Tuesday, December 17, 2013

KEKASIH UNTUK DIA BAB 11

KALI pertama aku terima panggilan daripada Encik Hazrul waktu aku sedap-sedap tengok slot drama  Akasia. Aku cakap aku sibuk mengaji. Jadi dia kata dia nak call selepas aku mengaji. Aku cakap aku mengaji habis pukul 9.00 malam. Nampak benar menipunya.
            Tepat pukul 9.00 malam dia call aku. Memang tak boleh elak sebab tak tahu nak bagi alasan apa. Sebenarnya aku bosan nak jawab, kalau soalannya begini, awak buat apa? Awak dah makan ke belum? Warna langsir bilik awak warna apa? Kalau soalan tu yang dia tanya memang aku tak teragak nak maki hamun saja.
            Tapi tidak kut. Tak kanlah seorang yang bertugas sebagai ketua tertinggi dan bertanggung jawab untuk menjaga kestabilan syarikat, akan tanya pekerja bawahan dia dengan soalan-soalan bodoh macam tu. Tapi yang menjadi pertanyaan sekarang ni, kenapa dia kena call aku? Itu yang aku nak tahu sangat sebab itu aku terpaksa jawab panggilan dia sekarang ni.
            “Helo.” Suara Encik Hazrul serupa saja walau di dalam telefon.
            “Ya encik, kenapa?”
            “Awak kat mana ni?”
            Tanya aku serupa aku duduk atas pokok saja. “Kat rumahlah, encik ingat saya kat mana?” soalku.
            “Ingat tak balik dari masjid lagi.”
            Eh, perli nampak. Mentang-mentang aku cakap aku mengaji tadi.
            “Err, kenapa encik call saya ni.”
            “Sebenarnya saya nak minta tolong sikit daripada awak. Tapi kerja ni agak bahaya.”
            Kenapa tiba-tiba aku rasa berdebar saja? Seperti diberi satu tugas rahsia yang amat besar. “Ya, kerja apa tu?” soalku dengan penuh minat dan debaran mula menjadi dua kali ganda.
            “Selama tiga hari ni, saya mahu awak jaga bilik saya. Jangan benarkan sesiapa masuk sebab saya ada tinggalkan satu dokumen penting dalam laci saya.”
            “Kalau dah tahu penting, kenapa encik tak bawa balik rumah?” Suaraku sudah naik. Aku yang tak tahu apa-apa tentang rahsia syarikat pun boleh fikir. Nama pun rahsia syarikat. Adoilah dia ni.
            “Masalahnya tu dokumen syarikat, mana boleh bawa balik sesuka hati.”
            “Oh, ya ke?” soalku semula.  Tak tau pulak macam tu prosudernya.
            “Ya, awak. Tu rahsia syarikat dan kunci laci saya tu saya sudah letak dalam laci meja awak.”
            “Hah? Bila masa encik letak?” Terkejut juga. Tak sedar pun bila masa dia buat kerja. Bahaya betul ni. Aku sudah kena jaga rahsia syarikat.
            “Jangan tanya bila masa saya buat kerja. Kerja saya, saya tahulah.”
            “Okey, okey. Saya faham,” ujarku.
            “Bagus kalau awak faham. Pastikan kunci tu awak simpan baik-baik. Sebabnya melibatkan soal hidup mati saya.”
            “Encik serius ke ni? Takut saya dengar.”
            “Awak ingat saya main-main? Awak ingat soal hidup mati saya tu perkara main-main?”
            “Okey, sorry. Saya minta maaf.” Aku makin takut. Padanlah dia asyik kacau aku, rupanya dia memang percayakan aku.
            “Azian, saya nak awak dengar baik-baik. Hanya awak seorang saja yang ada kunci tu dan hanya awak saja yang boleh buka hati…”
            “Buka apa encik?” soalku.
            “Laci.”
            Aku dengar macam dia sebut hati tadi. “Insya Allah, encik jangan bimbang. Ada apa-apa lagi pesanan?”
            “Okey itu saja. Apa-apa hal nanti, saya call balik.”
            “Baik encik. Assalamualaikum.”
            “Waalaikumusalam.”
            Fuh! Ada kerja baru yang bakal menanti. Kali ini bukan sekecil kerja. Kerja besar. Insya Allah aku boleh lakukan. Untuk Encik Hazrul aku boleh lakukan.

AWAL aku sampai. Terus aku masuk ofis dan tergesa buka laci. Mencari kunci seperti yang diberitahu oleh Encik Hazrul. Ya, memang ada kunci ditinggalkan di laci paling bawah. Ada nota juga di tinggalkan.
            Azian Yuhanis,
Kalau awak sudah baca nota ini, bermakna awak sudah jumpa amanah yang saya tinggalkan untuk awak jaga. Kunci ini sangat penting buat saya. Untuk memastikan awak jaga kunci saya ini dengan sepenuh hati awak, saya tinggalkan sedikit upah untuk awak. Harap dengan upah ini akan membuatkan awak lebih bersemangat untuk menjaga amanah saya.
            Yang menaruh kepercayaan terhadap Azian Yuhanis,
            Hazrul Effendy.
            Habis saja baca nota tersebut aku terus ambil sampul berwarna kelabu yang ada di dalam laci tersebut.
            Duit? Cepat aku keluarkan dan kira. “Seribu?” Harus terkejut kalau setakat jaga kunci laci selama tiga hari dibayar seribu ringgit. Laju tangan cari telefon bimbit dalam beg tangan. Mahu hubungi Encik Hazrul dengan segera.
            “Helo encik, saya jumpa…”
            “Eh, awak ni memang jenis tak reti nak bagi salam ke, ucap selamat pagi ke?” Encik Hazrul pintas kata-kataku. Nada suaranya seperti marah saja.
            “Assalamualaikum encik.” Aku beri salam.
            “Waalaikumusalam.” Dia jawab.
            “Selamat pagi.” Aku ucap pula selamat pagi seperti dalam arahan.
            “Selamat pagi…”
            “Encik, pasal…”
            “Awak memang tak tahu cara-cara macam mana bercakap dengan orang melalui telefon ke? Lepas beri salam kenalah tanya khabar orang tu.”
            “Encik  apa khabar?” soalku. Ya memang tak patut. Sepatutnya aku kena tanya keadaan dirinya.
            “Alhamdulilah, saya sihat.”
            “Encik pasal…”
            “Tak tanya keadaan saya? Bila saya nak bertolak?”
            “Encik buat apa sekarang?” soalku. Itu saja soalan yang aku terfikir sekarang ini.
            “Baru lepas mandi, dan tak sempat pakai apa-apa awak dah telefon.”
            Perlu ke aku tanya, tak pakai apa-apa? Hmm, tak payah kut. Tak penting. “Bila encik bertolak?” soalku.
            “Lepas siap-siap ni saya bertolaklah.”
            “Hati-hati…”
            “Terima kasih…”
            “Sama-sama.” Aku jawab. Sudah, aku lupa apa yang aku nak tanya. Adoilah…
            “Ya, kenapa awak telefon saya?”
            “Oh, ini…saya hampir terlupa. Encik tinggalkan upah untuk saya? Tak payahlah upah-upah. Saya sedia jaga amanan encik ni…”
            “Azian Yuhanis, barang yang saya suruh awak jaga tu, bukan barang main-main, okey. Barang yang melibatkan soal hidup mati saya. Jadi saya kira saya perlu sediakan upah untuk awak sebagai ganjaran.”
            “Encik, saya ikhlas nak jaga amanah encik ni. Serius, saya ikhlas dan saya akan jaga dengan sepenuh hati saya.”
            “Ikhlas itu adalah perkara pokok tetapi risiko yang bakal awak tanggung lebih berat dari ikhlas awak. Jadi, saya tidak mahu ikhlas awak jadi ungkitan nanti.”
            “Tapi encik, seribu ni banyak sangat. Lima ratus pun sudah cukup.”
            “Itupun saya rasa serba salah, sepatutnya sehari seribu ringgit. Tapi takut terus awak tak datang kerja pulak sebab nak enjoy dengan duit tu.”
            “Encik ingat saya perempuan macam tu ke?”
            “Sebab saya tahu awak bukan perempuan macam tulah saya beri awak upah. Ingat, duit tu buat belanja makan awak. Awak tahu bukan, duit yang halal kalau awak buat beli makanan, akan jadi darah daging dan akan lebih berkat buat si pemberi upah. Saya tak mahu awak makan mee segera selalu. Kurang elok untuk kesihatan awak. Dan jangan beli benda yang merapu.”
            “Saya tahu, terima kasih encik. Saya nak cakap itu saja. Assalamualaikum.”
            “Waalaikumusalam.”
            Cepat aku tutup telefon sebab perasaan aku sudah sebak. Rasa hiba yang mendatang tiba-tiba buat mataku jadi pedih. Memang aku memerlukan wang. Sangat-sangat memerlukan. Wang simpanan yang ada sudah mak ngah ambil semuanya. Jadi seribu ringgit ini memang cukup bermakna buatku. Alhamdulilah.
Rasanya memang sesuai simpan di dalam laci saja. Mustahil ada yang syak kunci tersebut dibawah jagaaanku memandangkan baru benar aku bekerja di sini.
            Aku tarik nafas lega. Selepas itu seorang demi seorang rakan sekerja muncul. Seperti biasa, masing-masing berbual terlebih dahulu menantikan waktu kerja bermula.
            Tiba-tiba kami semua dikejutkan dengan kemunculan Puteri Zahra. “Kenapa bos korang cuti tiba-tiba?” soalnya sedikit cemas.
            “Bos cuti?” soal Encik Hambali di tempat duduknya.
            “Korang tahu tak sebab dia bercuti?” soal Puteri Zahra lagi.
            “Encik Hazrul memang tak beritahu dia nak bercuti. Kami pun tak tahu,” balas Kak Ha dan aku rasa seperti semua mata sedang pandang aku.
            “Menyusahkan orang betul!” kata Puteri Zahra dan dia tinggalkan pejabat pengurusan dengan rungutan yang susah aku nak faham. Ternyata Puteri Zahra benar-benar marah. Mujur dia tidak masuk ke bilik Encik Hazrul.
            “Bos cuti?” Kak Ha tanya aku sejurus Puteri Zahra hilang dari pandangan. Aku sudah agak, pasti aku akan ditanya dengan soalan begitu.
            Aku angguk.
            “Tahu bos ke mana?” soal Encik Hambali pula.
            “Bos pergi Bukit Cendana.” Akhirnya aku pecah rahsia.
            “Kan.” Encik Suffian tepuk tangan sekali. “Memang bos ada projek besar-besaran di Bukit Cendana. Mana tahu bos ada buat urusan dengan syarikat lain.”
            “Tak kanlah bos nak jadi pengkhianat pulak,” kata Encik Hambali.
            “Betul tu. Tak kan bos nak jadi pengkhianat ayah sendiri,” Kak Huda menyokong.
            “Siapa tahu. Sebabnya mesti bos fikirkan masa depan dia juga sebab syarikat ni dikongsi oleh Tan Sri Zabidi dan Tan Sri Hisyam. Kalau tak percaya, tengoklah nanti,” kata Encik Suffian.
            “Bos ada beritahu awak apa-apa?” soal Encik Hambali kepadaku.
            Aku geleng.
            “Mustahil tak ada. Mesti ada sebab dia sudah minta awak tolong dia.” Encik Suffian seperti meneka, tapi sebenarnya dia sedang memaksa. Serba salah aku jadinya sedangkan Encik Hazrul mahu menyimpan rahsianya.
            “Dia beritahu pasal projek Bukit Cendana saja, yang lain-lain dia tak beritahu apa-apa.” Aku jawab dengan tenang.
            “Kita tengokkan aje, sebelum tu tak payahlah nak fikir sangat. Itu kerja bos, biar dialah…” Kak Ha seperti tidak suka berbicara tentang perkara tersebut.
            “Jadi, kau jangan fikir bos sukakan kau kalau dia minta tolong dari kau. Bos sedang mempergunakan kau saja. Tolong sedar sikit.” Hilda macam sound aku dari tempat duduk.

            Aku tak ada mood nak jawab. Jadi aku tutup mulut rapat-rapat. Macamlah aku nak perasan bagai. 

Thursday, December 12, 2013

KEKASIH UNTUK DIA BAB 10

“ENCIK ni kenapa? Tiba-tiba berabang. Buat saya takut saja.” Aku pandang wajah Encik Hazrul sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.
“Kenapa pulak?”
“Yalah, tiba-tiba berabang, bersayang bagai. Tiga kali Jumaat aje ke lagi.”
“Awak, sampai hati… Saya cuma nak awak biasakan aje dengan panggilan tu.”
Aku kerut dahi. Apa hal pulak nak panggil macam tu. Karang pitam pulak Hilda kalau aku panggil abang.
“Saya nak beritahu satu rahsia ni…” kata Encik Hazrul selepas aku diam buat beberapa ketika sebab otak kalut fikir. Yalah, rasa pelik sangat.
“Ya, rahsia apa tu?” soalku.
“Saya akan bercuti selama tiga hari atas urusan Bukit Cendana.”
Aku angguk. Ingat rahsia apalah tadi.
“Kalau tak disebabkan semua tu untuk kita berdua, tak sanggup saya nak cuti lama-lama.” Dia toleh aku sekilas dan terus memandu tinggalkan perkarangan tempat letak kereta.
“Apa kena kita berdua, bukan ke tu urusan encik seorang?”
“Sebab saya nak saya awak jadi partner saya nanti.”
“Tak naklah.”
“Partner saya seumur hidup. Saya akan beri awak apa saja.”
“Tapi saya tak tahu buat apa.”
“Awak cuma uruskan hal saya saja.”
“Lain macam aje bunyinya.” Aku senyum. Encik Hazrul ni memang macam-macam. Tak dapat agak apa maksud yang tersirat.
“Lain macam apa pulak.”
“Yalah, macam ada komplot terancang saja.” Aku teka.
“Memang komplot terancang. Komplot antara awak dengan saya.”
“Yalah tu…” Kemudian aku hela nafas panjang. Rasa pelik juga kenapa Encik Hazrul nampaknya serupa memberi perhatian terhadapku. Apa sebenarnya yang sedang dia rancangkan?
“Kenapa mengeluh pulak ni?” soal Encik Hazrul. Dia ni macam faham saja apa yang aku alami. Mudah membaca apa yang aku fikirkan.
“Kalau saya tanya encik marah tak?” soalku. Mana tahu karang tak pasal-pasal turunkan aku tepi jalan. Satu hal pulak nak tahan teksi.
“Pernahkah saya marah awak?”
Menipulah kalau tak terkejut. Tak pernah marah aku? “Yang tengking saya setiap hari tu apa?” Wajah Encik Hazrul aku pandang. Nampak dia senyum saja. Maknanya dia sendiri tidak tahu untuk memberikan jawapan.
“Hmm, tadi nak kata nak tanya, silalah tanya sekarang.” Ayat seperti nak elak dari menjawab soalanku.
“Encik dan saya baru kenal…”
“Siapa kata kita baru kenal?” pintas Encik Hazrul. Aku baru saja buka mulut, dia dulu-dulu bercakap.
“Baru lagi bukan?”
“Jadi apa masalahnya kita baru kenal?” soal Encik Hazrul.
“Tapi encik layan saya tak serupa pekerja lain. Encik seorang yang berpangkat besar di dalam syarikat, tapi kenapa…?” Kata-kataku mati di situ. Sebenarnya sangat susah untuk mencari perkataan yang sesuai untuk menjelaskan perasaanku yang sebenarnya. Bimbang nanti Encik Hazrul fikir aku sudah sukakan dia.
“Ya, kenapa?” soal Encik Hazrul lagi.
“Sebelum tu encik jangan cakap saya sukakan encik.” Baik beri peringatan awal-awal.
“Jadi awak memang tak sukakan saya lah?”
“Bukan saya tak sukakan encik…”
“Jadi sukalah…” Aku nampak Encik Hazrul senyum. Adoilah. Macam nak cakap ni. Aku cakap begini, dia pusing begitu.
“Bukan, bukan saya suka encik tapi saya tak nak encik syak saya sudah jatuh hati dengan encik. Itu maksud saya.” Geram juga bercakap dengan orang yang tidak faham bahasa ni.
“Kalau jatuh hati kat saya pun apa salahnya. Saya pun single lagi. Tak ada masalah untuk jatuh hati. Dan saya sangat mengalu-alukan untuk awak jatuh hati dengan saya.” Aku nampak senyuman Encik Hazrul bertambah lebar. Dia ni memang suka kenakan aku.
“Kalau encik izinkan pun saya tak akan boleh jatuh cinta dengan encik.”
“Kenapa pulak?” Cepat saja dia tanya dan suara dia sedikit kuat. Macam marah pun ada. Peliknya. Tiba-tiba saja tinggikan suara.
“Yalah, saya ni umpamanya burung gagak dan encik burung merak.”
“Oh, tak tahu pulak kita ni spesies burung.”
Kan dah cakap. Memang dia tak faham bahasa. “Maksud saya taraf kita.”
“Apa masalahnya dengan taraf kita?”
Penatlah macam ni.  “Maksud saya, taraf kita berbeza. Tolonglah faham sikit apa yang nak saya cakap ni.” Marah sudah. Suara aku pun dah naik.
“Sayang, awak dengar baik-baik apa yang bakal saya cakap ni. Fahamkan betul-betul sebab saya tak akan ulang banyak kali dan saya tak nak awak sebut banyak kali juga. Tak kisah siapa pun saya, siapa pun awak, kita berhak untuk menikmati hidup kita dengan selesa dan gembira. Kalau saya selesa dan gembira dapat kenal awak, saya tidak peduli hal-hal lain.”
Aku pegang kening. Adoi, memang sudah jauh terpesong ni. Sebenarnya memang Encik Hazrul tak faham apa-apa rupanya.
“Encik, sebenarnya topik sekarang ialah bukan perkataan suka, tetapi saya nak tanya encik, kenapa encik macam lebihkan saya. Apa-apa encik mesti cari saya. Tak pelik ke seorang yang berpangkat seperti encik asyik keluar dengan saya?” Akhirnya aku tidak mahu berkias apa-apa lagi. Sah Encik Hazrul tidak akan faham. Baik cakap terus terang.
“Saya suka awak. Salah ke kalau saya suka dengan awak?”
Kening tadi aku garu. “Masalahnya macam mana encik boleh suka cara kerja saya sedangkan saya masih baru bekerja. Encik sudah ada pekerja yang lebih bagus berbanding saya.”
“Aduhai…” keluh Encik Hazrul perlahan. “Bila masa pulak aku sebut perkataan kerja…” Encik Hazrul seperti bercakap sendiri.
“Encik merungut apa tu?” soalku.
“Faham pulak orang merungut.”
“Apa encik?”
“Sudah, jangan nak banyak cakap. Karang lagi macam-macam awak fikir. Sekarang ni saya tak nak awak fikir apa-apa. Tujuan saya baik dengan awak sebab saya nak kita usahakan projek Bukit Cendana tu bersama-sama. Saya tak percayakan orang lain sebab projek Bukit Cendana tu sangat penting buat saya. Hanya orang yang boleh saya percayai saja yang akan terlibat sama.”
“Encik jangan mudah percayakan orang lain. Lebih-lebih lagi dengan perempuan yang baru encik kenal. Mana tahu saya ni perempuan mata duitan ke, saya boleh tipu encik dengan mudah.”
“Kalau lurus bendul macam awak ni, saya rela kena tipu.”
“Encik jangan cakap besar, karang meraung baru tahu.”
“Sebab awak saya rela meraung.”
Sudahnya aku malas nak cakap apa lagi. Payah kalau bercakap dengan orang bijak pandai ni. Ada saja jawapannya.
“Selepas ni kalau orang lain tanya awak keluar makan dengan siapa, cakap saja keluar makan dengan bakal suami. Kalau cakap keluar makan dengan saya, saya tahu awak jugak yang susah hati nanti. Yalah, mesti pekerja lain syak pulak.”
“Masalahnya saya belum ada calon bakal suami.” Pengakuan jujur daripadaku.
“Anggap saja saya ni bakal suami awak. Habis cerita.”
“Boleh ke cakap macam tu?”
“Apa pasal pulak tak boleh. Nak jadikan suami terus pun boleh.”
“Melampau encik ni. Tak kanlah tergamak encik nak jadi suami saya. Agak-agaklah kalau nak bergurau pun.”
“Tak ada masa nak bergurau, okey. Saya cakap serius.”
“Yalah, yalah.Terima kasihlah bagi idea macam tu.” Aku terus pandang depan. Perut juga sudah rasa semacam. Minta diisi dengan segera. Entah ke manalah Encik Hazrul bawa aku kali ini.
“Hmm, mulai sekarang bolehlah panggil saya abang. Saya panggil awak sayang boleh?”
“Merepek encik ni…”
“Sayakan bakal suami awak.”
“Konon-konon, okey. Bukan betul.”
“Kira dah betullah tu.”
“Dahlah encik. Dengar enck merepek buat saya tambah lapar.”
“Yalah sayang, kita nak pergi makanlah ni.”
“Encik…” Geli aku denagr dia sebut sayang. Meremang bulu roma. Yang tidak-tidak saha dia ni.
Encik Hazrul ketawa perlahan. Sah ketawakan aku tu. Lantak dialah. Janji dia suka hati.

SELEPAS aku duduk beberapa minit, Encik Hambali muncul. Kemudian Encik Suffian. Mereka saling berbual sesama mereka di tempat duduk msing-masing. Waktu  rehat ada berbaki dalam sepuluh minit lagi. Lepas turunkan aku di luar kawasan syarikat, Encik Hazrul terus ke bank. Katanya mahu uruskan sesuatu. Semuanya pasal Bukit Cendana.
            Tiga serangkai muncul selepas itu dengan bergelak ketawa. Cemburu juga melihat kemesraan mereka bertiga. Kenapa aku tidak boleh menjadi sebahagian mereka? Oh, aku lupa, aku memang tidak layak. Awak kena sedar diri Azian Yuhanis.
            “Dah makan Azian?” soal Kak Ha dengan mesra.
            “Sudah.”
            “Hmm, makan dengan teman lelaki ke?” Kak Huda turut menyoal. Aku balas dengan senyuman. Tidak mahu melebih.
            “Tak sangka ya, macam itupun ada teman lelaki. Ke main tangkap muat aje. Asal ada.” Hilda macam perli.
            Aku tak jawab, kalau jawab karang panjang cerita. Baik tutup mulut saja. Buat tak dengar. Anggap Hilda cakap dengan meja.
            “Sekurang-kurangnya dia ada. Kau ada?” Encik Suffian tanya. Inilah nasi tambah yang bakal menghangatkan lagi keadaan. Karang aku jugak yang jadi mangsa kemarahan Hilda.
            “Ah, kalau setakat kutu rayap tepi jalan, saya tak pandang,” balas Hilda. Bunyi seperti tidak marah saja. Okeylah tu. Tak kisahlah Hilda nak cakap apapun, yang penting dia senang hati.
            Aku sambung buat kerja. Begitu juga teman yang lain. Encik Hazrul muncul dalam pukul tiga lebih. Nampak manis saja muka dia. Mungkin urusan dia berjaya. “Buat air,” katanya dan ketuk meja sekali. Kemudian sambung melangkah ke biliknya.
            Dengan kadar segera aku bangun sebab tak mahu dengar Hilda sebut perkataan khadam. Lepas buat air aku bawa ke bilik Encik Hazrul.
            “Alhamdulilah, urusan kita dipermudahkan,” kata Encik Hazrul sebaik sahaja aku letak muk atas meja.
Nak aje cakap bukan urusan kita, tapi tak naklah jadi bahan bertekak. Muka dia nampak manis begitu, biar kekal sampai balik. Karang kalau lawan bertekak, sah dia angin satau badan
“Alhamdulilah.” Aku cakap sepatah sambil tersenyum. Tumpang gembira.
“Suka tengok lesung pipit awak tu. Sah tiga hari ni saya rindukan lesung pipit tu.” Dia macam puji. Biasalah, kalau orang hati gembira. Cuba kalau marah, lesung pipit pun boleh nampak macam lesung batu.
Aku pegang kedua pipi. Malu juga orang puji lesung pipit aku.
“Esok saya akan uruskan urusan jual beli. Lepas tu kita kena fokus.”
Aku gigit hujung bibir. Serius tak faham apa-apa. Urusan jual beli apa? Tak apalah, janji dia suka dan kalau itu boleh membahagiakan dirinya, aku tumpang gembira.
            “Kalau tak ada hal penting, encik jangan telefon saya.” Aku cakap tapi sebenarnya bagi amaran. Malas nak layan panggilan dia sebenarnya.
“Suka hatilah saya nak telefon ke tidak.” Dia jeling sekali. Senyuman manis menyusl selepas itu dari bibir seksi Encik Hazrul.
“Kalau macam tu, saya off handphone saya.”
“Cubalah kalau awak berani off handphone awak. Saya upah orang culik awak dan hantar ke tempat saya. Nak?”
Sebenarnya aku boleh anggap kata-kata  dia tu sebagai satu gurauan, tapi melihatkan keseriusan wajahnya, aku tak fikir dia bergurau. Dia sedang memberi amaran.
“Emm, saya boleh berhenti kerja, dan saya boleh sembunyikan diri.” Aku juga bijak merancang. Nak tengok apa jawapan Encik Hazrul.
“Untuk pengetahuan awak, saya sudah upah orang untuk kawal pergerakkan awak. Awak ingat awak boleh larikan diri dari saya?”
Tiba-tiba aku rasa takut. Gaya Encik Hazrul bercakap serupa ketua kongsi gelap filem Hong Kong.
“Okey, saya tak off handphone saya.” Sudahnya aku mengaku kalah. Masa itulah aku nampak Encik Hazrul sambung senyum. Serius, memang senyuman dia cukup menawan. Kalau aku tak ingat taraf aku macam mana, sudah lama aku mengorat Encik Hazrul. Sayangnya aku kan gagak dia pulak macam merak. Jangan mimpilah dapat pikat dia.
“Bendul…” katanya perlahan.
“Encik cakap apa?” soalku.
“Petang ni sedap makan cendol.”
A’ah betullah tu. “Saya keluar dulu,” ujarku sambil atur langkah menuju pintu.
“Sayang, terima kasih untuk air ni. Makin pandai sayang buat air.” Encik Hazrul angkat muk dan tunjuk kat aku.
“Sama-sama ‘abang’.” Aku jawab.
“Aduhai… jatuh jantung abang.”

Malas nak layan. Terus saja tinggalkan dia. Karang kalau dilayan makin kuat dia merepek. Tapi memang pelik. Encik Hazrul memang tidak seperti lelaki yang berpangkat tinggi. Aku rasa dia seperti lelaki biasa-biasa saja. Lama kelamaan, memang rasa tidak kekok langsung ketika berada di sisinya. Janganlah selepas ini aku terjatuh cinta dengan dia. Memang parah kalau jatuh cinta dengan bos yang baik macam dia. Tolong sedar diri Azian Yuhanis. 

Friday, December 6, 2013

KEKASIH UNTUK DIA BAB 9

SEBELUM masuk ofis, aku ambil kesempatan untuk beramah mesra dengan pengawal keselamatan dari Myanmar itu. Bukan nak mengatal, tapi suka bersembang dengan mereka. Rasanya mereka ini lebih baik daripada Hilda.
            Selepas berbual, aku terus melangkah. Tapi tak sangka pula Encik Hazrul sudah tecegat menanti di laluan utama menghala pintu masuk. Wajahnya masam.
            “Sukalah?” katanya perlahan.
            Aku buat tak peduli. Terus jalan. Walaupun baru kenal, tapi sudah biasa dengan angin tak berapa betul dia. Jadi aku tak hairan.
            Dia pun ikut aku dari belakang menuju lif dan sama-sama berdiri menunggu lif terbuka. Ada beberapa orang pekerja menantikan lif sama. Di situ ada dua buah lif sebenarnya, tapi satu lagi sudah naik. Jadi, masing-masing tertumpu lif yang sedang turun itu.
            Masing-masing senyap. Tidak seorang pun berani menegur Encik Hazrul. Jauh sekali nak sebut selamat pagi. Melihatkan muka macam singa tu, siapalah berani tegur.
            Seorang pekerja lelaki yang berpakaian kemas tersenyum kepadaku dan aku balas. “Baru kerja ke?” tegurnya.
            “A’ah…” jawabku.
            “Bahagian mana?” soalnya lagi.
            “Ofis CEO,” jawabku.
            “Oh…”
            Aku nampak lelaki itu jeling Encik Hazrul sekali. “Saya Johan. Bahagian kewangan,”
            “Saya Azian Yuhanis.” Aku beritahu juga namaku. Orang cakap baik-baik, kenalah cakap baik juga.
            “Sedapnya nama, macam nama anak buah saya. Anak buah saya Najwa Yuhanis.” Makin ramah pulak si Johan ni. Nama anak buah pun sebut sekali.
            “Selamat berkenalan,” kata Johan lagi.
            “Selamat berkenalan,” balasku dan pintu lif terbuka. Aku masuk terlebih dahulu, barulah ke empat-empat lelaki yang menunggu lif masuk sama.
            “Sebelum ni kerja kat mana?” Si Johan tanya lagi.
            “Langkawi,” jawabku sepatah.
            “Jauh tu, macam mana boleh kerja kat sini pulak?”
            Aku senyum saja, malas nak jawab. Kemudian Johan keluar di tingkat 7 bersama dua orang pekerja lain. Tinggal aku dan Encik Hazrul saja.
            “Kalau awak berani beri nombor telefon kepada lelaki lain, siap awak,” kata Encik Hazrul sebaik sahaja pintu lif tertutup.
            Apa hal pulak dia ni nak sound aku bagai. Suka hati akulah nak bagi nombor telefon ke tidak.
            “Satu lagi, boleh tak jangan ramah sangat? Semua awak layan. Sampaikan jaga tu pun awak rajin melayan.”
            Eh, marah pulak. Macam sound kekasih dia aje.
            “Saya tegur biasa-biasa aje. Hidup kita ni mana boleh sombong dengan orang. Masa hadapan kita tak tahu apa yang bakal berlaku. Mana tahu masa saya susah mereka tolong saya. Tak rugi kalau kita berbaik-baik dengan orang lain.” Panjang lebar aku bercakap sehingga pintu lif terbuka di tingkat 11.
            Aku keluar terlebih dahulu tanpa menantikan Encik Hazrul.
            “Tapi saya tak suka cara awak yang terlebih ramah tu.”
            “Okeylah, lepas ni saya tak tegur siapa-siapa lagi.” Sudahnya aku mengalah. Malas lagi nak berlawan cakap. Entah apa-apa. Gamaknya nak suruh orang jadi sombong macam dia aje.
            Kami terus ke pejabat.  Waktu sampai ternyata pejabat pengurusan masih kosong. Aku buka lampu terlebih dahulu sebab bos besar menonong masuk bilik dia. Merajuk tak tentu pasal. Entah apa-apalah.
            Aku duduk di tempatku sambil perhatikan pintu bilik Encik Hazrul. Menantikan arahan. Tahu dia akan jerit dengan ayat, mana air saya. Tapi sampai tiga serangkai muncul, pintu bilik Encik Hazrul tetap tertutup rapat.
            “Bos sudah sampai?” soal Kak Ha.
            “Sudah,” jawabku sepatah.
            “Kenapa sejak akhir-akhir ni bos kerap sangat masuk ofis awal? Peliklah…” ujar Kak Huda pula.
            Aku kerut dahi sama. Walaupun aku baru dan masih tidak tahu bagaimana keadaan Encik Hazrul sebelum aku bekerja di sini, tetapi soalan Kak Huda itu buat aku terfikir sama. Kenapa Encik Hazrul berubah dengan mendadak? Sebab projek Bukit Cendana kah?
            “Azian, air saya mana?” soal Encik Hazrul tiba-tiba.
            Huh, ingatkan tadi nak merajuk terus. Rupanya masih jugak nak air.
            “Cepat sikit khadam!” Hilda bersuara di tempat duduknya sambil tempek bedak.
            “Apa awak cakap Hilda?” soal Encik Hazrul dengan suara yang kuat. Terkejut juga sebab aku ingatkan Encik Hazrul sudah tutup pintu.
            “Err, bos. Saya tak cakap apa-apa,” jawab Hilda. Aku nampak dengan jelas muka Hilda pucat. Dia sendiri mungkin tidak menyangka Encik Hazrul masih di situ. Selalunya lepas bertempik dia akan terus tutup pintu bilik.
            “Saya rasa saya dengar apa yang awak cakap tadi, jadi saya nak tahu apa makna khadam tu.”
            Hilda tidak bersuara selepas itu. Tahu takut.
            “Kalau Azian khadam, awak pun sama tau. Jangan sesedap mulut awak saja bercakap. Saya minta dia buatkan saya air, sebab saya tahu dia akan buat dengan ikhlas dan dia tak akan merungut macam orang lain. Saya memang tak tahan dengan awak, Hilda. Kali ni awak memang melampau. Saya akan minta orang HR tukar awak ke bahagian lain. Duduk di bahagian saya menyakitkan hati saya saja.”
            Aku terus bangun sebab aku tak mahu dengar apa-apa. Jadi biarlah Encik Hazrul uruskan hal Hilda. Di dalam pantri, sayup-sayup aku dengar suara Encik Hazrul bertempik. Angin apalah yang sedang melanda Encik Hazrul sekarang ini. Sudahlah tadi sound aku bagai. Sekarang cari pasal dengan Hilda pula. Nanti-nanti aku jugak yang kena balik dengan Hilda. Buat aku susah hati saja.
            Siap buat air, aku bawa muk keluar. Encik Hazrul sudah tidak kelihatan, tapi muka Hilda merah serupa buah strawberry. Nampak cantik, tapi masam.
            Aku ketuk terlebih dahulu pintu dan tolak perlahan selepas itu. Atur langkah perlahan ke meja Encik Hazrul. Encik Hazrul pamer muka masam. Takut juga nak pandang. “Sudah tahu pagi-pagi saya nak air, tak reti nak tolong buatkan. Nak jerit-jerit mintak baru nak buatkan?” soalnya dengan suara mendatar. Bunyi macam perli saja. Ya, salah aku juga. Macam tak biasa.
            Aku letak muk di hadapannya. Tanpa membalas kata-katanya aku atur langkah ke pintu semula.
            “Azian.” Dia panggil aku. Langkah terhenti dan aku toleh pandang dia.
            “Awak memang khadam,” katanya selepas itu.
            “Ya, saya tahu,” jawabku dengan serendah hati.
            “Tapi awak khadam yang bertempat di hati saya,” kata Encik Hazrul lagi. Dia pandang aku dengan pandangan yang aku sendiri tidak faham. Masam tadi sudah tidak kelihatan.
            “Encik juga tuan buat saya, tuan yang bertempat di hati saya.” Aku jawab juga.
            “Apa dia, saya tak dengar.” Ada segaris senyuman di bibir Encik Hazrul. Tahulah aku angin badannya sudah ke tempat lain.
            “Ada sorang tu, angin tak tentu pasal pagi ni.” Aku perli.
            “Mana tak angin, kalau pak guard pun dia layan.”
            “Suka hatilah, kita single lagi.” Aku jawab dengan selamba.
            “Ya single, but not available.”
            Apa-apa ajelah. Kalau dah okey tu mulalah nak kenakan aku. Aku terus tinggalkan Encik Hazrul. Ketika melintasi meja Hilda, aku lihat muka Hilda masih macam strawberry. Lantak dialah. Siapa suruh cakap yang bukan-bukan.
            “Berapa bos upah kau jadi kuli dia hah?” Hilda tanya. Tak sudah lagi rupanya.
            “Hilda, sudah tu. Awak jugak yang cari pasal. Azian tak buat apa apa pun. Yang musuh sangat dengan Azian kenapa? Dalam hal ni akak tetap salahkan Hilda. Hilda yang cari pasal,” kata Kak Ha.
            “Saya tak puas hati kak…”
            “Sudah, kalau tak suka, atau tak puas hati, tak payah cakap apa-apa. Diam aje. Betul cakap bos tadi. Kita semua kuli kat sini. Tak ada lebih tak ada kurang. Kalau Hilda tak suka Azian sebab Azian tak sama taraf Hilda, Hilda boleh minta tukar bahagian lain. Boleh minta bahagian promosi. Sana semuanya glamour belaka,” kata Kak Ha lagi.
            “Apa hal pulak saya nak pergi sana.”
            “Kalau tak nak pergi mana-mana jaga perangai sikit. Bos dah keluarkan amaran.” Kak Huda menyampuk.
            “Perempuan ni yang salah. Kalau tak disebabkan dia, saya tak kena marah.”
            “Sudahlah tu. Azian tak salah apa, Hilda aje yang suka cari pasal. Sudah, buat aje kerja.” Kak Ha mengakhiri acara lawan cakap pagi itu sebab Hilda langsung tidak bercakap apa-apa. Tapi aku tahu Hilda masih tidak berpuas hati dengan aku. Tak apalah. Hendak diapakan lagi.
Dalam pukul 11.00 lebih kurang, Encik Hazrul keluar dari biliknya. Waktu melintasi mejaku dia angkat kening dan senyum. Uiks, apa hal pulak dia ni. Cantik saja senyuman dia. Lepas tu dia terus jalan. Mungkin ada urusan di luar.
            Berlalu beberapa ketika telefon bimbitku berbunyi. Encik Hazrul?
            “Helo sayang, abang kena kerja kat luar ni. Tengah hari nanti makan dengan abang ya,” kata Encik Hazrul terus tanpa sempat aku nak bagi salam.
            “Buang tebiat ke?” soalku. Aku dengar Encik Hazrul gelak selepas itu.
            “Okey sayang, abang call nanti.”

            Suara dia hilang selepas itu. Aku pegang dahi. Pening, pening.