Wednesday, November 27, 2013

KEKASIH UNTUK DIA BAB 7

PELIK. Tak nampak pulak dia hari ni. Ingatkan dia masuk kerja pukul 11.00 tapi sehingga waktu rehat dia masih tidak muncul-muncul. Memanglah ada rasa bebas tapi rasa macam terkurang saja. Rasa macam tak lengkap saja hari ni. Aduhai perasaan, kenapa lain aje ni? Sebelum-sebelum ini tak pula rasa apa-apa. Selalunya memang harap tak nampak muka dia, tapi bila betul-betul tak nampak, lain pulak jadinya.
            Rindu dia ke? Ah! Gila kalau rindu dia.
            Aku bawa bekas makanan ke pantri. Pagi tadi sempat masa nasi dan sambal tumis ikan bilis. Bolehlah untuk kenyangkan perut.  
            Isi air masak dalam muk yang Encik Hazrul beri dan bawa ke meja. Lepas baca doa makan, aku jamah nasi. Ya, kalau susah buat cara susah. Apa-apa pun, hidup perlu diteruskan. Jangan ada rungutan, kalau aku rasa aku susah, ada yang lebih susah dari aku. Pasrah.
            Tiba-tiba aku tersedak. Siapa pulak yang mengutuk aku ni. Cepat aku minum air dan selepas itu aku terbatuk menahan perit kerongkong. Terasa seperti ada orang tepuk belakang. Cepat aku toleh.
            “Encik...?” soalku. Terkejut juga melihat dia. Tiba-tiba saja muncul sedangkan sudah separuh hari orang menunggu dia. Dan aku terpandang mata dia seperti merah sahaja. Dia menangis ke? Kalau betul dia menangis, apa sebabnya? Ah! Banyak tanya pulak.
            “Hmm, makan tak toleh kiri kanan,” katanya lalu duduk di hadapanku. Sebuah plastik warna hitam dia letak atas meja.
            “Encik dah makan ke?” soalku. Sekilas pandang dia lagi. Memang mata dia merah.
            “Sudah. Saya jumpa kawan tadi. Terus makan tengah hari.”
            Aku angguk dan sambung makan tanpa pedulikan dia. Dia juga diam. Walau aku perasan dia tidak perhatikan aku, tetapi rasanya sesekali perhatiannya tercuri ke arahku. Aku angkat muka dan pandang dia.
            Yalah, dia menangis sebenarnya. “Encik okey?” soalku. Mana tahu ada masalah kerja atau dia kena marah sebab itu merajuk tak nak masuk kerja. Anak orang kaya memang begitu selalunya.
            “Masalah kerja saja…” jawabnya perlahan dan suaranya seakan tersekat.
            “Biasalah encik. Mana ada kerja senang…” Cuba pujuk dia, walau aku bukanlah berbakat dalam bab pujuk orang. Aku nampak air matanya bergenang dan rasanya dia memang teruk kena marah.
            Dia tak jawab. Mungkin sedang pujuk perasaan sendiri. Sehingga aku selesai makan, dia masih begitu. Tak banyak songeh pulak dia hari ni.
            “Oh, ya. Ini untuk awak.” Dia tolak plastik hitam depanku waktu aku minum air. Cepat aku letak semula muk atas meja. Cuba lihat apa yang ada di dalam beg plastik tersebut.
            “Buah janggus?” Terjerit aku jadinya. “Mana encik dapat buah ni?” soalku. Memang terkejut bila nampak buah janggus di dalam plastik tersebut. Yang aku idamkan tiba-tiba ada di hadapan mata.
            “Hmm, bos awak yang tercabut skru tu suruh orang carikan buah ni.”
            Aku gelak. Oh, rupanya memang dia dengarlah aku kutuk dia hari tu. Kalau tidak tak kan dia suruh orang carikan buah janggus ni. “Encik la, suka sangat dera saya. Suka sangat marah saya. Kalau tak suka saya, tak apalah. Tapi janganlah buat saya macam tu. Saya ni anak yatim piatu. Berdosa besar kalau encik dera anak yatim piatu.”
            “Siapa kata saya tak suka awak?” Nampak dia lap sisa-sisa air mata.
            “Yalah…suka sangat marah saya.”
            “Kalau saya tak tinggikan suara, awak tak bergerak. Buat bodoh awak aje…” Dia bangun selepas itu dan bergerak perlahan.
            “Encik…” Aku panggil masa Encik Hazrul sampai pintu pantri. Dia pusing badan dan mata kami bertemu. “Terima kasih…” Aku angkat plastik dan tunjuk kepada dia.
            “Jangan setakat benda tu, hati gajah pun saya sanggup suruh orang lapah…”
            “Apa encik, macam perli aje.”
            “Saya sayang awak dengan sepenuh hati saya…” katanya dengan wajah serius.
            “Oh ya? Takutnya…” Aku gelak. Pandailah dia buat lawak. Kemudian aku lihat Encik Hazrul terus melangkah. Nampak langkahnya lemah dan kosong. Kesiannya dia. Mesti dia ada masalah besar yang susah untuk diselesaikan.
            Aku basuh bekas makanan dan letak atas rak. Balik karang aku boleh ambik. Tapi beg plastik berisi buah janggus tak boleh tinggal kat situ. Nanti ada yang mintak. Bukan senang nak dapat buah janggus. Jadi aku bawa beg plastik ke tempatku dan simpan dalam laci.
            Encik Hazrul keluar dari biliknya masa aku nak letak kepala atas meja. Ingat nak rehat sekejap sementara menantikan waktu kerja bermula. “Encik nak air?” soalku.
            Dia geleng. “Awak rehat ajelah…” katanya dengan suara yang agak perlahan. Kemudian dia ke pantri. Aku sambung letak kepala atas meja. Entah apalah yang dia buat kat pantri tu. Biar dialah.
            Suasana kembali senyap dan Encik Hazrul masih tidak muncul-muncul lagi. Tidak berapa lama selepas itu suara riuh rendah dari tiga serangkai itu bergema. Mesti ada yang menjadi bahan ketawa mereka.
            Aku angkat kepala dan pandang mereka sambil kemas rambut.
            “Yan tak makan?” soal Kak Ha sebaik duduk.
            “Dia mana ada duit kak. Sengkek macam dia ni mana mampu makan kat D’ Selera.” Hilda ketawa. Ketawanya tentu saja bernada sinis. Sabar Azian. Jangan terasa kerana kata-kata orang.
            “Saya dah makan kak, saya bawa bekal aje,” jawabku perlahan dan perhatikan Encik Hazrul yang bergerak keluar dari pantri.
            “Itulah, lain kali kalau tak mampu kerja di sini, kau janganlah kerja kat sini. Kau tahu tak, dengan status kau yang ala-ala orang susah ni dah menjatuhkan status pejabat pengurusan. Kau minta sajalah unit cleaner ke. Memalukan tau tak kalau orang lain tahu ada pekerja sengkek kerja kat bahagian pengurusan. Banyak-banyak bahagian, kenapalah HR hantar manusia macam kau ni kat sini,” kata Hilda lagi.
            “Apa awak cakap Hilda?” soal Encik Hazrul dengan tiba-tiba. Suaranya seperti orang marah saja.
            “Err…encik. Saya tak cakap apa-apa.” Aku nampak muka Hilda berubah pucat.
            “Saya dengar tadi awak cakap pekerja sengkek? Siapa pekerja sengkek tu?” soal Encik Hazrul lagi. Dia bercekak pinggang pula. Mata tajam pandang Hilda. Serius, aku takut melihat keadaan Encik Hazrul begitu. Sudahlah Encik Hazrul itu seperti ada masalah dalaman saja. Hilda pula menaikkan kemarahan dia. Jadi memang aku rasa Hilda bakal menjadi mangsa Encik Hazrul.
            Hilda nampak serba salah untuk jawab.
            “Apa masalah awak sebenarnya ni? Kalau saya sendiri tak cakap apa-apa pun tentang taraf pekerja bawahan saya, apa hak awak nak cakap pekerja saya macam tu? Awak ke pemilik Menara Holding ni?” Kali ini suara Encik Hazrul tambah keras.
            “Saya minta maaf encik,” kata Hilda.
            “Awak tak perlu minta maaf dari saya, orang yang awak kena minta maaf ialah Azian. Awak sudah menghina dia. Awak minta maaf  sekarang jugak!” pekik Encik Hazrul.
            “Encik, saya okey. Saya tak kisah.” Aku menyampuk.
            “Awak diam Azian. Perangai awak memang macam ni. Orang buat apa pun awak biarkan saja. Orang pijak-pijak pun awak masih diamkan. Hati saya yang sakit tau tak.” Encik Hazrul marah aku pula. Tak berani aku nak menjawab.
            “Awak minta maaf sekarang!” jerit Encik Hazrul.
            “Azian, saya minta maaf,” kata Hilda.
            “Ya, saya maafkan,” jawabku perlahan. Benar-benar tidak sangka begitu rupanya perangai Encik Hazrul.
            “Sekali lagi saya dengar awak cakap yang bukan-bukan, saya akan ambil tindakan tegas. Ini amaran pertama daripada saya.” Habis saja bercakap, Encik Hazrul terus atur langkah laju ke biliknya. Pintu dihempas sekuatnya selepas itu. Benar-benar buat aku terkejut.
            “Bila bos sampai?” soal Kak Ha.
            “Baru lagi,” jawabku.
            “Eh, kau ni bawak sial apa hah? Setiap kali aku kena marah, pasti pasal kau. Kau ni memang siallah!” marah Hilda.
            “Hilda, tak baik cakap macam tu…” kata Kak Ha.
            “Memang betul apa. Dah berapa kali saya kena marah disebabkan perempuan ni.” Hilda hentak kaki dan dia bawa diri ke pantri.
            “Yan jangan terasa ya. Dia memang perangai macam tu,” kata Kak Huda pula seperti hendak pujuk aku. Kemudian dia mengekori Hilda. Mungkin mahu pujuk Hilda.
            “Yan kena sabar. Memang tak semua orang akan suka kita dan kita pun kadang-kadang tak suka dengan orang. Jadi akak harap sangat Yan sabar. Jangan disebabkan perkara macam ni Yan nak berhenti kerja. Anggap sebagai dugaan saja.” Kak Ha juga bangun. Dia turut sama ke pantri.
            Tinggallah aku sendirian. Sebenarnya aku juga perlukan pujukan dari teman-teman. Aku juga mangsa dalam hal ni, tapi nampaknya Kak Ha dan Kak Huda lebih memberi perhatian terhadap Hilda. Tak apalah. Anggap saja aku orang asing. Tiba-tiba air mata menitik. Selalunya aku boleh tahan, tapi kali ni memang benar-benar terasa diri aku ini memang pembawa malang. Bukan mak ngah saja yang sebut sekarang Hilda pula.
            Encik Hazrul keluar dari biliknya. Cepat aku lap air mata. “Kenapa menangis ni?” soalnya.
            “Taklah, mata masuk habuk,” jawabku.
            “Habuk? Ingat saya ni bodoh sangat ke?” soalnya dengan nada sedikit keras. Marah lagi rupanya.
            “Ya habuk.” Aku cuba senyum.
            “Jangan senyum kalau tak nak senyum.” Marahnya lagi. Masa itulah aku nampak Kak Ha dan Kak Huda berlari anak dari pantri.
            “Ikut saya sekarang,” arahnya.
            “Ke mana?” soalku.
            “Janganlah tanya!” pekiknya.
            Aku bangun. Akur dengan arahan. Nampak seperti Encik Hazrul tidak boleh mengawal perasaannya.
            “Bawa beg tangan awak dan barang yang saya beri kat awak tadi. Kita tak balik ofis hari ni,” kataya dengan tegas.
            Aku keluarkan beg tangan dan beg plastik. “Kejap nak ambil bekas makanan saya,” ujarku dan berlari anak ke pantri. Di pantri Hilda masih teresak.
            “Kau nak apa lagi hah, sial?” soal Hilda.
            Menyirap darah. “Beginikah cara seorang yang kononnya berpelajaran tinggi dan high class? Serupa macam tak pernah pergi sekolah saja…” Aku perli. Kemudian ambil bekas makanan.
            “Eh sial, apa kau cakap?”
            “Saya tanya, macam ini ke orang yang berpelajaran tinggi dan dari golongan bercitarasa tinggi bercakap?” Aku tanya lagi dan senyum sinis.
            Nampak kemarahan Hilda sudah ke tahap yang tidak boleh dikawal lagi. Tidak semena-mena dia tarik bajuku.
            “Apa kau cakap?’ soal Hilda kasar.
            “Apa lagi ni…” Encik Hazrul menjerit di muka pintu pantri. Cepat Hilda lepaskan bajuku.
            “Dia cari pasal dengan saya encik. Dia ugut saya tadi…” kata Hilda.
            Aku kerut dahi. Pandainya Hilda main drama.
            “Awak ikut saya sekarang!” Encik Hazrul menjerit lagi. Jadi aku ikut Encik Hazrul tanpa pedulikan Hilda lagi.

DI DALAM kereta Encik Hazrul membisu seribu bahasa. Sebenarnya aku sendiri takut melihat keadaan dia begitu. Memang tidak menyangka dia akan bertindak sedemikian rupa. Apa agaknya masalah dia yang sebenarnya.
            “Encik, kalau encik ada masalah, encik kongsikanlah dengan saya. Insya Allah, kalau tak mampu bantu encik mungkin saya akan menjadi pendengar yang setia. Saya sudi mendengar masalah encik.” Aku beranikan diri untuk bersuara. Tidak mahu terus-terusan dengan suasana senyap dan sunyi. Bosan dan menakutkan.
            “Saya sudah jatuh cinta sebenarnya…”
            “Oh…” Aku angguk. Masalah cinta rupanya. Ingatkan masalah kerja. Padanlah gilanya semacam. Orang kata kalau disebabkan cinta, memang begitulah keadaannya.
            “Habis tu? Keluarga encik menentang pilihan encik?” Disebabkan pengaruh sinetron, mudah saja aku membaca jalan cerita cinta Encik Hazrul.
            “Hmm…”
            “Kalau encik dah suka, bawak lari ajelah kekasih encik tu, habis cerita. Kata jatuh cinta, encik ingat senang ke nak jatuh cinta.”
            “Awak mengajar saya jadi jahat ke?”
            “Eh, kata tadi cinta. Sebab cinta orang akan buat apa saja. Encik lupa ke, cinta itu kan buta…” Melihatkan muram yang sudah mula susut di wajah Encik Hazrul, buat aku rasa selesa pula hendak bergurau dengan dia.
            “Memang pun saya sudah bersedia nak bawak dia lari. Masalahnya sekarang ni, nak ke dia lari dengan saya.”
            “Gila tak nak!” Aku pandang tepat wajah Encik Hazrul. “Kalaulah saya jadi gadis tu, kejap ini jugak saya lari dengan encik.” Tak, aku buat lawak saja. Nak sedapkan hati Encik Hazrul. Nak beri dia semangat larikan anak dara orang.
            “Ya…? Serius awak nak ikut kalau awak gadis yang saya cintai tu?”
            “Mestilah nak.”
            Aku nampak bibir Encik Hazrul mengukir senyuman. Nampak benar dia suka. Siapalah gadis yang hendak dia bawa lari itu. Betapa bertuahnya dia. Aku tahu sebenarnya Encik Hazrul ini luaran saja garang, tapi dalam  hati dia ada taman. Taman yang sangat luas. Kalau tidak masakan dia sanggup suruh orang carikan aku buah janggus.
            “Err, encik nak pergi mana ni?” soalku setelah agak jauh Encik Hazrul memandu.
            “Eh, tadi kata nak lari dengan saya. Boleh tanya pulak.”
            “Pandainya encik buat lawak.”
            “Buat lawak apa pulak, saya serius ni.”
            “Dahlah encik. Encik nak ke mana sebenarnya ni?”
            Encik Hazrul mengeluh. “Hari ni saya nak relak. Saya tak nak kerja dan saya mahu merancang masa depan saya. Jadi tolong teman saya.”
            “Habis tu kita nak ke mana?”
            “Perpustakaan.”
            “Perpustakaan? Perpustakan kan tempat orang baca buku.”
            “Sayang, perpustakaan memang tempat orang baca buku. Yang beli ikan tu namanya pasar.”
            Adoi, terkena lagi. “Okeylah. Tak kisah nak pergi mana, tapi lepas tu encik hantar saya ke perhentian bas.”
“Nanti saya hantar awak pulang.”
“Untuk mengelakkan fitnah, saya rasa baiklah encik jangan hantar saya. Itupun kalau encik masih lagi fikirkan tentang maruah saya.”
Tiada jawapan daripada Encik Hazrul dan aku rasa dia faham. Dia terus memandu dan nampak lebih tenang.
“Err, pasal rancangan nak lari dengan saya tu macam mana?” soalnya tiba-tiba.
Aku tampar bahu dia sekali. “Encik boleh tak jangan merepek. Meraung karang kekasih encik.”
Encik Hazrul gelak perlahan. “Tengok gaya macam tak meraung pun…”

Malas aku nak layan. Entah apa-apa dia ni. 

Friday, November 22, 2013

KEKASIH UNTUK DIA BAB 6

MAKAN besar aku tengah hari ini. Nak sampai sini juga hampir setengah jam dari ofis. Rupanya inilah restoren kegemaran Encik Hazrul seperti kata Kak Ha dan Kak Huda. Memang kelaslah bos sorang ni.
            Kami ikut tol Subang, masuk lebuh raya Utara Selatan dan keluar semula susur Hospital Sungai Buluh. Tempoh dua lampu isyarat dan melalui jalan menuju Kepong dan akhirnya sampai ke restoren ala Thai yang tersergam cantik mengikut ciri-ciri restoren belah sana.
            Kalau ikutkan memang jauhlah dari Menara Holding, tapi nak diapakan lagi sebab Encik Hazrul sendiri yang buat pilihan.
            “Makanlah…” kata Encik Hazrul bila aku terpandang lauk yang terhidang. Serupa empat orang makan saja.
            “Setiap kali makan tengah hari encik akan makan di sini?” soalku ingin tahu. Dari dalam kereta tadi sudah mahu tanya, tapi aku lupa.
            “Tak jugak. Tapi keraplah saya makan di sini. Selebihnya saya balik rumah.”
            “Isteri masak?” cepat aku tanya.
            Dia senyum sambil sendukkan kuah tom yam ke mangkuk kecil. “Inilah orang kata soalan kura-kura dalam perahu. Tahukan saya ni teruna paling glamour kat Menara Holding tu, masih lagi tanya isteri masak. Awak memang nak sakitkan hati saya?” soal Encik Hazrul. Rasa pelik pulak dengan suara Encik Hazrul. Tak serupa langsung dengan Encik Hazrul sebelum ini. Mati-mati ingat dia ni ada sawan senyum, rupanya tidak. Masih boleh senyum rupanya dan aku lihat gayanya lebih santai. Satu lagi, serius cakap, senyuman dia agak manis.
            “Mana tahu isteri simpanan ke, encik tak nak orang lain tahu encik sudah ada isteri.”
            “Kepala tu jangan ala-ala sinetron sangatlah. Tak payah nak serabut pasal saya ada isteri simpanan ke, isteri tak simpanan ke. Saya masih bujang dan dengan bangganya saya nak umumkan, saya masih anak teruna seratus peratus. Dengan erti kata lain, saya belum ternoda.”
            Rasa panas kulit muka dengar pengumuman dia. Tak menahan langsung. Boleh lagi beritahu dia masih anak teruna seratus peratus. Kalau aku tahu, aku bakal dengar pengumuman dia macam tu, sumpah tak ingin aku temankan dia makan.
            “Kenapa tak jawab? Tak percaya saya masih teruna?” soalnya, macam paksa aku jawab.
            “Percaya, percaya,” jawabku cepat. Nanti merepek lebih jauh, lagi tebal pulak kulit muka aku, contohnya dia tanya nak test ke teruna dia. Memang parah kalau sudah soalan tu keluar. Tengok gaya sengal dia, mahu aje soalan tu terkeluar.
            “Kalau percaya, tolong habiskan makanan ni…”
            Tanpa mahu membuang masa, aku terus baca doa makan. Kemudian mula jamah.
            “Kalau makan tengah hari saya tak suka makanan yang berlemak. Contohnya masak lemak ke, kari ke. Saya suka makanan jenis rebus dan kukus.”
            Aku dengarkan Encik Hazrul bercakap. Tertanya juga, perlu ke dia beritahu aku semua tu?
            “Untuk makan malam, saya suka jenis yang ringkas sahaja. Contohnya makaroni bakar atau spegetti.” 
            Tengkorak dia ringkas. Tulah masakan yang susah nak masak. “Malanglah siapa yang jadi isteri encik…” Terlepas jugak cakap.
            “Apa pulak, tak kan itupun awak tak tahu masak?”
            “Hmm, saya kan. Kalau boleh nak suami yang suka masakan kampung. Yang sama selera dengan saya. Yang suka makan kari, yang suka masakan berlemak. Yang suka sambal belacan. Jadi, tak perlulah saya pening kepala nak jaga selera dia. Satu lagi, paling bertuah kalau dapat suami tak tercerewet. Contohnya…yang, gorengkan abang telur aje. Serius saya cakap, kalau ada lelaki jenis macam ni saya sanggup kahwin free  dengan dia. Tak payah berhantaran bagai. Sah, sah senang jaga.”
            Tiba-tiba Encik Hazrul letak sudu dan garfu dalam pinggan dengan cara agak kasar. Kemudian dia menyandar. Eh, angin pulak. “Serius saya cakap ni…” kataku lagi tanpa mahu ambil tahu apa yang sedang menimpa perasaan Encik Hazrul. Tapi aku perasan muka dia memang berubah sedikit. Masam.
            “Mungkin itulah lelaki tahap saya. Lelaki yang sesuai untuk hidup dengan saya adalah lelaki biasa-biasa saja. Tak kaya dan tak mewah.” Jujur lagi. 
            “Kalau ada lelaki kaya nak awak?”
            Aku geleng. “Tak akan ada sebab citarasa lelaki kaya sangat tinggi. Mesti mereka pandang yang cantik-cantik, yang seksi-seksi. Kalau bukan model atau artis, rasanya susah sikit.”  Aku sumbat ikan kerapu kukus. Begini rupanya selera Encik Hazrul. Memang tak kena dengan selera aku. Kalau aku, aku lebih suka masak masam manis.
            “Saya cakap kalau ada.” Tinggi sikit nada suara Encik Hazrul. Macam paksa aku suka orang kaya pula.
            “Susahlah encik, selera tak sama. Tengoklah macam selera encik. Mesti orang kaya lain selera sama macam encik. Jujurnya saya memang tak suka makanan untuk tengah hari ni. Saya tak suka ikan masak kukus sebab rasa macam hanyir. Saya suka masak masam manis sebab rasa hanyir ikan tak terasa sangat.” Berterus terang itu menyakitkan sebelah pihak, tapi lebih baik dari terus berpura-pura.
            “Ramai yang cakap sarapan itu penting, tapi bagi saya makan tengah hari tu lebih penting dari sarapan. Kalau saya ada duit yang cukup, perkara yang saya utamakan ialah makanan tengah hari. Encik dah rasa maggi goreng saya bukan. Sangat ringkas, tapi berkhasiat. Ada sayur, ada fish cake, ada hirisan telur. Lengkap sebagai hidangan tengah hari.” Puji diri sendiri sekejap. Rasanya tak salah, sebab semuanya aku lakukan dengan bersungguh hati.
            Encik Hazrul terus-terusan berdiam diri. Terasa ke dengan kata-kataku? Baguslah kalau dia terasa sebab aku cakap benda yang betul. “Encik, kenapa tak makan? Kata semua ni makanan kesukaan encik.” Aku tegur bila tengok dia semacam.
            “Dah hilang selera makan saya,” jawabnya perlahan.
            “Janganlah macam tu, saya tak mampu nak habiskan semua ni.”
            Hmm, nak merajuk, merajuklah. Sikit tak hiran. Bukan masalah aku pun kalau dia nak merajuk ke apa ke. Suka hati dialah.

SUDAH lewat empat puluh lima minit. Habislah kena marah dengan Hilda nanti. “Maaf semua, saya terlewat. Kawan belanja makan tadi,” ujarku sambil tahan perasaan.
            “Baru berapa hari masuk kerja dah tunjuk perangai? Macam ni nak jadi pekerja tetap?” marah Hilda. Aku dah agak. Perempuan ni sah tak menang mulut sembur aku. Anti betul dia dengan aku.
            “Hilda, kalau pun nak marah, janganlah tinggikan suara,” tegur Kak Ha.
            “Melampau sangat kak. Empat puluh lima minit dia curi tulang. Nasib baik bos tak masuk lagi.”
            Bukan bos tak masuk lagi. Aku yang suruh bos masuk lambat sebab aku tak nak masuk ofis dengan dia. Nanti rakan lain syak yang bukan-bukan. Tak naklah dituduh ada skandal dengan Encik Hazrul. Skandal dengan Encik Hazrul? Wah, bunyi macam gah saja.
            “Tak apalah. Dia tak tahu lagi tu. Azian, lain kali jangan buat lagi tau. Kalau boleh jangan makan tempat yang jauh-jauh. Bukan apa, Azian masih dalam perhatian. Kenalah tunjuk sikap yang baik.” Kak Huda pula beri nasihat. Berbeza betul cara orang beri nasihat guna akal dengan orang yang guna kepala lutut.
            “Baik kak…” Aku jawab lembut tanda orang salah dan kembali ke tempat duduk.
            “Apa hal ni?” soal Encik Hazrul. Tak tahu pulak dia dah tercegat kat belakang.
            “Ni budak baru ni. Dah lewat empat puluh lima minit,” adu Hilda.
            “Dia lewat empat puluh lima minit awak kira, yang awak tu lewat berjam-jam tak pernah kira? Ingat saya tak tahu kalau saya tak masuk ofis macam mana perangai masing-masing?” soal Encik Hazrul.
            Fuh! Lebih teruk dari aku rupanya. Aku tengok muka Hilda sudah semacam. Sah, malu tak terkira.
            “Apsal awak lambat?” soal Encik Hazrul kepadaku.
            “Kawan ajak makan,” jawabku sambil pandang muka dia.
            “Kawan atau bakal suami?” soal Encik Hazrul sambil atur langkah menuju biliknya.
            Memandailah bakal suami. Kalau tak main paksa tadi, tak ingin aku nak makan dengan dia. Banyak cakap pulak!
            “Ya? Azian dah ada calon bakal suami? Tahniah. Diam-diam aje dia.” Kak Ha usik selepas Encik Hazrul masuk ke dalam biliknya. Ini yang aku malas. Tak pasal-pasal kena usik.
            “Tak adalah kak…” Aku cuba menafikannnya.
            “Mestilah ada. Kalau tidak tak kan nak ajak makan kat luar. Ingat lelaki senang nak ajak perempuan makan kalau tak suka?” Kak Huda pula menyampuk.
            Adoilah, free aje kena gossip. Tak kan aku nak cakap bos ajak aku makan tengah hari kat restoren kegemaran dia sebab sudah habiskan makanan aku? Mana boleh bocor rahsia. Nanti macam-macam versi pulak aku dengar.
            “Biasa aje kak…”
            “Akak tengok Azian ni macam gadis yang terlalu lurus. Tengoklah, bos marah pun macam tak ada perasaan saja. Jadi akak rasa Azian pun susah nak faham perasaan lelaki,” kata Kak Ha.
            Memang aku tak pernah faham perasaan lelaki. Bukan lelaki saja bahkan semua orang. Perasaan itu bukankah bersifat dalaman. Mana boleh kita membaca perasaan orang dengan mudah. Dari membuat andaian yang bukan-bukan, rasanya lebih baik tidak faham langsung.
            “Memang dia ni tak ada perasaan kak. Bos tak suka dengan dia pun macam relak saja. Macam tak tahu apa-apa.”  Hilda menyampuk.
            Betulkah Encik Hazrul tak sukakan aku? Terasa juga. Padanlah aku saja yang dia buli.
            “Encik Hazrul tu semua orang dia tak suka. Macam tak tahu…” Encik Suffian menyampuk di hujung sana.
            “Tapi dengan perempuan ni terlebih dia meluat,” kata Hilda.
            Kasarnya  bahasa Hilda. Ada saja yang tidak kena. Macamlah aku sudah buat salah besar dengannya. Kita perlukan sebab untuk membenci seseorang, tapi aku tidak tahu apa sebabnya Hilda begitu tidak sukakan aku. Nak kata aku cantik, menipu sangatlah. Dia sebatu lebih cantik berbanding aku.
            “Air saya mana?” Tiba-tiba Encik Hazrul menjerit di muka pintu bilik. Terkejut aku dibuatnya. Apa hal lah bos sorang ni. Aku baru nak puji, dah baut perangai balik. Tadi masa makan bukan mainlah romantis. Masuk ofis dah menurun semula.
            “Tak apa Azian, nanti Kak Ha buatkan. Dia tengah mengamuk tu,” kata Kak Ha. Walau Kak Ha yang bakal buat air, aku bangun juga. Ada sesuatu yang ingin aku tanyakan kepada Kak Ha.
            “Kak, kenapa Hilda macam tak suka saya?” soalku ketika Kak Ha kalut buat air.
            “Oh, dia memang macam tu sikit. Dia harapkan yang bertugas di pejabat kita tu semua orang kelas-kelas. Maklum kita semua macam tulang belakang syarikat. Mungkin dia tengok Azian macam biasa-biasa saja. Itu yang dia tidak puas hati. Tapi Azian jangan pedulikan sangatlah dia tu. Perangai dia memang macam tu. Lama nanti, okeylah dia.”
            Penjelasan Kak Ha buat aku sedar akan sesuatu. Kadang-kadang memang susah untuk memahami seseorang dan sifat manusia itu memang berbeza. Kalau disebabkan aku ala-ala kadar saja membuatkan Hilda meluat, aku reda.
            “Tak apalah kak, nak buat macam mana kan…” ujarku perlahan.
            “Sabarlah Azian. Perangai manusia memang begitu…”
            Aku senyum tawar dan kembali ke tempat dudukku. Kemudian perhatikan saja Kak Ha masuk bilik Encik Hazrul. Sebenarnya terasa juga sebab tak dapat buatkan air untuk Encik Hazrul, tapi bagus juga Kak Ha tolong buatkan. Jadinya kuranglah meluat Encik Hazrul tengok muka aku.

            Tiba-tiba saja mata pandang Hilda. Dan kini aku faham. Tak apalah…

Sunday, November 17, 2013

KEKASIH UNTUK DIA BAB 5

Minggu baru. Hari baru. Semoga hari ini baik-baik saja. Ceria-ceria saja. Tak nak susah hati, tak nak sakit hati. Sakit hati? Baru sebut tak nak sakit hati, aku sudah nampak kereta mewah Encik Hazrul memasuki kawasan syarikat. Maknanya awal lagi dia hari ni. Wah, buang tebiat sungguh dia ni. Anak Tan Sri dan bertugas sebagai Chief Executive Officer, boleh jadi pekerja paling awal datang. Memang karut dan serupa kartun saja. Tapi biarlah dia, yang aku sibuk kenapa pulak?
            Aku tak akan masuk pejabat awal. Rela lepak dengan geng guard tak faham bahasa dari main acara tenung-tenung dengan lelaki tu. Nasiblah.
            “Azian Yuhanis!”
            Aduhai…Aku baru nak kenakan jaga Myanmar ni, sudah dipanggil. Memang kacau daun betullah. Aku pusing badan dan nampak Encik Hazrul berdiri tegak tidak jauh dari tempat aku berdiri. “Ya,” jawabku sepatah.
            “Masuk ofis sekarang!” katanya dengan suara tegas.
            “Baru lapan setengah. Awal lagi.” Menjawab jugak tu.
            “Sekarang!” Dia separuh menjerit.
            “Encik masuklah dulu. Saya nak berborak kejap.” Aku tidak pedulikan dia.
            “Faham bahasa ke tidak?” soalnya dengan suara yang lebih lantang. Beberapa pekerja yang baru sampai pandang kami dengan pandangan pelik. Mungkin nampak kami serupa suami isteri sedang bertekak sahaja.
            Aku buat tak tahu juga.
            “Saya kira sampai tiga. Kalau awak tak naik, siap awak. Satu!” Encik Hazrul mulakan kiraan.
            Ini yang aku menyampah sangat. Punyalah ramai manusia yang bekerja di Menara Holding ini, aku jugaklah manusia yang dia suka buli. Serius, memang skru kepala dia sudah tercabut.
            “Dua!” Dia sambung kiraan.
            “Okey, saya masuk sekarang.” Sudahnya aku mengalah. Geramnya.
            “Puas hati?” Aku jeling dia sekali.
            Lelaki berwajah masam itu atur langkah mendahului aku dan aku ekori dia dari belakang. Masa nak sampai pintu masuk bangunan utama aku nampak, pantas saja tangan Encik hazrul petik bunga raya berwarna putih yang ditanam di dalam pasu berhampiran tiang. Oh, inilah pokok bunga raya yang menjadi mangsa Encik Hazrul setiap hari. Nasib baiklah pokok bunga raya, buatnya pokok bunga kobis macam manalah agaknya.
            Kami ke lobi syarikat dan menuju lif. Tidak ramai yang menunggu lif memandangkan masih terlalu awal. Yang aku perasan sangat, beberapa pekerja pandang Encik Hazrul dengan pandangan pelik. Mana tak pelik, bos datang awal.
            Bila aku rasa Encik Hazrul tidak memberi perhatian terhadapku, aku mengundur perlahan demi perlahan ke belakang dan akhirnya aku sembunyikan diri di sebalik meja penyambut tetamu yang terdapat di ruang lobi. Malas nak naik lif dengan orang tu.
            Aku diam sekejap. Pasti Encik Hazrul sudah masuk lif. Lega rasa. Masa aku aku bangun, rasa nak luruh jantung bila nampak Encik Hazrul sudah tercegat di sebalik meja.
            “Apa kes ni?” soalnya.
            Serius aku tak tahu nak jawab apa. Rasa macam budak bodoh sangat. Lebih rasa bodoh bila aku nampak bibir Encik Hazrul sudah mengukir senyuman. Tu memang sah-sah senyum kutuk aku. Aduhai, apsal aku boleh buat perangai macam ni.
            Walau rasa macam-macam, aku tetap bergerak menuju lif semula. “Nak saya pegang ke?” soalnya.
            “Pegang?” soalku. Blur, tak faham.
            “Yalah, mana tahu nak lari-lari lagi.”
            Ya ampun, mana aku nak sorok muka ni. Memang hari ni sudah jadi hari terkena aku. Tapi nak buat macam mana, bertabahlah. Kalau salah masuk parking boleh undur-undur, kalau salah perbuatan, buat bodoh ajelah.
            Bila lif terbuka, terus aku masuk. Kemudian Encik Hazrul. Dia sendiri yang tekan tingkat 11. Dalam lif kami tak cakap apa-apa. Hanya mataku melihat tangan Encik Hazrul yang memegang bunga raya warna putih.
            Lif terbuka dan dia dulu-dulu keluar. Aku ikut dari belakang. Masa lalu kat meja aku, dia letak bunga raya tersebut atas meja dan dia terus masuk bilik dia. Tak toleh dan tak suruh aku buat air. Bagus, merajuk gamaknya. Jadi aku lari masuk pantri.
            Aku duduk bersila di belakang meja. Kalau duduk situ sah orang dari muka pintu pantri tak nampak. Perlahan aku keluarkan bekas berisi sandwich. Sempat buat sandwich dan sempat juga buat maggi goreng untuk makan tengah hari. Makanan di restoren sebelah Menara Holding ni mahal gila. Tak mampu aku. Sudahlah duit tinggal cukup-cukup untuk sampai ke bulan hadapan saja.
            Mak ayah, tenang-tenang ya di SANA. Anak mak dan ayah ni tak apa-apa. Dia biasa hidup susah. Aku sumbat sandwich lepas baca doa makan.
            “Makan sorang saja ke?” Encik Hazrul sergah. Mujur tak tercekik. Nampak saja dia ni mana aku menyorok.
            “Yang duduk atas lantai tu kenapa? Kalau tahu nak duduk macam tu, tak payahlah Menara Holding sediakan kerusi dan meja kat pantri ni.”
            Perlahan aku bangun. Mata kami saling bertemu.
            “Kat tangan tu apa?” soalnya.
            “Sandwich.”
            “Yang satu lagi tu?”
            “Maggi goreng.”
            “Mintak maggi goreng tu. Saya pun belum sarapan lagi.”
            Cara dia mintak, serupa paksa saja. Penyamun pun tak macam ni. Nak tak nak aku hulurkan bekas maggi goreng kepadanya. Nampaknya selamatlah makanan tengah hari aku. 
            Dia sambut bekas maggi goreng tapi mata tetap pandang aku. Kemudian dia buka penutup bekas makanan. “Hmm, nampak sedap.” Dia cakap. Eh, memang sedap pun. Aku yang bersusah payah masak, memanglah sedap.
            “Tolong ambilkan saya sudu dan garfu.” Dia arah.
            “Minta bekas sandwich tu sama.” Baru nak menapak, dia minta pulak bekas sandwich. Habis aku nak makan apa? Tapi aku letak juga bekas sandwich atas meja. Kemudian sambung ambil sudu dan garfu. Hulurkan kepada dia sambil gigit hujung bibir. Seketul sandwich rasanya sudah selamat.
            Dia sambung makan maggi goreng. “Eh, air mana?” soalnya.
            Tak tahu nak cakap apa lagi. Sudahnya aku buatkan juga dia air. Sebenarnya memang bengang sebab dia sudah makan makanan aku. Tapi tak kan nak menyumpah. Dah rezeki dia, nak buat macam mana lagi.
            Siap buat air, aku letak depan dia. Kemudian pandang dia habiskan manggi goreng dengan lahap. Serupa sepuluh hari tak makan saja. Orang kaya pun macam ini ke gayanya?
            “Hmm, sedap awak masak. Bolehlah tolong masak untuk saya nanti.” Dia cakap dengan mulut penuh. Aku tak balas apa-apa sebab terkejut sama. Tak tahulah nak rasa bangga atau tidak dengan pujian dia itu sebab aku masak main campak-campak saja.
            “Mana sedap encik, campak-campak aje tu…” Mendatar suara sebab sedih pun ada bila terkenangkan makanan tengah hari aku sudah masuk semua dalam perut Encik Hazrul.
            “Kalau campak-campak pun dah sedap, belum masak betul-betul.” Dia sambung pula habiskan sandwich. Langsung tak tinggal untuk aku. Pelahap betullah dia ni.
            “Hmm, rasanya sedang elok ni kalau nak buat isteri. Pandai masak, pandai buat air.” Dia jeling sekali dengan jelingan yang betul-betul tak cantik.
            “Hmm, siapalah yang nak kan saya ni…” Buat muka sedih sama. Sedihlah, sebab aku tengah fikir ni nak makan apa tengah hari nanti.
            “Mesti ada. Sekarang inipun rasanya dah ada nak ambik awak jadi isteri.”
            Suka hatilah Encik Hazrul. Malas nak layan. Sudahlah habiskan makanan aku, boleh lagi cakap macam tu. Langsung tidak bersimpati.
            “Alhamdulilah. Perut saya dah penuh. Terima kasih.” Lepas habiskan minuman, Encik Hazrul bangun dan tinggalkan pantri. Hmm, macam tu aje? Betullah bos sorang ni tak boleh pakai.

AKU hanya pandang saja rakan-rakan yang keluar makan tengah hari. Nak turut serta, duit cukup-cukup tambang bas. Tak apalah. Sudah biasa berlapar. Bukan mati pun kalau tak makan satu hari.
            Tiba-tiba aku dengar pintu bilik Encik Hazrul seperti terbuka. Cepat aku letak kepala atas meja. Konon-kononnya tidur. Nanti dia tanya bukan-bukan. Malas nak jawab.
            Dia ketuk meja. Aku buat tak tahu. Kononnya dah tidur. “Dah, jangan nak menipu. Jom kita makan tengah hari.”
            Aku buat tak dengar.
            “Saya kira sampai tiga, kalau awak tak bangun, saya cium awak kat sini jugak.” Dia bisik tepi telinga. Masa tu jugak aku rasa bulu romaku tegak.
            “Satu!” Dia mula buat kiraan.
            Terpaksalah aku tegak badan sebab aku rasa apa yang Encik Hazrul cakap, dia akan buat. Itu prinsip dia. Kalau dia yang buat rancangan, semua orang kena ikut.
            Aku pandang muka dia. Muka dia tetap serius. Tak menunjukkan dia main-main atau mahu bergurau.
            “Kita makan tengah hari bersama.”
            Aku geleng tanda aku tolak pelawaan dia.
            “Kenapa? Dah kenyang?” Dia tanya. Sebenarnya dia perli. Yalah, maggi goreng dengan sandwich tadi dia yang habiskan.
            Aku diam.
            “Awak puasa sunat?” Dia perli lagi.
            Ada pulak yang aku sunat kat sini karang. Tak habisnya perli aku.
            “Dah, ikut saya.”
            “Tak naklah encik…” Aku tolak dengan cara baik.
            “Saya sengaja habiskan makanan awak tadi, sebab saya nak ajak awak temankan saya makan. Selalu sangat saya makan sorang-sorang. Hari ni naklah makan berdua.”
            “Tak apalah encik…”
            “Tak apalah apanya!” Dia herdik sekali. Mahu tak terperanjat gila aku dibuatnya. Tiba-tiba saja tinggikan suara.
            Adoi, tak sampai sebulan mahu aku dapat penyakit masalah jantung macam ni. Tak boleh salah sikit. Bertempik manjang.
            “Kita nak makan kat mana?” soalku.
            “Kat mulut!” Dia jawab dengan selamba.
            Taulah makan kat mulut. Tak kan guna hidung pulak. Tensionlah cakap dengan orang macam ni. Perut aku sudahlah lapar semacam, bos pulak buat perangai macam tu. Memang bengang sangatlah.
            “Hah, kalau beriya sangat nak ajak saya makan, jomlah kita pergi makan.” Akhirnya aku ambil beg tangan dan jalan dulu-dulu.
            “Kan senang kalau macam tu. Ini tidak, nak kena tengking barulah ikut.”
            Perlilah tu…! Serius memang sakit hati.