Saturday, November 20, 2010

TAK NAK KAWAN AWAK 1

Pak Tam menghantar Najihah  hingga ke pintu pagar sekolah saja. Kata Pak Tam dia tidak tahu untuk berurusan dengan pihak sekolah. Nanti pandai-pandailah Najihah uruskan sendiri. Tentang wang perbelanjaan persekolahan, Pak Tam akan tanggung semuanya. Di situ Najihah sudah rasa sangat-sangat bersyukur kerana mempunyai ayah saudara yang baik hati dan bertanggung jawab.
“Pak Tam? Apa hal datang sekolah?” sapa Isqandar bila melihat tukang kebunnya di pintu pagar bersama seorang pelajar perempuan.
“Anak Pak Tam  sambung belajar di sini,” jawab Pak Tam selamba tanpa melihat wajah Isqandar.
“Anak Pak Tam?” Isqandar  kehairanan. Selama ini dia tidak  tahu Pak Tam mempunyai anak. Sudah bertahun Pak Tam berkerja di kediaman keluarganya, namun tak pernah langsung dia melihat Mak Tam isteri Pak Tam mengandung. Biar betul orang tua ni! Tak kan Pak Tam ada isteri lain. Kalau betul ada, Isqandar rasa, Pak Tam dah lama masuk ICU.
Bersama soalan-soalan pelik itu, Isqandar pandang wajah Najihah. Rupanya inilah kelibat gadis yang dipadangnya dua tiga hari kebelakangan ini.
“Saya pergi dulu Pak Tam…” Najihah cium tangan Pak Tam penuh tanda hormat, penuh tanda kasih. Itulah satu-satu ayah saudara yang dia ada, abang arwah ayahnya.
“Berlajar biar jadi orang…” pesan Pak Tam sebelum  Najihah melangkah.
“Baik Pak Tam,” jawab Najihah perlahan kemudiannya.  
“Habis ada yang berlajar jadi beruk ke Pak Tam?” tanya Isqadar sambil menjeling Najihah yang sudah jauh melangkah.
“Iya, kalau tidak orang, tentu saja jadi beruk…” jawab Pak Tam selamba tanpa niat untuk menyindir sesiapa. Bersusah payah selepas itu dia menghidupkan motorsikalnya. Kemudian bunyi derumannya hampir saja membingitkan telinga Isqandar juga terlinga-telinga yang berhampiran dengan motorsikal tua itu.
“Pak Tam pergi dulu,” katanya sebelum pergi
Isqandar hanya melihatkan saja tukang kebunnya pergi sebelum dia sendiri melangkah semula menuju sekolah.
            Cepat-cepat Isqandar mengejar pelajar perempuan yang menjadi anak segera Pak Tam. Nak bertanya lebih lanjut lagi.
            “Kejap!” Isqandar tarik bahu Najihah sedikit kasar.
            Tertoleh Najihah jadinya. Siapa pulak yang berani-beraninya berbuat begitu? Kalau di sekolah lamanya, dah lama pelajar lelaki tersebut makan penamparnya. Kurang asam betul. Main suka hati mak bapak dia tarik bahu orang!
            “Awak anak Pak Tam?” soal Isqandar sedikit kasar sambil melihat wajah Najihah.
            “Iya, kenapa?” jawab Najihah  penuh yakin.
            “Setahu orang, Pak Tam tak ada anak. Macam mana boleh ada anak pulak?”
            “Saya anak saudara Pak Tam,” beritahu Najihah  
            “Ooo, anak saudara rupanya. Orang ingat Pak Tam ada anak dengan isteri lain!” kata Isqandar pula. Asalnya ayat itu ayat lawak, tapi bila Najihah buat tak tahu, ayat itu sudah jadi ayat biasa.
Najihah terus melangkah. Kalau boleh dia tak nak layan sangat pelajar lelaki ni.  Banyak masalah yang bakal timbul nanti.
            “Umur awak berapa hah?” tanya Iqandar lagi.
            “17!”
            “Sama dengan oranglah…”
            Tak tanyapun! Bisik hati kecil Najihah. Macamlah Najihah nak tahu sangat. Najihah buat-buat tak peduli. Malas nak layan. Dia terus melangkah tanpa pedulikan Isqandar.
            “Awak dulu sekolah mana?” Isqandar tunjuk pula bakat ramah walaupun dia sendiri sudah mendapat gelaran Putera Sombong di sekolahnya kerana sikapnya yang  tidak mahu bercakap dengan pelajar lain.  Tapi dengan seorang ini galak pulak dia bertanya.
            “Kampung,” jawab Najihah ringkas.
            “Tahulah, kampung tu kat mana?” Isqandar masih tak puas hati.
            “Kat Malaysia!”
            “Bodoh, orang tahulah kat Malaysia, tak kan kat Myanmar pulak!”  Terus Isqandar tolak kepala Najihah. Kurang sabar dia dibuatnya.
            Langkah Najihah jadi terhenti. Terus dia jeling wajah Isqandar. Main kasar pulak. Ringan saja tangan Najihah nak balas tapi bila fikirkan mereka dalam kawasan sekolah, Najihah pujuk hatinya baik-baik. Kalau setakat padang sekolah, memang dah lama dia ni kena.
            “Hah! Loyar buruk lagi. Itu baru orang tolak kepala. Silap hari bulan, orang tolak dengan awak-awak sekali,” kata Isqandar tanpa rasa bersalah langsung.
            Sabar Najihah, awak budak baru. Awak kena ingat prinsip hidup awak, ada lori ada bas. Hari ni memang hari lori orang tu, jadi sabar ajelah, begitu suara kecil sedang memujuk Najihah. Kerana mendengar pujukkan, terus Najihah melangkah semula.
            Najihah langsung tidak pedulikan Isqandar selepas itu. Dia melangkah  mencari pejabat sekolah untuk urusan kemasukkannya di sekolah tersebut.

“KELAS, kita ada pelajar baru hari ni. Cikgu harap kamu semua dapat berkawan baik dengan dia,” kata Cikgu Rosman sambil memandang ke arah anak-anak muridnya.
            Isqandar jadi tergamam bila terpandang Najihah. Kan dah dapat satu kelas! Tadi sombong sangat! Isqandar tesenyum sendiri selepas itu.
“ Jadi kenalkan diri kamu sekarang,” arah Cikgu Rosman kepada Najihah yang sudah berdiri di hadapan kelas.
Najihah tunduk memandang lantai. Mukanya sudah merah. Jarang sekali dia bercakap di hadapan orang dan kali ini dia betul-betul rasa gementar.
“Nama saya Najihah binti Ariffin,” kata Najihah terketar-ketar.  Dia masih tundukkan wajahnya.
“Tak dengar, cakap sorang-sorang ke?” Kedengaran suara seorang pelajar lelaki melaung. Kemudian kelas menjadi riuh rendah.
Najihah telan air liurnya. Gementarnya tambah memuncak. Hantu, siapalah yang berani bersuara itu.
“Cakap kuat sikit Najihah. Kawan-kawan awak tak dapat dengar dengan jelas,” kata Cikgu Rosman lagi.
“Nama saya Najihah binti Ariffin.” Kali ini suara Najihah  sedikit kuat.
“Tak dengar jugak! Bateri dah kong ke?” kedengaran suara pelajar lelaki itu lagi. Sekali lagi kelas riuh rendah.
Najihah sudah tidak tahu hendak letak muka di mana. Dia hanya berusaha untuk bersabar. Tapi hatinya sudah sakit bila mendengar ketawa rakan-rakan lain. Macamlah lawak benar cakap-cakap pelajar lelaki itu.
“Helmi, boleh awak senyap?” Cikgu Rosman cuba menegur sikap Helmi.
            Najihah tidak berani untuk angkat muka. Hendak melihat muka pelajar bernama Helmi juga dia tidak berupaya. Tak apalah. Esok lusa masih ada. Nanti dia akan kenal juga dengan pelajar tersebut. Untuk sementara waktu dia perlu bersabar. Dia budak baru, tak elok budak baru tunjuk perangai bukan-bukan.
            “Okeylah, dia masih malu lagi. Nanti kamu boleh berkenalan dengan dia. Najihah, kamu boleh duduk sekarang. Boleh duduk sebelah Nurul,” kata Cikgu Rosman lagi.
            Najihah angkat mukanya perlahan. Kalau tidak kerana hendak mencari Nurul, tak ingin dia buat begitu.
“Malu apanya. Bukannya tingkatan satu lagi. Dah tingkatan lima.”
Najihah masih terdengar cakap-cakap daripada suara yang sama. Nantilah kau budak, esok lusa kau akan kenal aku siapa! Rungut Najihah di dalam hati.
“Sudah tu Helmi,” tegur Cikgu Rosman  dengan harapan Helmi tidak mengusik lagi.
Dari tempatnya Helmi tersenyum saja melihat tingkah pelajar baru yang agak pemalu itu. Pelajar inilah yang bakal menjadi mangsa usikkannya tidak lama lagi.
Najihah lihat seorang pelajar perempuan sedang melambai kepadanya sambil tersenyum. Terus  Najihah melangkah ke arah pelajar tersebut. Masa itulah dia terpandang pelajar lelaki yang menyapa seawal tadi. Betul-betul duduk setentang dengan tempat yang kosong. Lah! Mamat inipun ada? Aduhai, apalah malang nasibnya hari ini. Sah-sah dah salah masuk kelas.
“Saya Najihah,” kata Najihah sambil hulurkan tangannya kepada Nurul.
“Saya Nurul Suhana, tapi panggil saja Nurul,” kata Nurul  pula dengan ramah.
Senang hati Najihah dengan sikap ramah Nurul. Sedikit tidak rasa gementarnya terkurang juga. Dia terus duduk bersebelahan Nurul.
Cikgu Rosman terus mengajar. Sementara Isqandar pula selalu mencuri pandang ke arah Najihah.
Hmm, gadis berambut panjang. Berwajah lembut dan tenang. Nampak pemalu sangat, suara pun macam suara semut saja. Perlahan sangat.
Selesai Cikgu Rosman mengajar, mulalah acara berkenalan berlangsung. Mula-mula sekali Helmi. Dia yang terlebih berkenan dengan Najihah.
“Hai, nama saya Helmi, pelajar lelaki paling handsome di sekolah kita,” kata Helmi sambil mendekati Najihah
Najihah  senyum saja sambil pandang muka Helmi. Tak handsome mana pun. Macam muka rumah tak siap saja. Macam itu handsome? Aduh, sakit mata Najihah.
“Hmm, cantik nama Najihah, secantik orangnya,” puji Helmi lagi.
Najihah senyum saja. Tak perasan sikit pun dipuji begitu. Dah biasa sangat dengar. Jadi dia tak hairan.
“Kawan-kawan, dengar sini. Najihah ni aku yang punya. Kalau aku nampak ada yang bercakap dengan dia, jangan salahkan aku kalau biji mata masing-masing lebam,” kata Helmi dengan kuat.
Najihah rasa sangat terperanjat. Apa kes pulak mamat ni? Suka hati dia saja nak cakap apa. Tapi Najihah tak mampu nak cakap apa. Belum masanya untuk dia tunjuk terror bergaduh. Tunggulah kemudian-kemudian nanti.
Isqandar mencebik. Meluat melihat tingkah sepupunya. Terlebih pulak.
“Kau ni Helmi, mana yang cun sikit, semua kau punya!” tegur Irfan ketua kelas.
“Siapa cepat, dia dapat, okey. Tapi aku bagi amaran, kalau ada yang nak merasa tangan aku, cubalah!” kata Helmi lagi sambil berjalan semula ke tempat duduknya.  Macam serius saja.
“Nurul, dia tu memang macam tu ke?” soal Najihah kepada Nurul. Kurang senang juga dengan perangai pelajar lelaki tersebut.
“Dia tu memang tak berapa nak betul sikit. Usah layanlah,” kata Nurul selamba
Najihah  tarik nafas panjang. Macam-macam hal rupanya.
Tiba-tiba Najihah terpadang Isqandar. Tidak sangka waktu itu Isqandar juga melihat Najihah. Seketika mereka saling berpandangan. Lama mereka berpandangan sesama mereka tanpa sebarang senyuman.

SEBAIK sahaja tamat masa persekolahan, Najihah atur langkah perlahan untuk pulang. Pagi tadi Pak Tam ada beritahu cara untuk sampai ke rumah. Pak Tam tak boleh jemput Najihah kerana dia ada kerja yang hendak dilakukan.
            Najihah sudah biasa berjalan kaki. Masa tinggal di kampung dulu, rumah arwah neneknya lebih jauh berbanding sekarang. Jadi tidak ada masalah buat Najihah.
            Najihah terus melangkah.
            Isqandar melihat Najihah dari dalam kereta. Tergerak hatinya hendak mengajak Najihah naik sama, tetapi biar dululah.
            “Itu bukan ke Najihah anak saudara Pak Tam? Nak kita tumpangkan dia?” soal Pak cik Musa pemandu keluarga Isqandar.  
            “Suka hati pak ciklah,” jawab Isqandar perlahan sambil sembunyikan rasa sukanya.
            Terus Pak cik Musa bunyikan hon. Serentak dengan itu Najihah  menoleh.
            “Naiklah,” pelawa Pak Cik Musa sebaik sahaja cermin tingkap diturunkan.
            “Tak apalah pak cik. Saya jalan kaki saja. Lagi pun bukan jauh benar,” jawab Najihah sambil tersenyum. Dia teringat pesan Mak Tamnya. Jangan sesekali tumpang kereta orang kaya itu. Takut timbul masalah belakang hari. Demi mendengar pesan Mak Tam, Najihah menolak.
            “Betul tak nak naik sekali?” soal Pak Cik Musa lagi.
            “Hmm,” angguk Najihah.
            Pak Cik Musa kembali memandu.
            “Itu anak saudara Pak Tam ke pak cik?” soal Isqandar dengan penuh minat.
            “Betul tu, anak arwah adik Pak Tam. Sebelum ni budak tu tinggal dengan arwah ibu Pak Tam. Bukan ke ibu Pak Tam baru saja meninggal dunia. Budak tu tak ada saudara mara lain, sebab itu Pak Tam ajak tinggal dengan Pak Tam.”
            “Emak budak tu dah tak ada ke pak cik?”
            “Bukan ke arwah adik Pak Tam tu meninggal sebab kemalangan jalan raya. Adik Pak Tam suami isteri meninggal di tempat kejadian bersama dengan 2 orang anak mereka yang lain. Kalau tak silap pak cik, masa tu mereka nak menghadiri majlis perkahwinan salah seorang saudara mereka. Si Najihah tak ikut sama sebab dia demam.”
            “Oh! Kasihannya,” kata Isqandar perlahan sambil pusingkan badannya. Melihat Najihah yang semakin jauh ditinggalkan.  
            “Memang kasihan. Kecik-kecik lagi dah jadi anak yatim piatu. Tapi apa nak dikata. Mungkin itu dah nasib dia,” kata Pak Cik Musa.
            Isqandar terus diam. Tak tanya apa-apa lagi, tapi dia mula rasa sesuatu.

6 comments:

ihaaz said...

menarik..
saya follow citer nih..

marissa said...

terima kasih budakNebeng.

Dr.LoVe said...

menarik sekali ceta ni..

marissa said...

terima kasih Dr. Love

Kasih Firdaus said...

menarik...go..go...supaya dapat berkarya dgn lebih baik..muahhhhhhh

ameesya said...

Best, best & the best....akak x de kat Fb sunyi rasanya....semoga tenang berkarya....Aizah Arshad