HARI-HARI
yang aku lalui adalah hari-hari yang sangat indah. Sukar untuk aku huraikan
dengan kata-kata betapa bahagianya aku. Melewati hari-hari bersama suami
tercinta dan buah hati kami terasa seperti tercampak ke dunia paling indah.
Dunia yang hanya ada aku, Encik Hazrul dan Humairah. Besar benarkah
permintaanku andai aku hanya mahukan kami bertiga saja di dalam dunia ini? Aku
tidak perlukan sesiapa lagi. Sungguh, aku memang tidak perlu sesiapa pun juga.
Tapi
mana mungkin kerana kehidupannya ini merupakan rantaian yang memerlukan antara
satu sama lain. Hendak atau tidak, kehadiran pihak lain sama penting. Hidup
seharusnya begitu. Saling perlu memerlukan. Ibarat aur dengan tebing. Tidak
terlalu pentingkan diri sendiri dan tidak terlalu mengambil tahu hal orang
lain.
Bagiku cukup kalau namanya kehidupan
yang baik-baik saja, yang biasa-biasa saja tapi bersama limpahan kasih sayang yang
tidak terhingga. Tiada lain yang aku minta. Bukan kemewahan yang aku dambakan.
Hanya yang biasa-biasa saja.
Cinta. Selain hidup yang
biasa-biasa, aku juga memerlukan cinta. Sangat memerlukannya kerana aku juga
manusia biasa yang ingin dikasihi. Tak salahkan kalau manusia biasa seperti aku
mahukan kebahagiaan? Siapa yang tidak mahu hidup bahagia? Kalau diberi pilihan
antara wang ringgit, aku tetap pilih untuk hidup bahagia walau sekadar jadi
isteri seorang penternak lembu.
Aku mengenal erti cinta melalui dia.
Cinta yang aku kira mustahil untuk insan seperti aku miliki. Namun kata Encik
Hazrul, cinta itu sifatnya sangat luar biasa. Tak pernah kenal sesiapa. Tak
pernah terbezakan antara jelek dan yang memiliki kesempurnaan. Siapa saja di
luar sana, pasti akan temui cinta agung masing-masing. Dan sesungguhnya aku
adalah insan yang terpilih untuk memiliki cinta agung itu. Cinta dari seorang
lelaki yang sangat hebat.
Ah! Manisnya percintaan ini.
Humairah mengekek. Sekaligus
mematikan semua lamunanku yang indah-indah belaka. Sejak pandai ketawa, senang saja dia mengekek.
Pantang diacah sedikit. Kadang-kadang melihat wajah kami berdua saja dia boleh
ketawa. Macamlah muka papa dan mama ni muka badut. Mungkin itulah yang
membuatkan dia ketawa. Dia ada ibu bapa yang sangat menyanyangi dirinya. Jadi,
dia berusaha untuk menyenangkan hati kedua ibu bapanya.
Sayang Humairah.
Humairah
sudah enam bulan. Badannya berisi seperti kebanyakkan bayi seusia dengannya.
Kulitnya putih gebu. Wajahnya? Saling tak tumpah seperti wajah papanya. Sangat
comel. Kata orang kalau anak perempuan mengikut wajah ayah, sejuk, penyabar,
tak keras kepala dan tak pentingkan diri sendiri. Harap begitulah.
Humairah
tidak banyak ragam. Senang dijaga, siang dia akan tidur dan malam akan berjaga.
Itu saja masalahnya. Tapi elok juga dia berjaga malam. Boleh temankan papanya.
Papanya bukankah suka tidur lewat malam.
“Sayang, kita tunggu papa…” bisikku
kepada Humairah sebaik saja siapkan Humairah. Pipi gebu itu aku cium. Wanginya
anak mama. Masih ada bau bayi. Mungkin bau inilah yang Encik Hazrul rindukan
saban hari. Maka tidak hairanlah kalau Humairah menjadi pilihan untuk dicium
terlebih dahulu sebaik sahaja tiba di rumah.
Sambil dukung Humairah, aku pandang
cermin. Rambut sudah aku tocang kemas. Bibir juga nampak seksi dengan gincu
warna merah jambu. Bedak asas juga masih rata di muka. Cukup. Encik Hazrul
memang tidak suka aku bersolek secara berlebihan. Baginya cukup menutup wajah
kusam. Katanya lagi, tanpa sebarang solekan juga, aku tetap dipandang manis.
Sebagai isteri, pasti saja aku mahu lakukan yang terbaik buat suamiku. Tidak
mahu dipandang jemu.
Setahun dua, usia perkahwinan itu
masih di alam manis. Apa juga yang dibuat serba cantik dan menarik, namun bila
masuk usia ketiga tahun, perasaan itu pasti saja berkurangan. Kasih sayang akan
mula pudar kalau tidak diusahakan sesuatu. Semuanya bakal jadi hambar nanti.
Hilang kasih maka hilanglah sayang.
Huh! Siapa kata alam perkahwinan itu
manis belaka? Kahwin dulu baru tau cerita.
Saban petang, aku dan Humairah
seperti penunggu yang sangat setia. Kami menantikan lelaki yang sama. Lelaki
yang paling kami sayang dan lelaki yang telah membahagiakan hidup kami.
Petang ini sangat cantik. Cahaya
matahari mula meredup. Angin dingin Bukit Cendana sentiasa berpuput lembut.
Sangat menyegarkan. Di halaman rumah bunga-bunga ros berwarna merah hati dan
merah jambu sedang kembang mengelilingi pagar kayu rumah kami. Bersulam dengan
bunga matahari yang sentiasa menarik perhatian. Di hujung halaman putik-putik
anggur mula menampakkan hasil.
Pokok-pokok anggur itu aku tanam
sebagai penyeri taman. Suka melihat buahnya yang bergayutan di halaman Syed
Imran. Jadi aku cuba tanam di halaman rumahku dan nampaknya serasi. Bukanlah
harap sangat akan buahnya, tapi rasa gembira bila mula menampakkan hasil.
Dari kejauhan aku melihat pacuan
empat roda Encik Hazrul sudah mula menghampiri kawasan rumah. Melalui lorong
kecil yang kiri kanannya ditumbuhi dengan pohon-pohon jacaranda. Bunga-bunga
kuning sudah terdampar di sepanjang lorong. Sungguh cantik. Sungguh Indah. Akan
berterbangan bila ditiup angin, juga setiap kali ada kenderaan yang melalui
lorong tersebut.
Ah! Aku tahu kenapa Bukit Cendana
menjadi pilihan Encik Hazrul. Bukan saja mendamaikan, bahkan menyajikan
permandangan yang sangat cantik.
“Papa dah balik…” bisikku perlahan
ke telinga Humairah. Humairah pasti saja tidak duduk diam bila melihat kelibat
kenderaan papanya. Seolah-olah tahu, sang papa sudah pulang. Pulang membawa
kasih sayang yang melimpah ruah.
Perasaan aku tetap sama setiap kali
menyambut kepulangan Encik Hazrul. Sama seperti mula-mula kami tinggal serumah
dulu, ketika terpaksa menjadi suami isteri olok-olok. Perasaan itu juga masih sama
seperti kami sudah bergelar suami isteri yang sah. Sikit pun tidak terkurang.
Mungkin itulah rasa kasih yang tidak terhingga buat dirinya. Tak pernah jemu
walau sedikit. Tetap merindui dirinya walau berpisah untuk jangka masa beberapa
jam sahaja.
Paginya seawal jam lapan pagi, Encik
Hazrul sudah memulakan tugasnya. Tengah hari akan pulang makan tengah hari dan
solat zuhur. Sambung semula berkerja sehingga jam lima petang. Tidaklah
berjarak terlalu lama dia tinggalkan rumah. Entah kenapa rasa rindu itu tetap
juga menggebu.
Mata tetap memberi tumpuan terhadap
pacuan empat dan roda sehinggalah kenderaan itu berhenti betul-betul antara
pintu masuk dengan deretan pokok bunga matahari. Berlalu beberapa saat, lelaki
yang kami tunggu keluar dari kenderaan.
“Hai sayang…” ucapan yang tidak
lekang dari bibirnya setiap kali dia pulang. Sebenarnya sayang itu istimewa
buat puterinya. Dan kadang-kadang ucapan itulah yang membuatkan aku berjauh
hati. Mana tak cemburu. Kalau dulu sayang itu memang khas untuk aku dan
sekarang untuk Humairah pula.
Humairah dipangkuan berpindah pula
ke pangkuan Encik Hazrul. Budak montel itu dicium beberapa kali. Buah cinta
kami yang mendapat sepenuh perhatian sejak dilahirkan, nampak suka benar. Tak
diam langsung.
“Papa rindu Humairah,” bisik Encik
Hazrul.
Yalah, rindukan Humairah saja. Aku
ini seperti tunggul kayu. Tarik muka masam sekejap. Aku yang berhias cantik ini
langsung tidak dipuji. Dipandang pun tidak.
“Eh, mama jeleslah…” Encik Hazrul
jeling aku sambil tersenyum.
“Tak ada maknanya,” balasku.
“Serius?” soalnya.
Aku duduk semula di bangku kayu
tanpa menghiraukan Encik Hazrul. Setiap petang, sekembali dari bekerja,
beginilah kami. Memerhatikan wajah petang dengan cara kami sendiri.
“Mama pun papa rindu jugak. Mana
boleh tak rindu teman tidur papa, karang tak pasal-pasal papa kena tidur luar,”
kata Encik Hazrul, cuba mengusikku. Tanpa usikan, terasa hambar, kerana dari
mula aku mengenali Encik Hazrul, begitulah dia. Ada saja bahan usikan yang
membuatkan aku tersenyum.
Siapa sangka lelaki yang memegang
status CEO ketika itu, pandai bergurau. Sedang raut wajahnya umum sedia tahu.
Bukan saja nampak tegas, bahkan garang juga. Dia sangat digeruni setiap kaki
tangan di Menara Holding. Dari pihak bawahan, sehinggalah ke pihak atasan.
Sedang semua ahli jawatan kuasa tertinggi Menara Holding juga takut dengan
beliau.
Perwatakan itu bertukar sama sekali
bila beliau berada di rumah. Dengan erti kata yang lain, ketika dia berada di
sisiku. Seolah-olah bertukar posisi. Sangat penyayang dan sangat romantis.
Kalau tidak romantis, masakan aku boleh jatuh cinta dengan mudah.
“Oh, sebab teman tidur papa aje
ke…?” Aku menyindir. Jeling dia sekali.
“Abang sebut tidur ke?” Encik Hazrul
ketawa perlahan.
“Abang sebut teman tidur okey, saya
belum pekak lagi,” jawabku sedikit kuat.
“Eh, marah ke?”
Aku tak balas. Sekadar perhatikan
halaman dengan perasaan sedikit geram. Kemudian pandangan mata mencari wajahnya
semula.
“Sebenarnya
abang nak sebut teman hidup abang. Tersebut tidur pulak. Awal lagi dah
tersasul…” Senyuman manis Encik Hazrul ukir di bibirnya. Senyuman itulah yang
membuatkan aku bernafas di dalam lega. Senyuman yang membuatkan aku menjadi
seorang perindu saban hari.
Sekelip mata hilang semua rasa yang
tak tidak enak.
“Yalah tu…” ucapku tenang.
Encik Hazrul lentokkan kepalanya ke
bahuku. Seperti mahu menyandarkan segala permasalahan ke bahuku. Di manakah
lagi hendak dia berkongsi rasa kalau bukan dengan aku. Sebagai seorang isteri,
aku rasa sangat berbesar hati.
“Macam mana dengan pekerja baru tu?”
soalku perlahan. Aku diberitahu oleh Encik Hazrul, dia baru saja mengambil
pekerja dari Bangladesh dua minggu lalu mengantikan pekerja Indonesia yang
sudah tamat perkhidmatan.
Kebiasaannya
Encik Hazrul pasti saja bercerita tentang ladang ternakan. Bercerita tentang masalah
pekerja asing yang susah untuk terima arahan kerana masalah komunikasi. Itulah
sebahagian dunianya sekarang ini. Tidak lagi Encik Hazrul seperti dulu seorang
CEO yang sentiasa memerah tenaga untuk memajukan Menara Holding.
“Sorang cakap bahasa itik, sorang
bercakap bahasa ayam. Abang bercakap bahasa orang putih. Masing-masing
ternganga. Mahu kencing manis abang macam ni…”
Aku tergelak. Kelakar juga kata-kata
Encik Hazrul itu. Tetapi aku jelas dapat melihat kepuasan pada raut wajahnya. Itulah
kepuasan yang dia cari selama ini.
“Hmm, mana lebih senang antara
uruskan Menara Holding dengan uruskan ladang ternakan?” soalku.
“Mestilah uruskan ladang ternakan
lebih senang. Seribu kali lebih senang dari uruskan Menara Holding.”
“Tapi ladang ternakan tak seglamer
uruskan Menara Holding.”
“Abang tak pernah pun mimpi nak
glamer. Bukan jenis abang.”
Aku tahu tu. Aku kenal Encik Hazrul.
Dia bukan jenis yang gila akan semua itu. Kalau tidak, tak kan semudah itu dia
melepaskan jawatannya sedangkan jawatan itulah yang menjadi rebutan.
“Abang rasa benar-benar bahagia
sekarang ni. Kehidupan yang abang impikan sejak dulu lagi.”
“Abang memang suka tempat yang
sunyi?”
“Hmm… Rasa tenang saja. Kenapa
tanya? Azian dah mula bosan?”
Aku geleng. “Tak pernah bosan selagi
abang ada di sisi.”
“Habis tu kenapa tanya?”
“Kadang-kadang masih ada perkara
yang saya tidak tahu tentang abang, dan saya tidak mahu ketinggalan walau satu
pun.” Aku senyum. Membayangkan rasa puas hatiku.
“Memang pun. Memang tak faham-faham
lagi rupanya.”
“Apanya?” soalku.
“Mana air abang?”
Aku gigit hujung bibir. “Humairah,
dulu masa mama kerja, bos mama suka cakap ayat tu. Tak sangka sekarang ni pun
mama terpaksa dengar jugak.”
“Habis, bos mama Humairah tu dah
jadi suami mama Humairah, kenalah dengar selalu.”
“Azian, buatkan saya air. Azian mana
air saya!” Aku ajuk ayat-ayat Encik Hazrul sambil bangun. Manisnya kenangan
itu.
Encik Hazrul ketawa.
“Mama tak sedar, rupanya dengan cara
tulah, papa Humairah nak mengorat mama.” Pipi Humairah aku cubit perlahan.
Geram.
“Tau takpe…”
“Tau dah…”
Aku senyum puas sambil atur langkah.
Teh madu boleh, bermadu jangan!
SELESAI
solat isyak, kami menonton TV bersama di ruang tamu. Humairah akan meniarap di
atas tilamnya. Sambil menonton, Encik Hazrul tidak lepas dengan mesin kira dan
juga beberapa helaian kertas. Tugasnya mengira pula.
“Nora kirim salam. Lupa nak cakap
kat abang tadi. Dia call lepas abang
balik makan tengah hari.” Baru teringat tentang panggilan Nora.
“Waalaikumusalam… Apa cerita?” soal
Encik Hazrul. Palingkan badan. Pasti saja mahu minta diurut. Tanpa sebarang
arahan, aku lakukan tugasku. Mahu jadi tukang urut yang terbaik di dunia buat
Encik Hazrul.
“Dia nak kahwin.” Tangan kiri dan
kanan memainkan peranan. Makin mahir.
“Ya? Alhamdulilah…”
Cerita tentang Nora berakhir begitu
saja. Encik Hazrul tidak akan bertanya lebih-lebih. Dia tidak gemar. Aku juga
tidak akan bercerita lagi kalau Encik Hazrul tidak bertanya. Bermakna dia
kurang berminat hendak tahu lebih lanjut. Kalau aku pasti saja habis semua aku
tanya.
“Bawah sikit…” arahnya. Kedua tangan mengurut bahagian
pinggangnya pula.
“Berapa umur abang tahun ni?”
soalku.
“Sampai hati, umur abang pun tak
ingat.”
“Taklah, saja tanya.”
“Kenapa? Sejak jadi penternak lembu ni abang dah
nampak tua sangat ke?” soalnya.
“Hesy, ke situ pulak. Tak ada kena
mengena okey…”
“Yalah, abang sedar diri!”
Cepat tangan cucuk pinggang dia.
“Eh, janganlah. Abang sensitif tau. Humairah tu bulat lagi matanya. Sejam dua
lagi memang tak tidur tu…”
“Mengada sangat. Sikit-sikit
sentap!”
“Bukan sentap. Abang cuma sedar
diri…”
Aku peluk dia dari belakang.
“Sayang abang…” bisikku perlahan.
Dia toleh pandang aku. Pipi kananku dia cium sekali.
“Pernah ke abang tak sayang Azian?”
soalnya pula.
“Manalah saya tahu…” Aku tenung anak
matanya.
“Tak pernah walau sedikit. Tetap
sayang seperti pertama kali abang pandang Azian.” Pipiku dia pegang.
“Temani abang, walau apa pun kedaan
abang nanti.”
“Saya yang sepatutnya buat
permintaan tu. Tolong jangan tinggalkan saya dan Humairah, walau apa keadaan
sekalipun.”
“Insya-Allah. Azian dan Humairah
adalah keutamaan abang sekarang ni. Abang lakukan semuanya demi dua orang
penting dalam hidup abang. Akan abang pertahankan walau dengan nyawa abang
sekalipun. Abang nak Azian dan Humairah tahu, abang sangat sayangkan korang
berdua.”
Kata-kata Encik Hazrul benar-benar
sampai ke dalam lubuk hatiku. Seringkali juga dia ungkapkan kata-kata begitu.
Entah kenapa, walau seringkali mendengar kata-kata begitu, aku tetap teruja
mendengarnya. Seperti memberi satu semangat yang tidak ternilai. Walau bukan
kata-kata romantis yang penuh puitis, tetap juga indah untuk didengar. Ya, aku
mahu dengar untuk sekian waktu yang ada. Tak jemu, langsung tak bosan.
“Terima kasih...” Aku tersenyum
cantik. Ikhlas dari hati. Hanya itu saja yang mampu aku lakukan sebagai hadiah
untuk Encik Hazrul.
“Humairah, manalah papa tak cair
selalu kalau mama asyik tersenyum macam ni. Berdebar saja jantung papa. Sama
saja macam dulu. Asal tengok senyuman mama macam tu, mulalah papa tak sedap
hati.”
Ada-ada saja Encik Hazrul ni.
“Hmm, masa untuk Muhammad Adam?”
soalku. Memancing Encik Hazrul sebenarnya. Nak ajak tidur.
“Kalau Wardah macam mana?”
“Saya tak kisah?”
“Hmm, tak nampak mata kakak Wardah?
Bulat lagi tu. Jangan haraplah nak tidur cepat.”
Kami sama-sama pandang Humairah.
“Hah, turun keturunan papa dialah.
Suka sangat berjaga malam. Kalau dulu CEO tu memang saya percayalah. Sekarang
kan jaga lembu saja pun…”
“Habis abang dah biasa tidur lewat.”
“Hmm, nasiblah!” Sambung semula
peluk Encik Hazrul.
4 comments:
Kawin jugak encik bulu dada nih ngan azian.....
best 3x.
Nk order novel kekadih untuk dia boleh lg ke kak marissa
noreha, boleh lagi. PM Teratak Kasih ya
Post a Comment