AKHIRNYA
keputusan peperiksaan pertengahan tahun diumumkan juga. Waktu melihat keputusan
dan kedudukan dia di dalam kelas, hati Wardah mula menangis. Kali ini
keputusannya memang di luar jangkaan. Malu itu memang dia rasa tapi sebenarnya
dia rasa sangat takut ketika itu. Takut dengan habuan yang bakal dia terima
kerana dapat keputusan yang tidak dijangkakan. Di mana silapnya sedangkan dia
sudah sehabis berusaha untuk lakukan yang terbaik? Atau memang dia sudah
terpilih untuk duduk di dalam senarai pelajar paling bodoh?
Tapi hendak diapakan lagi. Keputusan
sudah pun muktamad. Tiada ada apa yang mampu mengubah keputusan tersebut.
Wardah terpaksa hadap semuanya nanti.
“Saya
tak sangka anak cikgu pun boleh dapat nombor last. Ingatkan mak bapak dia cikgu
boleh dapat nombor satu!” usik Ahmad Zikri ketika menghampiri Wardah yang
seakan membawa diri duduk di bawah pokok besar menghabiskan waktu rehatnya yang
berbaki lagi sepuluh minit.
Bukanlah niat Ahmad Zikri hendak
menyakiti hati Wardah, tapi entah kenapa sejak dari tingkatan 1 lagi, Ahmad
Zikri cukup berkenan dengan Wardah. Nak kata Wardah tu cantik, tak juga. Tapi
sedap mata memandang. Orangnya putih kuning, bermata kuyu dan wajah Wardah itu
nampak sangat lembut. Tapi mulut Wardah, pergh. Alang-alang memang hilang
sabar.
Wardah
jeling tajam. Hati panas, sekarang telinga pula. Silap hari bulan ada yang
Wardah paksa telan batu. Banyak cakap pulak.
Ahmad
Zikri ketawa menyambut jelingan tajam Wardah. Makin manis. Ah! Angau Ahmad
Zikri dibuatnya.
“Menyampahlah
tengok muka awak!” Wardah pandang semula arah padang.
“Terima
kasihlah sebab dapat nombor 42, kalau awak tak ambik nombor tu, nampaknya
sayalah yang kena ambik.” Ahmad Zikri ketawa-ketawa sambil perhatikan Wardah
yang duduk sambil pandangan mata dilemparkan ke arah padang.
“Hati saya ni tengah sakit, boleh tak
awak jangan sakitkan lagi?” marah Wardah. Suara juga sudah tinggi.
“Hati awak sakit ke?” Ahmad Zikri tanya sambil sambung
ketawa.
Wardah tak jawab. Mata masih pandang
padang. Kepala sedang ligat berfikir bagaimana untuk berhadapan dengan kedua
ibu bapanya. Dia sudah tidak sanggup menerima libasan tali pinggang lagi.
“Awak sakit hati ke?” soal Ahmad
Zikri semula.
“Boleh tak awak jangan kacau saya?
Kenapalah awak ni suka sangat menyusahkan hidup saya. Dah berapa kali saya
cakap, saya tak nak kawan dengan awak, masih jugak kacau saya. Tolonglah faham
sikit.” Wardah merayu pula.
“Apa saya ni kurang kacak ke, sebab
itu awak tak nak kawan saya?”
Semakin marah Wardah jadinya. Kepala
sudahlah fikir macam-macam, kacang hantu ini pulak merepek yang bukan-bukan.
Ada hati nak jadi Romeo konon.
“Kalau awak berdiri sebelah tiang
bendera tu dan dipaksa pilih, saya rela pilih tiang bendera dari pilih awak!”
“Ooo, maknanya awak nak saya jadi
macam tianglah baru awak nak berkawan dengan saya?” Sakit juga hati Ahmad
Zikri. Macamlah dia tiada rupa. Sedangkan dialah yang paling top kat sekolah.
“Sudah-sudahlah dengan perangai
loyar buruk awak tu. Awak tahu tak, saya ni tengah risau. Tapi awak makin
mengusutkan keadaan saya.” Rendah semula suara Wardah. Sudah tak kuasa hendak
melayan Ahmad Zikri.
Ahmad Zikri ketawa dan terus duduk
bersila di hadapan Wardah. Sengaja diturun naikkan keningnya sambil menatap
mata cantik Wardah. Ditahan hati yang makin berdebar apabila berkesempatan
untuk berada lebih dekat dengan gadis itu.
“Urat kening awak dah putus ke?
Pergilah! Nanti apa pula orang lain kata bila tengok kita berdua di sini.”
Wardah tolak badan Ahmad Zikri.
“Biarlah mereka nak kata apa pun.
Saya bukan pinjam sudu mereka untuk kacau awak.” Ahmad Zikri tersenyum cantik.
Wardah mendengus kasar. Tak tahu
dengan cara apa lagi untuk menghalau Ahmad Zikri. Memang dasar budak tak makan
saman. Sudahnya dia bangun. Kalau dilayan nanti, makin menjadi. Baik dia blah
ajelah.
“Wardah, kain kau koyak!” Tiba-tiba
Ahmad Zikri dapat idea untuk kenakan Wardah.
“Ha? Mana...mana?”
Kelam-kabut Wardah memeriksa kainnya.
Berpusing-pusing badan Wardah untuk melihat belakang badan. Dalam pada itu
Ahmad Zikri dah terbahak-bahak mentertawakannya. Kali ini Wardah dah tak boleh
sabar. Sebelah kasut dia tanggalkan. Kali ini Ahmad Zikri yang seronok ketawa
itu akan dapat habuannya.
Tanpa fikir apa-apa terus Wardah
baling kasutnya ke arah Ahmad Zikri. Tepat mengena dahi. Ahmad Zikri terus diam
terbaring di rumput. Puas hati Wardah. Mampuslah kau kat situ. Gerutu hatinya.
Wardah kutip kasut yang dia baling tadi bersama perasaan separuh lega. Dapat
juga dia membalas perbuatan Ahmad Zikri.
Ahmad
Zikri masih tidak bergerak. Wardah biarkan saja. Dia takkan tertipu lagi dengan
helah Ahmad Zikri.
Loceng berbunyi. Waktu rehat sudah
berakhir. Tapi Ahmad Zikri masih terbaring di atas padang rumput.
“Nak tidur balik rumahlah!”
Wardah berjalan laju meninggalkan
Ahmad Zikri. Kemudian dia menoleh ke belakang. Budak paling nakal di dalam
kelasnya itu masih tidak bergerak-gerak.
“Kuat
sangat ke kasut yang aku baling tadi?” soal Wardah sendirian.
Tak puas hati. Wardah pergi melihat
keadaan Ahmad Zikri semula. Kaki kanan Ahmaf Zikri digerakkan menggunakan
hujung kaki kanan. Tiada sebarang reaksi. Wardah menyepak perlahan betis Ahmad
Zikri. Tetap tiada sebarang perubahan.
“Zikri,” panggil Wardah perlahan.
Dari mata kasar, dada Ahmad Zikri
seakan tidak berombak. Hati mula risau. Masalah yang pertama masih belum
selesai kini timbul pula masalah yang baru. Mati dia kalau terjadi apa-apa pada
Ahmad Zikri.
“Waktu rehat dah habis ni. Janganlah main-mainlah!” Suara Wardah
seakan cemas. Namun, Ahmad Zikri masih begitu.
Hati makin risau. Sudah terbayang wajah ibu
bapa Ahmad Zikri yang datang ke sekolah untuk memarahinya. Mungkin pegawai
polis juga akan datang menangkapnya kerana kesalahan membunuh dengan niat.
Berita mengenai seorang gadis yang mencederakan rakan sebaya sehingga
menyebabkan kematian mungkin akan terpampang di dada akhbar besok.
“Zikri,
bangunlah woi! Tak kelakar pun gurauan awak ni.” Wardah menyangkung di sebelah
Ahmad Zikri. Sengaja dipicitnya hidung Ahmad Zikri untuk membangunkan lelaki
itu. Tetapi helahnya tidak berkesan.
“Zikri!
Saya minta ampun... Saya tak berniat nak cederakan awak.”
Suara
cemas sudah keluar. Tubuh Ahmad Zikri digoncang kuat. Mata jadi panas dengan
sendirinya. Rasa macam nak meraung pun ada juga. Perkara-perkara negatif yang
difikirkan tadi kembali terbayang di dalam kepala. Liar mata Wardah mencari
sesiapa sahaja yang boleh membantu. Tiada pula kawan-kawan yang dia kenal lalu
di situ.
Dia
perlu mendapatkan bantuan. Mungkin Ahmad Zikri cuma pengsan. Guru bertugas
perlu dimaklumkan mengenai hal ini. Wardah bangun. Ketika dia berpaling untuk
melangkah, hujung kain baju kurungnya ditarik kuat dan menyebabkan dia duduk
tersembam di sebelah Ahmad Zikri.
“Saya
hidup lagilah.” Dia kenyit mata. Tawa Ahmad Zikri kedengaran semula. Seronok
sungguh dia mempermain-mainkan Wardah. Dia bangun dan menyapu punggungnya yang
penuh dengan rumput kering.
“Kurang
ajar!” Wardah bangun dan bercekak pinggang. Tak kelakar pun gurauan Ahmad Zikri
tadi.
“Sayang
juga awak kat saya kan?” Ahmad Zikri tunjuk senyum nakal.
“Sayang
kepala hotak awak! Dah tak ada idea lain lagi ke nak bergurau?”
“Ada.
Masih banyak lagi koleksi gurauan yang saya simpan. Semuanya untuk awak.”
Malas
nak melayan lagi. Wardah berjalan laju meninggalkan Ahmad Zikri di belakang.
“Wardah!
Tunggulah kejap.”
Wardah
buat-buat tak dengar. Masalah yang bakal dihadapi bila pulang ke rumah nanti
lebih penting buat masa ini. Apa alasan logik yang boleh diberi pada abah
nanti? Belum apa-apa lagi dia sudah dapat rasakan perit dan pedihnya badan bila
menerima habuan daripada abah nanti. Mengalir airmata Wardah bila mengenangkan
semua itu. Bukan salah dia kerana dapat tempat yang tercorot. Dia dah berusaha
sebaik mungkin. Tapi percubaannya masih tidak berjaya.
“Lajunya
awak jalan. Buat apa tergesa-gesa sangat nak masuk dalam kelas? Belajar
pandai-pandai pun bukannya boleh dapat nombor satu .” Ahmad Zikri menyakat lagi
sebaik sahaja dapat menyaingi Wardah. Tapi tiba-tiba senyumnya hilang tatkala
melihat mata Wardah yang merah.
“Eh,
awak menangis? Ala...terharunya saya. Terima kasihlah sebab awak risau sangat
dengan keadaan saya tadi.”
“Jangan
perasanlah. Buang masa saja saya nak risau pasal awak. Saya risau pasal
keputusan peperiksaan sayalah!”
“Pasal
benda tu pun nak menangis? Bukannya teruk sangat keputusan peperiksaan kau tu.
Nombor satu juga. Nombor satu dari belakang!”
“Diam!”
Wardah
sudah tidak tahan. Dicekaknya leher baju sekolah Ahmad Zikri. Buntang matanya
merenung Ahmad Zikri.
“Kalau
awak bercakap lagi, saya sumbat mulut awak dengan buku lima saya ni.”
Wardah
genggam penumbuk. Cubalah Ahmad Zikri bercakap lagi. Memang selamat muka dia
kena tuam nanti.
“Wo,
relakslah! Okey, saya diam.” Ahmad Zikri tekup mulut dengan dua-dua tangan.
Nafas
Wardah turun naik menahan geram. Ikutkan hati mahu dilambung saja budak hati
kering tu.
Wardah
lepaskan Ahmad Zikri selepas itu. Dia bagi isyarat supaya Ahmad Zikri beredar
dulu. Mujur dia tidak banyak soal. Wardah mengekorinya dari
belakang. Sambil berjalan dia membersihkan rumput kering yang melekat di
bajunya.
“Aduh!”
Wardah
terlanggar Ahmad Zikri. Terhoyong-hayang dia cuba mengimbangkan badan. Ahmad
Zikri sempat menarik pinggang Wardah bagi mengelakkan dia terjatuh. Wardah
tergamam. Tapi cepat-cepat dia menolak Ahmad Zikri dan berundur ke belakang.
“Kenapa
awak berhenti?” Wardah menjerkah. Malu pun ya juga.
“Saya
takut awak melencong ke tempat lain. Yalah, awak kata tadi tengah susah hati.
Risau juga saya kalau-kalau awak pergi panjat bumbung sekolah.”
“Awak
fikir saya ni pendek akal sangat ke nak buat kerja bodoh tu?” Suara Wardah
masih tinggi.
“Kalau
panjang akal takkanlah awak dapat tempat terakhir dalam kelas, kan?”
Ahmad
Zikri gelak dan berlari meninggalkan Wardah. Wardah mengejar. Kali ini dia tak
kira. Ahmad Zikri perlu diajar. Selagi tidak diberi pengajaran selagi itulah
Ahmad Zikri akan menganggunya.
“Hoi!”
Dua-dua
terhenti. Ahmad Zikri pandang Wardah. Wardah ketap bibir. Sekejap saja muka dia
berubah pucat apabila melihat penolong ketua pengawas sedang merenung mereka
sambil mencekak pinggang.
“Apahal
main kejar-kejar ni? Waktu rehat dah habis, kan?” tanya pengawas itu.
“Kami
tahu kak. Tadi mak cik kantin minta tolong kami kutip pinggan di padang. Sebab
itulah lambat sikit masuk ke kelas. Kami pergi dulu.” Dengan selambanya Ahmad
Zikri menarik tangan Wardah. Tapi dengan pantas Wardah merentap tangannya.
Ahmad
Zikri tak menunggu lagi di situ. Dia tinggalkan Wardah bersama pengawas yang
masih masam mencuka merenung mereka.
“Err,
adik masuk kelas dulu.” Wardah tergagap-gagap.
“Tunggu!”
Pengawas
itu datang dekat. Dari bercekak pinggang dia meletakkan tangan di bahu Wardah.
Bibirnya dekat sangat dengan telinga
“Kakak
nak pinjam tiga ringgit. Balik rumah nanti kakak ganti balik.”
Wardah
menyeluk poket. Memang cukup tiga ringgit duit yang dia ada. Tanpa banyak soal,
dihulurnya duit itu pada Hajar.
“Pergi
masuk kelas. Bising cikgu adik nanti.” Hajar menghalau adiknya. Langsung tak pandai berterima kasih.
Besar
kecil anak matanya melihat Wardah melangkah longlai menuju ke kelas. Hajar
senyum. Dia sudah ada bahan cerita yang boleh dilaporkan pada mak dan abah
apabila pulang ke rumah nanti