut bangun juga selepas itu. Dia duduk pula di hadapan Najihah di tempat baru.
            “Karang ada jugak yang kena karate dengan aku!” bebel Najihah sendirian. Sakit betul hatinya dengan sikap Isqandar itu. Terang-terang hendak menguji kesabaran Najihah.
            Isqandar jeling. Buat-buat tak dengar cakap-cakap Najihah. Tapi Isqandar memang dengar, lebih-lebih perkataan karate itu.
            “Aik, apa pasal manusia ni ada kat sini?” soal Nurul tiba-tiba. Dia yang baru muncul agak terkejut  melihat kehadiran Isqandar.
            Isqandar jeling pula Nurul. Geram betul dia melihat Nurul. Kacau daun betul!
            “Aku rasa, mahu demam buku-buku dalam perpustakaan ni bila nampak kau kat sini,” kata Nurul lagi sambil tergelak kecil. 
            “Eh! Nurul, kau boleh diam tak? Memekak saja. Murai tercabut ekor pun tak bising macam kau ni!” kata Isqandar. Betul-betul tak senang dengan kehadiran Nurul. Menganggu usahanya untuk mendekati Najihah.
            “Tak adalah. Aku pelik jugak tengok kau ada kat sini. Tak pernahnya datang perpustakaan seumur hidup!”
            “Suka hati akulah nak datang ke tidak!”
            “Hmm, satu lagi. Aku takutlah kau duduk sini., takut kena serang dengan awek kau tu, semalam Najihah dah kena serang!”
            “Awek aku? Siapa?” soal Isqandar dengan rasa terperanjat.
            “La! Apa punya jenis manusia lah kau ni. Awek sendiri pun tak kenal. Siapa lagi kalau bukan ratu cantik tu!”
            “Siapa ratu cantik?” soal Isqandar dengan penuh tanda tanya. Selama ini tak tahu pulak sekolah mereka ada ratu cantik.
            “Siapa lagi ratu cantik kat sekolah kita ni kalau bukan Puteri Amira. Bukan ke dia kekasih kesayangan kau!”
            “Uwekk…” Isqandar buat muntah.
            “Kau ni Nurul, kalau ya pun nak kenenkan aku, carilah yang okey sikit. Kalau Puteri tu aku minta maaflah. Sekalipun tinggal dia seorang  dalam dunia ni, aku tak akan pilih dia jugak. Tak hingin aku!”
            Nurul sambut dengan gelak. Najihah juga tumpang tersenyum. Cara Isqandar bercakap seperti sangat bersungguh.
            “Dia serang awak Najihah? Kenapa dia serang awak?” Isqandar kembali bertanya. Nak tahu jugak cerita sebenar, sampai serang menyerang pulak tu.  
            “Sebab dia cakap Najihah nak mengorat kau. Sebab itu dia bagi amaran, jangan kawan dengan kau!” Nurul tolong jawab soalan Isqandar kerana bagi Nurul, dia lebih tahu tentang Puteri Amira berbanding Najihah sendiri.
            “Oh! Sekarang ni orang tahulah kenapa awak tak nak kawan orang. Bukan setakat antara dua darjat saja rupanya. Dah ada kes lain yang menumpang sama. Padanlah takut sangat nak kawan dengan orang!” kata Isqandar dengan perasaan yang sangat kecewa. Kemudian rasa kecewa itu bertukar marah.
            “Huh! Panjang umur awek kau Isqandar. Baru kita sebut-sebut dah muncul,” kata Nurul sebaik sahaja terpandang Puteri Amira.
            “Habislah kita Nurul!” kata Najihah perlahan.
            “Itulah Isqandar, duduk sini lagi!” bebel Nurul pula.
            “Yang kau orang berdua ni takut sangat dengan dia kenapa? Bukannya dia boleh makan orang pun!”
            “Memanglah tak boleh makan orang, tapi cakap-cakap dia tu buat orang sakit hati,” kata Nurul lagi.
            “Jom Nurul, kita blah saja. Malas aku nak pandang muka dia!” Najihah terus bangun. Dia letak semula buku yang dipegangnya ke tempat asal.
            Tergesa-gesa keduanya tinggalkan perpustakaan. Isqandar juga ambil langkah yang sama. Dia juga bangun dan cepat-cepat melangkah keluar selepas meletakkan semula buku yang diambil dari rak yang sama.
            “Is, nak ke mana ni?” soal Puteri Amira bila melihat Isqandar tergesa-gesa melangkah.
            Isqandar buat tak tahu. Langsung tidak menghiraukan teguran Puteri Amira.  Ketika itu Isqandar begitu marah dengan Puteri Amira. Tidak sangka Puteri Amira sudah berani menyerang Najihah.
            “Hey, Is, tak dengar ke Puteri panggil?” Puteri Amira turut terkejar Isqandar.
            Isqandar berhenti melangkah. Dia pandang tepat wajah Puteri Amira.
            “Nurul beritahu aku kau serang Najihah semalam, betul ke?” soal Isqandar dengan tegas.
            Puteri Amira jadi serba salah.
            “Bukan Puteri serang dia, Puteri cuma cakap….”
            “Jangan kawan dengan aku? Begitu?” tengking Isqandar pula.
            Mulut Puteri Amira sudah terkunci. Tidak mampu bercakap lagi sebab masa tu dia rasa agak takut juga dengan Isqandar.
            “Boleh tak kalau kau jangan menyusahkan aku? Boleh tak jangan ambil tahu tentang hidup aku? Aku benci sangat!” soal Isqandar sebelum terus melangkah.
            Puteri Amira hanya melihat langkah Isqandar dengan hati yang benar-benar terbakar.
                       

Sunday, December 5, 2010

TAK NAK KAWAN AWAK 2

Pagi itu Isqandar  menanti di luar rumah. Hendak menunggu Najihah. Nanti boleh diajak
pergi sekolah bersama. Apa salahnya sekali sekala dia buat amal jariah. Mana tahu boleh jadi kawan budak comel tu.
Comel ke macam tu?
            Comellah jugak. Kalau tidak kenapa dia tidak teragak-agak nak kawan dengan budak tu. 
            Isqandar tersenyum sendirian. Nampak gayanya tak lama lagi dia bakal ada kawan perempuan.Tentu bestkan?  Kalau tak best pun, akan Isqandar buat best jugak. Janji dia ada kawan perempuan. Lebih-lebih lagi Helmi pun berkenan dengan budak tu. Mesti tambah meriah kalau Helmi dapat tahu Isqandar dah berjaya jadi kawan budak comel tu. Mesti Helmi akan cemburu tahap orang gila. Helmi mana boleh kurang daripada Isqandar.
            Isqandar tarik nafas panjang. Rasa seronok sangat-sangat. Rasanya gaban pun tak pernah rasa seronok seperti yang Isqandar rasa.
            “Awak nak pergi sekolah ke?” soal Isqandar sebaik sahaja melihat Najihah.
            Najihah pandang tepat wajah Isqandar. Mamat ni karang, tak menang pulak nak kutip gigi. Boleh lagi tanya aku nak pergi sekolah? Rungut Najihah di dalam hati.
            “Taklah, nak pergi rompak bank!” jawab Najihah selamba tahap maksima. Muka pun mungkin sama macam  muka anak kangaroo terlupa kantung mak sendiri. Angin satu badan Najihah jadinya. Pagi buta dah dapat soalan bodoh! Lainlah kalau nampak dia pakai baju macam orang pergi menoreh ke, turun laut ke bolehlah  tanya nak pergi sekolah. Ini dah jelas-jelas pakai baju sekolah masih nak tanya lagi.
            “Oh! Nak rompak bank rupanya. Tak nak ajak orang join sekali ke?” soal Isqandar sambil tersenyum. Dia ni mesti jenis loyar buruk jugak. Loyar buruk tahap kritikal yang sudah tiada harapan untuk pulih.
            “Tak payahlah, tengok muka pun macam tak lepas saja nanti!” jawab Najihah lagi. Macam dah ya nak pergi rompak bank.
            Kan dah cakap. Mesti loyar buruk gila ni! Isqandar tersenyum.
            Najihah malas nak cakap lagi. Buang masa dia. Tanpa fikir apa-apa dia terus ke pintu pagar.
            “Eh! Awak pergi sekolah dengan oranglah. Cepat sikit sampainya,” Isqandar pelawa penuh mengharap. 
            Lah! nak ajak aku tumpang kereta dia ke? Tapi kenapa slow sangat sampaikan hajat. Buat penat reka ayat nak rompak bank saja! rungut Najihah dalam hati. Nasib baik belum sempat  cakap rompak bank kat mana!
            “Tak payahlah. Saya dah biasa jalan kaki. Kalau tidak saya taklah slim macam ni!” Najihah memuji diri. Perasan cantik sejak dulu lagi. memang dia cantikpun. Bukan dia yang cakap. Orang lain yang cakap.
            Isqandar sudah tergelak. Budak perempuan ni pandai betul berkata-kata.
            “Alah, awak dah slim. Nak slim macam mana lagi?”
            “Tak apalah. Saya jalan kaki saja!” Najihah terus keluar. Malas nak layan lebih-lebih. Mak Tam dah ingatkan, jangan kawan itu orang! Jadi jangan kawanlah. Apa susah!  
            Bukan saja Isqandar rasa sangat kecewa tetapi dia rasa marah juga dengan sikap Najihah itu. Dirasakan Najihah seorang yang sangat berlagak dan angkuh. Perasan bagus benar. Kalau setakat berwajah comel tetapi perangai buruk, tak guna jugak.
            Untuk mendapat penjelasan lebih lanjut, dia menanti di luar sekolah. Dia akan bersemuka dengan Najihah sendiri berhubung perkara tersebut.
            “Is, kenapa tak masuk lagi?” sapa Puteri Amira bila melihat Isqandar mundar mandir sendirian di luar kawasan sekolah.
            Hisy! Perempuan ini lagi. Kacau daun betul. Tak boleh langsung Isqandar aman sikit. Lepas tu pantang nampak Isqandar, mesti nak tegur. Macam tak ada kerja lain!  
Isqandar hanya pandang wajah Puteri Amira dengan perasaan kurang sedap. Mana nak sedapnya, Isqandar bukan suka sangat dengan Puteri Amira. Dari dulu dia menyampah, tinggal lagi dia tak sebut saja perkataan menyampah tu. Kalau dia sebut mahu kecoh pulak satu bandar. Lepas tu nanti umi Isqandar pun masuk campur. Dari kes kecik terus jadi kes negara . Susah pulak nak selesaikan. Jadi sampai sekarang Isqandar tak berani sebut perkataan menyampah tu pada Puteri Amira.  
“Kenapa tak masuk lagi ni…” tanya Puteri Amira lagi bila melihat Isqandar macam tak faham soalan saja.
Isqandar sendiri tidak tahu untuk jawab soalan Puteri Amira itu. Mustahil dia boleh beritahu yang dia menantikan Najihah. Tak pasal-pasal nanti mahu kecoh satu kelas. Kalau setakat dalam kelas, masih okey. Buatnya satu sekolah, tak menang pulak Isqandar kena kutuk. Kalau ya pun nak glamour, tak sanggup dengan cara tu. Malu dituduh mengorat pelajar baru, selama ini pelajar perempuan lain yang galak mengorat dia. Tak sanggup Isqandar!
            “Jomlah kita masuk,” pelawa Puteri Amira bila Isqandar langsung tak jawab soalannya.
            “Awak masuk sajalah dulu,” kata Isqandar sudahnya. Menggunakan bahasa sopan untuk menghalau Puteri Amira, tapi Isqandar yakin sangat-sangat sampai esok pun perempuan ni tak akan faham. Sedangkan bahasa yang jelas dan terang pun susah nak faham inikan pulak bahasa berkias.
            “Awak tunggu seseorang?” teka Puteri Amira. Dari gaya gelisah Isqandar yang kalah itik hilang reban tu macam ya saja tunggu orang.  
            “Err…” Isqandar teragak-agak nak bercakap. Malu!
            “Emm, awak tunggu budak baru tu ya?” teka Puteri Amira sambil tersenyum tapi hatinya sudah diagah bimbang. Bimbang kalau-kalau memang betul Isqandar menantikan pelajar baru yang comel itu. Baru sehari pelajar baru itu di sekolah mereka, namun sudah menjadi sebutan kebanyakkan pelajar lelaki.
            Isqandar anggukkan kepalanya perlahan. Kalau tak jawab nanti, makin ditanya. Makin semak kepala Isqandar.
            Wajah Puteri Amira sudah berubah. Tak sangka Isqandar yang bersikap dingin itu juga berkenan dengan pelajar baru itu. Memang tak boleh jadi ni. Melampau betul!
            “Okeylah kalau macam tu. Puteri pergi dulu!” kata Puteri Amira bersama perasaan kecewa. Tak kan nak tengok Isqandar mengayat budak baru tu. Nanti bukan jiwa dan raga orang lain yang patah. Jiwa dan raga dia jugak!
            Isqandar buat tak dengar. Masa tu kalau dia tak ada telinga pun tak apa. Dia tidak kisah. Daripada dengar suaran Puteri Amira yang tak berapa sedap tu biarlah dia tak ada telinga.
Isqandar masih  tertoleh-toleh  ke arah pejalan kaki. Tahu kalau Najihah berjalan kaki dia akan muncul dari situ. Lainlah kalau minah tu kawan baik Superman.
            Puteri Amira rasa sangat sakit hati ketika itu. Selama ini Isqandar tidak pernah memberi sebarang perhatian kepada pelajar perempuan lain, namun sekarang ini dia betul-betul rasa tercabar bila Isqandar sudah mula memberi perhatian terhadap Najihah.
            Tapi tak apa. Masih terlalu awal untuk membuat andaian. Lagi pun Puteri Amira tidak akan berdiam diri saja. Kalau betul Isqandar suka pada Najihah, dia tak akan teragak-agak untuk lakukan sesuatu. Tengoklah nanti!  
            Dari jauh Isqandar nampak Najihah berjalan sangat perlahan.
            “Perempuan ni berjalan macam kembar dengan kura-kura saja!” bebel Isqandar sendirian. Penat dia menantikan Najihah.
            “Kita cakap sikit!” kata Isqandar kepada Najihah sebaik saja Najihah sampai.
            Najihah tatap wajah Isqandar dengan pandangan ingin tahu. Tiba-tiba saja Isqandar hendak bercakap dengannya. Apa hal pulak ni? Dah confirm ke nak ikut rompak bank?
            “Tak ada benda yang nak kita cakapkan!” Najihah cakap dengan serius. Cuba mengelak dari berbual dengan Isqandar. Dia masih ingat pesan Mak Tam. Jangan sesekali rapat dengan ahli keluarga orang kaya itu. Walaupun Mak Tam tidak menjelaskan perkara sebenar berhubung amaran tersebut, tapi Najihah  tahu, ada sebab kenapa Mak Tam tidak benarkan dia bergaul dengan mereka terutama sekali Isqandar.
            Najihah  melangkah juga tanpa memperdulikan cakap-cakap Isqandar.
            “Orang nak cakap sikitlah!” Isqandar rentap kasar bahu Najihah. Marah bukan main lagi melihat kesombongan Najihah.
            “Awak nak cakap apa? Tak ada benda nak kita cakapkan?” marah Najihah.  Walaupun suara Najihah tetap perlahan, tetapi nampak dengan jelas, Najihah tidak suka diperlakukan begitu.
            “Kenapa awak sombong sangat? Besar sangat ke awak ni” marah Isqandar. Dah habis sabar Isqandar. Jadi lepas ni apa nak jadi, jadilah. Tak kawan pun tak apa!
            Suara Isqandar yang sudah kuat berjaya menarik perhatian pelajar lain yang berada berhampiran mereka. Saling terpandang mereka ke arah Najihah dan Isqandar.
            “Apa pandang-pandang? Ada hutang?” tengking Isqandar pula kepada pelajar yang pandang mereka.
            “Apalah lu mamat. Kalau nak gaduh dengan awek pun carilah port baik sikit. Ini kat sini pulak. Silap hari bulan orang ingat lu tengah shooting drama!” jawab pelajar lelaki tersebut dengan selamba.
            Isqandar menahan sabar. Ikut hatinya mahu budak tu sekolah kat ICU hari ni.
            “Sombong apa pulak?” soal Najihah bersama mata yang bulat tanpa menghiraukan orang lain. Apa hal pulak nak tuduh dia sombong? Tak ada kena mengena langsung.
            “Yalah, orang ajak pergi sekolah sama pun tak nak. Berlagak tak tentu pasal.”
            Najihah tarik nafas. Minta diberi sedikit kesabaran. Dia malas nak berlawan cakap sebab tak ada faedah langsung. Jadi dia terus tak peduli. Suka hatilah nak cakap dia sombong atau apa. Yang penting Najihah tahu apa yang dia lakukan.
            “Hei, orang belum habis cakap lagilah!” marah Isqandar lagi bila Najihah terus melangkah. Ditarik juga bahu Najihah.
            “Hah! Kenapa ni? Kenapa tarik-tarik Najihah?” tiba-tiba Helmi bersuara. Dia yang baru turun dari kereta mewah ayahnya rasa terkejut melihat Najihah dan Isqandar.  
            “Bukan urusan engkaulah!” balas Isqandar kasar. Ini lagi satu samdol. Sama geng dengan Puteri Amira. Pantang tengok orang sikit. Mulalah cari pasal! Apa-apa hal mesti nak tunjuk hero.
            “Apa-apa yang berkaitan dengan Najihah, secara outomatiknya adalah urusan aku jugak!.” kata Helmi lagi.
            “Kau tak hak nak buat macam tu!” balas Isqandar kasar. Kurang senang bila ada orang lain masuk campur urusannya.  
            “Aku dah cakap semalam, sesiapa yang berani bercakap dengan Najihah, memang nak lebam bijik mata!”
            “Kalau berani tumbuklah!” Cabar Isqandar. Dia sudah gagal mengawal perasaannya.
            “Kau jangan cabar aku!” Helmi juga tak mahu mengalah.
            Najihah sudah cemas. Bimbang kedua-dua bergaduh pula. Tak pasal-pasal nanti dengan dia-dia sekali kena gantung sekolah. Terpaksalah dia tarik baju Isqandar. Diajak Isqandar berjalan bersama sebabnya antara Helmi dan Isqandar, Isqandar ada banyak kelebihan. Antara kelebihannya, Isqandar tu tinggi. Helmi pulak pendek. Sejak awal Najihah tak boleh tengok lelaki pendek. Fobia semacam. Lepas tu dari segi muka, sama-sama tak boleh pakai!
            Helmi dah rasa lain macam. Kalau boleh masa itu juga dia terajang Isqandar. Dah cakap awal-awal Najihah tu dia yang punya, masih nak rampas. Macam tak ada pelajar perempuan lain. Si Najihah pun satu.  Dah tunjuk sangat suka kat Isqandar!
“Nanti kau orang!” katanya penuh dendam. Marah bukan main lagi. Kalau orang lain Helmi tidak kisah benar. Ini dia kalah dengan Isqandar musuh tradisinya sejak mula.  
“Okey saya cakap sekarang,” tegas Najihah bersama sedikit perasaan marah.  Entah apa-apalah. Benda kecik pun dah jadi macam isu negara.         
            “Kalau dari tadi awak cakap bukan ke senang? Ini tidak, saja nak cari pasal!” kata Isqandar selamba. Bunyi manja pun ada.
            “Nak dengar ke tidak ni?”  soal Najihah sambil pandang muka Isqandar.
            “Hah! Cakaplah. Orang dengar ni!” kata Isqandar lagi. Kali ni bukan manja saja, macam mengada-ngada pun ya.
            “Saya tak nak tumpang awak sebab saya tak nak ada masalah kemudian nanti. Saya sudahlah menumpang dengan ayah sandaraa saya, jadi saya kena jaga perangai saya. Saya tak nak menyusahkan mereka berdua!”
            Isqandar kerutkan dahinya. Langsung tak faham apa yang cuba Najihah jelaskan.
            “Kejap, orang tak faham apa yang sedang awak cakap ni. Apa kena mengena tumpang pergi sekolah bersama dengan menyusahkan ayah saudara awak pulak? Awak ni betul ke tidak” soal Isqandar sambil letak tangannya di dahi Najihah.
            “Elok aje tak demam pun!” katanya selepas itu. Kemudian dia tersenyum. Lembutnya dahi.
            Terus Najihah tolak tangan Isqandar. Mamat ni, karang aku karate jugak kalau macam ni, bebel hati Najihah. Suka-suka dia saja nak sentuh dahi orang. Sudahlah pelajar lain pandang semacam.
            Najihah mengeluh panjang selepas itu. Susahnya nak buat dia ni faham. Baiklah dia bercakap dengan orang Myanmar yang baru dua tiga hari datang Malaysia. Dah sah-sah kaum tu tak faham bahasa. 
            “Habis awak nak suruh saya cakap bahasa apa lagi supaya awak boleh faham?’ soal Najihah.
            “Bukan masalah dengan bahasa, tetapi cara awak terangkan perkara sebenar tu yang buat saya tak faham!”
            “Saya ni menumpang ayah saudara saya. Jadi saya kena sedar diri. Saya tak boleh rapat dengan awak memandangkan awak anak majikan ayah saudara saya. Nanti orang cakap saya ni suka ambil kesempatan pulak. Sekarang dah faham?” Najihah jegilkan matanya pula.  Kalau itu pun tak faham, tak tahulah nak cakap apa lagi.
            “Oh! Kira ni macam kes antara dua darjatlah? Tak pun Kasssim Selamat. Awak pulak Najihah yang  tak berapa nak selamat!” Isqandar ketawa kecil.
Najihah buat tak dengar. Tak lawak pun. Kalau lawak pun, lawak bodoh!
            “Tak logik langsung!” kata Isqandar  selepas itu.
            “Logik tak logik, itulah yang harus saya lakukan sekarang ni. Saya tak nak kawan dengan awak!” kata Najihah terus.
            “Eh! Apa pasal awak bodoh sangat ni? Keluarga orang bukan macam yang awak bayangkanlah. Keluarga orang semuanya baik-baik. Tak pernah pandang hina pada orang lain.  Orang pun bukan jenis yang awak sangka tu. Awak jangan buat tuduhan tanpa usul periksa!” Isqandar membela dirinya. Langsung tidak boleh terima tuduhan Najihah. Entah adegan drama manalah yang mempengaruhi kepala otak minah ni. Sesedap mulut dia nak buat tuduhan.
            “Suka hatilah awak nak cakap apa, tapi saya tak nak kawan dengan awak. Jadi awak kena faham.”
            “Kalau macam tu, awak tak boleh kawan dengan Helmi juga. Sebab dia lagi kaya daripada orang. Dan satu lagi orang nak beritahu, Helmi tu sepupu orang!”
            Najihah sedikit terkejut mendengar penjelasan Isqandar. Helmi sepupu Isqandar? Padanlah perangai lebih kurang saja. Satu keturunan rupanya.
            Ah! Biarlah. Sepupu ke sepipit ke, peduli apa Najihah. Jangan buat hidup dia susah sudahlah.
            Najihah terus berjalan. Malas nak bercakap dengan Isqandar lagi. Namun Isqandar terus mengekori Najihah hingga tiba di dalam kelas.
            Najihah ke tempat duduknya. Sebaik saja duduk, Najihah terus letak mukanya di atas meja. Kononnya dia hendak tidur tetapi sebenarnya dia hendak mengelak dari bercakap dengan sesiapa. Dia bosan. Bukan saja bosan, sakit hati pun iya.
            Sebaik sahaja tiba di dalam kelas, Helmi terus ke tempat Najihah.
            “Najihah, awak tidur ke?” soal Helmi.
            Najihah buat tak dengar. Mata juga dipejam dengan lebih rapat. Dia jadi malas nak bercakap.
            Gagal menarik perhatian Najihah, Helmi ke tempat duduknya bersama perasaan sangat marah.
            Isqandar senyum puas kerana Najihah tidak mengendahkan Helmi juga. Sekarang dia betu-betul tahu Najihah memang tidak berminat untuk berkawan dengan sesiapa.
            “Is, macam mana dengan rancangan kita nak pergi Pertama Complex hari Ahad ni?” soal Puteri Amira perlahan. Dia berdiri di ruang yang memisahkan meja Isqandar dan juga meja Najihah. Sambil itu dia jeling juga Najihah.
            “Eh! Bila masa pulak aku janji nak pergi PErtama Complex? Mabuk ke?” soal Isqandar kasar.
            “Hari tu kita kan dah janji,” kata Puteri Amira dengan ala-ala manja.
            Najihah merengus. Kucing Parsi mana pulak ni yang merengek. Menyampah betul dia dengar suara budak perempuan begitu. Mengada-ada betul!
            “Ah! Tak ada. Aku tak pernah janji apa-apa.” tegas Isqandar.
            “Tengok tu, buat lupa pulak.” Suara Puteri Amira tambah manja.
            “Kalau kau nak pergi, kau pergilah sendiri. kenapa susah-susah ajak aku pulak? Dah! Dah! Kau pergi duduk tempat kau!” Isqandar cakap bertambah kasar. Runsing dia melayan kerenah Puteri Amira itu.  
            Puteri Amira hentakkan kakinya. Sakit hati dengan sikap Isqandar. Tadi dengan budak baru tu bukan main lagi. Siap sentuh dahi lagi. Itu yang buat hati Puteri Amira kurang sabar.
           
WAKTU rehat Najihah tidak ke kantin sebaliknya dia lebih senang duduk di perpustakaan saja. Bolehlah dia membaca buku apa yang patut.  Sekurang-kurangnya dia dapat sedikit ketenangan.
            “Aku nak cakap sikit dengan kau!”
            Tiba-tiba ketenangan Najihah dikejutkan dengan satu suara. Oh! Kucing Parsi rupanya. Najihah terus pandang muka Puteri Amira. Najihah sedar, Puteri Amira adalah antara pelajar perempuan yang kelihatannya tidak menyenangi kehadiran Najihah di dalam kelas mereka. Awal-awal lagi sudah tunjuk sikap tidak puas hati terhadap Najihah.
            “Aku nak beri amaran pada kau, jangan sesekali rapat dengan Isqandar,” kata Puteri Amira dengan tegas.
            “Bila masa pula saya rapat dengan Isqandar?” soal Najihah dengan rasa terperanjat. Hairan betul. Macam mana perempuan ni boleh tuduh dia rapat dengan Isqandar. Mata letak kat lutut agaknya.
            “Aku nampak kau berbual dengan Isqandar pagi tadi. Jangan ingat aku tak nampak!”
            “Lah, dia yang nak bercakap dengan saya. Saya pun tak hingin nak bercakap dengan dia,” balas Najihah selamba. Betullah. Bukan Najihah yang mulakan dulu. Isqandar yang lebih-lebih. Sebab tak nak tumpang kereta dia saja dah jadi isu. Sekarang ni, tak pasal-pasal kena serang dengan ‘awek’ orang tu pulak. Buat Najihah angin saja.
            “Eh, tangan kalau tepuk sebelah tak berbunyi tahu tak? Kalau kau tak menggatal layan dia, tak jadi. Ini mesti kau yang melebih!”
            “Helo, awak ni datang sekolah nak berlajar atau nak cari pasal? Lain kali cakaplah perkara yang sesuai dengan status kita sebagai pelajar. Ini tidak, merepek yang bukan-bukan. Dan satu lagi, kalau awak tak percaya sangat, awak boleh tanya buah hati awak tu!” balas Najihah dengan berani.
            Puteri Amira gigit hujung bibirnya sambil menahan perasaan marah.  Tidak sangka pelajar baru yang kelihatan sangat lembut itu berani juga orangnya.
            “Aku percaya Isqandar. Aku tahu dia bagaimana. Ini semua salah kau, kau yang melebih! Kau tu yang gatal!”
            Hai, perempuan ni memang kurang ajar. Karang tak pasal-pasal koyak jugak mulut tu!
            “Baiklah, saya buat macam ni sajalah. Apa kata setiap kali Isqandar bercakap dengan saya, saya tampar pipi dia. Dan saya cakap, awak yang suruh! Boleh begitu? Awak nak saya buat macam tu?”
            Puteri Amira menahan sabar. Kalau boleh makan, rasanya budak baru itu sudah tinggal separuh. Berani betul menjawabnya.
            “Belum apa-apa lagi dah sebut pasal buah hati. Datang sekolah bukannya nak berlajar. Tapi suka benar buat benda tak betul!” Najihah tunjuk bakat berleter. Di mana dia dapat bakat tu, dia pun tak tahu. Tapi kalau kepala dia jadi tak berapa betul, dia memang dapat bakat semula jadi tu.
            “Ah! Sudahlah. Macamlah diri tu bagus sangat!”  kata Puteri Amira sebelum tinggalkan Najihah.
            “Hah! Dah kalah, tahu pulak nak blah!” marah Najihah.
            “Macam-macam hal. Yang lelaki satu hal, yang perempuan pulak lagi banyak hal. Kenapalah aku tak sekolah dalam Zoo saja!” Bebel Najihah sendirian selepas itu.
            “Hey! Kenapa cakap sorang-sorang ni?”
            Terkejut Najihah bila bahunya ditampar orang. Nurul rupanya.
            “Tak adalah, belum apa-apa lagi aku dah kena serang!”
            “Siapa serang kau?”
            “Kucing Parsi!”
            “Kucing Parsi?”
            “Tu hah!” Terus Najihah tunjuk ke arah Puteri Amira yang sedang melanggang kangkong menuju pintu keluar.
            “Oh! Puteri Amira. Tapi kenapa dia serang kau?” Nurul duduk bersebelahan Najihah. Ingin tahu lebih lanjut.
            “Dia cakap aku mengatal dengan Isqandar!”
            “Oh! Dia tu memang macam tu. Mana boleh Isqandar bercakap dengan pelajar perempuan lain. Memang dia serang!”
            “Memang betul ke Isqandar tu pak we dia?”
            “Tak adalah. Minah tu saja yang perasan lebih. Aku rasa kalau mati hidup semula pun belum tentu Isqandar nak pilih perempuan tu!”
            “Mana kau tahu?”
            “Aku tahulah siapa Isqandar tu. Pelajar lelaki paling sombong kat sekolah kita, sampai kita orang gelarkan dia sebagai Putera Sombong!”
            “Sampai begitu sekali?”
            “Hmm, tapi kau jangan layanlah dia tu. Kalau boleh tak payah buat kawan lagi bagus!”
            “Tapi peninglah kepala dengan perangai mereka ni!” rungut Najihah.
            “Dalam kelas kita tu 3 orang yang tak perlu kau kawan. Isqandar, Helmi dan Puteri Amira. Mereka tu satu puak. Puak orang banyak duit. Isqandar dan Helmi sepupu sementara Puteri Amira pula kenalan rapat keluarga mereka. Tapi memang kita orang dah tahu Puteri tu memang  syok habis dengan Isqandar! Kau jangan berani-berani bercakap dengan Isqandar. Minah Kucing Parsi tu serang kau sampai lubang cacing nanti!”
            “Ah! Tak hingin aku nak bercakap dengan mereka tu, buang masa aku saja!” Balas Najihah selamba.
           


Saturday, November 20, 2010

TAK NAK KAWAN AWAK 1

Pak Tam menghantar Najihah  hingga ke pintu pagar sekolah saja. Kata Pak Tam dia tidak tahu untuk berurusan dengan pihak sekolah. Nanti pandai-pandailah Najihah uruskan sendiri. Tentang wang perbelanjaan persekolahan, Pak Tam akan tanggung semuanya. Di situ Najihah sudah rasa sangat-sangat bersyukur kerana mempunyai ayah saudara yang baik hati dan bertanggung jawab.
“Pak Tam? Apa hal datang sekolah?” sapa Isqandar bila melihat tukang kebunnya di pintu pagar bersama seorang pelajar perempuan.
“Anak Pak Tam  sambung belajar di sini,” jawab Pak Tam selamba tanpa melihat wajah Isqandar.
“Anak Pak Tam?” Isqandar  kehairanan. Selama ini dia tidak  tahu Pak Tam mempunyai anak. Sudah bertahun Pak Tam berkerja di kediaman keluarganya, namun tak pernah langsung dia melihat Mak Tam isteri Pak Tam mengandung. Biar betul orang tua ni! Tak kan Pak Tam ada isteri lain. Kalau betul ada, Isqandar rasa, Pak Tam dah lama masuk ICU.
Bersama soalan-soalan pelik itu, Isqandar pandang wajah Najihah. Rupanya inilah kelibat gadis yang dipadangnya dua tiga hari kebelakangan ini.
“Saya pergi dulu Pak Tam…” Najihah cium tangan Pak Tam penuh tanda hormat, penuh tanda kasih. Itulah satu-satu ayah saudara yang dia ada, abang arwah ayahnya.
“Berlajar biar jadi orang…” pesan Pak Tam sebelum  Najihah melangkah.
“Baik Pak Tam,” jawab Najihah perlahan kemudiannya.  
“Habis ada yang berlajar jadi beruk ke Pak Tam?” tanya Isqadar sambil menjeling Najihah yang sudah jauh melangkah.
“Iya, kalau tidak orang, tentu saja jadi beruk…” jawab Pak Tam selamba tanpa niat untuk menyindir sesiapa. Bersusah payah selepas itu dia menghidupkan motorsikalnya. Kemudian bunyi derumannya hampir saja membingitkan telinga Isqandar juga terlinga-telinga yang berhampiran dengan motorsikal tua itu.
“Pak Tam pergi dulu,” katanya sebelum pergi
Isqandar hanya melihatkan saja tukang kebunnya pergi sebelum dia sendiri melangkah semula menuju sekolah.
            Cepat-cepat Isqandar mengejar pelajar perempuan yang menjadi anak segera Pak Tam. Nak bertanya lebih lanjut lagi.
            “Kejap!” Isqandar tarik bahu Najihah sedikit kasar.
            Tertoleh Najihah jadinya. Siapa pulak yang berani-beraninya berbuat begitu? Kalau di sekolah lamanya, dah lama pelajar lelaki tersebut makan penamparnya. Kurang asam betul. Main suka hati mak bapak dia tarik bahu orang!
            “Awak anak Pak Tam?” soal Isqandar sedikit kasar sambil melihat wajah Najihah.
            “Iya, kenapa?” jawab Najihah  penuh yakin.
            “Setahu orang, Pak Tam tak ada anak. Macam mana boleh ada anak pulak?”
            “Saya anak saudara Pak Tam,” beritahu Najihah  
            “Ooo, anak saudara rupanya. Orang ingat Pak Tam ada anak dengan isteri lain!” kata Isqandar pula. Asalnya ayat itu ayat lawak, tapi bila Najihah buat tak tahu, ayat itu sudah jadi ayat biasa.
Najihah terus melangkah. Kalau boleh dia tak nak layan sangat pelajar lelaki ni.  Banyak masalah yang bakal timbul nanti.
            “Umur awak berapa hah?” tanya Iqandar lagi.
            “17!”
            “Sama dengan oranglah…”
            Tak tanyapun! Bisik hati kecil Najihah. Macamlah Najihah nak tahu sangat. Najihah buat-buat tak peduli. Malas nak layan. Dia terus melangkah tanpa pedulikan Isqandar.
            “Awak dulu sekolah mana?” Isqandar tunjuk pula bakat ramah walaupun dia sendiri sudah mendapat gelaran Putera Sombong di sekolahnya kerana sikapnya yang  tidak mahu bercakap dengan pelajar lain.  Tapi dengan seorang ini galak pulak dia bertanya.
            “Kampung,” jawab Najihah ringkas.
            “Tahulah, kampung tu kat mana?” Isqandar masih tak puas hati.
            “Kat Malaysia!”
            “Bodoh, orang tahulah kat Malaysia, tak kan kat Myanmar pulak!”  Terus Isqandar tolak kepala Najihah. Kurang sabar dia dibuatnya.
            Langkah Najihah jadi terhenti. Terus dia jeling wajah Isqandar. Main kasar pulak. Ringan saja tangan Najihah nak balas tapi bila fikirkan mereka dalam kawasan sekolah, Najihah pujuk hatinya baik-baik. Kalau setakat padang sekolah, memang dah lama dia ni kena.
            “Hah! Loyar buruk lagi. Itu baru orang tolak kepala. Silap hari bulan, orang tolak dengan awak-awak sekali,” kata Isqandar tanpa rasa bersalah langsung.
            Sabar Najihah, awak budak baru. Awak kena ingat prinsip hidup awak, ada lori ada bas. Hari ni memang hari lori orang tu, jadi sabar ajelah, begitu suara kecil sedang memujuk Najihah. Kerana mendengar pujukkan, terus Najihah melangkah semula.
            Najihah langsung tidak pedulikan Isqandar selepas itu. Dia melangkah  mencari pejabat sekolah untuk urusan kemasukkannya di sekolah tersebut.

“KELAS, kita ada pelajar baru hari ni. Cikgu harap kamu semua dapat berkawan baik dengan dia,” kata Cikgu Rosman sambil memandang ke arah anak-anak muridnya.
            Isqandar jadi tergamam bila terpandang Najihah. Kan dah dapat satu kelas! Tadi sombong sangat! Isqandar tesenyum sendiri selepas itu.
“ Jadi kenalkan diri kamu sekarang,” arah Cikgu Rosman kepada Najihah yang sudah berdiri di hadapan kelas.
Najihah tunduk memandang lantai. Mukanya sudah merah. Jarang sekali dia bercakap di hadapan orang dan kali ini dia betul-betul rasa gementar.
“Nama saya Najihah binti Ariffin,” kata Najihah terketar-ketar.  Dia masih tundukkan wajahnya.
“Tak dengar, cakap sorang-sorang ke?” Kedengaran suara seorang pelajar lelaki melaung. Kemudian kelas menjadi riuh rendah.
Najihah telan air liurnya. Gementarnya tambah memuncak. Hantu, siapalah yang berani bersuara itu.
“Cakap kuat sikit Najihah. Kawan-kawan awak tak dapat dengar dengan jelas,” kata Cikgu Rosman lagi.
“Nama saya Najihah binti Ariffin.” Kali ini suara Najihah  sedikit kuat.
“Tak dengar jugak! Bateri dah kong ke?” kedengaran suara pelajar lelaki itu lagi. Sekali lagi kelas riuh rendah.
Najihah sudah tidak tahu hendak letak muka di mana. Dia hanya berusaha untuk bersabar. Tapi hatinya sudah sakit bila mendengar ketawa rakan-rakan lain. Macamlah lawak benar cakap-cakap pelajar lelaki itu.
“Helmi, boleh awak senyap?” Cikgu Rosman cuba menegur sikap Helmi.
            Najihah tidak berani untuk angkat muka. Hendak melihat muka pelajar bernama Helmi juga dia tidak berupaya. Tak apalah. Esok lusa masih ada. Nanti dia akan kenal juga dengan pelajar tersebut. Untuk sementara waktu dia perlu bersabar. Dia budak baru, tak elok budak baru tunjuk perangai bukan-bukan.
            “Okeylah, dia masih malu lagi. Nanti kamu boleh berkenalan dengan dia. Najihah, kamu boleh duduk sekarang. Boleh duduk sebelah Nurul,” kata Cikgu Rosman lagi.
            Najihah angkat mukanya perlahan. Kalau tidak kerana hendak mencari Nurul, tak ingin dia buat begitu.
“Malu apanya. Bukannya tingkatan satu lagi. Dah tingkatan lima.”
Najihah masih terdengar cakap-cakap daripada suara yang sama. Nantilah kau budak, esok lusa kau akan kenal aku siapa! Rungut Najihah di dalam hati.
“Sudah tu Helmi,” tegur Cikgu Rosman  dengan harapan Helmi tidak mengusik lagi.
Dari tempatnya Helmi tersenyum saja melihat tingkah pelajar baru yang agak pemalu itu. Pelajar inilah yang bakal menjadi mangsa usikkannya tidak lama lagi.
Najihah lihat seorang pelajar perempuan sedang melambai kepadanya sambil tersenyum. Terus  Najihah melangkah ke arah pelajar tersebut. Masa itulah dia terpandang pelajar lelaki yang menyapa seawal tadi. Betul-betul duduk setentang dengan tempat yang kosong. Lah! Mamat inipun ada? Aduhai, apalah malang nasibnya hari ini. Sah-sah dah salah masuk kelas.
“Saya Najihah,” kata Najihah sambil hulurkan tangannya kepada Nurul.
“Saya Nurul Suhana, tapi panggil saja Nurul,” kata Nurul  pula dengan ramah.
Senang hati Najihah dengan sikap ramah Nurul. Sedikit tidak rasa gementarnya terkurang juga. Dia terus duduk bersebelahan Nurul.
Cikgu Rosman terus mengajar. Sementara Isqandar pula selalu mencuri pandang ke arah Najihah.
Hmm, gadis berambut panjang. Berwajah lembut dan tenang. Nampak pemalu sangat, suara pun macam suara semut saja. Perlahan sangat.
Selesai Cikgu Rosman mengajar, mulalah acara berkenalan berlangsung. Mula-mula sekali Helmi. Dia yang terlebih berkenan dengan Najihah.
“Hai, nama saya Helmi, pelajar lelaki paling handsome di sekolah kita,” kata Helmi sambil mendekati Najihah
Najihah  senyum saja sambil pandang muka Helmi. Tak handsome mana pun. Macam muka rumah tak siap saja. Macam itu handsome? Aduh, sakit mata Najihah.
“Hmm, cantik nama Najihah, secantik orangnya,” puji Helmi lagi.
Najihah senyum saja. Tak perasan sikit pun dipuji begitu. Dah biasa sangat dengar. Jadi dia tak hairan.
“Kawan-kawan, dengar sini. Najihah ni aku yang punya. Kalau aku nampak ada yang bercakap dengan dia, jangan salahkan aku kalau biji mata masing-masing lebam,” kata Helmi dengan kuat.
Najihah rasa sangat terperanjat. Apa kes pulak mamat ni? Suka hati dia saja nak cakap apa. Tapi Najihah tak mampu nak cakap apa. Belum masanya untuk dia tunjuk terror bergaduh. Tunggulah kemudian-kemudian nanti.
Isqandar mencebik. Meluat melihat tingkah sepupunya. Terlebih pulak.
“Kau ni Helmi, mana yang cun sikit, semua kau punya!” tegur Irfan ketua kelas.
“Siapa cepat, dia dapat, okey. Tapi aku bagi amaran, kalau ada yang nak merasa tangan aku, cubalah!” kata Helmi lagi sambil berjalan semula ke tempat duduknya.  Macam serius saja.
“Nurul, dia tu memang macam tu ke?” soal Najihah kepada Nurul. Kurang senang juga dengan perangai pelajar lelaki tersebut.
“Dia tu memang tak berapa nak betul sikit. Usah layanlah,” kata Nurul selamba
Najihah  tarik nafas panjang. Macam-macam hal rupanya.
Tiba-tiba Najihah terpadang Isqandar. Tidak sangka waktu itu Isqandar juga melihat Najihah. Seketika mereka saling berpandangan. Lama mereka berpandangan sesama mereka tanpa sebarang senyuman.

SEBAIK sahaja tamat masa persekolahan, Najihah atur langkah perlahan untuk pulang. Pagi tadi Pak Tam ada beritahu cara untuk sampai ke rumah. Pak Tam tak boleh jemput Najihah kerana dia ada kerja yang hendak dilakukan.
            Najihah sudah biasa berjalan kaki. Masa tinggal di kampung dulu, rumah arwah neneknya lebih jauh berbanding sekarang. Jadi tidak ada masalah buat Najihah.
            Najihah terus melangkah.
            Isqandar melihat Najihah dari dalam kereta. Tergerak hatinya hendak mengajak Najihah naik sama, tetapi biar dululah.
            “Itu bukan ke Najihah anak saudara Pak Tam? Nak kita tumpangkan dia?” soal Pak cik Musa pemandu keluarga Isqandar.  
            “Suka hati pak ciklah,” jawab Isqandar perlahan sambil sembunyikan rasa sukanya.
            Terus Pak cik Musa bunyikan hon. Serentak dengan itu Najihah  menoleh.
            “Naiklah,” pelawa Pak Cik Musa sebaik sahaja cermin tingkap diturunkan.
            “Tak apalah pak cik. Saya jalan kaki saja. Lagi pun bukan jauh benar,” jawab Najihah sambil tersenyum. Dia teringat pesan Mak Tamnya. Jangan sesekali tumpang kereta orang kaya itu. Takut timbul masalah belakang hari. Demi mendengar pesan Mak Tam, Najihah menolak.
            “Betul tak nak naik sekali?” soal Pak Cik Musa lagi.
            “Hmm,” angguk Najihah.
            Pak Cik Musa kembali memandu.
            “Itu anak saudara Pak Tam ke pak cik?” soal Isqandar dengan penuh minat.
            “Betul tu, anak arwah adik Pak Tam. Sebelum ni budak tu tinggal dengan arwah ibu Pak Tam. Bukan ke ibu Pak Tam baru saja meninggal dunia. Budak tu tak ada saudara mara lain, sebab itu Pak Tam ajak tinggal dengan Pak Tam.”
            “Emak budak tu dah tak ada ke pak cik?”
            “Bukan ke arwah adik Pak Tam tu meninggal sebab kemalangan jalan raya. Adik Pak Tam suami isteri meninggal di tempat kejadian bersama dengan 2 orang anak mereka yang lain. Kalau tak silap pak cik, masa tu mereka nak menghadiri majlis perkahwinan salah seorang saudara mereka. Si Najihah tak ikut sama sebab dia demam.”
            “Oh! Kasihannya,” kata Isqandar perlahan sambil pusingkan badannya. Melihat Najihah yang semakin jauh ditinggalkan.  
            “Memang kasihan. Kecik-kecik lagi dah jadi anak yatim piatu. Tapi apa nak dikata. Mungkin itu dah nasib dia,” kata Pak Cik Musa.
            Isqandar terus diam. Tak tanya apa-apa lagi, tapi dia mula rasa sesuatu.