Monday, November 11, 2013

KEKASIH UNTUK DIA BAB 2

HARI kedua. Macam semalam, aku datang awal juga. Maklum, bila naik bas, aku perlu keluar awal agar tidak berlaku kelewatan. Haruslah tunjuk contoh yang baik kalau mahu kekal bekerja di sini. Tapi semalam awalnya aku di pejabat HR, dan kemudian baru ke pejabat pengurusan.
 Lebih kurang sejam duduk sendirian di ofis, Kak Ha dan Kak Huda sampai sambil berbual.
            “Awal Azian sampai,” tegur Kak Huda dengan ramah. Hari ini dia pakai baju kurung batik sutera warna ungu. Nampak anggun dengan gaya tersendiri. Kak Ha pula seluar putih dengan baju warna merah terang.
            “Saya naik bas kak, kena keluar awal,” jawabku jujur.
            “Bagus tu, tak apa datang awal,” kata Kak Huda lagi. Kali ini seperti memberi sokogan dan semangat. Kemudian mereka sambung berbual. Seorang demi seorang muncul selepas itu. Masing-masing bercerita sesama mereka dan aku terpinggir sendiri.
            “Jom semua ke pantri. Hari ni saya ada bawa pulut kuning, sempena ulang tahun perkahwinan saya.” Encik Hambali muncul bersama plastik yang berisi bekas makanan polisterin.
            Encik Hazrul berdiri di belakang Encik Hambali. Awal pula dia datang. Matanya merenung aku. Terus aku tunduk. Takut untuk menentang renungan matanya.
            “Err, maaflah Azian. Saya buat pesanan ni sebelum Azian masuk kerja, jadi cukup-cukup untuk kaki tangan pejabat pengurusan sebelum ini saja,” kata Encik Hambali.
            “Eh, tak apa…” Aku jawab sambil tersenyum. Tak terasa pun sebab aku faham dengan keadaan sebelum ketiadaanku di sini.
            “Maaf ya Azian.”
            “Tak apa…” Aku balas dengan senyuman lagi.
            “Bos, joinlah sekali…” Encik Hambali bercakap dengan Encik Hazrul pula.
            Aku lihat Encik Hazrul mengekori Encik Hambali dan kesemua pekerja lain juga ke pantri. Tinggallah aku sendirian. Sambung buat kerja tanpa ada perasaan apa-apa. Betul kata Encik Hambali, masa tu aku tak bekerja lagi di sini.
            Kemudian aku nampak Encik Hazrul keluar dari pantri bersama bekas makanan. Langkahnya tidak ke bilik, tetapi ke mejaku. “Masuk bilik saya sekejap,” arahnya.
            Cepat aku bangun dan ekori langkah Encik Hazrul. Aku tolong tolak pintu sebab tangannya bawa bekas makanan dan muk. Kenapalah tak makan di pantri saja. Nak juga makan dalam bilik. Yalah, apa kelas makan di pantri.
            “Sila duduk,” katanya selepas itu sebaik sahaja kami berada di dalam bilik pejabatnya. Jadi aku duduk. Kemudian dia letak bekas makanan di hadapanku.
            “Tolong makan untuk saya. Saya tak makan pulut. Nanti Hambali fikir apa pulak,” katanya. Dia ke tempat duduknya dan mula teguk air.
            Serba salah sebenarnya nak makan, lebih-lebih di hadapan dia tapi serius cakap, memang aku teringin nak makan pulut kuning. Sudah lama tak jamah pulut.
            “Makanlah cepat…” tegas saja arahan Encik Hazrul memaksa aku buka penutup bekas makanan. Pulut kuning bersama rendang kerang. Sudu plastik juga disediakan sekali di dalam bekas makanan.
            Aku baca doa makan, tapi segannya nak makan.
            Encik Hazrul bangun dan bawa muk ke tepi dinding. Dia berdiri di situ sambil lempar pandangan ke luar. Jadi, bolehlah aku makan dengan selesa.
            Hmm, sedapnya. Pulut yang lemak dan lembut, rendang kerang yang sangat sedap. Dapat juga aku makan pulut kuning. Alhamdulilah. Kenapa ada orang yang tidak suka dengan pulut? Ya, nama juga selera masing-masing. Pasti saja tidak sama.
            Ketika pulut sudah separuh masuk perut, aku angkat kepala dan pandang Encik Hazrul. Tak sangka dia perhatikan aku rupanya. Kemudian aku nampak cepat dia pandang luar. Mungkin dia nak cakap aku buruk makan sebab aku makan dengan lahap. Atau dia nak cakap serupa tak pernah jumpa pulut kuning. Apapun tanggapan dia, rezeki jangan ditolak. Musuh jangan dicari. Aku sambung makan tanpa mahu fikir apa-apa. Makanan harus dinikmati sebaiknya.
            “Encik, saya sudah selesai makan.” Aku cakap dan tutup semula bekas makanan sebaik sahaja pulut kuning selamat semuanya masuk dalam perut. Cepat aku bangun.
            “Tinggalkan aje bekas makanan kat situ. Kalau awak bawa keluar nanti Hambali syak,” kata Encik Hazrul dan dia melangkah ke meja.
            Aku angguk. “Terima kasih…” Aku cakap dan pandang wajahnya.
            “Saya yang sepatutnya ucap terima kasih sebab tolong makan untuk saya,” balasnya dan duduk semula. Muk dia letak di tepi. Seperti mahu memulakan kerja.
            “Sekejap,” panggilnya masa aku hendak beredar. Dia ambil sesuatu di dalam laci. “Ini memang awak punya,” kata Encik Hazrul sambil hulurkan sebuah muk berwarna hijau muda.
            “Saya punya?” soalku.
            “Ya, awak punya.”
            Aku kerut dahi. Serius tak faham. Muk ini aku punya? Adoilah, macam-macam. 
            “Mulai hari ni, guna muk tu untuk minum.”
            “Terima kasih.” Aku cakap walau kepala bingung sikit. Tanpa berlengah lagi, aku terus keluar. Rupanya rakan lain masih di pantri. Mujur juga, kalau tidak pasti ada yang syak kenapa aku berada di bilik Encik Hazrul. Tapi perut betul-betul kenyang.
            Aku pandang muk yang diberikan kepadaku. Ada tulisan kecil seperti tarikh. 26 Dec 2011. Cenang. Oh, pernah lepak Cenang rupanya.

SIAP bancuh air, aku bawa ke bilik Encik Hazrul. Sudah tiba untuk Encik Hazrul minum petang. Sebenarnya takut juga nak masuk bilik dia. Lepas dia tengking semua kaki tangan pejabat pengurusan sebelum rehat tadi, aku rasa mula tidak selesa hendak bekerja di sini. Cara Encik Hazrul memarahi pekerja memang nampak menakutkan.
“Masuk.” Aku dengar suara Encik Hazrul dari dalam.
Perlahan aku tolak pintu. “Saya bawakan air encik,” kataku dan melangkah menghampiri meja Encik Hazrul. Letak muk di atas meja. Sekilas jeling Encik Hazrul yang tekun dengan kerjanya. Mukanya masih sama, serius habis. Memang takut nak pandang.
Lepas letak muk, aku bergerak mahu tinggalkan bilik Encik Hazrul. “Sekejap,” panggil Encik Hazrul selepas beberapa tapak aku melangkah. Langkah serta merta terhenti dan aku pusing pandang Encik Hazrul.
“Duduk,” arahnya.
Aku melangkah semula dan duduk di kerusi yang terdapat di hadapan meja Encik Hazrul. Berdebar menanti arahan. Mahu cakap air yang aku bancuh tu tak sedap ke? Namun lepas teguk, Encik Hazrul tak cakap apa-apa.
Dia bangun bawa muk dan berdiri di hadapan dinding yang sepenuhnya kaca. Menampakkan permandangan luar. Dia teguk lagi air tanpa pedulikan aku yang sabar menantikan arahan.
Berlalu beberapa ketika, dia duduk semula di tempatnya. Kembali menyambung kerja. Langsung tak pedulikan aku. Dia ni sedar atau tidak keujudan aku dalam bilik pejabat dia? Jadi apa kepentingan aku duduk di sini kalau sekadar suruh duduk saja?
“Encik, boleh saya keluar?” soalku, memberanikan diri minta keluar. Lagipun tidak selesa berada di dalam keadaan begini.
“Ada saya minta awak keluar?” soalnya dengan nada tegas kemudian pandang aku tepat. Kecut aku jadinya. Rupanya marah Encik Hazrul masih belum reda. Terpaksalah aku duduk di situ tanpa berbuat apa-apa.
Aku perasan Encik Hazrul asyik pandang aku selepas itu. Sesekali pandangan mata kami bertembung dan aku senyum. Namun langsung tidak dibalas. Tak apalah.
Aku toleh pandang bilik pejabat milik CEO Menara Holding. Hmm, biasalah. Pejabat orang besar-besar. Harus besar sama.  Dah jenuh pusing-pusing kepala tengok suasana pejabat, aku kembali pandang depan. Masa itu, Encik Hazrul masih pandang aku. Apa yang tidak kena lagi? Asyik pandang saja, langsung tidak bercakap. Buat aku serba salah.
“Awak boleh sambung buat kerja, tapi sebelum balik, jumpa saya dulu.” Encik Hazrul bersuara tiba-tiba.
“Terima kasih, saya pergi dulu.” Aku minta diri sebaik sahaja bangun.Tanpa menunggu lagi, aku terus atur langkah menuju pintu.
“Hmm, terima kasih untuk air,” katanya masa aku tarik pintu.
“Sama-sama.” Sempat menoleh dan dia pandang aku. Seperti biasa aku senyum dan untuk kali ini, senyumanku tetap tidak berbalas. Tak mengapa Azian, senyum juga satu sedekah. Kalau sudah sifatnya sedekah, jangan sesekali diungkit, walau hanya segaris senyuman.
“Apa hal lama sangat kat dalam tu?” soal Kak Huda sebaik sahaja aku ke tempat dudukku. Sudah agak, aku pasti disergah dengan soalan begitu memandangkan agak lama juga aku di dalam bilik Encik Hazrul.
Apa aku nak jawab ni? Tak kan nak beritahu aku dan Encik Hazrul main acara tenung-tenung. Memang riuh nanti satu ofis. Sudahlah baru dua hari bekerja di sini. Apalah tanggapan rakan sekerja kalau aku bercakap jujur. Perkara ini bukanlah bahan gurauan. Ianya melibatkan maruah aku sama.
“Encik Hazrul tanya saya beberapa perkara.” Itu saja alasan yang aku ada.
“Hmm, pelik. Jarang bos tanya pekerja dia.” Aku nampak Kak Huda kerut dahi. Kak Ha pula nampak macam sudah siap-siap nak balik. Baru pukul 4.30 sudah berkemas?
“Yalah, mana bos tak tanya macam-macam, tengok macam orang kampung saja yang datang kerja. Orang HR pun satu, nak hantar orang bekerja di pejabat pengurusan, agak-agak jugaklah. Tengok dulu orangnya macam mana. Serupa tak sekolah saja.” Hilda gadis tinggi lampai dan bertubuh langsing, rambut paras bahu bersuara dari tempat duduknya. Sejak semalam, Hilda memang tunjuk sikap dingin. Macam tak senang dengan kehadiranku. Mungkin aku kelihatannya seperti gadis kampung. Dua hari ini aku hanya pakai baju kurung sahaja. Tidak seperti mereka yang kelihatannya sangat bergaya. Sesuai untuk bekerja di pejabat pengurusan.
Aku buat tidak dengar. Tidak berbekas pun.
Aku difahamkan, tugas pekerja di pejabat pengurusan sangat banyak memandangkan mereka semua adalah pembantu yang melancarkan tugas seorang CEO. Maklum CEO merupakan kepala kepada sesebuah syarikat. Aku tak kisah semua perkara tu sebab aku hanya menjalankan tugas aku sahaja. Lebih-lebih, aku tidak mahu tahu. Lantaklah.
Sebelum pulang, aku ke bilik Encik Hazrul seperti diarahkan. Aku ketuk pintu terlebih dahulu dan tunggu arahan. Pejabat pengurusan sudah pun kosong. Semua sudah pulang.
“Masuk.” Dengar suara Encik Hazrul dari dalam.
Aku tolak pintu perlahan. “Saya sudah mahu pulang.” Aku beritahu di muka pintu.
“Duduk sekejap,” arahnya. Kalau tidak berdebar, memang menipulah. Dengan keadaan yang sunyi sepi tanpa pekerja lain, macam-macam mula terbayang di fikiran.
“Boleh tak kita sambung esok saja?” soalku, beranikan diri mengingkari arahan. 
“Faham ke tak faham apa yang saya cakap?” soal Encik Hazrul dengan suara yang kuat. Tambah kecut perasaan mendengar suara Encik Hazrul begitu. Jadi, apa pilihan yang aku ada melainkan bergerak menghampirinya. Tanpa berkata sepatah perkataan, aku aku duduk di kerusi di hadapan meja Encik Hazrul. Satu saja yang terlintas di kepalaku, kalau Encik Hazrul mahu buat jahat, dengan siapa aku mahu minta tolong. Dengan susuk tubuhnya begitu, aku rasa aku tidak mampu untuk mempertahankan diri.
Tuhan, berikan aku sedikit kekuatan.  
Encik Hazrul menyandar dan sesekali berpusing perlahan. Tangan kanan bermain dengan sebatang pen. Dan matanya…
Mata lelaki itu merenung tajam ke arahku. Apa yang tidak kena lagi.
“Awak tunggu sampai saya siap buat kerja,” katanya selepas itu.
Itu saja? Tunggu dia sehingga dia selessi buat kerja? Sampai pukul berapa pulak tu? Kalau kerja dia tak siap sampai tengah malam, macam mana?
“Dah solat asar?” soalnya.
Dan dan darah naik ke muka. Rasa panas dengan tiba-tiba. Tak kan aku nak beritahu dia, aku tak boleh solat dalam seminggu ni. Dan patut ke aku jawab, saya tak solat. Macam megah pulak beritahu orang tak solat. Apa pula tanggapan Encik Hazrul nanti. Orang kata, kalau ada yang mengingatkan kita waktu solat itu, orang itu sudah dikira baik walau sebenarnya dia jahat.
Soalan Encik Hazrul aku biarkan kosong dan diamku nampaknya sudah membayangkan jawapan sebab Encik Hazrul tidak bertanya apa-apa selepas itu. Dia sambung buat kerja dan sesekali dia pandang aku.
Persoalan sekarang ialah, kenapa lelaki ini kelihatannya sangat aneh? Ada keganjilan yang luar biasa aku rasakan. Tidak seperti lelaki normal lain atau aku memang tidak pernah faham sikap sebenar lelaki itu bagaimana.
“Balik naik apa?” soalnya.
“Bas,” jawabku sepatah.
“Hmm…” Di sambung semula buat kerja. Aku pula sambung jadi patung bernyawa. Lama jugak aku jadi patung bernyawa.
“Hmm… jom saya hantar awak balik,” katanya tiba-tiba.  
“Tak nak!” Cepat aku bantah.
“Kenapa pulak?” soal Encik Hazrul. Pandang aku dengan renungan mata yang tajam.
“Saya tak suka orang hantar saya balik.”
“Saya bukan orang lain, saya bos awak.”
“Lagilah saya tak nak. Saya balik dululah…” Aku cepat-cepat bangun.
“Eh, awak tunggu saya,” arahnya.
Aku tak peduli. Terus keluar dari bilik Encik Hazrul. Terus ambil beg tangan atas meja. Kemudian kepala ligat fikir bagaimana mahu mengelak. Akhirnya aku pilih lari ke pantri. Sembunyikan diri di situ buat seketika.
Aku dengar pintu bilik Encik Hazrul ditutup kuat selepas itu dan aku dengar seperti dia berlari anak. Nasib baik aku lari ke pantri. Kalau tidak sah-sah bertembung di lif. Wah, macam senetron pun ada.
Aku bertenang sekejap sementara lepaskan Encik Hazrul turun. Harap aku boleh pulang ke rumah dengan selamat selepas ini.


9 comments:

aisyah said...

klau sy pn sy buat mcam azian..takut kut...semcam je prangai bos

mengarutnyablogini said...

dup dap..dup dap..fuh, kita pulak yang nerves. suka gila novel ni.

Unknown said...

Ayoyo .. Main sembunyi2 nmpak Azian .. Dn En.Hazrul main kejar2 .. Hahahahaha .. Da mcm sinetron ..

kak na said...

esok sambung lg

camelia said...

Ye kan...kalau ada n3 selang sehari kan bagus....he he he..

eija said...

hahaha azian..xde tmpt lain ke nk nyorok.. aduii klo aku jd azian pn msti kecut perut gak..

-sj- said...

Harus smbg baca bab 3.... Tp bila ek??

Unknown said...

ok skrg baru nampak ada watak nak mcm antagonis sikit iaitu Hilda hehehe ...Entah-entah Hilda ni minat kat En Hazrul...tu bengang kat Azian tu huhu

Nana Mohd Yasin said...

bestnya
sweet je
mmg kiut la
saya suka saya suka